Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 211 - Paksaan (2)

Chapter 211 - Paksaan (2)

Qin Yu Yan tidak berkata apa-apa selama ini. Dia duduk diam di kerusinya, wajahnya bertopengkan senyuman lembut.

Sebaik mendengar kata-kata Jiang Chen Qing, wajah Mo Qian Yuan menjadi semakin serius dan dia tergesa-gesa berkata, "Itu...bukan idea yang baik. Nenek moyang kami berada di dalam tempat persemadian abadi mereka dan kami pula mengganggu mereka, itu agak…"

"Orang yang mati tak bermakna lagi. Tuanku tidak perlu terlalu ambil berat," kata Qin Yu Yan dengan lembut. "Mantan Maharaja dan Jun Gu sudahpun mati dan dunia tidak perlu kisahkan tentang mereka. Kenapa Tuanku mahu membahayakan seluruh Kerajaan Qi demi dua orang lelaki yang sudah mati?"

Mo Qian Yuan terkejut sewaktu dia memandang Qin Yu Yan. Dia tidak percaya dengan apa yang dia baru dengar.

Membahayakan seluruh Kerajaan Qi?

Jelas sekali itu satu ugutan!

Mo Qian Yuan tidak menyangka Qin Yu Yan yang kelihatan lembut itu akan meluahkan kata-kata yang lebih berbisa daripada Jiang Chen Qing.

Tanpa memberi ruang untuk berbincang, Qin Yu Yan sudah memberi kata dua.

Serahkan Jed Roh dan mereka akan pergi. Kalau Mo Qian Yuan enggan menyerahkannya, mereka tidak akan melepaskan Kerajaan Qi begitu sahaja...

Mo Qian Yuan akhirnya sedar betapa naifnya dia. Dia mengharapkan lebih mudah untuk berurusan dengan ketua delegasi Kumpulan Qing Yun ini?

Lihatlah Jiang Chen Qing, dan lihatlah Bai Yun Xian. Mereka semua berasal daripada Kumpulan Qing Yun, dan siapa di antara mereka yang bersikap lembut?

Mo Qian Yuan teringatkan cubaan Bai Yun Xian untuk menghapuskan seluruh Bandar Diraja dengan racunnya. Racun itu pula datangnya daripada Kumpulan Qing Yun...

"Kalau Tuanku tak selesa untuk melakukannya, kami boleh lakukan bagi pihak Tuanku." Qin Yu Yan tidak menunggu balasan daripada Mo Qian Yuan dan terus berdiri lalu berpusing ke arah Jiang Chen Qing. "Pak Cik Jiang, saya perlu susahkan kamu untuk bawa mereka ke Makam Diraja dan tanah perkuburan Keluarga Jun untuk mendapatkan Jed Roh."

"Nanti dulu! Cik Qin, kamu..." Qin Yu Yan mencelah sebelum Mo Qian Yuan dapat menyambung.

"Lebih baik Tuanku jangan cuba ambil tindakan terburu-buru. Saya harap Tuanku fikirkan tentang kerajaan Tuanku. Pasti Tuanku tidak mahu rakyat Tuanku ditimpa bahaya, bukan?" Dia masih lagi tersenyum lembut, tetapi ugutan dingin yang tersembunyi di sebalik kata-kata itu dapat dirasai dengan jelas.

Setelah berkata demikian, Qin Yu Yan meninggalkan dewan itu bersama-sama delegasi Kumpulan Qing Yun.

Selepas delegasi Kumpulan Qing Yun melangkah keluar daripada dewan utama itu, para pegawai yang berdiri di luar berjalan masuk dengan bimbang. Sebaik terlihat ekspresi wajah Mo Qian Yuan yang gelap, mereka menutup mulut mereka dan tidak berani mengatakan apa-apa tentang gangguan yang berlaku pada pagi itu.

Di dalam dewan utama yang besar itu, keadaan sunyi sepi. Mo Qian Yuan duduk di atas singgahsana sambil merenung kosong ke arah delegasi Kumpulan Qing Yun yang telah berlalu pergi. Hatinya menjadi dingin.

'Saya tetap akan menyimpan Roh Jed walau apa sekalipun yang berlaku, dan tak akan menyerahkannya kepada sesiapa jua. Bukankah kamu fikir saya mahu membunuh mereka semua tanpa sebab, dan saya ini ganas serta kejam? Jadi mari lihat apa yang Kumpulan Qing Yun akan lakukan jika kita menolak untuk menyerahkan Jed Roh, sedangkan mereka tahu kita memilikinya.' Kata-kata Jun Wu Xie malam tadi bermain-main di mindanya. Dia kini teringat bagaimana mata Jun Wu Xie begitu pasti dan yakin.

Mo Qian Yuan tiba-tiba berasa mahu ketawa. Jun Wu Xie telah dapat melihat sikap sebenar Kumpulan Qing Yun, kalau tidak, dia tidak akan membuat pertaruhan itu dengan Mo Qian Yuan.

Dia merasakan dirinya sendiri amat kelakar. Dia sudah mengalami penganiayaan dan penindasan di tangan Maharaja dan Mo Xuan Fei sebegitu lama. Kenapa dia masih lagi mengekalkan sifat berbelas kasihan yang tak masuk akal itu?

'Jun Wu Xie, saya sendiri yang bebal, bukannya salah orang lain.'

Di dalam sesi penghadapan pagi yang sunyi sepi itu, tiba-tiba kedengaran suara ketawa yang menggila. Semua pegawai mendongak dan terkejut melihat Maharaja yang sedang ketawa terbahak-bahak tanpa henti.