Selepas lima puluh orang yang 'terpilih' itu berlalu pergi, Mo Xuan Fei menyuruh hamba suruhan istana meninggalkan tempat itu. Hanya dia dan Bai Yun Xian sahaja yang berada di kawasan halaman.
Memandangkan tiada orang lain yang dapat melihatnya, wajah Mo Xuan Fei yang kelihatan tertekan, kini nampak sedikit risau. "Yun Xian, apa rancangan kamu? Wain berubat itu, bukankah sepatutnya digunakan untuk Tentera Rui Lin. Kenapa...kenapa kamu berikan kepada askar Tentera Yu Lin?"
Selama beberapa hari kebelakangan ini, Bai Yun Xian telah menghasilkan sesuatu secara rahsia. Mo Xuan Fei juga tidak tahu apa yang dibuatnya dan hanya tahu yang bahan itu akan digunakan untuk menentang Tentera Rui Lin. Bai Yun Xian tidak berkongsi sebarang maklumat dengannya dan hanya berkurung di dalam biliknya bagi menghasilkan wain berubat itu. Dia akhirnya keluar setelah siap menyediakan segala-galanya.
Kenapa wain berubat ini diberikan pula kepada Tentera Yu Lin?
Bai Yun Xian ketawa kecil, matanya bersinar dingin dan mulutnya senyum sinis. Dia kelihatan seperti labah-labah berbisa yang sedang membuat sarangnya. Bai Yun Xian memandang Mo Xuan Fei, "Jangan risau, wain ini memang akan digunakan untuk menentang Tentera Rui Lin."
"Tapi….."
"Tak ada tapi-tapi! Kamu fikir Tentera Rui Lin itu bodoh? Berikan saja racun pada mereka dan mereka akan menerimanya dengan senang hati?" Bai Yun Xian mencemuh Mo Xuan Fei, seolah-olah mengatakan lelaki itu seorang yang dungu.
"Kamu ingat kesan pil yang saya berikan pada kamu? Apa yang saya berikan pada askar Tentera Yu Lin hari ini menggunakan cara yang berlainan, tetapi akhirnya tetap akan menghasilkan kesan yang sama." jelas Bai Yun Xian sambil menjilat-jilat bibirnya yang kemerah-merahan itu.
Mo Xuan Fei terkejut! Dia faham sangat tentang kesan pil yang telah diberikan kepada Lin Yue Yang. Tetapi menyuruh askar Tentera Yu Lin datang ke sini hanya untuk tujuan ini?
"Yun Xian, kamu mahu gunakan mereka sebagai korban? Kenapa kamu tak beritahu saya? Saya boleh sediakan hamba suruhan dan sida-sida biasa. Tentera Yu Lin sahajalah harapan kita sekarang. Menggunakan mereka sebagai korban, tidakkah ini sedikit melampau?"
Bai Yun Xian memandang Mo Xuan Fei dengan jengkel. "Apa yang kamu tahu? Kesan wain berubat itu akan ditingkatkan dengan adanya kuasa rohani daripada askar-askar itu. Berapa banyak tenaga rohani yang ada pada hamba suruhan istana dan sida-sida? Kuasa rohani mereka tak akan cukup untuk mendapatkan kesan yang diinginkan. Letakkan askar-askar itu di beberapa lokasi. Ingat, letakkan mereka di seluruh bandar ini untuk memastikan sewaktu mereka meletup, racun itu akan tersebar dalam masa yang singkat. Ini yang dinamakan kecekapan."
Kuasa rohani hamba suruhan istana dan sida-sida tidak dapat dibandingkan dengan askar Tentera Yu Lin. Walaupun mereka tidak cekap, askar-askar ini sekurang-kurangnya sudah mencapai kuasa rohani tahap jingga. Setelah letupan berlaku, kuasa rohani di dalam badan mereka akan membolehkan racun itu disebarkan dengan lebih kuat dan cepat!
"Apa? Kamu mahu racun ini tersebar ke seluruh Bandar Diraja?" Mo Xuan Fei berundur beberapa langkah, terkejut sehingga terdiam. Dia tidak menjangkakan rancangan jahat Bai Yun Xian akan melibatkan semua orang di dalam Bandar Diraja!
Dia sudah hilang akalkah? Berapa ramai orang yang tinggal di Bandar Diraja?
"Saya terpaksa! Anggota Tentera Rui Lin berjumlah lebih seratus ribu orang dan mereka berada di seluruh bandar ini. Untuk meracuni mereka semua, tentulah saya perlu menyebarkan racun ke seluruh bandar. Wain berubat yang saya hasilkan bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan kuasa rohani seseorang selepas diminum. Apabila kuasa rohani itu sudah melebihi batasnya, badan fizikal seseorang itu tidak akan dapat menahan kuasa rohani yang meluap-luap dan akan meletup. Racun itu kemudiannya akan tersebar di udara. Sesiapa yang terhidunya akan diracun serta-merta, dan mengalami kesan yang sama. Ini akan mengakibatkan beberapa siri letupan berlaku dan menyebarkan racun ke seluruh Bandar Diraja. Walaupun anggota Tentera Rui Lin sangat ramai, mereka tetap tidak akan terlepas daripada racun saya." Bai Yun Xian sememangnya sudah gila. Kekejamannya mengatasi kecantikannya, menukarkan wajahnya sehingga dia kelihatan seperti syaitan yang zalim dan menggerunkan.