Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 175 - Menguruskan Masalah (1)

Chapter 175 - Menguruskan Masalah (1)

Di dalam bilik itu, Jun Wu Xie sudah berkumur-kumur berulang kali, tetapi tetap tidak dapat menghilangkan rasa darah dalam mulutnya. Dia duduk di tepi meja, memerhatikan kucing hitam kecil itu yang sedang bergelut. Mata Jun Wu Xie kelihatan risau.

Dia mengangkat tangannya, mahu membelai bulu kucing hitam kecil itu seperti biasa.

"Kamu mesti bertahan." bisiknya.

Kucing hitam kecil itu tidak tahu sudah berapa lama masa berlalu, dan cuma ingat Singa Emas yang besar itu dicakar menggunakan kuku kecilnya yang tajam, sedikit demi sedikit. Badan kucing hitam kecil itu lebam dan dipenuhi luka. Terperangkap di dalam kegelapan, kucing hitam kecil itu berasa amat letih sewaktu baring di dalam ruang kosong itu. Kemudian kucing hitam kecil itu terdengar satu suara sedang memanggil-manggilnya, suara yang amat dikenalinya.

"Meow."

Jun Wu Xie terjaga apabila merasakan kehangatan pada pipinya. Dia membuka kelopak matanya yang dirasakan amat berat. Kucing hitam kecil itu sedang meleset-leset manja di muka Jun Wu Xie.

[Kenapa kamu tidur di sini?] Kucing hitam kecil itu bertanya sambil mengelip-ngelipkan mata pada Jun Wu Xie. Sewaktu terjaga tadi, kucing hitam kecil itu mendapati Jun Wu Xie sedang tidur nyenyak di sebelah meja.

Jun Wu Xie duduk tegak, tidak menjawab soalan kucing hitam kecil itu. Dia meneliti keadaan si kecil itu, dan menemui sejalur warna emas pada bulu kucing itu, dari bahagian leher sehingga dada. Kucing hitam kecil itu seolah-olah memakai rantai emas yang tertanam ke kulitnya, warna emas itu mewujudkan kontras pada bulunya yang hitam berkilat itu…

Kucing hitam kecil itu menelengkan kepala dalam keadaan tertanya-tanya. Kemudian matanya mengikut arah pandangan Jun Wu Xie, lalu terpandang bulu emas. Kucing hitam kecil itu memegang-megang dadanya.

[Eh, ni serupa macam bulu si singa besar tu!] kata kucing hitam kecil itu.

"Macam mana? Kamu rasa sihat?" tanya Jun Wu Xie.

[Saya rasa bertenaga! Sungguh segar! Entah bagaimana, singa dungu itu masuk ke dalam mimpi saya dan saya membahamnya sekali lagi! Hehe.] Kucing hitam kecil itu berkata dengan bangga. Hidungnya dinaikkan ke udara dan kucing hitam kecil itu bermegah-megah dengan tanda keemasan pada dadanya, seolah-olah telah mendapat darjah kebesaran.

Jun Wu Xie mengusik-usik kepala kucing hitam kecil itu. Akhirnya dia lega setelah kerisauan sepanjang malam. Pandangan matanya dilembutkan sewaktu memandang kucing itu yang kelihatan puas hati.

Kucing hitam kecil itu tidak merasakan ada apa-apa perubahan walaupun sudah mendapat tanda emas itu, lalu tidak mempedulikan tanda itu dan tidak memikirkannya lagi.

Dua hari kemudian, Putera Mahkota, Mo Qian Yuan menaiki takhta sambil diraikan oleh seluruh negara. Demi menyambut pertabalan Maharaja, pengampunan diraja diberikan kepada pesalah-pesalah kecil.

Pada hari baginda menaiki takhta, Maharaja mengubah sistem Mahkamah Diraja. Pegawai-pegawai yang korup telah dilucutkan daripada jawatan-jawatan berkuasa dan pegawai-pegawai yang datang dari latar belakang biasa dinaikkan pangkat.

Maharaja baru membuat lantikan pegawai bukan berdasarkan status kelahiran atau latar belakang keluarga, tetapi atas kebolehan mereka. Ini membuatkan rakyat bersorak lebih hebat dan kuat lagi.

Sewaktu keraian sedang berlangsung, satu susuk tubuh yang compang-camping diheret oleh dua orang pengawal Tentera Rui Lin. Dia disuruh berdiri di satu sudut sewaktu sesi pagi penghadapan diraja, dipaksa memandang Mo Qian Yuan yang duduk di atas Takhta Diraja. Dia kelihatan gemilang dengan jubah bercorak naga, sambil memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Qi.

"Suasana ini hebat, bukan?" Jun Wu Xie bertanya sambil berjalan menuju lelaki tua yang pucat lesi itu.

Mantan Maharaja itu kelihatan pucat dan cengkung. Matanya menunjukkan perasaan tewas. Dia sentiasa cuba melindungi takhtanya dengan penuh hati-hati dan kini takhta itu telah dirampas oleh anak yang tidak disukainya. Lebih teruk lagi, dia telah dipaksa untuk menyaksikan suasana yang menjijikkan ini oleh pengawal Tentera Rui Lin.

Jarum Jun Wu Xie telah ditusuk ke matanya. Keadaan ini tidak cukup untuk membuatkan dia buta tetapi memaksa matanya terus terbuka sepanjang masa. Dia tidak mahu menyaksikan semua ini, tetapi jarum-jarum perak yang tertanam pada matanya itu tidak membolehkan dia menutup matanya.

Jun Wu Xie mahu dia terseksa menyaksikan Takhta Diraja kesayangannya itu dirampas oleh anak yang dibencinya!

Dari seorang Maharaja yang berkedudukan lebih tinggi daripada orang lain, ke seorang banduan yang hina. Kejutan yang besar ini membuatkan rambutnya bertukar menjadi putih sepenuhnya dalam masa beberapa hari sahaja, sehingga membuatkan dia kelihatan berpuluh tahun lebih tua.

"Jun Wu Xie, kamu menang. Beta sudah tewas. Bunuhlah Beta seperti yang kamu mahukan! Jangan terlalu gembira! Mo Qian Yuan mendapat takhta dengan membunuh Ayahandanya sendiri. Kamu fikir dia akan biarkan Istana Lin berkembang maju?" Mantan Maharaja itu memberikan pandangan penuh ancaman pada Jun Wu Xie, mengingatkan gadis itu tentang apa yang Mo Qian Yuan mampu lakukan.