Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 113 - Isyarat Angin Melayang (4)

Chapter 113 - Isyarat Angin Melayang (4)

Seluruh angkatan Tentera Rui Lin telah digerakkan!

Bukankah bilangan obor-obor yang memenuhi bandar itu menandakan Tentera Rui Lin telah mempunyai kawalan penuh ke atas Bandar Diraja?

"Jun Wu Xie! Apa maksud semua ini?" Mo Xuan Fei menjerit sambil berdiri di belakang Maharaja. Dia tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya. Di bawah cahaya api obor, kecantikannya sagat menawan. Tetapi matanya menunjukkan niat membunuh yang tiada belas kasihan.

"Istana Lin, di bawah arahan Tuanku Maharaja, sedang memburu penjenayah yang menyerang Putera Kedua," balas Jun Wu Xie dengan dingin.

"Apa yang kamu merepek ni?" Mo Xuan Fei merenung Jun Wu Xie dengan ekspresi tidak percaya.

Serangan ke atas Putera Kedua sudah lama berlaku. Hal ini diserahkan kepada Jun Xian untuk disiasat tetapi dia menemui kegagalan. Hampir semua orang sudah melupakannya.

"Istana Lin sudah menjalankan arahan Tuanku dan membunuh penjenayah itu." Jun Wu Xie tidak mempedulikan kata-kata Mo Xuan Fei. Matanya yang membara merenung tepat pada satu susuk tubuh yang memakai jubah bercorak naga.

Selesai Jun Wu Xie bercakap, Tentera Rui Lin menimbunkan beratus-ratus mayat di hadapan pintu masuk istana. Darah masih mengalir daripada mayat-mayat itu sehingga menyebabkan tanah di situ menjadi merah.

Bau busuk dari timbunan mayat-mayat itu dibawa angin dan tersebar ke udara. Keadaan ini menyebabkan udara di situ jadi menyesakkan.

Sebaik melihat mayat-mayat yang berpakaian hitam itu, Maharaja dan Mo Xuan Fei terkejut.

"Inilah pembunuh upahan yang menyerang Putera Kedua. Datuk saya memberikan arahan untuk menahan mereka dan mereka cuba menghapuskan Istana Lin. Sebagai balasan, saya arahkan mereka semua dibunuh." Jun Wu Xie menerangkan sambil memandang dingin ke arah Maharaja dan Mo Xuan Fei. Selain Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian, tidak ada saksi lain. Hanya mereka tahu serangan itu bukan dilakukan oleh sekumpulan pembunuh upahan seperti yang didakwa, sebaliknya hanya seorang lelaki sahaja. Jun Wu Xie tahu penyerang itu hanyalah Jun Wu Yao seorang.

Mo Xuan Fei memberikan petunjuk palsu pada Jun Xian secara sengaja. Kini Jun Wu Xie menggunakan muslihatnya sendiri untuk mengenakan Mo Xuan Fei!

Mo Xuan Fei terkejut. Dia tidak menyangkakan jenaka yang dia lakukan ke atas Jun Xian telah dikenakan semula padanya! Mayat-mayat itu bukanlah mereka yang menyerang dia. Mereka itu pembunuh upahan yang dia hantar untuk menyusup ke Istana Lin!

Tiga ratus orang pembunuh upahan, semuanya mati?

Bukankah pengawal Istana Lin telah diumpan keluar? Hanya lima belas orang pengawal sahaja telah membunuh tiga ratus orang pembunuh upahan?

Maharaja menyedari ekspresi wajah Mo Xuan Fei dan baginda faham apa yang telah berlaku. Baginda berpura-pura senyum mesra dan berkata, "Bagus. Memandangkan arahan Beta telah dilaksanakan, Beta sendiri akan memberi ganjaran pada Istana Lin." Dengan adanya seratus ribu orang anggota Tentera Rui Lin di dalam bandar ini, Maharaja tidak berani menentang Jun Wu Xie.

Tentera Rui Lin mungkin dianggap sebagai pedang tajam Kerajaan Qi, tetapi pedang itu boleh digunakan untuk mengancam kerajaan yang sama. Kekuatan pedang itu tidak boleh dipandang remeh.

Sebagai seorang rakyat yang setia, Jun Xian tidak akan membawa masuk seluruh angkatan Tentera Rui Lin ke dalam Bandar Diraja, walaupun demi menangkap pembunuh upahan.

Di atas tembok istana, Tentera Yu Lin sedang menggeletar memandang Jun Wu Xie, orang pertama yang membawa Tentera Rui Lin masuk ke dalam Bandar Diraja. Cik Muda Istana Lin yang sering dikritik!

Jun Xian atau Jun Qing juga tidak berani berbuat begini. Cik Muda ini tidak takutkah akan kehilangan nyawa?

Mereka dapat melihat urat-urat berwarna hijau timbul pada tangan Maharaja yang digenggam kuat!

Jun Wu Xie pastinya langsung tidak takut. Tindakannya ini akan menyebabkan kesetiaannya disyaki! Sangat berani! Sangat terburu-buru! Apa yang difikirkannya?

Kata-kata Maharaja yang kedengaran mesra itu tentu sahaja kerana Baginda takut akan berlakunya pemberontakan oleh Tentera Rui Lin. Sebaik angkatan tentera itu berundur, kemarahan Maharaja akan menyerang Istana Lin!