Di dalam Istana Diraja, Mo Xuan Fei memandang lima puluh anggota Tentera Yu Lin itu dengan resah. Bai Yun Xian berdiri di sisinya. Di belakang mereka, beberapa orang hamba suruhan sedang memegang beberapa dulang wain berubat.
"Yun Xian, kamu minta mereka datang ke mari. Sekarang apa yang kita perlu lakukan?" tanya Mo Xuan Fei.
Bai Yun Xian memandang lima puluh orang anggota Tentera Yu Lin itu dengan sinaran jahat di matanya.
"Saya ada sesuatu yang bagus untuk mereka. Ini wain berubat dari Kumpulan Qing Yun. Wain ini boleh mempercepatkan proses pembentukan kuasa rohani sewaktu melakukan latihan. Tindakan Tentera Rui Lin semakin menjadi-jadi, jadi kita juga perlu meningkatkan kuasa Tentera Yu Lin."
Mo Xuan Fei memandang kosong ke arah Bai Yun Xian dan kelihatan teragak-agak untuk seketika, tetapi dia diam sahaja.
Lima puluh orang anggota Tentera Yu Lin itu sangat gembira mendengarkan berita itu. Mereka hanya askar biasa dan setelah dipanggil secara tiba-tiba oleh Putera Kedua, mereka berasa gelisah. Dalam masa beberapa hari kebelakangan ini, Tentera Rui Lin sudah membuat sekatan ke atas Bandar Diraja. Tentera Yu Lin tidak berupaya untuk menentang mereka, dan terpaksa bersembunyi di dalam Istana Diraja.
Maharaja juga masih belum bertindak. Pertempuran dengan Tentera Rui Lin yang gagah pada malam itu telah menyebabkan Tentera Yu Lin kini menikus. Mereka langsung tidak berani menentang Tentera Rui Lin dengan apa jua cara.
Askar-askar ini memikirkan yang mereka akan diberikan misi yang sukar, tetapi mereka telah menerima kejutan! Mereka dikurniakan hadiah yang sangat bernilai!
Semua barang dari Kumpulan Qing Yun boleh dianggap sebagai harta yang tidak terbanding!
"Kamu semua adalah askar elit terpilih dari Tentera Yu Lin dan melindungi Maharaja ialah tanggungjawab kamu. Wain berubat ini akan membantu kamu menjadi kuat dalam masa yang singkat." Bai Yun Xian melambaikan tangannya ke hadapan dan hamba suruhan membawakan wain itu kepada askar-askar berkenaan.
Askar-askar dari Tentera Rui Lin memegang cawan wain itu dengan hati-hati, dan memandang isi kandungan cawan itu dengan perasaan teringin.
Niat jahat bersinar pada mata Bai Yun Xian buat seketika sebelum pandangan matanya kembali normal.
"Minumlah, para askar yang berani. Kamu akan mendapat kekuatan untuk melindungi Maharaja." Bai Yun Xian memujuk dengan lembut.
Kesemua lima puluh orang askar itu menghabiskan wain dengan sekali teguk. Wain berubat yang pahit itu seolah-olah terbakar di dalam perut mereka dan mereka mula berasa panas. Kesan mula terlihat pada tubuh mereka dan wajah mereka bertukar menjadi merah. Mereka dapat merasakan kuasa rohani mereka berpusar-pusar, seolah-olah sedang berkembang. Askar-askar itu gembira kerana menyangkakan kuasa mereka sudah semakin meningkat.
"Keluarga Jun sudah menimbulkan kemarahan Keluarga Diraja dan kamu semua ialah wira yang akan menyelamatkan Bandar Diraja! Malam ini kamu akan ditempatkan secara rahsia ke beberapa kawasan tertentu di sekitar Bandar Diraja. Sebaik tiba di sana, bertenang dan sembunyikan identiti kamu. Duduk di dalam bilik yang disediakan dan tumpukan perhatian pada latihan kamu sehingga tiba harinya untuk melancarkan serangan balas. Hari yang akan memberikan kamu kemegahan!" Bai Yun Xian memandang askar-askar itu sambil cuba menaikkan semangat mereka.
Mereka dikurniakan wain berubat yang jarang ditemui, iaitu wain daripada Kumpulan Qing Yun, dan diberi kepercayaan untuk melaksanakan misi yang penting bagi pihak Keluarga Diraja. Nampaknya saat yang mereka nantikan sudah tiba! Saat mereka mencapai kegemilangan!
Tiada siapa di kalangan mereka yang meragui Bai Yun Xian, malah sebaliknya sangat berterima kasih atas apa yang dia berikan kepada mereka.
"Buat masa sekarang, balik dan berehat. Kamu perlu menyamar sebagai orang biasa. Kamu ialah harapan bagi Kerajaan Qi. Jangan biarkan identiti kamu terdedah kerana keselamatan Bandar Diraja berada di dalam tangan kamu." Bai Yun Xian tersenyum berseri-seri ke arah mereka. Wajahnya yang cantik seolah-olah bersinar kerana bangga dengan mereka. Askar-askar Tentera Yu Lin sangat tertawan dan hanya terpegun memandangnya dengan begitu lama, sehinggalah pandangan jengkel daripada Mo Xuan Fei membuatkan mereka bergegas keluar dari situ.