Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 171 - Roh Dibaham (2)

Chapter 171 - Roh Dibaham (2)

Jun Wu Yao tidak berniat untuk melepaskan Jun Wu Xie daripada pelukannya. Melihat kening Jun Wu Xie yang berkerut, Jun Wu Yao mengusap lembut leher gadis itu dan membisikkan dengan lembut, "Kalau kamu berminat, saya boleh terangkan."

Jun Wu Xie menelengkan kepalanya menjauhi wajah lelaki itu. Dia cuba lari daripada kemesraan ini, tetapi gagal. Dia terperangkap. Tangan lelaki itu memeluknya dan dia tidak dapat melepaskan diri.

"Teruskan." Jun Wu Xie menenangkan dirinya.

"Roh berkontrak tinggal di Dunia Roh. Sebahagiannya berasal daripada binatang roh purba dan sebahagian lagi berasal daripada askar kayangan purba. Selepas tubuh fizikal mereka lenyap, roh mereka akan kembali ke Dunia Roh dan terus wujud sebagai roh berkontrak, sehingga munculnya manusia yang telah ditakdirkan untuk mereka. Selepas diseru, roh kedua-duanya akan saling berharmoni dan membentuk hubungan yang kekal sampai saat kematian tuan mereka. Manusia akan mati, tetapi roh berkontrak tetap wujud. Roh berkontrak kemudiannya akan kembali ke Dunia Roh untuk menanti tuan seterusnya. Tetapi terdapat juga pengecualian...." 

Jun Wu Yao menadang wajah Jun Wu Xie dan dia perasan gadis itu sudah berhenti berkerut dan kelihatan serius. Jun Wu Yao tersenyum gembira dan menyambung, "Walaupun roh berkontrak tidak akan mati selepas kematian tuan mereka, ini tidak bermakna hubungan itu tidak boleh diputuskan. Di sesetengah tempat, ada yang telah menemui cara untuk memisahkan roh berkontrak dengan roh tuan mereka. Roh berkontrak ini kemudiannya akan dirampas dan diberikan pada roh berkontrak lain untuk dibaham."

"Selepas roh berkontrak meninggalkan Dunia Roh, kelajuan kemajuan latihan mereka akan menjadi sangat perlahan. Untuk meningkatkan kemajuan, sama ada kamu dapatkan alat yang boleh menguatkan kuasa mereka, ataupun berikan mereka roh berkontrak lain untuk dibaham."

Jun Wu Xie berfikir sendiri. Dia pasti tak ada siapa di dalam Kerajaan Qi yang tahu tentang apa yang Jun Wu Yao katakan tadi, Kemudian dia teringat yang lelaki itu ada menyebut, 'Hal ini tidak sepatutnya diketahui oleh orang-orang seperti kamu.'

"Apa yang dilakukan oleh Hitam Kecil itu dipanggil Roh Dibaham?"

Jun Wu Yao menggelengkan kepalanya. Mukanya didekatkan dengan rambut gadis itu dan dia menjawab, "Kejadian Roh Dibaham tidak dapat dicapai sendiri oleh roh berkontrak. Kucing hitam kecil kamu ini agak istimewa dan saya tidak pernah menyaksikan sesuatu seperti ini. Tidak ada roh berkontrak jenis binatang boleh membaham roh berkontrak lain. Keadaan ini sangat unik, sama unik seperti kamu."

"Proses Roh Dibaham senang sahaja. Tetapi bukan mudah untuk membaham dan mengatasi kuasa roh berkontrak lain sepenuhnya. Nasib baiklah kucing kamu membaham roh berkontrak jenis binatang tahap lima. Kalau roh berkontrak itu berada pada tahap tujuh atau ke atas, saya rasa tubuh fizikal kucing kamu tidak akan dapat menampungnya."

"Tahap lima? Tahap tujuh?" Jun Wu Xie semakin keliru.

Jun Wu Yao ketawa perlahan dan menerangkan dengan sabar.

"Di sini, secara maksimumnya roh berkontrak mempunyai tujuh tahap. Jadi perbezaan gred atau pangkat tidaklah begitu ketara. Nanti saya akan beritahu cara untuk membezakan gred di antara roh berkontrak. Kalau kucing hitam kecil kamu ini berjaya menyerap roh Singa Emas, kuasanya akan meningkat."

Jun Wu Xie menggigit bibirnya. Misteri yang menyelubungi Jun Wu Yao semakin menebal.

Ayat yang dia gunakan, 'di sini', menunjukkan yang dia bukan datang dari kawasan berdekatan. Ini bukanlah kali pertama dia menggunakan ayat sebegitu.

Seolah-olah sudah membaca fikiran Jun Wu Xie, lelaki itu ketawa, "Jangan risau. Dari mana sekalipun saya datang, saya tak akan mengapa-apakan kamu."

"Kamu boleh lepaskan saya sekarang." Jun Wu Xie memandang tangan yang sedang mendakapnya itu. Lelaki ini pelik betul. Setiap kali mereka bertemu, dia pasti memeluk Jun Wu Xie.

Bukannya Jun Wu Xie tidak selesa dengan kemesraan lelaki itu, tetapi dia juga tidaklah menyukainya.