Untuk mendapatkan air matanya, kucing hitam kecil itu menggigit Teratai Kecil beberapa kali sehingga air matanya mengalir laju. Cuma kali ini, air matanya ditadah dalam satu botol kecil, khas untuk Jun Xian dan Jun Qing.
Sebelum Jun Wu Xie boleh menjadi kuat, keselamatan Istana Lin terletak di atas bahu kedua-dua lelaki ini.
Selepas puas menangis, Teratai Kecil yang kepenatan bertukar menjadi sebentuk cincin di jari Jun Wu Xie.
Selepas mengumpulkan air mata itu, Jun Wu Xie tidur dengan sangat nyenyak.
Sebaik tiba fajar, Jun Wu Xie pergi mencari Jun Xian.
Jun Xian terkejut melihat cucu kesayangannya sendiri datang mencarinya. Sejak Jun Wu Xie tercedera, Jun Xian jarang menghabiskan masa dengannya. Setiap kali dia cuba berinteraksi dengan Jun Wu Xie, cucunya itu diam dan menyisihkan diri, menyebabkan Jun Xian merasa sedih.
"Wu Xie? Kenapa kamu ke sini? Mari, duduk," Jun Xian cepat-cepat membawa cucunya duduk di kerusi.
Jun Wu Xie dilayan seperti harta berharga kerana dia satu-satunya waris generasinya memandangkan keadaan Jun Qing mungkin tidak akan membolehkan dia mendapat anak.
Jun Wu Xie duduk dan perlahan-lahan mula mesra dengan datuk barunya.
"Datuk, saya ada perkara nak dibincangkan," katanya dengan serius.
Pernyataan tiba-tiba dari Jun Wu Xie menyebabkan Jun Xian tersentak. Mungkinkah cucunya sudah mendengar segala khabar angin yang tersebar?
"Katakan saja. Apa saja yang kamu mahu, katakanlah! Selagi Datuk mampu tunaikan, Datuk akan lakukannya untuk kamu," kata Jun Xian dengan mesra.
Jun Wu Xie berdehem. Ini perbualan 'keluarga' yang pertama untuknya.
"Datuk pun tahu saya tak ada roh berkontrak. Saya tahu yang saya tak boleh bertapa. Saya telah berfikir, sepanjang saya berehat dalam bilik, saya membaca beberapa buku perubatan. Kebolehan menulis saya tidaklah teruk sangat dan memandangkan saya tak dapat mengumpulkan kuasa roh, saya terfikir untuk belajar dalam bidang perubatan."
Jun Xian memandang cucunya dengan perasaan terkejut. Dia... dia mengatakan sesuatu yang masuk akal? Walaupun dia amat menyayangi cucunya, dia tahu Jun Wu Xie tiada bakat selain menimbulkan masalah. Jun Xian duduk terpaku.
Jun Wu Xie menyedari datuknya membatu, dia meneruskan perbualan, "Istana Lin tak lagi tenang seperti dulu. Selepas saya tercedera, saya sedar banyak perkara. Datuk tak perlu risaukan saya. Saya betul-betul mahu berubah."
Jun Xian tetap diam. Keadaan Istana Lin sekarang tidak bagus. Tindakan Mo Xuan Fei secara peribadi memutuskan pertunangannya menunjukkan yang kedudukan mereka tidak lagi stabil. Jun Xian tahu dia tidak mampu lagi menyembunyikan apa-apa dari Jun Wu Xie.