Maharaja kelihatan tidak berdaya pada ketika itu dan Jun Wu Xie meneruskan tanpa mempedulikan baginda. "Pembunuh-pembunuh upahan ini sangat licik. Ramai yang telah lari dan bersembunyi di dalam Bandar Diraja. Saya sudah mengarahkan Tentera Rui Lin untuk memaksa mereka keluar. Tolong jangan bimbang."
"Istana Lin tak akan membenarkan penjenayah seperti mereka mencederakan rakyat negara ini." Jun Wu Xie merenung dengan tajam. Matanya lebih dingin daripada ais di tasik yang beku.
Jun Wu Xie biasanya seorang yang pendiam. Tetapi jika dia mula berbicara, dia akan membuatkan orang lain tergamam.
Berkomplot menentang Keluarga Jun? Hmmph. Jun Wu Xie mahu lihat, siapa yang akan berjaya?
Mereka memulakan dengan api dan dia membalas dengan api neraka!
Maharaja menggigit bibir baginda kerana tidak mampu mencari kesalahan Jun Wu Xie. Melihatkan mayat-mayat yang bergelimpangan di pintu masuk istana, jumlahnya hampir sama dengan tiga ratus orang pembunuh upahan yang Mo Xuan Fei hantar untuk menghapuskan Istana Lin. Berdasarkan kecacatan serta pelbagai jenis kecederaan pada mayat-mayat itu, nampaknya tiada seorang sekalipun yang terselamat daripada pembalasan yang dahsyat.
Apa yang dirancangkan oleh gadis ini? Apakah motifnya yang tersembunyi?
Jelas sekali ini bukannya tentang menangkap pembunuh upahan, tetapi untuk memberi tekanan pada baginda!
Angkatan tentera berjumlah seratus ribu orang yang kelihatan hebat dengan obor-obor yang memenuhi jalan-jalan dan lorong, amat mengejutkan Keluarga Diraja.
Maharaja tidak dapat memberikan balasan ke atas situasi yang sedang berlaku dan tidak mampu membuatkan angkatan tentera itu berundur.
Kehadiran Tentera Rui Lin sangat hebat. Angkatan tentera itu mengejutkan seluruh bandar dan orang ramai berkumpul di sekeliling Istana Diraja kerana mereka ingin tahu apa yang berlaku. Mereka mendengar setiap butir perbualan yang berlaku di pintu masuk istana itu.
Mengikut kejadian yang sedang berlaku di hadapan mereka, nampaknya pihak Istana Lin yang setia telah menjalankan tugas dan menangkap penjenayah.
Orang ramai langsung tidak tahu ialah, tanpa disedari, Jun Wu Xie telah mempergunakan mereka untuk memberi tekanan pada Maharaja supaya baginda menurut arahannya.
Kamu mahu memenangi hati rakyat? Biar saya berikan kamu peluang itu. Di bawah titah kamu, penjenayah telah dihapuskan. Bagaimana kamu boleh menyalahkan saya dalam hal ini?
Jun Wu Xie dengan bijaknya telah menggunakan arahan sebelum ini, yang diberikan secara melulu pada Jun Xian oleh Maharaja, untuk mengenakan baginda semula. Kali ini apa yang berlaku ibarat tamparan yang kuat yang kena pada pada wajah Anak Syurga (Maharaja) itu sendiri.
Maharaja hanya boleh menelan cemuhan itu. Tidak ada sebab untuk baginda menitahkan angkatan tentera itu berundur.
Berdepan dengan angkatan tentera di dalam Bandar Diraja itu, Maharaja merasakan hatinya dicengkam ketakutan.
Orang ramai mungkin tidak memahami maksud tersirat di sebalik perbualan itu, tetapi segalanya jelas pada Maharaja dan Mo Qian Yuan.
Niat jahat Keluarga Diraja untuk menghapuskan Istana Lin kini sudah diketahui oleh Keluarga Jun. Tindakan Jun Wu Xie malam ini ialah kerana dia mahu menunjukkan kekuatannya dan memberikan amaran tegas pada para pengkomplot.
"Bagaimana dengan rancangan menangkap Jun Xian? Maharaja menarik Mo Xuan Feo ke sisinya dan berbisik. Baginda menyedari hakikat yang keadaan ini tidak berpihak pada baginda.
Mo Xuan Fei membalas dengan perlahan. "Anakanda diberitahu yang misi itu berjaya dan Jun Xian sedang diheret ke penjara secara rahsia.
Ada dua aspek dalam rancangan yang mensasarkan Istana Lin. Pertamanya ialah menghapuskan Istana Lin dan yang kedua ialah mengumpan Jun Xian pergi ke luar kota dan membuat serangan hendap ke atasnya.
Rancangan bagi Istana Lin telah gagal tetapi sekurang-kurangnya mereka berjaya menangkap Jun Xian.
"Pastikan Jun Xian dikawal ketat. Tindakan Jun Wu Xie ini pastinya ialah cubaan untuk mendapatkan lokasi Jun Xian. Apa sekalipun yang berlaku, Anakanda tidak boleh benarkan Tentera Rui Lin menemui Jun Xian." Maharaja mengecilkan matanya dan kelihatan kejam. Baginda mahu memegang secebis harapan yang ada ini dengan ketat. Selagi Jun Xian tidak ditemui, tiada siapa boleh membuktikan serangan ke atas Keluarga Jun malam ini ialah angkara Keluarga Diraja!