Chereads / TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 22 - Kehidupan Bebas Hutang!

Chapter 22 - Kehidupan Bebas Hutang!

Satu tahun berlalu dengan cepat sekali, dan Ling Lan tidak lama lagi akan berusia enam tahun. Ling Lan yang selalu merungut waktu bergerak dengan perlahan kini telah berubah. Dia merungut masa bergerak terlalu pantas pula.

Sejak dia mula mempelajari seni mempertahankan diri keluarga Ling pada usia lima tahun, Ling Lan dapat mengamalkan Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan dengan bebas. Dalam masa satu tahun ini, dia telah berjaya mencapai tiga kali ganda lebih banyak daripada apa yang dicapainya dalam masa tiga tahun setengah sebelum ini iaitu sebelum berusia lima tahun. Ketika itu dia hanya berjaya menguasai empat posisi, tetapi dia telah menguasai tiga posisi lagi selepas itu, dalam masa satu tahun sahaja. Perlu diingatkan yang setiap posisi dalam Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan akan menjadi semakin sukar. Ini kerana setiap posisi memerlukan lebih banyak waktu dan usaha untuk dikuasai daripada posisi sebelumnya.

Malangnya, Ling Lan tidak mempunyai masa untuk berehat. Malah, dia semakin berasa tertekan. Tarikh akhir untuk menguasai Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan semakin dekat. Dia hanya tinggal enam bulan lagi, dan dia masih belum menguasai posisi kelapan, apatah lagi posisi kesembilan yang lebih mencabar.

Dia sangat berharap yang dia dapat menggunakan setiap saat untuk berlatih, malahan dia sudah mula membuat gaya pertempuran pada waktu makan dan menghabiskan makanannya dengan cepat supaya dia dapat kembali berlatih secepat mungkin. Ini membuatkan ibunya, Lan Luofeng berasa sedih apabila dia melihat gambar ayah Ling Lan. Dia merasakan yang dia telah mengecewakan suaminya kerana tidak membesarkan anak mereka dengan betul. Ling Lan tidak sopan dan tertib, tidak menggambarkan dia ahli sebuah keluarga yang berprestij.

Dalam keadaan huru-hara itu, akhirnya tibalah tarikh akhir. Walaupun Ling Lan telah berjaya menguasai posisi kelapan, posisi kesembilan masih tidak lengkap walaupun dia telah berusaha sehabis baik.

********

Ling Lan benar-benar tidak mahu bertemu dengan Jurulatih Nombor Satu. Malangnya, ruang belajar tiada belas kasihan dan tidak membenarkan Ling Lan melarikan diri. Tepat masanya tamat, kesedaran Ling Lan diseret ke ruang belajar.

Apabila dia memasuki ruang belajar untuk kursus kemahiran fizikalnya, dia perasan yang udara di sekelilingnya dirasakan lebih sejuk daripada biasa. Jurulatih Nombor Satu sudah sedia menunggu, posturnya tegak dan tegang. Dia kelihatan seperti sudah lama menunggu.

Ling Lan menggosok-gosok lengannya, cuba memanaskan badannya sedikit. Mustahil untuk Ling Lan bertenang di hadapan si pahlawan yang hebat tetapi juga menakutkan itu.

Aura Nombor Satu kini jauh lebih sejuk berbanding ketika pertemuan mereka sebelum ini. Walaupun matanya mengekalkan ketenangan yang biasa, dan tiada riak emosi pada mukanya, Ling Lan masih dapat membaca dengan jelas tanda-tanda yang menunjukkan Nombor Satu tidak puas hati dengannya.

Habislah, Nombor Satu mesti sangat tidak puas hati dengan prestasinya kali ini. Ling Lan tahu yang dia dalam bahaya. Dia segera menjadi serius, kepalanya ditundukkan dan pandangan mata diturunkan sambil berkata, "Jurulatih Nombor Satu, saya minta maaf, saya telah mengecewakan kamu."

Nombor Satu menjawab dengan tenang, "Tidak perlu meminta maaf. Kami di sini hanya untuk membimbing dan memberi arahan. Tidak penting pada kami sama ada kamu menghargainya atau tidak. Kamu meminta maaf pada orang yang salah. "

Walaupun Nombor Satu mengatakan semua ini dengan acuh tak acuh dan nada tidak peramahnya seperti biasa, Ling Lan dapat merasakan yang Nombor Satu tidak puas hati dengannya.

Ling Lan berasa sedih. Oh, Jurulatih Nombor Satu, apa maksud kamu sebenarnya? Apa yang kamu mahu saya buat?

Walaupun Ling Lan sedang merungut di dalam hati, mukanya tidak menunjukkan apa-apa emosi kerana dia terus menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat.

Ling Lan sebenarnya berasa agak bersalah. Dia telah membazirkan banyak masa pada tiga tahun pertama. Dia tidak berlatih dengan serius pada tempoh masa itu, walaupun sebahagian besar daripadanya boleh dipersalahkan atas penjaganya di kalangan Keluarga Lin. Ketika itu, dia hanya dapat berlatih pada lewat malam ketika ibunya sedang tidur, jadi dia cuma dapat berlatih sekitar lima hingga enam jam sehari. Ini menjadikan peningkatan kemahirannya menjadi sangat perlahan. Walaupun dia telah berlatih seberapa banyak yang dia mampu selepas memulakan latihan seni mempertahankan diri, dia tidak sempat menggantikan masa yang telah disia-siakan selama tiga tahun itu.

"Latihan dalam Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan. Lapan posisi telah dikuasai, penguasaan posisi kesembilan sebanyak 69 peratus. Misi tidak lengkap. Pilihan hukuman: Satu, potongan 200 mata kehormatan, kekurangan mata boleh diberi pampasan dengan pilihan lain. Dua, hukuman dera, 200 kejutan elektrik! Tiga, pertukaran mata kehormatan untuk pelanjutan tarikh akhir, hukuman akan meningkat dua kali ganda jika misi masih tidak dapat diselesaikan. Sila buat pilihan anda!"

Ruang belajar mengumumkan semua pilihan hukuman Ling Lan dalam nada mendatar tanpa belas kasihan. Pilihannya mengejutkan tetapi juga melegakan hati Ling Lan. Hukumannya agak berat. Di antara pengurangan mata kehormatan yang banyak, dan hukuman dera yang mengejutkan, dia tidak mahu memilih salah satu di antara keduanya melainkan dia tidak mempunyai pilihan lain. Mata kehormatan telah terbukti sangat berharga, jadi dia tidak ingin kehilangan mata kehormatan dengan cara ini, manakala hukuman dera pula...uhuk, uhuk, dia memang tidak akan dapat bertahan...

Sebaliknya, Ling Lan merasa lega yang sistem ini memberi peluang untuk dia memperbaiki keadaannya. Tetapi kemungkinan hukuman akan digandakan hukumannya. Hanya memikirkan hal ini sahaja telah membuat jantung Ling Lan berdegup kencang, dan berasa seram sejuk.

Dengan nada mendatar, Nombor Satu bertanya, "Cakap. Apa pilihan kamu?"

Ling Lan menyakan soalan dengan berhati-hati, "Jurulatih Nombor Satu, bolehkah kamu menjelaskan pilihan ketiga pada saya?" Jika dia tidak perlu menukarkan mata kehormatan dengan banyak, dia sanggup mencubanya.

Nombor Satu memandangnya dengan tenang dan berkata, "Kamu boleh menukarkan 10 mata kehormatan untuk melanjutkan tarikh akhir kamu sebanyak 30 hari. Dalam masa 30 hari itu, kamu boleh meneruskan latihan Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan. Sekiranya kamu boleh menguasainya dalam tempoh masa itu, hukuman akan dibatalkan. Sekiranya kamu gagal, hukumannya akan meningkat dua kali ganda. "

Ling Lan teruja. Dia boleh menerima hakikat yang 10 mata kehormatannya akan ditolak, walaupun agak sukar untuk memutuskan jika dia benar-benar boleh menguasai posisi kesembilan dalam tempoh 30 hari. Sejujurnya, Ling Lan tidak yakin dengan dirinya. Dia mungkin hanya memerlukan satu bulan lagi untuk menguasai posisi itu, tetapi dia juga mungkin memerlukan dua bulan, tiga bulan, atau mungkin satu tahun lagi. Ling Lan masih lagi ingat yang Jurulatih Nombor Sembilan telah memberitahunya, menguasai posisi kesembilan memerlukan peluang dan tahap penyedaran tertentu. Dia tidak akan berjaya menguasai posisi ini tanpa salah satu.

Patutkah dia mengambil risiko dan cuba sahaja? Ling Lan teragak-agak, tetapi, dia tidak mahu mengorbankan mata kehormatan yang diperolehnya, dan dia tidak boleh meyakinkan diri untuk mengambil hukuman dera itu. Jadi dia memutuskan untuk mengambil risiko dan memilih pilihan ketiga.

Apabila Ling Lan menyatakan pilihannya, dia merasakan bilik itu semakin hangat sehingga tiba pada suhu yang lebih selesa. Nombor Satu meneruskan proses pemilihannya, dan sebelum Ling Lan dapat bertanya lagi, dia telah ditendang keluar dari kawasan pembelajaran kemahiran fizikal.

Ling Lan hanya ingat pandangan mata yang menakutkan itu sahaja, penuh dengan ancaman. Amaran yang jelas supaya lebih baik Ling Lan menyelesaikan misinya dengan betul kali ini.

Sebaik tiba di ruang belajar umum, Ling Lan langsung tidak bertegur sapa dengan Empat Kecil kerana ingin bergegas ke dunia sebenar untuk memulakan latihan.

Walaupun Ling Lan tidak diberitahu makna pandangan terakhir Nombor Satu yang penuh dengan ancaman itu, dia sedar jika dia tidak dapat menguasai Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan sebelum tarikh akhir yang baru, dia akan diseksa sehingga mati ...

********

Oleh itu, Ling Lan berlatih seperti tidak ingat dunia. Setiap hari, dia akan berlatih sehingga dia hanya mempunyai tenaga yang cukup untuk terus bernafas sebelum dia berani berhenti. Dengan rutin baru yang tidak masuk akal ini, Ling Lan akhirnya berjaya menguasai posisi kesembilan.

Apabila Ling Lan memasuki ruang pembelajaran kemahiran fizikal dan nampak hanya sepuluh saat lagi sehingga tarikh akhir, dia berasa seram sejuk. Sejujurnya, sehingga saat-saat terakhir, dia sendiri tidak pasti jika dia boleh menyelesaikan misi itu tepat pada waktunya. Dia hanya fokus untuk terus mengedarkan tenaga dalamannya, dan mendorong badannya melakukan Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan berulang kali.

Mungkin pendekatan ini agak kurang bijak,tetapi kaedah ini mungkin dorongan terakhir yang diperlukan oleh Ling Lan. Dia telah berlatih sehingga ke tahap kesedarannya mula menjadi kabur, dia merasa seperti keadaan mentalnya semakin rapuh. Badannya melakukan semua posisi Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan tanpa sedar, sudah terbiasa dengan semua sembilan posisi disebabkan oleh kerja kerasnya.

Oleh itu, Ling Lan dilepaskan daripada pedang Damocles yang digantung pada lehernya, dan akhirnya kembali pada kehidupan yang bebas daripada hutang.

########

  1. Mempunyai pedang Damocles bermakna anda menghadapi ancaman, biasanya ancaman yang melibatkan bahaya besar.