Sewaktu Mo Qian Yuan membuka pintu bilik itu selepas mengetuknya, dia cuma nampak ada seorang sida-sida muda yang berwajah halus berada di dalamnya.
Mo Qian Yuan teragak-agak di muka pintu. Dia sendiri telah memilih semua hamba suruhan istana dan sida-sida yang berkhidmat di kediaman lamanya. Tetapi dia tidak pernah lihat sida-sida muda ini sebelum ini.
"Mereka percaya tak?" Sida-sida muda itu merenung tepat ke mata Maharaja itu dan kata-kata ini membuatkan mata Mo Qian Yuan terbeliak kerana terkejut.
"Wu Xie?" Mo Qian Yuan terperanjat melihat Jun Wu Xie bertukar menjadi seorang lelaki. Kalau tak kerana suara dan perlakuan gadis itu, dia tidak akan menyangka sida-sida muda ini ialah Jun Wu Xie.
Malah raut wajah dan bentuk badannya juga sudah berubah. Tiada siapa yang dapat menekanya!
Jun Wu Xie mengangkat keningnya. Dia mungkin sudah mengubah penampilan, tetapi personalitinya yang dingin langsung tidak berubah.
"Bagaimana kamu berubah….untuk kelihatan seperti ini?" Mo Qian Yuan terbeliak merenung Jun Wu Xie.
"Mereka percayakan Bai Yun Xian tak?" Jun Wu Xie tidak mempedulikan soalan Mo Qian Yuan dan meneruskan dengan soalannya.
"Mereka percaya dan persembahan itu memang menakjubkan." Mo Qian Yuan berkata dengan gembira. Dia teringatkan ekspresi gelap di wajah Jiang Chen Qing yang angkuh dan bongkak itu selepas Bai Yun Xian memberitahu mereka perkara 'sebenar'.
"Mereka setuju untuk rawat Mo Xuan Fei?" Jun Wu Xie bertanyakan satu lagi soalan.
"Mereka setuju. Jiang Chen Qing itu agak tegas tetapi Cik Sulung mereka, Qin Yu Yan, lebih mesra. Saya tak sangka mereka akan setuju, tapi mereka ambil keputusan begitu juga akhirnya." Mo Qian Yuan memikirkan kejadian bersama Kumpulan Qing Yun hari ini, dan merasakan Qin Yu Yan seorang sahaja yang berlembut dengannya berbanding dengan yang lain.
Jun Wu Xie berpusing menghadap Mo Qian Yuan dan berkata, "Saya mahu lihat mereka rawat Mo Xuan Fei."
Mo Qian Yuan memikirkannya dan sedar kenapa Jun Wu Xie mengubah penampilannya. Cik Muda Keluarga Jun, Jun Wu Xie, tidak ada sebab untuk berada di sini. Tetapi sebagai seorang sida-sida biasa, tidak ada sesiapa yang akan mengetahui identiti sebenarnya.
"Kamu risau mereka mungkin akan jumpa penawar untuk racun kamu?"
Jun Wu Xie menggelengkan kepalanya, "Saya yakin dengan racun saya. Tapi saya mahu berada di situ untuk tahu lebih lanjut tentang Kumpulan Qing Yun."
Dia mungkin tidak banyak tahu tentang Kumpulan Qing Yun tetapi berdasarkan kehandalan Bai Yun Xian dan juga kemahiran tabib-tabib di dalam Istana Diraja, dia boleh mengagak secara kasar yang kemahirannya dalam bidang perubatan jauh mengatasi orang-orang di sini. Ubat-ubat dan racun di sini hanya berdasarkan pengetahuan herba paling asas serta rawatan yang ada pada zaman awal Perubatan Cina. Walau bagaimanapun, dalam dunianya yang terdahulu, Jun Wu Xie bukan sahaja telah belajar tentang pelbagai kesan herba dan ubat-ubatan tetapi juga telah belajar mengubah genetik bahan-bahan tersebut. Kalaulah dia ada makmal, dia boleh menghasilkan pelbagai benda yang melangkaui imaginasi semua orang di sini.
Perbezaan di antara kemahiran mereka dalam bidang perubatan akan membuatkan tabib-tabib di sini menganggap Jun Wu Xie sebagai keajaiban luar biasa.
Berkenaan racun yang dia berikan pada Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian, selain membuatkan badan mereka menjadi reput, fungsi paling utama racun itu ialah menghancurkan sel-sel dalam badan mereka. Ini akan menghapuskan pertahanan semula jadi badan di mana jika mereka mendapat luka keadaan ini akan membuatkan luka tersebut tidak boleh sembuh. Apabila tubuh badan tidak dapat menjalankan proses penjanaan semula dan pemulihan, luka itu akan merebak ke bahagian lain pula. Dengan tambahan komponen lain, kesan racun ini menjadi satu kitaran yang kejam ke atas mangsanya.
Kesan ini bukan satu keadaan yang boleh dibuat diagnosis dengan hanya memeriksa nadi. Tanpa mesin dan alatan saintifik yang canggih, orang-orang di dunia ini tidak boleh bermimpi sekalipun untuk mengesan sebarang kesan racun ini di dalam tubuh mangsa.
Orang-orang daripada Kumpulan Qing Yun itu langsung tidak ada peluang untuk menentang Jun Wu Xie yang mempunyai reputasi sebagai doktor genius di dunia moden. Tak mungkin!