"..." Jun Wu Xie terpegun.
Dia cuma ada satu sahaja roh berkontrak…
Binatang hitam itu merenung pemuda berambut putih itu dengan mata terbeliak, penuh kehairanan.
[Si gem….. Gempal?] Dia tidak begitu pasti.
Pemuda berambut putih itu mengekot.
"Kamu tu yang gempal! Saya kelihatan sangat mengagumkan! Dari segi apa saya nampak gempal?
[...….] Binatang hitam itu tidak terkata apa-apa.
Siapa yang boleh terangkan padanya apa yang sedang berlaku?
Bagaimana? Bagaimana Si Gempal yang lembut dan sedap dipeluk itu bertukar menjadi pemuda bergaya ini?
Adakah dia bermutasi?
"Saya Teratai Salji Biru Diraja, atau kamu boIeh panggil saya Teratai Mabuk. Jangan samakan saya dengan Si Gempal itu." Pemuda berambut putih itu berpeluk tubuh dengan marah.
Nampaknya dia juga semakin bertambah angkuh! Kucing hitam itu memandang pemuda itu dari sudut yang berbeza.
"Baiklah, mari teruskan urusan kita. Kamu selalu buli saya. Kamu suka, bukan? Mari! Sudah tiba masanya untuk membuat perhitungan!" Teratai Mabuk mengecilkan matanya.
Sewaktu Teratai Mabuk dan binatang hitam itu baru saja mahu memulakan langkah, Jun Wu Xie berdiri.
"Kamu ini penjaga saya dan Tuan saya. Jadi saya tidak akan menyerang kamu. Tetapi dia sudah membuli saya buat kali terakhir! Siaplah dia!" Teratai Mabuk tidak berani bersikap tidak hormat terhadap Jun Wu Xie.
"Di mana besen untuk teratai ini?" Jun Wu Xie dengan tenang bertanya pada Teratai Mabuk.
"….." Teratai Mabuk teragak-agak.
"Beri pada saya." kata Jun Wu Xie.
"Dalam kolam…" Teratai Mabuk menelan air liurnya. Dia tidak tahu mengapa dia takut dengan nada dingin Jun Wu Xie.
"Bawa ke sini." Jun Wu Xie memberikan renungan tajam. Teratai Mabuk menggeletar dan seketika kemudian, dia terjun ke dalam kolam itu. Air kolam terpercik kuat.
Beberapa ketika kemudian, pemuda tampan yang sedang basah kuyup itu berdiri di hadapan Jun Wu Xie dan menghulurkan besen itu.
"Kamu boleh bertukar rupa?" tanya Jun Wu Xie, sambil memandang Teratai Mabuk dari atas ke bawah.
Teratai Mabuk menjawab, "Saya bersatu dengan Teratai Salji Biru Diraja, tetapi ada satu kemalangan berlaku ketika saya bertapa. Sejak itu saya terperangkap di dalam badan kecil itu. Jika saya direndam di dalam alkohol, saya boleh berubah bentuk buat sementara."
"Kamu yang gigit Hitam Kecil?" Jun Wu Xie agak bingung kerana Teratai Kecil tidak akan menjadi agresif dengan kucing hitam kecil itu.
"Ya." Sesiapa sekalipun akan marah jika dicakar setiap hari!
"Jumlah wain yang kamu tuangkan ke dalam kolam teratai ini setiap hari terlalu sedikit untuk membolehkan saya bertukar. Tetapi jumlah itu cukup untuk membolehkan saya untuk mengambil alih kesedaran Si Gem… Ish, maksud saya budak kecil itu." Teratai Mabuk mengetap giginya sambil merenung marah pada binatang hitam yang sedang duduk di sisi Jun Wu Xie.
Binatang hitam itu cuba menahan dirinya, tetapi akhirnya ketawa.
Teratai Mabuk hilang sabar. Satu susuk tubuh yang kelihatan samar-samar, meluru ke arah bintang hitam yang besar itu.
Dan…..
POOF! Kabus menyelubungi susuk tubuh itu.
Binatang hitam itu merasakan ada sesuatu yang lembut, mudah dipicit dan basah lencun, melekap pada mukanya....
Sebaik kabus itu lenyap, kelihatan Teratai Kecil yang merengek ketakutan, sedang berpaut pada hidung binatang hitam itu. Matanya yang besar, sedang bergenang air mata dan memandang mata binatang hitam itu dengan gentar.
Sesaat kemudian....
"WAHHHHHH!!!" Teratai Kecil meraung sambil turun dari muka binatang hitam itu dan berlari melompat-lompat dengan kakinya yang pendek. Dia bersembunyi di belakang Jun Wu Xie sambil merenung binatang hitam yang menakutkan itu.
Bagaimana dia boleh berada dekat dengan binatang itu? Takutnya!