Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 202 - Jed Penenang Roh (4)

Chapter 202 - Jed Penenang Roh (4)

Jun Wu Yao masih lagi tersenyum, tetapi cahaya di dalam matanya lenyap seperti air pasang yang tidak kembali semula ke pesisiran pantai.

Jun Wu Xie tidak menyedari perubahan itu dan terus bercakap, "Tak perlu apa-apakan mereka kali ini, saya hanya perlu bertemu dengan Mo Qian Yuan."

'Eloklah tu. Saya cuma perlu hantar dia ke pelukan Putera Mahkota tak guna itu!'

Perasaan mahu membunuh bergelora di dalam mata Jun Wu Yao. Baiklah, dia akan bawa Jun Wu Xie ke sana, dan pada masa yang sama, menyingkirkan Maharaja baru yang menyakitkan mata itu!

Apabila tidak mendengar apa-apa jawapan daripada Jun Wu Yao, Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan terlihat perubahan pada mata Jun Wu Yao. Dia menggigit bibirnya sambil berfikir.

Dia terlupa yang di antara dia dan Jun Wu Yao, mereka bukanlah orang asing yang menggunakan satu sama lain untuk mencapai matlamat mereka.

Mengumpulkan segala apa yang dipelajari daripada pasangan ayah dan anak Keluarga Jun dalam komunikasi sesama manusia, sejak kelahiran semulanya, Jun Wu Xie memaksa dirinya bercakap.

"Abang?"

"….." Hati Jun Wu Yao ibarat dipanah petir!

Musim sejuk, ais dan salji mencair. Musim bunga tiba, waktu kelahiran semula.

Kedinginan membunuh di dalam hatinya mencair dengan kehadiran musim bunga ini dan hatinya menjadi hangat!

Jun Wu Yao terdiam dan dengan pantas, susuk tubuhnya yang tinggi langsing itu berada di sisi Jun Wu Xie. Dia menghulurkan tangannya yang tegap, merangkul Tubuh kecil molek Jun Wu Xie. Dengan satu lonjakan, mereka melayang tinggi di udara!

Sewaktu lompatan itu membawa mereka ke udara, naluri Jun Wu Xie membuatkan dia memeluk leher Jun Wu Yao. Lelaki itu membawa mereka berdua terbang melayang di udara. Jika Jun Wu Xie menghulurkan tangannya, dia seolah-olah boleh mencapai bintang di langit.

"Wu Xie." Kedengaran suara Jun Wu Yao di telinganya, di sebalik bunyi deruan angin.

"Hmm?"

"Sebut sekali lagi." Suara Jun Wu Yao yang sedikit serak itu kedengaran sedikit berharap.

Jun Wu Xie merenung kosong dan berfikir seketika sebelum dia sedar apa yang dimaksudkan oleh Jun Wu Yao.

"Abang."

Pelukan lelaki itu semakin kuat, sehingga hampir membuatkan Jun Wu Xie sesak nafas.

"Ke mana saja kamu mahu pergi, apa saja kamu mahu lakukan, Abang akan sentiasa bersama kamu. Faham?" Jun Wu Yao menundukkan kepalanya dan memandang Jun Wu Xie dalam pelukannya. Gadis ini begitu kecil dan ringan, tetapi pada ketika itu, dia merasakan seolah-olah membawa sesuatu yang amat berat sekali. Dia terpaksa menggunakan seluruh kekuatannya untuk memegang Jun Wu Xie, atau gadis itu mungkin hilang dari genggamannya.

Jun Wu Xie dapat merasai pergolakan emosi Jun Wu Yao, dan dia menjadi bingung. Kemudian dia tiba-tiba menyedari sesuatu.

Lelaki ini mungkin teramat kuat, tetapi hati Jun Wu Yao mungkin sama seperti hatinya.

Kali pertama Jun Xian mengambil berat tentangnya dan risau tentang dirinya, Jun Wu Xie juga telah memberikan reaksi yang sama.

Jun Wu Yao hanya berinteraksi dengan dirinya dan tidak dengan orang lain. Lelaki itu melayannya sebagai dermawan yang menyelamatkan nyawanya dan mula bergantung pada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie kekurangan kasih sayang, sudah tentulah dia mengaitkan kelakuan pelik Jun Wu Yao ini dengan pengalaman pahitnya sendiri.

"Baiklah." Dia mengangguk sedikit.

Dia ada Datuk, Pak Cik dan mungkin di masa hadapan, Ayah. Menambah seorang Abang ke dalam keluarganya bukanlah sesuatu yang sukar.

Jun Wu Yao tersenyum puas hati. Dia tak tahu apa yang membuatkan gadis ini berubah hati. Tetapi walau apa sekalipun sebabnya, Jun Wu Yao berasa sangat hebat!

Mereka berdua, dengan takdir yang berkait rapat, mempunyai dua definisi bertentangan tentang perkataan "Abang".

Di dalam Istana Lin, kucing hitam kecil itu duduk di halaman dan merenung langit, memandang dua kelibat yang semakin mengecil itu lalu menggigil kerana tidak mampu menghentikan mereka.

[Tak guna! Cik telah diculik lagi!]

[Cik! Cik mahu tinggalkan saya?]

[Bawa saya bersama!]

Teratai Kecil yang berdiri di satu sudut, senyap-senyap bergegas lari dengan kakinya yang pendek itu. Dia masuk ke bilik dan memanjat naik kabinet tempat simpanan Nektar Jed.