Namun begitu, Jun Wu Yao tidak melepaskan Jun Wu Xie. Lelaki itu senyum dan memeluk dengan lebih erat lagi.
"Sungguh tidak berperasaan. Kamu suruh saya pergi selepas mempergunakan saya?" Jun Wu Yao meletakkan kucing hitam kecil itu ke atas meja dan mengangkat Jun Wu Xie.
"Kamu buat apa ni?" Jun Wu Xie menjeling wajah tampan yang sedang tersenyum itu.
"Kalau cedera, perlu letak ubat." Jun Wu Yao memandang luka di tangan Jun Wu Xie, yang disebabkan oleh kucing hitam kecil itu.
"Tak perlu."
"Ya, memang perlu." Jun Wu Yao memujuk gadis itu sambil tersenyum.
"...…" Lelaki itu langsung tak akan mendengar cakap Jun Wu Xie.
Melihat Jun Wu Xie sudah berhenti meronta-ronta, Jun Wu Yao terus mengangkat gadis itu dan mendudukkannya ke katil. Jun Wu Yao menarik keluar sebuah kotak kayu kecil dari bawah katil itu dan mengeluarkan satu balang berisi krim.
Semerbak haruman lembut dari krim berwarna putih itu sebaik balang dibuka. Jun Wu Yao menyelak lengan baju Jun Wu Xie dan dengan lembut menyapukan krim ke luka gadis itu.
Kucing hitam kecil itu tidak sedar apa yang dilakukannya. Walaupun luka-luka itu tidak begitu dalam, tetapi kucing hitam kecil itu telah meninggalkan banyak kesan cakaran berdarah. Krim di hujung jari Jun Wu Xiao yang lembut itu terasa dingin, tetapi turut menyebabkan kesakitan yang mencucuk-cucuk. Jun Wu Xie berasa geli dan kebas pada masa yang sama.
Jun Wu Xie memandang Jun Wu Yao. Lelaki itu sedang menyapu krim pada luka-luka di tangan Jun Wu Xie dengan sabar. Tidak terlepas satu sekalipun, walau sekecil mana.
Setelah selesai menyapu krim pada luka-luka itu, Jun Wu Yao membiarkan lengan baju Jun Wu Xie digulung supaya tidak terkena krim berubat berkenaan. Dia memegang tangan Jun Wu Xie dan bermain-main dengan jarinya.
"Kamu boleh lepaskan saya sekarang." Bahagian belakang badan Jun Wu Xie agak lenguh kerana Jun Wu Yao memeluknya dari belakang sambil memegang tangannya. Badannya yang kecil molek itu kelihatan semakin kecil di dalam dakapan lelaki itu.
Dia boleh merasai degupan jantung Jun Wu Yao daripada dada lelaki itu yang dihimpitkan ke belakang badannya.
Jun Wu Yao ketawa apabila dia perasan badan Jun Wu Xie menjadi tegang.
Adakah gadis ini memberikan reaksi?
"Kamu ni memang tak berperasaan. Saya sudah jawab pertanyaan kamu dan sapukan ubat untuk kamu. Selepas mempergunakan saya, kamu halau saya begitu saja? Setiap kali sebelum saya datang bertemu kamu, saya berusaha membersihkan diri dan menyalin pakaian…" Jun Wu Yao mengeluh dan merungut seolah-olah dia dilayan dengan sangat tidak adil. Tetapi wajahnya tetap didekatkan pada leher Jun Wu Xie. Dagunya direhatkan di bahu gadis itu.
"Bukan begitu." Jun Wu Xie semakin pening. Dia tidak pernah mahu memulakan hubungan dengan Jun Wu Yao, kerana lelaki itu sering diselubungi misteri dan bahaya. Jun Wu Xie pula tidak mahu terlibat dengan sebarang bahaya.
Dia mahu mereka mengambil haluan masing-masing, tetapi lelaki ini selalu muncul bila-bila sahaja Jun Wu Xie memerlukan bantuan.
"Apa maksud kamu? Gadis jahat, kamu begitu bencikan saya?" Suara Jun Wu Yao kedengaran putus asa dan nada suaranya begitu sedih.
"Tidak." Jun Wu Xie tidak tahu apa lagi yang boleh dia katakan. Dia tidak marah pada lelaki itu, mereka saling bantu-membantu sewaktu meninggalkan cenuram itu dahulu. Dia tidak sukakan lelaki ini, tetapi juga tidak membencinya.
Tambahan pula, Jun Wu Yao telah menyelamatkan nyawa datuknya dan Jun Wu Xie terhutang budi dengannya. Bagaimana dia boleh membenci lelaki yang sudah berjasa padanya?