Apa yang benar-benar membuatkan Maharaja marah ialah Jun Wu Xie hanya berdiri sahaja, langsung tidak bersuara. Walaupun baginda boleh memaafkan Jun Wu Xie tidak melutut atau tunduk hormat sebaik masuk ke dewan utama, tetapi gadis itu juga langsung tidak bersuara untuk menyapa Maharaja! Tentulah baginda marah! Namun begitu, apa yang baginda boleh lakukan hanyalah mencuba sehabis baik untuk memberikan senyum mesra.
Maharaja tidak tahu di mana silapnya. Baginda hampir berjaya menyingkirkan Putera Mahkota. Baginda boleh mengabaikan hal Putera Mahkota tiba-tiba sembuh sepenuhnya, tetapi Putera Mahkota juga, tanpa disangka, telah berjaya mendapatkan sokongan penuh rakyat! Perkara ini sudah lama membuatkan Maharaja bingung. Namun setelah melihat pasangan yang berada di hadapannya ini, baginda sedar yang semuanya bermula selepas Mo Qian Yuan dan Jun Wu Xie mula menjadi rapat!
Cik Muda yang menjengkelkan dari Istana Lin yang sedang mengalami zaman kejatuhan, serta Putera Mahkota yang tidak cekap serta sudah diracun dengan teruk...
Dahulu, kedua-dua orang ini mampu Maharaja hapuskan dengan hanya memetik jari. Namun setelah bergabung, mereka berdua telah membawa musibah yang tidak pernah baginda alami, sehingga hampir mampu membunuh baginda.
Kini kedua-duanya berada di dalam dewan utama Istana Diraja, beberapa langkah sahaja daripada takhta baginda….
Maharaja mahu sahaja bertempik memarahi mereka, tetapi baginda sedar keadaan sekarang tidak sama dengan dahulu.
"Bangunlah Anakanda. Niat Anakanda ialah untuk melindungi negara, bagaimana Ayahanda boleh menyalahkan Anakanda?" Maharaja memaksa diri untuk meluahkan kata-kata yang membuatkan mulut baginda rasa pahit.
"Anakanda kurang arif tentang ilmu perubatan dan racun. Sebab itulah Anakanda menjemput khas Jun Wu Xie ke mari. Sebenarnya, usaha dialah yang membuatkan rakyat mampu menangani krisis keracunan itu." Di dalam bandar, Jun Wu Xie memberikan pujian kepada Mo Qian Yuan untuk membantunya mendapatkan sokongan. Tetapi di dalam Istana Diraja, Mo Qian Yuan memberikan pujian kepada yang berhak menerimanya.
Maharaja terkejut mendengar kata-kata ini.
Tapi telinga Bai Yun Xian berasa seperti dicucuk-cucuk mendengarnya. Dia memandang rendah pada Jun Wu Xie dan mencemuh, "Usaha dia?" Tiada siapa di sini yang lebih tahu tentang racun itu selain dirinya. Jun Wu Xie ini siapa, begitu berani mendakwa dia boleh meneutralkan racun itu?
Renungan dingin Jun Wu Xie beralih pada Bai Yun Xian. Mata yang yang tidak beremosi membuatkan bulu roma Bai Yun Xian tegak, dan dia menjadi gerun.
"Penderitaan, Deglas, Mandela…" Dengan bersahaja, Jun Wu Xie menyenaraikan sepuluh nama-nama herba. Selain beberapa herba yang biasa, majoriti nama-nama herba ini tidak pernah didengari oleh mereka yang berada di dalam dewan utama itu.
Orang lain tidak pasti dengan senarai herba itu, tetapi Bai Yun Xian jelas pucat mendengar senarai lengkap yang disebut oleh Jun Wu Xie.
Bagaimana dia tahu?
Tak mungkin!
Bai Yun Xian mendengar dengan tidak percaya. Jun Wu Xie telah menyenaraikan semua komponen dalam racun eksklusif milik Kumpulan Qing Yun. Senarai lengkap tanpa ada perubahan!
Formula racun ini hanya diketahui oleh Kumpulan Qing Yun! Bagaimana Jun Wu Xie tahu tentangnya?
Selepas Jun Wu Xie membacakan senarai herba-herba itu, dia tersenyum dan matanya yang dingin memandang wajah Bai Yun Xian. "Jangan memalukan diri kamu sendiri dan bermain-main dengan perkara mudah seperti ini."
Wajah Bai Yun Xian menjadi gelap dan dia mula menggeletar kemarahan sambil merenung Jun Wu Xie.
Perkara mudah?
Sebaik Mo Xuan Fei melihat Bai Yun Xian sedang menggeletar, dia terus memeluk gadis itu. Kemudian dia terlihat mata Jun Wu Xie dan terus menjadi kaku.
Mata itu! Mata yang tak akan dia lupakan!
Dia sudah melihat mata yang sama pada malam berlakunya pembunuhan beramai-ramai itu. Jun Wu Xie berdiri di tengah-tengah lautan darah dan matanya membuatkan dia kelihatan seperti syaitan yang datang dari neraka untuk menuntut nyawa.
Dengan hanya satu jelingan Jun Wu Xie, Mo Xuan Fei hampir rebah ke lantai. Tetapi keadaan Bai Yun Xian yang pucat lesi dan sedang menggeletar membuatkan Mo Xuan Fei mengetap giginya dan menentang Jun Wu Xie.
"Jun Wu Xie. Berani kamu! Yun Xian ialah tetamu kehormat Kerajaan Qi dan dia perlu dilayan dengan penuh hormat!" Dia perlu melindungi Bai Yun Xian! Sehinggalah Kumpulan Qing Yun sampai ke sini dan menyelamatkan mereka.
Jun Wu Xie memandang ke arah Mo Xuan Fei yang sedang membela Bai Yun Xian, dan senyumannya semakin lebar.
Senyuman itu membuatkan semua orang di dalam dewan itu berdiri bulu roma!