Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 129 - Ini Baru Permulaan (3)

Chapter 129 - Ini Baru Permulaan (3)

Selepas Jun Xian dan pengawal-pengawalnya jatuh daripada kuda mereka, sekumpulan pembunuh upahan meluru ke arah mereka. Dalam keadaan mereka yang lemah itu, mereka tidak dapat mempertahankan diri. Semua pengawal dibunuh dan Jun Xian ditangkap lalu dibawa ke Bandar Diraja.

Para pengawal dari Tentera Rui Lin sudah lama berkhidmat dengan Jun Xian dan merupakan rakan seperjuangannya serta dianggap seperti keluarga. Kematian mereka amat menyedihkan hati Jun Xian.

Dia dibawa ke sebuah penjara. Kalau tidak kerana ketibaan Jun Wu Yao yang tepat pada masanya, dia tidak akan selamat dan dapat kembali ke pangkuan anak dan cucunya.

Jun Xian menceritakan tentang kejadian yang kacau-bilau itu dengan suara yang tenang.

Namun memikirkan apa yang hampir berlaku, mereka yang mendengar menjadi gerun.

Mo Qian Yuan yang merupakan sebahagian daripada Keluarga Diraja, menundukkan kepalanya kerana malu. Dia amat mengenali orang-orang di sebalik kekejaman ini, lebih daripada orang lain.

Wajah Jun Qing menjadi gelap. Dalam usaha mereka untuk menghapuskan Keluarga Jun, Keluarga Diraja telah menggunakan Lin Yue Yang sebagai umpan. Mereka tahu Keluarga Jun yang terhutang budi dengan lelaki itu, tidak akan membiarkan dia mati secara tidak bermaruah. Keluarga Jun bertanggungjawab di atas tragedi yang menimpa Keluarga Lin.

"Kita telah membuatkan Keluarga Lin turut terbabit." Jun Xian menutup matanya kerana berasa sengsara. Seumur hidupnya sebagai anggota tentera, telah dikorbankan demi negara. Maharaja yang dia telah berikan seluruh taat setianya, rupanya seorang yang tidak berhati perut.

Kesakitan yang dirasai oleh badannya tidak sebesar kesakitan yang dirasai dalam hatinya.

"Datuk akan sihat selepas mendapat rawatan selama beberapa hari." Jun Wu Xie berkemas-kemas selepas mendengar kata-kata datuknya.

Sejak meninggalkan Istana Diraja, dia kelihatan sangat tenang.

Ketenangan Jun Wu Xie membuatkan Mo Qian Yuan, yang sudahpun menyaksikan kekejaman gadis ini, berasa tidak sedap hati.

"Datuk, Pak Cik. Kamu berdua pasti letih, berehatlah." Jun Wu Xie mengingatkan mereka sambil dia berdiri.

"Wu Xie, tunggu." Jun Xian duduk tegak dan memandang Mo Qian Yuan.

Mo Qian Yuan faham yang Jun Xian mahu mengatakan sesuatu yang dia tidak mahu Mo Qian Yuan dengar. Dia berdiri dan mahu berjalan keluar. Jun Wu Xie menghentikannya dan berkata, "Duduk."

Mo Qian Yuan terhenti seketika dan kemudian menurut tanpa bantahan.

"Datuk, saya tahu apa yang Datuk mahu katakan. Saya bukannya terburu-buru atau gopoh. Saya sudah buat keputusan, orang yang berniat jahat terhadap Keluarga Jun, tidak akan selamat. Saya tahu Datuk akan memujuk saya untuk tidak melakukannya. Maafkan saya kerana menjadi derhaka. Saya tidak akan menukar fikiran saya tentang perkara ini." Jun Wu Xie melutut di sisi Jun Xian, matanya penuh keazaman.

Dia tahu Jun Xian lahir dalam keluarga biasa, tetapi menerima sokongan daripada mendiang Maharaja untuk membuktikan kebolehannya di medan peperangan dan seterusnya memperoleh kemegahan. Sikap toleransi Jun Xian terhadap Maharaja sekarang ini ialah balasannya ke atas kurniaan yang diterimanya daripada mendiang Maharaja terdahulu.

Tetapi sikap toleransi Jun Xian ini, bukanlah sesuatu yang mahu diikuti oleh Jun Wu Xie!

Jun Xian terkejut melihat Jun Wu Xie melutut di tepi katilnya. Walaupun dia dalam keadaan tidak bermaya, dia menarik Jun Wu Xie bangun.

"Apa yang kamu fikirkan?"

"Datuk, saya sudah membuat keputusan." Jun Wu Xie membenarkan dirinya ditarik bangun tetapi dia tidak akan menukar fikiran.

"Anak ini….Daripada mana kamu dapat perangai degil ni?" Jun Xian mengeluh.

"Datuk mahu meyakinkan kamu untuk menukar fikiran kerana Datuk risau kamu akan ditimpa kecelakaan. Tindakan kamu ini akan mencabar kuasa Keluarga Diraja dan mendatangkan bahaya ke atas diri kamu. Kalau kamu sudah begitu berazam, Datuk akan melindungi kamu walaupun terpaksa berkorban nyawa. Kamu melakukan banyak pembunuhan demi melindungi kehormatan Keluarga Jun. Tulang-tulang tua ini mungkin tidak berguna sangat tetapi tetap akan memikul beban yang sama. Datuk tak akan benarkan kamu menanggung semua ini sendirian."