"Tuan Muda sudah bersedia?" Di hadapan bilik ujian kekuatan, Ling Qin kelihatan lebih gelisah daripada Ling Lan yang akan mengambil ujian tersebut.
Bibir Ling Lan menggerenyet. Penjaga berumur ini tidak tenang seperti biasa sejak mereka melangkah masuk ke akademi pengakap ini. Adakah dia tidak percaya pada Ling Lan?
Ha...memanglah ada perkara yang dia tidak boleh kawal, seperti, siapa sangka yang ujian kecerdasan tadi sangat sukar...
Muka Ling Lan menjadi muram apabila dia teringat kesilapannya yang memalukan semasa ujian itu tadi. Namun, untuk meyakinkan penjaganya yang benar-benar menyayanginya, dia berkata, "Bertenang, Pak Cik Qin. Saya berjanji saya akan menyelesaikan misi itu."
Kalau bukan kerana benar-benar risaukan dirinya, kenapa Ling Qin tidak boleh bertenang? Dia seorang ahli tempur terlatih!
Mendengar kata-katanya, Ling Qin kelihatan semakin bertenang. "Baiklah, baiklah."
Ling Lan berdiri di sini kerana sudah tiba masanya untuk Ling Lan memasuki akademi pengakap. Mengikut undang-undang persekutuan, setiap kanak-kanak mesti menyertai akademi pengakap pada usia enam tahun, dan wajib belajar selama sepuluh tahun di sana.
Jadi, walaupun Lan Luofeng enggan, dia terpaksa membawa Ling Lan ke akademi pengakap untuk mengambil ujian pendaftaran yang akan menentukan kelas Ling Lan.
Terdapat empat bahagian ujian pendaftaran iaitu kecerdasan, kekuatan, stamina, dan kelajuan.
Bahagian pertama, ujian kecerdasan, mudah sahaja. Ujian itu sangat mudah sehinggakan kebanyakan kanak-kanak tidak menganggapnya sebagai ujian yang sebenar, kerana mereka hanya membiarkan setiap kanak-kanak bercakap dengan pemeriksa selama 3 hingga 5 minit, kemudian keputusan diberikan.
Ling Lan mendapat 80 markah dalam ujian ini. Namun kanak-kanak lain kebanyakannya mendapat 90 markah, membuatkan Ling Lan malu dengan markahnya. Sehingga kini, dia masih tidak faham bagaimana mentaliti matangnya selepas hidup selama lebih daripada 30 tahun, kalah dengan kanak-kanak 6 tahun. Masuk akalkah? Siapa tahu bagaimana pemeriksa menentukan markah, mereka tidak menerangkan tentang asas permakahan.
Walaupun Ling Lan berasa seperti ditipu, dia terpaksa menerima keputusan ini. Berdasarkan peraturan ujian, sebarang bantahan mengenai pemarkahan hanya boleh dibangkitkan selepas semua ujian pendaftaran selesai.
Ujian kedua ialah ujian kekuatan. Ling Lan bersumpah dengan dirinya yang dia akan menebus dirinya dengan ujian ini. Dia tidak akan membiarkan kanak-kanak lain mengalahkan dia. Dia telah banyak berlatih di ruang belajar dalam mindanya!
Akhirnya, nama Ling Lan dipanggil. Semasa dia bersedia untuk memasuki bilik ujian, Ling Qin memegang bahu Ling Lan. "Tuan Muda ingat apa yang Puan pesan? Jangan kecewakan Puan!"
Lan Luofeng sedang menunggu di luar akademi. Dia tidak mahu kebimbangannya mempengaruhi prestasi Ling Lan. Jadi dia telah memutuskan untuk tinggal di luar, menunggu mereka datang dan memberitahunya keputusan Ling Lan.
Ling Lan menganggukkan kepalanya. "Ya, Ling Lan akan berjaya. Ibu tidak perlu risau, Pak Cik Qin juga." Berkelakuan comel agak memalukan sebenarnya, tetapi inilah satu-satunya cara untuk meyakinkan orang yang dia kasihi. Ling Lan telah belajar untuk mengabaikan rasa malunya dan melakukannya.
Diiringi pandangan penuh kasih sayang dari Ling Qin, Ling Lan masuk ke bilik peperiksaan.
Dalam kawasan yang dibuat untuk ujian kekuatan, dua anggota tentera dalam pakaian seragam tentera duduk di dalam salah satu bilik di situ. Seorang pegawai sedang melihat keputusan ujian kecerdasan Ling Lan dan komen pemeriksa. Dia tidak sangka dengan markah Ling Lan sangat rendah, menyebabkan dia mengerutkan dahinya. Tetapi dia terkejut apabila melihat komen pemeriksa yang ditulis di bawahnya.
Pegawai di sebelahnya curiga melihat reaksinya, lalu bertanya, "Kenapa?"
"Tenang dan terurus, berfikiran logik, kurang imaginasi... kita telah menguji kanak-kanak selama hampir tiga tahun, tapi saya tak rasa kita tidak pernah nampak komen seperti ini."
Selepas mendengar komen itu, pegawai seorang lagi berkata dengan rasa tidak puas hati, "Saya tidak akan komen tentang yang lain, tetapi apa salahnya dengan sikap tenang dan terurus? Dalam peperangan, hanya yang tenang akan bertahan. Bukankah markah dia agak pelik?"
"Siapa yang bertanggungjawab dalam ujian kecerdasan? Mereka tidak akan membiarkan kanak-kanak seperti ini yang sukar untuk dipengaruhi dan sukar ditarik minatnya, memasuki kelas khas dan membazirkan sumber mereka." Pegawai yang membaca komen itu tersenyum sumbing, kerana tidak puas hati dengan pemeriksa ujian kecerdasan.
"Hehe, betul juga. Keluarga yang hebat hanya ambil peduli tentang bakat yang membawa keuntungan pada keluarga mereka sendiri, tanpa mempedulikan kebaikan bakat ini bagi pihak persekutuan. Beberapa kanak-kanak yang berbakat telah dimasukkan ke dalam kelas biasa kerana keluarga seperti ini, membuatkan kanak-kanak itu sukar mendapatkan sumber yang lebih baik, dan menyebabkan persekutuan kehilangan beberapa bakat yang hebat," kata pegawai yang lain dengan kesal. Malangnya, orang-orang itu mempunyai kuasa dan pengaruh yang banyak. Contohnya, mereka berusaha untuk mendapatkan tanggungjawab mengatur kelas pendaftaran akademi pengakap, supaya mereka boleh meletakkan murid yang setia pada mereka ke dalam kelas yang lebih baik. Anggota tentera lain yang terlibat dalam proses itu tidak mempunyai kuasa walaupun mereka mahu membantu beberapa kanak-kanak yang berbakat.
"Harapnya budak ini akan mendapat markah lebih baik dalam ujian selepas ini. Jika tidak, dia tidak akan mempunyai harapan untuk masuk ke Kelas Khas-A."
"Kelas-A? Dia beruntung jika dia dapat masuk Kelas-B. Dia mungkin hanya akan ditolak ke salah satu kelas biasa..." Pegawai yang lain tidak fikir Ling Lan mempunyai peluang dengan markah kecerdasan yang rendah.
"Tuan pemeriksa, Ling Lan bersedia untuk ujian," kata Ling Lan dengan kuat. Apabila dia masuk ke dalam bilik itu, kedua-dua pegawai itu sedang berbisik sesama mereka. Jadi dia berjalan sehingga berada kira-kira 2 meter dari mereka, kemudian berdiri tegak dan mengumumkan kehadirannya.
"Oh, dia pandai menarik perhatian." Salah seorang pegawai itu ketawa. Mereka terbiasa melihat kanak-kanak yang gementar dan malu, jadi agak menarik menemui kanak-kanak yang berani.
Secara dalaman, Ling Lan sudah dewasa, dan dia juga terpaksa bertahan dengan aura Jurulatih Nombor Satu yang mengerikan lebih daripada sekali. Dua orang pegawai ini, dengan penampilan mereka yang lemah, bukanlah ancaman baginya.
Seorang lagi pegawai memberikan senyuman manis, dan menunjuk ke barisan barbel di salah satu sudut bilik, "Angkat barbel mana yang boleh. Jangan memaksa diri kamu. Ini hanyalah ujian, bukan pertandingan."
Ling Lan mengangguk. Dia berjalan ke arah barbel, dan nampak yang setiap barbel dilabel beratnya. Ling Lan arif dengan keadaan badannya. Dia telah selesai belajar tahap asas seni mempertahankan diri keluarga Ling, dan kini telah mula berlatih teknik pertempuran, jadi dia tahu sangat dengan batas kekuatannya.
Ling Lan tidak memilih dengan serta-merta, tetapi berpusing untuk bertanya, "Boleh Tuan beritahu saya berat yang akan memberi markah penuh?" Markah kecerdasannya yang tidak memuaskan bermakna Ling Lan perlu mendapatkan markah sebanyak mungkin dalam tiga ujian yang lain, kerana dia perlu masuk kelas khas. Ini juga misi yang diberikan kepadanya oleh ibunya.
Bukannya Lan Luofeng mahukan kemegahan, tetapi hanya pelajar yang mendaftar masuk kelas khas mempunyai hak untuk membina rancangan pelajaran mereka sendiri. Mereka boleh memilih pengajar yang dimahukan, dan memilih untuk tinggal di rumah. Demi melindungi rahsia Ling Lan, ini sahaja pilihannya.
Kedua-dua pegawai memandang satu sama lain. Berlagak betul budak ini. Mereka sendiri tidak berani mengatakan mereka mampu mengangkat 500 kati=300 kilogram
"500 kati!" jawab salah seorang pegawai.
Dengan jawapan yang diberikan, Ling Lan berjalan dengan santai dan berdiri di hadapan barbel 500-kati. Dia menggenggam batang besi barbel itu dengan kuat. Berat 500 kati itu lebih sedikit daripada rekod terbaiknya. Sekiranya dia memaksa diri, kalau dia tidak bernasib baik, dia mungkin akan tercedera. Namun begitu, Ling Lan tetap mahu mencuba. Lagipun, bukannya langsung tidak ada peluang untuk berjaya. Dia juga mempunyai senaman Qi untuk membantunya jika dia benar-benar tercedera. Oleh itu, dia tidak takut untuk mencuba.
Lagipun, satu lagi sebab Ling Lan mahu mencuba ialah kerana sangat mudah untuk mendapatkan markah dalam ujian kekuatan. Markah bagi ujian ini bersifat objektif, berapa berat yang dapat diangkat bersamaan dengan berapa banyak markah yang akan dperolehi. Ini tidak sama seperti ujian stamina dan kelajuan di mana markahnya lebih subjektif. Walaupun Ling Lan yakin dengan dua ujian yang akan datang, dia juga risau dengan kehilangan markah yang tidak dapat dielakkan lagi seperti dalam ujian kecerdasan.
Namun, Ling Lan tidak akan mengangkat barbel sesuka hati. Dia mahu melindungi badannya sebaik mungkin. Dia mengedarkan tenaga Qi sekali dan mengisi seluruh badannya dengan tenaga itu. Selepas itu dia menggenggam batang besi itu sekuat-kuatnya, dan mengangkat barbel.
Dia menunggu sehingga monitor berdering dengan bunyi isyarat, menunjukkan yang dia telah berjaya sebelum meletakkan barbel semula. Kedua-dua pegawai seolah-oleh terjaga daripada kebingungan oleh sebaik mendengar bunyi barbel berat itu dijatuhkan ke lantai.
"Dia berjaya..." Kedua-dua pegawai itu terkejut dan tidak percaya. Salah seorang daripada mereka berlari ke paparan monitor untuk melihat keputusan dengan lebih dekat. Apabila dia melihat perkataan 'BERJAYA' pada skrin, dia sangat teruja sehingga tidak dapat berkata apa-apa.
"Siapa sangka selepas tiga tahun, saya akan mendapat calon dengan markah kekuatan penuh." Pegawai itu terharu dan bangga. Ini bukanlah seperti ujian kecerdasan, yang markahnya boleh dimanipulasi. Markah ini menunjukkan kekuatan. Dia telah menyaksikan kelahiran seorang genius baru dalam pertempuran! (Semakin kuat, semakin mudah latihan, memerlukan hanya separuh usaha untuk mendapat kesan yang sama.)
Kedua-dua pegawai itu menulis markah Ling Lan dengan kegembiraan dan menambah komen mereka di bahagian bawah. Komen mereka terdiri daripada hanya tiga perkataan: Genius dalam pertempuran! Hanya tiga perkataan ini dapat menggambarkan perasaan mereka pada saat ini.
Sementara itu, mereka tidak menyedari ekspresi Ling Lan sewaktu dia meletakkan barbel itu. Sudah tentu Ling Lan hairan, dia masih mempunyai lebih lagi kekuatan ketika dia mengangkat barbel itu. Pada mulanya dia fikir yang 500 kati ialah berat yang melebihi batasnya. Namun ketika dia mengangkat barbel itu, mudah sahaja.
Adakah dia telah termakan pil menguatkan badan tanpa disedari?
Tanpa penjelasan, Ling Lan hanya boleh melupakannya buat masa sekarang sambil dia melangkah keluar dari bilik itu dan bersiap sedia untuk ujian seterusnya.