Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 173 - Mengusik (2)

Chapter 173 - Mengusik (2)

Di dalam kehidupannya sebelum ini dan di dalam kehidupannya sekarang, Jun Wu Xie seorang yang dingin dan tidak berperasaan. Jumlah orang yang dia ambil berat dalam hatinya, boleh dikira dengan jari sebelah tangan.

Orang-orang yang dia ambil berat itu ialah rakan sepasukan yang menempuh keadaan hidup dan mati bersama-samanya, dan juga saudara darah dagingnya yang benar-benar mengambil berat tentang dirinya.

Tapi dia tak tahu di kategori mana harus dia letakkan Jun Wu Yao.

Dia bukan rakan sepasukan Jun Wu Xie, malah bukan juga saudara kandungnya.

Tetapi lelaki ini selalu muncul di saat dia memerlukan, dan kemudian hilang tanpa kesan. Dia sukar ditemui, tetapi juga seolah-olah selalu berada di mana-mana.

Benci?

Rasanya tidak.

"Kalau kamu tak bencikan saya, maksudnya kamu sukakan saya?" Mata Jun Wu Yao kelihatan nakal sewaktu dia mengangkat tangan Jun Wu Xie dan mencium hujung jari gadis itu.

"Saya sungguh gembira kerana bidadari kecil saya ini sebenarnya sukakan saya!"

"Tak." Macam mana nak sukakan seseorang? Dia tak tahu. Tetapi dia tahu perasaan yang Jun Wu Yao timbulkan dalam dirinya, berbeza dengan perasaan terhadap rakan sepasukan dan keluarganya.

Yang dia tahu, perasaan sukakan orang itu hanya terhad pada dua jenis orang ini sahaja. Memandangkan perasaannya terhadap Jun Wu Yao berbeza daripada dua jenis itu, maksudnya dia tidak sukakan lelaki ini.

"Hah? Maksudnya kamu masih bencikan saya?" Nada suara lelaki itu muram dan menyedihkan.

Jun Wu Xie terdiam, bukankah dia baru kata dia tak bencikan Jun Wu Yao?

"Tidak." Kepalanya semakin pening.

"Jadi 'tidak' maksudnya kamu sukakan saya?"

"....." Jun Wu Xie tidak terkata apa-apa, lebih baik dia tidak menghiraukan pertanyaan lelaki itu yang tidak henti-henti.

Menyedari perasaan kecewa Jun Wu Xie, Jun Wu Yao semakin terhibur.

Tidak mengapa kalau gadis ini masih tidak tahu apa-apa, perlahan-lahan dia akan belajar.

"Diam maksudnya setuju, tahu?" Jun Wu Yao mengusik tanpa belas kasihan, sambil mengangkat Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie tidak membalas. Dia sedang memikirkan cara untuk menghalau Jun Wu Yao, apabila tiba-tiba terasa sesuatu yang hangat dan basah menyentuh pipinya.

Jun Wu Yao telah mencium pipinya. Melihatkan wajah gadis itu yang kelihatan terkejut, lelaki itu tersenyum berseri-seri. Matanya kelihatan nakal dan dia berkata, "Bagus! Saya juga sukakan kamu!"

Jantung Jun Wu Xie berdetup.

Matanya semakin bulat apabila menyedari betapa dekatnya wajah yang tampan itu dengannya. Dia mendapati dirinya terpesona dengan ketampanan itu.

Dia sepatutnya mencucuk jarum perak ke arteri lelaki itu untuk melepaskan diri.

Tetapi dia terhutang budi dengan Jun Wu Yao dan tidak boleh membalas budi dengan mengapa-apakan lelaki itu.

Dalam keadaan jiwanya kacau-bilau, Jun Wu Xie menggigit bibirnya dan memalingkan muka daripada Jun Wu Yao.

Jun Wu Yao sangat suka melihatkan si cantik dalam dakapannya itu menggelabah. Dia tak akan lepaskan gadis itu. Dia meletakkan tangan ke dagu gadis itu dan menolehkan kepala gadis itu untuk menghadapnya. Senyumannya semakin lebar sewaktu melihat kening Jun Wu Xie berkerut kebingungan.

"Baiklah, sudah tiba masanya untuk mengutip ganjaran terima kasih saya hari ini."

"Apa?" Jun Wu Xie bertanya dengan terkejut. Sebelum dia dapat memberi reaksi, Jun Wu Yao sudahpun membongkok. Sebelah tangan lelaki itu memegang pinggang Jun Wu Xie dan sebelah lagi memegang kepala gadis itu itu sambil mencium bibirnya.

"MMPHH!"

Jun Wu Xie terkejut dan bertindak mengikut gerak hatinya. Dia mengeluarkan jarum dan mencucuk pelipis Jun Wu Yao.

Darah mengalir turun daripada jarum itu ke muka Jun Wu Yao. Ada yang menitis di atas pipi Jun Wu Xie. Bau darah itu nampaknya membuatkan Jun Wu Yao menjadi semakin teruja dan ciumannya menjadi lebih ghairah. Dia begitu ingin menikmati kemanisan yang dirasainya tadi.