Setelah dicederakan oleh cakaran kucing hitam kecil itu, Teratai Kecil memeluk lututnya dan duduk menangis teresak-esak di satu sudut di dalam bilik itu.
Jun Wu Xie mengambil Teratai Kecil, yang menangis begitu kuat sehingga tersedu-sedan, dan memeluknya dengan erat untuk memujuknya.
"Adakah kamu pasti jed itu ialah Jed Penenang Roh?" Jun Wu Xie berasa ingin tahu tentang Jed Roh...maksud dia, Jed Penenang Roh itu. Jika kepingan Jed Roh itu ialah Jed Penenang Roh dari Dunia Roh, itu menjelaskan kebolehan jed itu untuk menyerap roh.
Jed Penenang Roh itu digunakan untuk melindungi dan memulihkan roh, dan hanya berfungsi ke atas roh yang tidak sempurna. Oleh itu, apabila orang biasa menyentuh jed itu, tidak akan ada kesan buruk yang berlaku.
Lain halnya dengan dia. Roh dia dan kucing hitam kecil itu telah bergabung dan tercampak ke dunia lain, kemudian mengambil alih tubuh badan Jun Wu Xie. Rohnya belum lagi berharmoni sepenuhnya dengan tubuh badan itu dan Jed Penenang Roh mengenalpasti keadaan itu sebagai keadaan roh tidak sempurna, lalu cuba menyerap rohnya ke dalam jed itu untuk dipulihkan.
"Saya….. Saya tak pasti. Saya cuma tahu yang jed itu nampak sama seperti gambar yang saya lihat dan mengandungi tenaga roh dari Dunia Roh." Setelah dipujuk oleh Jun Wu Xie, Teratai Kecil tenang sedikit. Dia menjeling sekilas ke arah kucing hitam kecil itu dan mendapati dirinya masih lagi diperhatikan. Dia cepat-cepat memalingkan kepalanya untuk bersembunyi dalam dakapan Jun Wu Xie.
Kucing jahat!
Rupa bentuk dan tenaga. Teratai Kecil telah mengesahkan kedua-dua aspek ini. Ditambah pula dengan pengalaman Jun Wu Xie sendiri dengan Jed Roh, Dia yakin jed itu ialah Jed Penenang Roh yang asli.
Artifak dari Dunia Roh. Bagaimana boleh berada di Kerajaan Qi?
Bagaimana rupa Dunia Roh itu? Kumpulan Qing Yun ingin sekali mendapatkan Jed Roh. Adakah mereka tahu yang JEd Roh itu sebenarnya ialah Jed Penenang Roh?
Kepingan kecil Jed Roh itu telah membawa pelbagai kemungkinan yang tidak pasti. Jun Wu Xie tidak dapat mencapai kesimpulannya.
Kalau Jed Roh itu ialah Jed Penenang Roh, dan kalau dia memiliki jed yang mampu memulihkan roh, maka jed ini boleh menjadi jalan untuk membangkitkan semula Jun Gu.
Satu-satunya perkara yang dia amat pasti sekarang ini ialah, dia tidak akan menyerahkan Jed Roh itu kepada Kumpulan Qing Yun. Dia akan mendapatkan separuh lagi kepingan jed itu yang ada dengan Mo Qian Yuan!
Setelah membuat keputusan, Jun Wu Xie bersiap-siap untuk pergi ke Istana Diraja.
"Sudah lewat malam begini, kamu mahu ke mana?" Jun Wu Yao bersandar malas di pintu dan memandang Jun Wu Xie. Dia memandang sekilas ke arah keranda yang berada di satu sudut bilik itu.
'Budak ini ada minat yang menarik. Dia membawa masuk keranda ke dalam biliknya?'
Jun Wu Xie terkejut melihat Jun Wu Xiao, tetapi kali ini wajahnya tidak menunjukkan ekspresi dingin seperti selalu. Sebaliknya, dia kelihatan acuh tak acuh sahaja.
"Mari ikut saya." Jun Wu Xie mendongak memandang Jun Wu Yao.
Kali ini, Jun Wu Yao pula yang terkejut.
Apa… Apa yang dia baru dengar tadi?
Ikut Jun Wu Xie?
Budak ini yang beberapa jam lalu baru sahaja menunjukkan sedikit kemesraan, kini mengajaknya kahwin lari?
Kegembiraan muncul terlalu tiba-tiba dan senyumannya melebar sehingga ke telinga.
Angin Jun Wu Yao menjadi begitu baik. Dia berjalan untuk berdiri di sisi Jun Wu Xie. Kelembutan dalam matanya boleh membuatkan orang lemas.
"Ke mana sahaja dalam dunia ini. Ke mana kamu mahu pergi?"
Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao, yang tersenyum berseri-seri, lalu membalas dengan ringkas, "Istana Diraja."
"...…"
"Baguslah kamu ada di sini. Dengan kemahiran kamu, pasti kita boleh mengelak perhatian Kumpulan Qing Yun dan kamu boleh menyeludup saya masuk ke dalam Istana Diraja. Mudah saja untuk kamu." Jun Wu Xie berkata dengan serius. Dia tak tahu kenapa Jun Wu Yao berada di sini, tetapi kuasanya tidak perlu diragui.