Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 112 - Isyarat Awan Melayang (3)

Chapter 112 - Isyarat Awan Melayang (3)

Sewaktu dia mula-mula menjejakkan kaki ke berek Tentera Rui Lin, Jun Wu Xie, selaku ahli Keluarga Jun, telah mengambil alih kuasa angkatan tentera yang menggerunkan ini!

Jun Wu Xie tidak mempedulikan mayat Jeneral Li Ran dan berpusing menghadap Tentera Rui Lin.

"Pengkhianat kerajaan sedang mengancam Bandar Diraja. Askar-askar sekalian, lakukan tugas kamu! Malam ini kita akan menghapuskan pengkhianat!""

"Baik!" sahut askar-askar itu.

Jun Wu Xie yang bertenggek di atas binatang berwarna hitam itu memanggil, "Long Qi."

"Saya!" balas Long Qi. Dia memikirkan sudah berapa lama sejak Isyarat Awan Melayang digunakan. Dia tidak berapa ingat, tetapi, apabila isyarat itu dilancarkan dan membuatkan langit menjadi terang, api di dalam jiwanya yang selama ini malap, kembali membara.

"Bawa Wu Wang pada saya."

"Saya menurut perintah!"

"Komander-komander sekalian, huru-harakan keadaan Bandar Diraja jika perlu Tangkap semua pengkhianat!" Jun Wu Xie memberi arahan.

Sesiapa sahaja yang berani mencederakan Datuk, jika orang itu Maharaja sekalipun, dia akan tahu Istana Lin ini tidak boleh dipandang rendah!

Jun Qing memerhatikan Jun Wu Xie yang sedang memberi arahan. Dia tergamam dan setiap kata-kata yang diucapkan oleh anak saudaranya itu membuatkan dia semakin terkejut.

Pengkhianat? Pengkhianat mana?

Jun Wu Xie memanggil Tentera Rui Lin dan mengarahkan pencarian dibuat di seluruh bandar, bukannya untuk mencari pengkhianat, tetapi demi mencari Jun Xian! Dia mahu membuat kekecohan di Bandar Diraja untuk mengejutkan Maharaja dengan menunjukkan kuasanya supaya Maharaja sedar siapa Jun Wu Xie sebenarnya.

Seratus ribu orang askar daripada Tentera Rui Lin mampu menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.

Dengan kuasa sebegitu, Maharaja juga boleh dipaksa untuk turun takhta!

Jun Qing akhirnya faham kenapa Jun Wu Xie membunuh Li Ran.

Li Ran telah membawa Jun Xian masuk perangkap walaupun dia melakukannya tanpa sengaja. Sewaktu dia menyebut hal turun takhta tadi, Jun Wu Xie memang tidak berniat untuk membiarkan Li Ran hidup.

Hanya Jun Qing dan Jun Wu Xie yang tahu tentang perkara sebenar iaitu mahu memaksa Maharaja bertindak dan mencari Jun Xian menggunakan angkatan tentera mereka. Apa yang Tentera Rui Lin tahu hanyalah arahan untuk mencari pengkhianat.

"Pak Cik, sudah tiba masanya Keluarga Jun mengambil pendirian lebih tegas." Jun Wu Xie berlalu pergi selepas berkata-kata dengan serius. Dia mengetuai Tentera Rui Lin masuk ke Bandar Diraja.

Angkatan tentera seramai seratus ribu orang itu memenuhi segenap jalan dan lorong. Obor-obor yang mereka bawa menerangi bandar, menjadikan malam kelihatan seperti siang.

Kuda-kuda berperisai menderap dan mengakibatkan berlakunya ribut debu!

Malam ini seluruh bandar terjaga dan orang ramai menjenguk keluar kemudian terkejut melihat jumlah kuda yang banyak menderap melintasi mereka.

Sudah beberapa tahun berlalu sejak mereka lihat kemegahan Tentera Rui Lin. Siapa tahu mereka akan dapat menyaksikan kekuatan ini sekali lagi di dalam Bandar Diraja Kerajaan Qi.

Di dalam Bandar Diraja, kediaman pegawai berpangkat tinggi dikelilingi oleh Tentera Rui Lin.

Para pegawai yang selalunya kelihatan terhormat semuanya bersembunyi di dalam kediaman masing-masing. Mereka berasa takut dengan kehadiran Tentera Rui Lin.

Long Qi memecah masuk ke dalam Istana Wu bersama orang-orang bawahannya. Wu Wang yang sedang berpelukan dengan gundiknya, ditarik dan dicampak ke atas lantai.

Wu Wang menjerit ketakutan sewaktu Long Qi mengheretnya keluar tanpa sepatah kata!

Seorang jelitawan yang tiada tandingan sedang berdiri di hadapan satu angkatan tentera yang berhenti betul-betul di pintu masuk Istana Diraja.

Maharaja yang tadi telah terkejut melihat Isyarat Awan Melayang, datang ke pintu masuk Istana Diraja di mana satu kumpulan orang ramai sedang berkumpul. Mata baginda terbeliak melihat Jun Wu Xie mengetuai angkatan Tentera Rui Lin.

Cik Muda dari Istana Lin yang dahulunya dikritik secara meluas kerana bersikap degil dan tidak rasional, kini mengetuai angkatan Tentera Rui Lin dan menghalang laluan ke Istana Diraja. Obor-obor yang angkatan tentera itu bawa, memenuhi segenap ruang bandar itu dan kelihatan seperti naga!

Mo Qian Yuan berdiri di kalangan orang ramai, memandang ke arah Jun Wu Xie dari tembok istana yang tinggi. Matanya menunjukkan perasaan terkejut.