Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 191 - Saya Perlu Jadi Lebih Kuat (1)

Chapter 191 - Saya Perlu Jadi Lebih Kuat (1)

Jun Wu Xie cepat-cepat kembali ke Istana Lin dan berbincang dengan Jun Xian dan Jun Qing di dalam bilik bacaan. Dia mahu mereka beritahu dia segalanya tentang Jed Roh.

Ekspresi wajah Jun Xian menjadi semakin serius. Dia mengeluh dan berkata, "Jed Roh itu sudah dikuburkan sekali dengan ayah kamu."

Jun Wu Xie hanya diam, memerhatikan ekspresi wajah Jun Xian dan Jun Qing. Dia faham yang kedua-dua anak beranak ini berat hati untuk mengganggu tempat persemadian ayahnya.

Menurut Jun Xian, orang di dunia ini akan meletakkan sekeping jed ke dalam mulut si mati untuk mencegah gangguan jahat serta membolehkan roh si mati kekal tenang. Meletakkan sekeping jed di dalam mulut si mati sebelum dikebumikan ialah adat yang Jun Wu Xie pernah dengar dari kehidupannya sebelum ini. Ini merupakan adat lama sejak zaman dahulukala.

Jed Roh dikurniakan kepada keluarga mereka oleh Maharaja Pengasas, dan merupakan simbol kemegahan Kerajaan Qi. Apabila Jun Gu terbunuh dalam pertempuran, hati Jun Xian hancur luluh. Barangan yang ada kaitan dalam kemegahan yang dia sendiri peroleh daripada pertempurannya, hanya mengigatkan dia tentang keperitan kehilangan anaknya. Jadi dia membuat keputusan untuk mengebumikan Jun Gu bersama-sama Jed Roh.

Siapa sangka, setelah bertahun-tahun lamanya, Kumpulan Qing Yun akan datang mencari Jed Roh yang sama?

"Tentang hal ini, Datuk dan Pak Cik kamu akan uruskannya," Jun Xian mengeluh setelah mencapai keputusan di dalam hatinya.

Yang sudah mati, tidak ada lagi di sini. Yang masih hidup pula berterusan menghadapi dugaan. Kekuatan Kumpulan Qing Yun bukanlah sesuatu yang boleh ditentang oleh Istana Lin. Walaupun mereka enggan, hakikat yang Jed Roh ada di dalam kubur Jun Gu adalah sesuatu yang diketahui oleh kebanyakan orang. Jika Kumpulan Qing Yun menyiasat sedikit sahaja, mereka akan mendapat maklumat ini dengan mudah.

Sifat kejam Kumpulan Qing Yun, akan membuatkan mereka mengabaikan sahaja bantahan daripada Keluarga Jun.

Daripada membiarkan Kumpulan Qing Yun menggali kubur itu secara paksa, mereka lebih rela melakukannya sendiri.

Jun Wu Xie, masih lagi diam, sambil dia memerhatikan perasaan tidak berdaya dan sedih di wajah Jun Xian dan Jun Qing. Dia menggenggam tangannya dengan erat.

Perbezaan kekuatan mereka, menunjukkan betapa kejamnya realiti hidup ini.

Undang-undang rimba menyatakan yang lemah akan ditindas yang kuat. Walau mereka berat hati sekalipun, tidak ada jalan lain lagi.

Hebat sangatkah dia kerana dapat memaksa Maharaja turun takhta? Dalam dunia yang luas ini, ada banyak lagi kuasa yang boleh memaksa Keluarga Jun untuk tunduk.

Contohnya dalam situasi sekarang ini. Kumpulan Qing Yun telah memaksa Keluarga Jun untuk tidak mempunyai pilihan selain mencemarkan kubur Jun Gu. Kalau tidak, Kumpulan Qing Yun mungkin akan mendapat tahu tentang apa yang Jun Wu Xie telah lakukan ke atas Bai Yun Xian, dan seluruh Keluarga Jun akan dimusnahkan.

Walaupun adanya Tentera Rui Lin berjumlah seratus ribu orang untuk mempertahankan mereka, delegasi Kumpulan Qing Yun seramai lebih dua puluh orang itu mempunyai ramai pakar berkemahiran tinggi dalam kalangan mereka. Dengan kekuatan Jiang Chen Qing, kalau dia mahu membunuh keluarga tiga beranak di dalam Istana Lin ini, seluruh angkatan Tentera Rui Lin sekalipun tak akan dapat menghalangnya!

Jun Wu Xie mengetap giginya, dia tidak mahu Keluarga Jun menjadi begitu tidak berdaya.

"Kamu patut pergi berehat." Jun Xian mengeluh berat. Dia berat hati, namun tidak bersedia untuk membahayakan nyawa anak dan cucunya.

Dihukum bunuh atas sesuatu yang bukan salah mereka.

Keluarga Jun yang mulia terpaksa mengharungi ketidakadilan ini.

Kalau Kumpulan Qing Yun tahu yang separuh lagi Jed Roh itu ada pada Keluarga Jun, mereka akan datang memintanya secara paksa jika Keluarga Jun tidak menyerahkannya.

Jun Wu Xie berdiri dan berlalu tanpa sepatah kata.

Dia berjalan keluar daripada bilik bacaan itu dan memandang langit malam. Bulan yang bulat dan terang serta langit yang bertatahkan bintang, tak mampu membuatkan dia menghargai kecantikannya.

"Apa yang kamu fikirkan?" Kedengaran satu suara bingung.

Jun Wu Xie tidak berpaling kerana dia tahu suara siapa itu.

"Jun Wu Yao." Dia memanggil nama lelaki itu, sambil merenung tepat pada langit.

"Hmm?"

"Adakah kamu kuat?"

Langkah kaki yang menuju ke arah Jun Wu Xie itu terhenti. Dia tidak terburu-buru memeluk gadis itu, tidak seperti kebiasaannya. Dia mengecilkan mata dan memandang belakang badan Jun Wu Xie.

"Kuat juga rasanya."