Jun Xian menarik nafas dengan dalam setelah memahami segala-galanya. Dia juga kagum dengan betapa rumitnya rancangan yang diatur oleh Jun Wu Xie.
Berapa usia gadis ini?
Sangat menggerunkan, walaupun ini cucunya sendiri.
Gadis kecil yang selalu memencilkan diri di rumah ini lebih tegas dalam membuat keputusan dan lebih berkebolehan berbanding kebanyakan lelaki yang dia kenali. Betapa bijaknya dia?
Jun Wu Xie tidak membunuh menggunakan tangannya sendiri, tetapi arahan daripadanya telah menyebabkan terciptanya lautan darah di dalam Bandar Diraja.
Bukan sahaja Jun Xian, Jun Qing dan Mo Qian Yuan turut terkejut dengan cara Jun Wu Xie mengendalikan kejadian yang berlaku tadi.
Mo Qian Yuan memandang Jun Wu Xie dengan kagum. Dia juga berasa lega.
Nasib baiklah dia telah bersekutu dengan Jun Wu Xie. Jika tidak, lambat laun pasti dia akan mati di tangan gadis ini.
"Kamu…..mahu saya berada di sini, bukan sahaja untuk mendengar semua ini, tetapi juga untuk melindungi saya, bukan?" Mo Qian Yuan tiba-tiba menyedari perkara sebenar.
Jun Wu Xie memandangnya tanpa bersuara, menyatakan persetujuannya dengan kata-kata itu.
"Kamu tahu selepas apa yang berlaku malam ini, baginda akan menjadi geram. Maharaja tidak akan berani untuk membalas dendam terhadap Istana Lin. Namun baginda akan menyingkirkan Beta jika Beta masih berada di Kediaman Putera Mahkota, kerana kita telah menunjukkan tanda-tanda kita bersekutu. Beta kini menjadi sasaran dan kamu jemput Beta ke sini kononnya untuk membincangkan rancangan masa hadapan, tetapi sebenarnya untuk melindungi Beta. Betul, bukan?" Mo Qian Yuan terus mendesak.
Istana Lin telah berpatah arang dengan Keluarga Diraja dan Maharaja juga tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Mo Qian Yuan. Tambahan pula, Mo Qian Yuan kerap bertemu dengan Jun Wu Xie. Maharaja pasti akan bertindak untuk menyingkirkan duri dalam dagingnya ini.
"Kamu ni pandai juga rupanya." balas Jun Wu Xie secara acuh tak acuh.
Mo Qian Yuan hampir rebah di kerusinya, terpegun dengan kenyataan yang Maharaja akan membunuhnya tanpa sebarang pertimbangan. Dia turut terkejut dengan minda Jun Wu Xie yang tajam, sehingga dapat menjangkakan semua ini sebelum orang lain menyedarinya.
"Uhuk….. Wu Xie." Jun Xian berdeham dan memandang Mo Qian Yuan dengan kekok.
Cucunya ini agak kasar dengan Putera Mahkota.
"Tak mengapa, dia lakukannya demi keselamatan Beta. Kini Beta sudah terhutang budi dengannya kerana kalau bukan kerana Jun Wu Xie, Beta pasti sudah mati dalam keadaan hina," kata Mo Qian Yuan, merendah-rendahkan dirinya sendiri. Ayahanda kandungnya mahu membunuhnya dan dia diselamatkan oleh orang luar. Kelakar betul.
Jun Xian mengeluh. Dia sudah mendengar tentang hal yang berlaku di kalangan Keluarga Diraja.
"Nampaknya kamu berdua sudah membincangkannya sebelum ini?" Jun Qing telah memerhatikan Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan dalam diam. Sebelum ini dia menyangkakan mereka berdua sedang dilamun cinta, memandangkan Jun Wu Xie kerap pergi ke Kediaman Putera Mahkota. Namun melihatkan keadaan mereka sekarang, nampaknya dia telah tersalah anggap.
"Ya. Tetapi semuanya berlaku lebih awal daripada yang kami jangkakan." Jun Wu Xie membalas dengan tenang. Dia tidak menyedari pandangan pelik yang diberikan oleh Jun Qing.
Sebaliknya Mo Qian Yuan yang menyedari perkara itu. Mukanya menjadi kemerah-merahan dan dia menundukkan kepala kerana malu.
Jun Qing nampak reaksi berbeza daripada kedua-duanya tetapi tidak mempedulikannya buat masa sekarang kerana ada tugasan yang lebih penting untuk dilakukan.
"Wu Xie, bila kamu mula berniat begini?" Jun Qing tidak faham bagaimana gadis yang suka terperap di rumah ini boleh memikirkan rancangan yang begitu hebat, untuk menukar Maharaja!
"Beberapa bulan yang lalu." Sejak dia kembali ke Istana Lin, dia sudah memikirkan idea ini. Pada mulanya dia memikirkannya untuk dirinya sendiri, tapi kini, untuk seluruh Keluarga Jun.