Setelah taat setia berdekad lamanya, balasannya ialah nyawa yang terancam. Orang yang paling setia juga akan menerima realiti.
Maharaja sudah membuat keputusan untuk menghapuskan Keluarga Jun yang berkuasa. Kalau tidak kerana Jun Wu Xie yang cepat membuat keputusan dan mempunyai keazaman, berjaya menangkis serangan itu, Istana Lin mungkin akan ditewaskan.
Melihatkan Jun Xian menerima keputusannya, Jun Wu Xie amat lega. Dia lebih rela dicemuh semua orang di seluruh dunia, hidup terseksa dan menerima penghinaan. Tetapi dia tidak mampu hidup jika datuk dan pak ciknya membencinya.
"Jangan risau, Datuk. Saya sudah buat persiapan yang perlu. Keluarga Jun tidak akan menghadapi bahaya."
"Datuk dengar daripada Pak Cik kamu tentang hal kamu melepaskan Isyarat Angin Melayang. Kamu benar-benar berani. Datuk sudah tahu segala-galanya yang berlaku malam ini dan Datuk gembira dengan cara kamu mengendalikan hal ini. Tapi Datuk mahu tahu tentang rancangan kamu selepas ini, tolong jangan sembunyikan apa-apa dari Datuk." Jun Xian berpura-pura tegas. Matanya yang dipenuhi kemesraan dan kasih sayang, menunjukkan perasaan sebenarnya.
"Ya, saya akan buat begitu." Jun Wu Xie mengangguk.
"Saya mahu Maharaja turun takhta, dan biarkan Putera Mahkota menaiki takhta."
Pernyataan yang ringkas dan bersahaja daripada Jun Wu Xie hampir membuatkan jantung semua orang terhenti.
Turun takhta?
Dia masih mahu Maharaja melepaskan takhta!
Jantung Jun Qing hampir terlompat keluar.
"Semua yang saya lakukan malam ini ada tujuannya. Pertama sekali, saya mahu memaksa Maharaja melepaskan Datuk. Keduanya, untuk menghapuskan orang-orang kepercayaan Maharaja. Akhir sekali, saya perlu mengumpulkan sokongan dan mencipta keadaan yang berpihak pada kita."
Menyelamatkan Jun Xian ialah tujuan utamanya manakala dua lagi objektif itu ialah untuk mensabotaj martabat dan kedudukan Keluarga Diraja.
Pembunuhan para pegawai dan jeneral pada malam ini, telah menyingkirkan kuasa-kuasa yang menentang Istana Lin. Kebanyakan daripada mereka merupakan penyokong kuat Maharaja. Setelah mereka dihapuskan, semakin sukar untuk Maharaja menjalankan rancangan jahat baginda.
Bukti kukuh yang diberikan bagi hukuman mati yang dijalankan terhadap pegawai-pegawai itu, telah meningkatkan reputasi Istana Lin!
"Kamu merancang semua ini? Kamu berikan pujian atas segalanya kepada Tuanku Putera Mahkota demi mencapai matlamat kamu?" Jun Xian akhirnya memahami niat Jun Wu Xie. Sokongan Maharaja kini semakin lemah dan Jun Wu Xie telah mengambil kesempatan untuk mempersembahkan Mo Qian Yuan kepada rakyat dan menjadikan kejadian malam itu sesuatu yang akan mereka ingati.
Semua ini untuk dijadikan asas kepada pertukaran kuasa!
"Ya." balas Jun Wu Xie tanpa menyembunyikan niatnya.
Memandangkan Maharaja tidak dapat menerima kewujudan Keluarga Jun, dia akan menukar Maharaja!
"Demi mendapatkan takhta secara sah, amat penting bagi Putera Mahkota mendapat sokongan rakyat." kata Jun Wu Xie.
Mo Qian Yuan yang sedang duduk senyap di suatu sudut menjadi terkejut. Sewaktu Jun Wu Xie menghukum mati Wei Qun Hua, Mo Qian Yuan merasakan Jun Wu Xie telah mengaktifkan persekutuan di antara mereka.
Kalau tidak kerana tindakan Maharaja yang kejam, Jun Wu Xie akan menanti masa yang lebih sesuai.
Kekejaman Maharaja telah menyebabkan Jun Wu Xie melakukan segala pembunuhan itu!
"Kamu suruh Tentera Rui Lin menutup Bandar Diraja sebagai persediaan untuk memaksa Maharaja turun takhta?" Sebaik mengetahui niat sebenar Jun Wu Xie, Jun Xian menyedari betapa rumitnya rancangan cucunya itu. Jun Wu Xie berjaya membuat perancangan yang sempurna walaupun dalam keadaan marah. Ini sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh Jun Xian.
"Ya, Saya buat rancangan ini sewaktu saya memanggil Tentera Rui Lin. Kalau mereka tak lepaskan Datuk, saya akan memecah masuk ke dalam Istana Diraja. Kalau mereka lepaskan Datuk, saya akan menutup Bandar Diraja dan memaksa Maharaja turun takhta. Selagi Tentera Rui Lin mengawal Bandar Diraja, Maharaja tidak akan dapat memanggil pulang angkatan tentera baginda. Sebaik Mo Qian Yuan menaiki takhta, Keluarga Jun akan bebas daripada sebarang keraguan." Jun Wu Xie menerangkan rancangannya sambil matanya bersinar.
Mendedahkan kesalahan, menghukum mati pegawai-pegawai yang bersalah serta menutup Bandar Diraja. Semua ini telah dirancang oleh Jun Wu Xie, sebelum dia bergerak keluar bersama angkatan tenteranya.
Sama ada Maharaja melepaskan Jun Xian atau tidak, baginda perlu mati!