Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 190 - Jed Roh (2)

Chapter 190 - Jed Roh (2)

Bai Yun Xian terus rebah ke lantai sambil menggigil dengan tidak terkawal.

"Saya faham. Saya akan dengar semua cakap kamu. Jangan tukarkan saya jadi makhluk yang hodoh."

Jun Wu Xie berpaling daripada Bai Yun Xian dan berkata dengan dingin, "Berambus."

Bai Yun Xian bingkas bangun dan tergesa-gesa berlari keluar dari istana itu. Dia bertembung dengan Mo Qian Yuan yang kembali setelah menghantar tetamunya keluar. Sebaik terlihat wajah Bai Yun Xian, Mo Qian Yuan tahu ada orang yang telah mengancamnya.

Sebaik masuk ke dalam istana itu, Mo Qian Yuan nampak sida-sida menghantar Mo Xuan Fei kembali ke penjara bawah tanah. Pelayan istana menyalakan pelbagai wangian untuk menghilangkan bau busuk daging reput.

Jun Wu Xie berdiri di tengah-tengah bilik itu, merenung Mo Qian Yuan dengan senyap.

Mo Qian Yuan berdeham dengan gugup, "Kamu dah dengar semuanya yang Qin Yu Yan katakan?"

Jun Wu Xie mengangguk.

"Kamu rasa apa yang kita patut lakukan?" Mo Qian Yuan tidak berani mahu minta Jun Wu Xe menggali semula kubur ayahnya sendiri.

"Beri mereka apa yang mereka mahu," kata Jun Wu Xie tanpa berfikir panjang. Mereka cuma mahukan dua kepingan jed dan belum tiba masanya lagi untuk menentang Kumpulan Qing Yun.

"Apa?" Mo Qian Yuan merenung Jun Wu Xie seolah-olah tidak percaya.

"Kamu….. Kamu setuju untuk serahkan Jed Roh?"

"Kenapa tidak?" tanya Jun Wu Xie sambil menelengkan kepalanya dengan bingung. Dia tidak pernah dengar tentang Jed Roh daripada Jun Xian atau Jun Qing. Kalau barang ini penting, mereka pasti sudah beritahu kepadanya. Memandangkan mereka tidak berkata apa-apa, pastinya hal ini biasa sahaja.

Menentang Kumpulan Qing Yun demi batu hiasan? Langsung tidak berbaloi.

Mo Qian Yuan memandang Jun Wu Xie dengan penuh teliti, tidak dapat menghilangkan perasaan tidak percayanya. "Semakin hari semakin saya kurang memahami kamu. Kamu begitu agresif dalam melindungi Keluarga Jun. Saya tak sangka kamu akan setuju untuk menggali semula kubur Jeneral Jun. Mungkin betul tindakan kamu. Malah kalau Jeneral Jun tahu, dia tidak akan mahu kamu menentang Kumpulan Qing Yun…"

Sebelum Mo Qian Yuan dapat menghabiskan kata-katanya, mata Jun Wu Xie berkilau dengan cahaya berbahaya.

"Apa kamu kata?"

"Erm….. Saya….. Saya tak kata apa-apa….." Mo Qian Yuan cepat-cepat menutup mulutnya.

"Kubur siapa yang kamu mahu gali?" Mata Jun Wu Xie membara.

Mo Qian Yuan menelan air liurnya, "Jun Gu, Jeneral Jun… Kepingan Jed Roh yang dikurniakan pada Keluarga Jun telah dikuburkan sekali bersama Jeneral Jun selepas kematiannya, bukan?"

Kening Jun Wu Xie berkerut ketat.

"Kamu tak tahu?" tanya Mo Qian Yuan dengan bingung.

"Tidak." Jun Wu Xie menjawab ringkas, mukanya semakin berkerut. Jun Wu Xie masih terlalu kecil sewaktu Jun Gu meninggal dunia dan dia tidak mempunyai banyak memori berkaitan ayahnya. Apatah lagi untuk mengetahui barang apakah yang dikuburkan bersama-sama ayahnya.

Mo Qian Yuan sedar kini mengapa Jun Wu Xie begitu mudah bersetuju.

"Kamu masih berniat mahu menyerahkan Jed Roh kepada mereka?" tanya Mo Qian Yuan.

Jun Wu Xie berfikir panjang. Dia tidak pernah bertemu Jun Gu. Perasaan kasih sayangnya pada Keluarga Jun hanya terbatas pada Jun Xian dan Jun Qing. Dia tidak begitu kisah tentang hal penggalian kubur itu, tetapi itu merupakan kubur anak Jun Xian dan abang Jun Qing. Hal ini bukanlah sesuatu yang boleh dia buat keputusan sendiri.

Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyakiti kedua-dua anak beranak Keluarga Jun itu..

"Saya beritahu kamu esok." Jun Wu Xie memikirkan cara untuk menyelesaikan hal ini. Dia perlu berbincang dengan datuk dan pak ciknya. Setidak-tidaknya, dia perlu menentukan sama ada Jed Roh itu memang ada di dalam kubur ayahnya.

"Baiklah. Saya akan melengahkan Kumpulan Qing Yun buat masa sekarang. Jangan risau," kata Mo Qian Yuan sambil ketawa. Dia telah membuat keputusan. Ada atau tidak kepingan Jed roh milik Jun Wu Xie, dia akan berikan kepingan yang ada padanya kepada Qin Yu Yan esok. Ini akan membolehkan dia memuaskan hati mereka dan mendapatkan sedikit masa untuk Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie mengangguk, dia cuma mahu pulang ke Istana Lin dan membincangkan hal ini dengan Jun Xian