"Melutut." Suara Jun Wu Xie yang kedengaran terhibur, bergema di seluruh dewan utama itu.
Mo Xuan Fei tidak percaya dengan apa yang dia dengar dan hanya mampu terpegun tanpa berkata apa-apa.
Bukan hanya Mo Xuan Fei, malah Mo Qian Yuan yang berada di sisi Jun Wu Xie juga terkejut hingga terdiam.
"Kamu….." Mo Xuan Fei menyambung, tetapi Jun Wu Xie tidak mahu mendengar sebarang kata-kata tidak berguna dan terus melepaskan dua pancaran cahaya berwarna merah daripada hujung jarinya. Pancaran itu disasarkan ke arah lutut Mo Xuan Fei.
Sebelum sesiapa sempat bertindak, Mo Xuan Fei sudah menjerit. Kakinya dirasakan seperti telah patah dan dia jatuh dalam keadaan melutut di hadapan Jun Wu Xie. Bai Yun Xian yang berada dalam dakapannya turut ditarik dan jatuh terduduk di atas lantai.
Jun Wu Xie memandang wajah Mo Xuan Fei dari kedudukannya yang lebih tinggi.
"Apa saja yang kamu mahu katakan, buat sambil melutut."
Jun Wu Xie tersenyum lebar sehingga dia kelihatan bersinar-sinar. Darah mengalir daripada lutut Mo Xuan Fei, mengotorkan lantai marmar di bawah kakinya.
Keluarga Diraja yang suka memerintah ini selalu membuatkan rakyat melutut hormat pada mereka. Memandangkan mereka suka sangat menyuruh orang melutut, biar mereka rasakan sendiri.
Keadaan di dalam dewan utama yang besar itu menjadi senyap sunyi. Semua orang terpegun memandang Jun Wu Xie, mata mereka terbeliak.
Bai Yun Xian berdiri sambil kelihatan kusut-masai. Darah daripada lutut Mo Xuan Fei telah mengotorkan kelim bajunya. Rambutnya yang tadinya diikat kemas, kini sudah terurai sedikit. Dia menarik tangan Mo Xuan Fei untuk membantunya berdiri. Namun setiap pergerakan membuatkan Mo Xuan Fei meraung kesakitan.
"Jun Wu Xie! Kamu ni memang sudah gila!" Bai Yun Xian belum pernah lagi bertemu seseorang yang begitu kejam dan bersikap tidak wajar seperti ini. Dia membuatkan Mo Xuan Fei jatuh terduduk tanpa perlu berkata apa-apa.
Jun Wu Xie menjeling Bai Yun Xian sambil mengangkat keningnya. Dia menganggap kata-kata itu sebagai pujian.
Bai Yun Xian cepat-cepat memeriksa nadi Mo Xuan Fei. Dia mendapati kuasa rohani lelaki itu tersekat. Tendon, urat darah serta arteri darah dan rohani di bawah lututnya juga tersumbat sepenuhnya sehingga membuatkan kakinya hilang deria rasa.
Bagaimana Jun Wu Xie melakukannya?
Apakah dua pancaran cahaya yang mencurigakan tadi?
Mo Xuan Fei masih mengerang kesakitan dan Maharaja berpaling kerana tidak sanggup melihatnya. Walaupun Mo Qian Yuan telah membawa masuk angkatan tentera ke dalam Istana Diraja serta telah mengeluarkan kata-kata berupa ugutan, sekurang-kurangnya dia masih bersikap waras.
Siapa sangka, sebaik Jun Wu Xie memulakan langkah, dia menjadi begitu ganas dan tidak terkawal.
Putera Kedua Kerajaan Qi yang angkuh itu dipaksa melutut sebelum dia sempat berkata apa-apa!
Maharaja mencengkam tempat letak tangan di singgahsana baginda dan menahan diri daripada menghamburkan sebarang kata-kata. Baginda mengetap gigi dan berusaha untuk kekal tenang.
Ada baiknya baginda tidak menaikkan kemarahan si gila itu lagi!
Jun Wu Xie tersenyum menawan.
"Saya sudah menyekat aliran darah di kedua-dua belah kakinya. Kalau titik tekanan itu tidak dibebaskan dalam masa dua jam, dia tidak mungkin dapat berdiri lagi."
Selama sedekad, orang telah mengejek pak ciknya kerana lumpuh. Keluarga Diraja berpura-pura ambil berat dan telah menghadiahkan ginseng dan lingzhi tanpa henti. Tetapi Keluarga Diraja juga tidak pernah menghentikan atau memarahi mereka yang mengejek dan menghina Jun Qing. Pak ciknya itu lumpuh selama satu dekad kerana berkorban demi Kerajaan Qi. Kalau Keluarga Diraja menghargai pengorbanannya itu, dengan mudah sahaja mereka boleh menghalang cakap-cakap orang ramai. Sebaliknya mereka memekakkan telinga dan membiarkan sahaja pembohongan dan teori yang berniat jahat tersebar dan berakar umbi. Ini menyebabkan Jun Qing terpaksa hidup terseksa.
Hari ini dia akan membuatkan anakanda kesayangan Maharaja, Putera Kedua, mengalami nasib yang sama.
"Luka luaran seperti ini, pasti mudah saja disembuhkan oleh anak murid yang sangat dihormati dari Kumpulan Qing Yun, bukan?" Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan memandang Bai Yun Xian.
Apa sahaja yang mereka sayangi, dia akan hapuskan sehingga menjadi debu di depan mata mereka sendiri supaya mereka tahu mengalami keadaan putus harapan.