"Nampaknya kamu masih dapat melepaskan kemarahan kamu. Nampaknya kamu dapat menyesuaikan diri dengan baik." Nombor Satu berdiri di udara, di hadapan Ling Lan. Dia kelihatan sedikit terhibur ketika dia mengakui pencapaian Ling Lan buat pertama kalinya.
Ling Lan tidak dapat menahan keseronokan yang dirasainya sebaik mendengar kata-kata Nombor Satu itu, seolah-olah dia telah dipuji oleh seorang yang berpengalaman. Walau bagaimanapun, Ling Lan tidak begitu mudah dipujuk. Wajahnya serius sewaktu dia bertanya sambil merengus marah, "Jurulatih Nombor Satu, tidakkah kamu takut saya akan menjadi gila disebabkan persekitaran yang kejam ini?"
Ling Lan sedar jika dia tidak begitu kuat dari segi ketahanan mental, hutan belantara ini mampu membuatkan orang biasa menjadi gila, apatah lagi bagi anak kecil berusia enam tahun sepertinya. Tidak kira betapa berbakatnya anak itu, dia tidak akan dapat bertahan lama di hutan yang menakutkan ini.
Walaupun jika masti di sini, seseorang itu boleh hidup kembali selama berkali-kali, pelbagai cara kematian yang dahsyat dan kesan realistik yang dirasakan oleh tubuh badan, lebih dari cukup untuk memusnahkan fikiran kanak-kanak yang sedang membesar, meskipun aktiviti ini dianggap sebagai satu misi.
Ling Lan berasa sangat ragu-ragu. Ruang pembelajaran ini sebenarnya untuk memupuk bakat anak-anak atau sebenarnya bertujuan untuk memusnahkan masa depan mereka? Dia meluahkan keraguannya pada Jurulatih Nombor Satu.
Raut wajah Jurulatih Nombor Satu masih tidak menunjukkan sebarang perassan, lalu bertanya kembali, "Kamu sudah hilang akalkah?" Maksudnya keadaan Ling Lan yang kini masih lagi waras, menunjukkan keraguannya boleh dipertikaikan. Jika betul Ling Lan sudah hilang akal, pasti dia tidak boleh menunjukkan protesnya...
Ling Lan merenung ke langit tanpa mampu berkata apa-apa, dan menangis di dalam hati. Bedebah, kini dia semakin faham. Sebagai hos, mereka tidak mempunyai apa-apa kuasa, ketika mereka membesar, mereka menerima pembulian kejam dari ruang pembelajaran, tanpa peluang untuk melawan.
Berpuas hati dengan Ling Lan yang kini akur, Nombor Satu berkata, "Oleh kerana kamu telah menyelesaikan misi ini, ruang belajar tidak akan lokek dalam memberikan ganjaran."
Setelah kata-kata itu diucapkan, Ling Lan terus mendengar pengumuman daripada sistem ruang pembelajaran. "Misi pemburuan telah selesai, 50 mata diberikan."
Celaka, ruang pembelajaran ini sangat kedekut!
Ling Lan menyumpah di dalam hatinya. Ini membuktikan hipotesis asalnya tidak salah, mata kehormatan memang sukar diperolehi. Misi yang ekstrem ini yang hampir membuatkan dia jadi gila, hanya bernilai 50 mata! Dia berasa gembira kerana tidak mensia-siakan dan membazirkan mata kehormatan yang telah diterimanya dahulu.
Selepas sistem telah memberi ganjaran kepada Ling Lan, Nombor Satu tidak berkata apa-apa, hanya memetik jarinya. Persekitaran di sekeliling mereka berputar sekali lagi dan kawasan penuh kehijauan, paya, dan tulang-tulang rangka semuanya lenyap dan digantikan dengan medan kosong.
Mereka sekali lagi kembali ke ruang pembelajaran di mana dia telah belajar kemahiran fizikal daripada Jurulatih Nombor Sembilan. Melihatkan tempat yang amat dikenalinya, buat pertama kalinya Ling Lan terpegun melihat pemandangan yang indah di hadapannya ini, walaupun sebenarnya tidak ada apa-apa di situ.
"Masa hampir tamat, kamu patut pulang. Ingat, kawal aura jahat kamu itu..." Tanpa menjelaskan lebih lanjut, Jurulatih Nombor Satu menendang Ling Lan keluar dari ruang pembelajaran itu dan sesaat kemudian, Ling Lan telah berada di dalam dewan besar di dalam ruang minda.
Di satu sudut, Empat Kecil sedang duduk berfikir. Seolah-olah dapat mengesan sesuatu, Empat Kecil tiba-tiba mengangkat kepalanya. Matanya bersinar penuh dengan kegembiraan sewaktu melihat Ling Lan. Sebaik sahaja dia hendak menerkam Ling Lan, Empat Kecil tiba-tiba melompat ke belakang, bergegas bersembunyi di belakang satu tiang besar dalam keadaan panik. Dari belakang tiang itu, dia mengintai-intai dengan risau dan berkata, "Bos?"
Perangai Empat Kecil menjengkelkan Ling Lan. Dengan satu lonjakan terbang, dia telah mencapai cuping telinga Empat Kecil sebelum sempat Empat Kecil memberikan reaksi.
"Empat Kecil, kenapa kamu lari pula..." cemuh Ling Lan. Walaupun dia tidak mampu menentang Jurulatih Nombor Satu, sangat mudah baginya untuk menangani Empat Kecil yang nakal ini.
"Bantahan! Bantahan! Kamu sudah berjanji kepada tidak akan lagi menggunakan keganasan!" Empat Kecil membantah, melompat ke atas dan ke bawah dalam keadaan marah, rasa takutnya tadi sudah lenyap. Cuba menggunakan kekerasan ke atasnya, pasti inilah dia Bos Ling Lan. Seketika tadi dia telah tersilap anggap Ling Lan sebagai orang lain, iaitu seorang tukang sembelih yang ganas, dahagakan darah dan mempunyai niat membunuh.
Sambil mendengus jengkel, Ling Lan melepaskan telinga Empat Kecil dan bertanya, "Mengapa kamu berkelakuan seperti tidak kenal siapa saya? Siapa lagi yang akan memasuki tempat ini?"
Empat Kecil merenung Ling Lan dengan penuh teliti, kemudian berkata, "Bos, tidak sedarkah perubahan yang berlaku pada badan kamu? " Ketika suaranya semakin perlahan, sebuah cermin besar muncul dan memantulkan imej mereka dengan jelas.
Ling Lan mengangkat kepalanya untuk melihat cermin itu dan serta-merta memahami apa yang dikatakan Empat Kecil tadi. Sekarang dia juga faham mengapa Jurulatih Nombor Satu mengingatkannya untuk menahan aura jahatnya sebelum dia berlalu pergi.
Ling Lan di dalam cermin itu bukanlah Ling Lan yang lurus dan suci seperti dulu. Mata yang ganas, mempunyai niat membunuh di matanya dan aura kejam yang mengerikan, semuanya menunjukkan yang kanak-kanak ini ibarat binatang liar yang ganas dan mampu menyerang seseorang jika diberikan peluang.
"Bagaimana ini terjadi?" Ling Lan menggosok-gosok mukanya, cuba melembutkan ekspresi wajahnya. Jika dia keluar dengan wajah seperti ini, dia pasti akan menakutkan ibunya. Kalaupun dia tidak menakutkan ibunya, membuatkan para pekerjanya gerun juga bukanlah sesuatu yang baik.
Dengan bantuan Empat Kecil, Ling Lan akhirnya berjaya mengekang aura jahat yang menyelubunginya. Dengan sedikit usaha, dia mengukirkan senyuman dan akhirnya menemui semula Ling Ling yang tidak berbahaya seperti sebelum ini. Setelah berpuas hati, barulah dia mengucapkan selamat tinggal kepada Empat Kecil dan kembali ke dunia luar.
Empat Kecil dengan penuh semangat melambai-lambai dan mengucapkan selamat tinggal pada Ling Lan dan menghantarnya pulang. Apabila susuk tubuh Ling Lan hilang dari pandangannya, Empat Kecil berhenti melambai dan rebah ke tanah, sambil menyapu peluh di dahinya. Walaupun dia dipukul hingga mati, dia tidak akan mengaku kepada Ling Lan yang dialah yang telah memanjangkan tempoh masa persekitaran maya itu ke tahap maksimum...
Nampaknya Ling Lan terpaksa tinggal lama di hutan belantara itu bukanlah salah Jurulatih Nombor Satu, tetapi disebabkan perbuatan Empat Kecil. Boleh dikatakan Ling Lan sangat malang kerana mempunyai rakan sepasukan yang dungu seperti Empat Kecil. Nasib baiklah Ling Lan tidak menjadi gila.
Di dunia nyata, disebabkan usaha keras Ling Lan sebelum ini, dia kelihatan lemah dan lembut seperti biasa, muncul tanpa aura jahatnya. Jadi dia tidak mendapat perhatian khusus daripada orang-orang di sekelilingnya. Namun, keesokan harinya, Ling Lan mengemukakan permintaan kepada Ling Qin, supaya dia dapat menjalani latihan tempur sebenar
Dengan bersahaja dia memberi alasan mengenai ujian terakhir sewaktu di akademi, di mana dia terpaksa melawan pemeriksa. Dia mendakwa, oleh kerana dia tidak pernah menghadapi pertarungan sebenar sebelum ini, dia tidak bertarung dengan baik dalam peperiksaan itu dan gagal mendapatkan skor yang lebih tinggi. Ini menyebabkan dia mendapat tempat ke-17 ketika memasuki Akademi Pengakap Pusat.
Ling Lan memberitahu Ling Qin yang dia tidak dapat berehat sekarang, mungkin apabila dia memasuki akademi, pertempuran sebenar akan menjadi salah satu kursus khas yang perlu dia ambil dan dia tidak dimalukan lagi. Oleh itu, dia mahu mengambil inisiatif sebelum sekolah mula, dan berlatih dalam pertempuran sebenar.
Sebenarnya ini merupakan permintaan Jurulatih Nombor Satu untuk menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku disebabkan aura jahatnya.
Tenaga jahat tidak boleh dikekang untuk tempoh masa yang lama. Lama-kelamaan keadaan ini akan merosakkan tubuh badan Ling Lan dan mungkin juga mempengaruhi pertumbuhannya. Hanya apabila dia dapat mengawal aura jahatnya dengan bebas, sama seperti pengajarnya atau askar veteran yang pernah mengalami pertempuran, barulah masalah itu dapat diselesaikan.
Permintaan Ling Lan membuat Ling Qin berasa sangat terharu. Apa yang paling disaukai oleh orang tua ialah melihat orang yang mereka sayangi mempunyai cita-cita yang tinggi dan bermatlamat untuk mencapai kejayaan. Tanpa berlengah, dia memanggil pahlawan terbaik di rumah Ling dan melantik mereka sebagai pasangan bertarung untuk Tuan Muda Ling Lan.
Beginilah caranya Ling Lan memulakan program penyeksaan diri dalam masa sebulan sebelum sekolah bermula.
Pada waktu pagi dia bertempur melawan pahlawan keluarga Ling, manakala pada waktu malam dia diseksa oleh Jurulatih Nombor Sembilan. Pada tahapnya sekarang, Ling Lan masih belum berhak untuk diseksa oleh Jurulatih Nombor Satu ...
Dengan kitaran pertempuran berterusan pada setiap hari dan malam, Ling Lan dapat melepaskan aura jahatnya itu secara perlahan-lahan, sehinggalah dia dapat mengawal aura itu sedikit demi sedikit sehingga akhirnya hilang tanpa jejak. Akhirnya, hanya apabila Ling Lan mempunyai niat untuk membunuh, barulah aura jahatnya akan muncul dengan sendirinya.
Disebabkan aturan Jurulatih Nombor Satu, yang tiba tepat pada masanya, Ling Lan berjaya menangani keadaan di mana rahsianya mungkin terbongkar. Sementara itu, hanya tinggal dua hari sebelum sekolah bermula.