Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 128 - Ini Baru Permulaan (2)

Chapter 128 - Ini Baru Permulaan (2)

Sebaik tiba di Istana Lin, Jun Xian, yang selama ini menyembunyikan kecederaannya, jatuh pengsan. Long Qi bergegas membantu Jun Xian kembali ke biliknya, diikuti oleh Jun Qing.

"Pak Cik Fu, ambil kotak perubatan saya." Jun Wu Xie memberikan arahan sambil keningnya berkerut. Jun Xian sudah menjadi semakin kuat hasil ubat menguatkan badan yang diberikannya. Melihatkan datuknya pengsan, Jun Wu Xie dapat mengagak betapa seriusnya kecederaan yang dialami datuknya.

"Wu Xie….." Mo Qian Yuan ada banyak soalan untuk ditanyakan pada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie memandangnya dengan dingin dan berkata, "Ikut saya kalau mahu hidup. Diam atau saya yang akan diamkan kamu."

"....." Mo Qian Yuan mengikut tanpa melawan.

Jun Wu Xie cepat-cepat ke bilik Jun Xian dan membuat pemeriksaan ke atas datuknya. Matanya bersinar sebaik selesai.

"Racun." Suara Jun Wu Xie tenang. Namun kata-katanya membuatkan semua di situ kehilangan semangat.

"Datuk tak apa-apa, jangan risau. Datuk kembali dengan selamat, bukan? Jun Xian yang bersandar di katil dalam keadaan letih, memaksa dirinya untuk senyum bagi meyakinkan Jun Wu Xie.

Tanpa berkata apa-apa, Jun Wu Xie mengambil sebilah jarum perak dari kotak perubatannya yang dibawa oleh Pak Cik Fu. Dia melakukan rawatan akupuntur di beberapa titik tekanan. Darah hitam mengalir melalui jarum-jarum itu dan menitis ke atas katil. Jun Xian menjadi semakin pucat, bibirnya bertukar menjadi warna ungu.

"Adakah Ayah….." Jun Qing bertanya dengan risau.

"Tak ada apa-apa." Jun Wu Xie menundukkan kepalanya dan terus menyibukkan diri.

Selagi dia masih hidup, tiada sesiapa yang boleh mengambil Jun Xian daripadanya.

Darah yang pekat perlahan-lahan disingkirkan, dan warna ungu pada bibir Jun Xian beransur hilang. Dia masih lagi pucat tetapi tidak kelihatan begitu tenat.

Jun Wu Xie mengambil sedikit ubat menguatkan badan dan memberikannya kepada Jun Xian.

Wajah Jun Xian semakin kurang pucat dan keningnya yang berkerut mula tenang. Dia mula mendapat kembali kekuatannya.

Dia masih lagi tidak bermaya dan bersandar pada katil.

Melihatkan keadaan Jun Xian yang bertambah baik, Jun Qing mengeluh lega dan bertanya, "Ayah, apa yang berlaku malam ini? Dengan kemahiran Ayah dan pengawal-pengawal yang mengiringi Ayah, tak ramai di dalam Bandar Diraja ini yang mampu menandingi Ayah."

Jun Xian yang tadinya tenang, mula mengerutkan keningnya kerana marah, "Lin Yue Yang telah diracun. Dia meracau-racau sewaktu Ayah menemuinya. Dia merepek-repek tentang mengapa mereka membunuh keluarganya dan mengapa dia dianiaya. Pada mulanya dia tidak mengenali Ayah, dan bertarung dengan para pengawal. Ayah tak mahu mencederakannya, jadi Ayah hanya arahkan dia ditangkap. Mujurlah ada pil yang Wu Xie berikan. Ayah beri sebiji pada Lin Yue Yang dan dia kembali waras sedikit."

Memikirkan tentang orang yang telah berbudi kepada Keluarga Jun, menjadi gila, hati Jun Xian menjadi perit.

"Sebaik Lin Yue Yang kembali waras, dia meluru ke arah Ayah dan menjerit menyuruh Ayah dan para pengawal pergi dari situ. Ada orang yang mahu menggunakan dia untuk mencederakan Ayah. Akibatnya, seluruh ahli keluarganya, tidak kira tua atau muda, telah dibunuh." Jun Xian menggenggam penumbuknya. Penyelamat anaknya mati disebabkan dia. Seluruh keluarga Lin Yue Yang juga menjadi korban, semuanya disebabkan oleh Jun Xian.

"Sebaik dia selesai berkata-kata, dia kembali menjadi gila. Badannya mengembang dengan cepat dan kemudian meletup. Selepas letupan itu, kami semua menjadi lemah dan jatuh dari kuda, seorang demi seorang…"

Related Books

Popular novel hashtag