Sebaik pengiraan detik Ling-Kosong-Tujuh mencapai nombor 1, kereta apung yang sedang bergerak laju itu, berhenti secara tiba-tiba. Ling Lan merasakan seolah-olah dia akan tercampak keluar dari kenderaan itu, tetapi disebabkan tali pinggangnya dipasang kemas, dia tetap berada di tempat duduknya.
Tidak lama kemudian, Ling Lan merasakan yang daya inersia telah berkurangan, tetapi tanpa diduga, seluruh badannya tiba-tiba terasa ringan dan tali pinggang keselamatannya juga terbuka. Nampaknya kereta apung itu semakin hancur dan sedang berpecah menjadi beberapa serpihan.
"Lari!" Ling Qin menjerit. Dia mula bersedia dalam kereta apung itu buat kali terakhir sebelum menjadi orang pertama yang melompat keluar dari kenderaan itu. Ling Qin telah membuat keputusan, dia akan menjadikan dirinya sebagai umpan untuk menarik perhatian pembunuh-pembunuh di sekelilingnya, dan memberikan Ling Lan peluang untuk melarikan diri.
Ling Lan mengikutinya selepas itu. Di antara serpihan kereta apung itu, dia dengan cepat mencapai salah satu serpihan yang agak besar. Saiz serpihan itu tidak terlalu besar atau terlalu kecil, cukup untuk melindungi badan kecilnya, dan serpihan itu juga sedang melayang ke arah tempat pendaratan yang sesuai dengannya.
Seperti seekor cicak, Ling Lan berpaut pada serpihan itu, sambil dilindungi serpihan lain yang sedang berterbangan disekelilingnya, dia berpusing di udara untuk bersembunyi di bawah serpihan itu dan menyembunyikan diri. Selepas itu, sambil Ling Lan berada di bawah serpihan itu, dia membiarkan serpihan itu terus melayang sehingga jatuh di atas tanah kosong yang tidak ada kawasan berlindung.
Sewaktu dia mendarat, Ling Lan mengedarkan tenaga Qi ke seluruh badannya, mengisi setiap anggota badannya dengan tenaga ketika dia jatuh ke atas tanah. Tanpa diketahui oleh pemerhati luar, satu lubang besar telah dibentuk pada tanah di bawah serpihan yang dipegangnya dan menyembunyikan Ling Lan sepenuhnya. Oleh kerana serpihan di atas Ling Lan itu kelihatan rata di atas tanah, tidak ada orang yang akan mengesyaki seseorang boleh bersembunyi di bawah serpihan itu.
Ling Lan memilih untuk bersembunyi seperti ini kerana cara ini mengambil kesempatan ke atas anggapan umum dan tittik buta orang ramai. Di tanah terbuka yang rata, tanpa tempat yang sesuai untuk bersembunyi, tempat persembunyiannya tidak akan dipedulikan. Ini kerana kecenderungan semula jadi manusia ialah memberikan tumpuan pada semak-semak dan rumpun lalang di kawasan sekeliling. Inilah tempat yang orang lebih cenderung pilih untuk bersembunyi.
Tentu sekali Ling Lan bersembunyi di sini bukan atas alasan keselamatan. Dia bercadang untuk membalas serangan mereka. Sebaik perhatian mereka tertumpu ke kawasan lebih jauh dari Ling Lan, dia akan berada di belakang penyerangnya. Inilah kedudukan di mana dia akan mempunyai peluang untuk memberi pukulan maut pada belakang mereka yang tidak dilindungi.
Ling Lan tidak mempunyai pilihan selain mengambil risiko ini. Pihak lawan telah memilih tempat serangan hendap mereka dengan baik, iaitu kawasan yang sukar untuk mendapat perlindungan daripada bandar-bandar berdekatan. Dari kediaman Ling ke Pusat Akademi Pengakap, Ling Lan akan melalui bandar-bandar yang sibuk. Hanya selama setengah jam sahaja yang dia akan melalui tanah yang tidak berpenghuni. Dalam masa setengah jam itu, hanya terdapat hutan atau dataran yang sepi serta hampir tidak berpenghuni. Satu-satunya makhluk yang hidup ialah binatang liar dan unggas.
Dengan merancangkan serangan hendap di sini, pihak lawan tahu sewaktu bandar-bandar di kedua-dua arah menerima isyarat kecemasan dan menghantar pasukan penyelamat, masa yang paling awal bantuan akan tiba ialah 15 minit. Ling Lan percaya yang orang-orang ini mampu membunuhnya beberapa kali dalam tempoh 15 minit itu. Dia juga percaya yang jika pihak lawan tidak menemui sebarang jejak di sekitarnya, mereka akan membuat pembakaran terbuka dan melakukan penyisihan menyeluruh, mungkin juga menggali tiga kaki ke dalam tanah. Apabila tiba waktu itu, walaupun dia bersembunyi di titik buta, dia masih akan terpaksa keluar dari tempat persembunyiannya. Dia tidak boleh mengambil risiko ini.
Yang paling penting, dia tidak dapat memastikan yang penjaganya, Ling Qin, dapat bertahan selama 15 minit dalam keadaan begini. Sekiranya dia tidak menyerang, mungkin dia akan melihat orang tersayangnya mati buat kali pertama sejak datang ke dunia masa depan ini. Ini sesuatu yang dia sebenarnya tidak mahu berlaku.
Tidak lama kemudian, tiga kereta apung terbang ke arahnya. Walau bagaimanapun, pihak lawan sangat berhati-hati, dan tidak terbang ke tapak utama. Sebaliknya, mereka mendarat kira-kira 30 meter dari tempat Ling Lan bersembunyi.
Pintu dua kereta apung itu terbuka dan lapan orang lelaki yang gagah berjalan keluar. Lapan lelaki itu memakai perisai penuh, dengan helmet pelindung di kepala mereka, baju pelindung di badan mereka, dan senapang submesin-cahaya di kedua-dua tangan mereka. Ini semua ialah peralatan standard, biasa dilihat pada tentera dan angkatan persendirian. Nampaknya pihak lawan berhati-hati dalam aspek ini juga. Apa-apa yang boleh mendedahkan identiti mereka, telah disingkirkan.
Lapan orang itu datang lebih dekat dengan berhati-hati, meninggalkan kereta apung terakhir dengan pintu tertutup. Kereta itu mempunyai dua meriam plasma yang diletakkan tinggi di atasnya bagi melindungi kemaraan pihak musuh, sedia untuk menembak sebaik ada sebarang tanda rintangan.
Jelas sekali, ketiga-tiga kereta apung ini telah diubah suai secara peribadi untuk menjadi kereta pertempuran. Ling Lan juga menyedari yang tidak ada nombor pendaftaran yang dimandatkan oleh Persekutuan pada kereta mereka. Pihak lawan memang telah memikirkan segalanya.
Ling Lan tidak mengangkat kepalanya langsung, tetapi dia tahu dengan jelas tentang keadaan semasa. Mempunyai Empat Kecil bermakna dia dapat mengetahui apa yang berlaku dalam radius seribu meter walaupun dengan matanya tertutup. Melalui cara ini, dia tahu yang lebih jauh daripada kereta-kereta apung di sini, di lokasi yang tidak dapat dilihat dari kedudukan ini, terdapat dua mecha berbentuk manusia yang sedang menghalakan penembak hendap jarak jauh ke arah ini. Pihak lawan benar-benar bertekad untuk membunuh mereka.
Dengan tenang, Ling Lan mengira kadar kejayaan beberapa kemungkinan serangan dalam mindanya. Walau bagaimanapun, semua senario yang telah dipertimbangkan dalam mindanya sehingga kini mempunyai kadar kejayaan sifar. Namun begitu,Ling Lan tidak tawar hati. Pengalamannya di hutan purba dan latihan kemandiriannya di sana telah membuat kata-kata ini terpahat dalam hatinya, 'bertenang walaupun hampir mati, kerana peluang sering akan muncul pada saat yang paling tidak disangkakan.'
Demi mewujudkan kemungkinan dia akan terselamat, Ling Lan terlebih dahulu perlu menyelesaikan masalah kereta apung pihak musuh. Kedua-dua meriam plasma itu ialah ancaman yang sangat besar. Namun begitu, dua mecha berbentuk manusia itu turut memeningkan kepala... Ling Lan memutuskan untuk memberi tumpuan pada masalah di hadapannya sekarang.
Senjata yang ada padanya sekarang ini tidak cukup baginya untuk menghapuskan kereta apung berperisai itu, dan pembunuh profesional di dalamnya. Dengan badannya yang kecil, Ling Lan mungkin boleh menjatuhkan seorang musuh, tetapi jika dia terpaksa bertempur dengan dua orang, dia akan terkorban.
Apa yang patut Ling Lan lakukan?
'Ish, di saat genting ini, kenapa kamu lupakan saya?' Dalam mindanya, Empat Kecil, yang selama ini sedang menunggu Ling Lan meminta bantuannya, tiba-tiba memastikan bantahannya didengar.
'Ha? Berapa ramai orang yang kamu boleh tewaskan?' Ling Lan terkejut dan agak keliru. Dia sendiri tidak boleh menewaskan dua orang serentak, apa yang boleh Empat Kecil lakukan sedangkan dia tidak ada badan?
'Um, saya tidak boleh berbuat apa-apa dengan manusia, tetapi saya boleh mengendalikan kereta…' kata Empat Kecil dengan penuh rasa benci. Kenapa bosnya ini begitu dungu? Manusia bukannya komputer yang dia boleh godam.
Kata-kata Empat Kecil memberi harapan pada Ling Lan. Dia sememangnya dari tadi hanya berfikir di dalam kotak. Kereta apung moden semuanya dikawal oleh kecerdasan buatan, manakala Empat Kecil ialah musuh semulajadi bagi segala digital. Selagi dia diberi peluang, Empat Kecil pasti dapat menggodam kereta apung itu, dan menghalang kereta itu daripada menembak senjatanya...
'Dari jarak ini, boleh kamu lakukannya?' Ling Lan terpaksa bertanya kerana dia bimbang.
'10 meter lebih jauh dari sini pun boleh... jika kuasa spiritual kamu lebih tinggi sedikit, saya akan dapat melakukannya dalam jarak lebih jauh lagi,' jawab Empat Kecil dengan nada mengejek sedikit, seolah-olah memandang rendah pada Ling Lan kerana menghadkan jaraknya.
Ling Lan merasa jengkel, 'Buat sahajalah. Jika saya mati, kamu juga akan mati…'
Empat Kecil menggigil, bagaimana dia boleh terlupakan hakikat ini? Dia tidak berani untuk bermain-main lagi. Dengan segera dia meminjam sedikit kuasa spiritual Ling Lan untuk mula menggodam kereta apung itu.
Pada ketika ini, lapan lelaki itu telah melepasi tempat persembunyian Ling Lan. Lagipun, tidak ada apa-apa di kawasan tanah ini selain daripada beberapa keping serpihan pelbagai saiz yang bertaburan di atas tanah, tidak ada tempat untuk seseorang bersembunyi. Secara semulajadi, mereka tidak mempertimbangkan kawasan ini, bergerak terus ke arah pokok-pokok dihadapannya. Jelas sekali, ini tempat yang lebih sesuai untuk bersembunyi
Apabila mereka semakin mendekati kawasan berpokok itu, Ling Lan mula berdebar-debar... kerana di situlah tempat Ling Qin sedang bersembunyi.