Mo Qian Yuan tidak sedar tentang rahsia Jun Wu Xie. Dia cuma tahu kebolehan dan kehandalan Jun Wu Xie dalam bidang perubatan, jauh melangkaui orang lain. Nyawanya sendiri telah diselamatkan oleh Jun Wu Xie jadi dia percayakan gadis itu sepenuhnya.
"Saya boleh uruskan untuk kamu berada di sana, tapi tolong berhati-hati. Kuasa rohani Qin Yu Yan agak hebat, tetapi kuasa Jiang Chen Qing terlampau kuat!"
Jun Wu Xie mengangguk sedikit dan satu soalan tiba-tiba muncul di fikirannya, "Permintaan untuk merawat Mo Xuan Fei disuarakan oleh Bai Yun Xian?"
Mo Qian Yuan menggelengkan kepalanya, "Tidak. Saya berniat mahu menyebutnya sewaktu jamuan makan, menjadikan permintaan bantuan ini sebagai topik perbualan. Sebenarnya, saya rasa kalau saya tak minta sekalipun, Bai Yun Xian pasti tidak akan lepaskan peluang ini. Dia tidak akan berputus asa tanpa jawapan yang pasti daripada Kumpulan Qing Yun. Hanya apabila Kumpulan Qing Yun mengesahkan yang mereka tidak dapat menyingkirkan racun itu daripada badan Mo Xuan Fei, barulah dia akan menerima nasibnya. Saya tahu kalau saya tidak membuat permintaan, Bai Yun Xian akan mencuba pelbagai cara untuk membuatkan Qin Yu Yan menghulurkan bantuan supaya dia boleh membuat keputusan untuk meletakkan kesetiaannya di pihak mana."
Mo Qian Yuan berhenti seketika sebelum menyambung, "Saya tak sangka begitu mudah untuk mendapatkan pertolongan mereka, tanpa perlu banyak bercakap."
Kesediaan Kumpulan Qing Yun untuk memberikan pertolongan kelihatan terlalu mudah.
Walaupun Mo Qian Yuan mempunyai tanggapan yang baik terhadap Qin Yu Yan, entah kenapa dia rasa agak luar biasa bagi Kumpulan Qing Yun untuk setuju begitu sahaja.
"Sebelum mereka bersetuju melakukannya, saya nampak dengan jelas air muka Jiang Chen Qing berubah menjadi gelap dan saya risau dia akan meluahkan kekecewaannya ketika itu. Agak mengejutkan apabila Qin Yu Yan tiba-tiba setuju."
Jun Wu Xie mengecilkan matanya sambil berfikir. Dia tidak ada di sana tadi dan tidak tahu bagaimana semuanya berlaku. Dia sangka Kumpulan Qing Yun hanya bersetuju setelah Bai Yun Xian tidak putus-putus merayu. Situasi yang berlaku kini terlalu berbeza dengan apa yang dia jangkakan.
Agak kelakar untuk mengatakan keadaan ini berlaku kerana Kumpulan Qing Yun berhak untuk menyelamatkan nyawa manusia walau apa sekalipun yang berlaku.
Tidak terkira jumlah orang yang telah mati di tangan Kumpulan Qing Yun, tanpa diselamatkan oleh mereka. Orang yang tidak ada manfaat pada mereka, tidak akan mendapat walau sedikit simpati atau usaha daripada mereka.
Kerajaan Qi dan Kumpulan Qing Yun tidak mempunyai hubungan yang rapat, dan Mo Qian Yuan sudahpun menaiki takhta. Oleh itu, Mo Xuan Fei tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan takhta itu lagi. Kumpulan Qing Yun tidak akan membazir masa untuk seorang Duke yang tertindas. Tambahan pula, disebabkan Duke inilah, pengikut mereka sendiri telah memalukan dan mengaibkan mereka seperti ini.
Walau dari sudut mana sekalipun Jun Wu Xie memikirkannya, Kumpulan Qing Yun tidak ada sebab untuk meminjamkan kepakaran mereka.
Tetapi, itulah yang telah mereka lakukan.
"Arahkan pelayan istana dan sida-sida yang melayan Kumpulan Qing Yun untuk memerhatikan mereka. Laporkan pada saya segala apa yang mereka dengar." Jun Wu Xie terpaksa bertindak berhati-hati. Kalau mereka mendapat tahu tentang apa yang dia lakukan di belakang mereka, bukan sahaja dia yang akan ditimpa masalah, tetapi seluruh Istana Lin juga akan musnah.
Sebelum dia jadi lebih kuat, dia akan mengambil setiap langkah dengan berhati-hati.
"Mungkin….Mungkinlah, mereka memang baik hati? Dan akan pergi selepas tinggal di sini beberapa hari?" kata Mo Qian Yuan dengan penuh hati-hati.
Jun Wu Xie menjelingnya. "Kalau kedengaran sukar dipercayai, kemungkinan besar memang begitu."
Mo Qian Yuan menggigil dan faham kenapa Jun Wu Xie memberi peringatan sebegini. "Saya akan pastikan mereka diperhatikan dengan teliti!"