Kalau tak kerana tindakan tegas Jun Wu Xie, Mo Qian Yuan tidak akan mampu untuk merampas takhta!
Jun Wu Xie menjeling susuk tubuh lelaki yang sedang dipegang oleh para pengawal itu. Matanya kemudian kembali menatap lelaki di atas takhta, Mo Qian Yuan, yang kelihatan seperti wira.
"Kamu rasa kenapa dia lakukannya?"
Mantan Maharaja itu terhenti sejenak, kemudian berkata sambil mengetap bibirnya, "Sikap tamak dan bercita-cita tinggi. Sebab apa lagi?"
Jun Wu Xie tidak mengalihkan pandangannya, "Dia setia pada kamu, tetapi kamu yang menjadikan dia ganas. Kamu bunuh bondanya, hapuskan keluarga sebelah bondanya serta meracuninya. Kamu menekan dia terlalu kuat sehingga memutuskan hubungan ayah dan anak. Kamu masih tak malu mengakui diri sebagai ayahandanya?"
Keadaan ini biasa Jun Wu Xie hadapi. Dalam kehidupannya yang lalu, dia juga tidak dilayan sebagai saudara kandung keluarganya. Dia dilayan seperti anjing, dikurung sepanjang masa. Hanya dalam kehidupannya kini barulah dia belajar tentang sikap seorang datuk yang sebenar daripada Jun Xian.
Seseorang itu akan menerima balasan setimpal dengan perbuatannya.
Mo Qian Yuan mengambil tindakan itu disebabkan oleh apa yang mantan Maharaja itu lakukan padanya.
Lelaki tua itu terdiam dan hampir rebah.
"Hampir tiba masanya untuk menguruskan kamu semua." Jun Wu Xie memberikan isyarat pada pengawal Tentera Rui Lin.
Mantan Maharaja itu menjadi gerun. Gerak hatinya sudah dilatih untuk berasa takut dengan Jun Wu Xie. Dia mahu menjerit, tetapi mulutnya disumbat tanpa belas kasihan oleh pengawal Tentera Rui Lin, dan dia diheret keluar dari dewan utama itu.
Penjara Bawah Tanah Diraja itu sudah lama menjadi tempat di mana Keluarga Diraja menjalankan perbuatan kejam mereka. Tempat ini amat tersembunyi, gelap dan muram. Selain Keluarga Diraja, tidak ramai yang tahu tentang kewujudan penjara ini. Sepanjang tempoh pemerintahan selama beberapa generasi, tidak terkira jumlahnya hukuman mati yang telah dilakukan di sini, untuk orang-orang yang menentang pemerintah. Jun Xian juga pernah berada di sini dan menanti saat kematiannya.
Mantan Maharaja diheret masuk ke dalam penjara bawah tanah itu. Rantai besi di kakinya diseret di sepanjang lantai batu. Bunyi besi memukul batu jelas kedengaran. Di dalam penjara yang sunyi sepi, bunyi itu bergema dengan kuat.
Di dua kawasan bertentangan dalam penjara bawah tanah itu, di sebalik dua set kurungan besi, Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian dikurung secara berasingan. Bunyi berkeletak rantai besi itu mengejutkan mereka berdua daripada tidur yang dipenuhi mimpi ngeri. Mata mereka terbuka luas sewaktu memandang ke luar.
Mo Xuan Fei sudah hilang sikap angkuhnya sebagai Putera Kedua. Roh berkontraknya telah dihapuskan, kakinya lumpuh dan kedua-dua tangannya digari pada kerusi rodanya. Dia terpaksa tidur duduk dengan kepala terlentok di kerusi roda. Pakaiannya sangat kotor, penuh kesan darah, daki dan kotoran sehingga tidak dapat dipastikan warna asal pakaian itu. Rambutnya kusut masai dan ada terselit jerami. Wajahnya pucat kerana sakit diseksa, pipinya cengkung dan matanya tidak ada perasaan selain ketakutan.
Dia tidak kelihatan seperti manusia sekalipun. Kalau si lumpuh yang penuh luka dan kelihatan uzur ini dicampak ke jalanan, tiada siapa akan percaya dia dahulunya ialah Putera Kedua yang bergaya dan sombong.
Mendengarkan bunyi rantai itu, dia terkejut sehingga terjaga. Wajahnya menunjukkan perasaan takut sebaik melihat ayahandanya diheret masuk ke dalam kurungan seperti binatang ternakan, dan dicampak ke lantai.
"Putera Kedua, saya harap awak sihat-sihat sahaja." Satu suara yang dingin dan menggerunkan kedengaran dari luar kurungannya. Mo Xuan Fei berundur dari arah suara itu dan mula menggigil dengan tidak terkawal.
Giginya bergetar. Dia memalingkan kepalanya dan memandang Jun Wu Xie yang sedang berdiri di luar kurungannya.
Gadis itu memakai baju berwarna biru lembut. Warna itu sepadan dengan personalitinya yang dingin. Wajahnya yang anggun itu tidak menunjukkan sebarang perasaan. Matanya seperti telaga yang kering dan memandang Mo Qian Yuan seolah-olah sedang melihat seekor anjing yang tidak bernyawa.