Chereads / TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 28 - Data Sepuluh Orang Kanak-Kanak

Chapter 28 - Data Sepuluh Orang Kanak-Kanak

Ling Lan menyembunyikan perasaan gembiranya dan dengan perlahan dia bertanya pada Han Jiyun, "Apakah kelayakan untuk menjadi seorang tentera?"

Han Jijyun sangat terkejut dengan soalan Ling Lan, tetapi masih menjawab dengan serius, "Bersemangat dan setia memberikan perkhidmatan pada Persekutuan Cina yang tercinta. Saling menghormati, mempercayai dan menjaga ahli angkatan tentera dengan hati yang murni..." Han Jijyun melafazkan sumpah yang perlu dibaca oleh semua anggota tentera di bawah bendera negara mereka setelah menerima kelayakan bergelar tentera dan dibenarkan mengenakan pakaian seragam masing-masing. Sumpah ini mengandungi segala ciri-ciri kelayakan seorang anggota tentera.

Sambil mendengar sumpah yang dilafazkan oleh Han Jijyun, mata Ling Lan semakin bersinar. Dia bertanya lagi, "Apa itu akademi pengakap?"

"Pusat pendidikan untuk bakal anggota tentera," kata Han Jijyun dengan penuh kepastian.

Senyuman Ling Lan semakin lebar. "Jadi, kita perlu berhati murni untuk saling menghormati, mempercayai, dan menjaga ahli-ahli kita."

Han Jijyun tiba-tiba tersedar, dan matanya bersinar. Dia akhirnya memahami petunjuk Ling Lan.

"Qi Long, Luo Lang, pergi bantu Han Xuya dan Luo Chao," Han Jijyun menjerit pada kedua-duanya yang sedang berlari di depan.

"Ah...!" Qi Long hampir terjatuh kerana terkejut. Mengapa mereka perlu membantu kedua-dua budak perempuan yang sedang memperlahankan mereka?

"Saya akan beritahu sebaik sahaja ujian selesai." Walaupun Han Jijun bersetuju dengan penilaian Ling Lan, dia tidak mahu membuang masa bertengkar. Dia memutuskan untuk tidak memberi penjelasan pada Qi Long dan Luo Lang buat masa sekarang.

Qi Long terus mengikut kata-kata Han Jijyun tanpa bantahan. Dia secara beransur-ansur memperlahankan lariannya, turun daripada tempat pertama menjadi tempat terakhir. Luo Lang teragak-agak seketika tetapi selepas melihat reaksi Qi Long, dia juga melakukannya. Lagipun, salah seorang daripada dua budak perempuan yang memerlukan pertolongan itu ialah kembarnya sendiri. Sebaliknya, Qi Long bukanlah ahli keluarga kedua-dua budak perempuan itu.

Tambahan pula, walaupun Luo Lang ingin mengalahkan Qi Long, dia tidak mahu menang dengan cara ini. Luo Lang yang bangga diri, tidak akan menerima kemenangan yang memalukan seperti ini.

Tidak dapat dinafikan, Qi Long dan Luo Lang ialah yang paling cergas dalam kumpulan mereka. (Tidak termasuk Ling Lan kerana dia terlalu bertuah.) Walaupun mereka memikul beban orang lain, kelajuan mereka tidak banyak berkurangan. Dalam masa yang singkat, kedua-dua mereka sekali lagi mengambil kedudukan di hadapan kumpulan.

********

Di dalam sebuah bilik pemerhatian, seorang pegawai yang baru sahaja menukar saluran pada skrinnya untuk melihat bilik 72 terjerit kerana terkejut. Setiap pegawai di dalam bilik itu bertanggungjawab memantau sepuluh bilik. Setiap satu minit, mereka akan menukar saluran pada skrin mereka ke bilik ujian yang berbeza, memantau kesemua sepuluh bilik dalam masa sepuluh minit. Pegawai ini baru sahaja mula memantau bilik nombor 72.

Pegawai yang duduk di sebelahnya sedang menumpukan perhatian pada skrinnya sendiri. Dia terkejut mendengar jeritan rakannya itu. Perasaan ingin tahunya menyebabkan dia menjeling pada skrin rakannya dan apabila dia nampak apa yang sedang berlaku, dia juga terkejut, "Oh, menariknya!"

Suara mereka menarik perhatian pegawai penguasa mereka. Dia mendekati mereka dengan muka yang garang. "Apa yang sedang berlaku? Kenapa kamu berdua melanggar perintah untuk tidak berbuat bising?"

"Tuan! Kami ada beberapa rekrut yang berkelayakan." Mereka segera memberi laporan, sambil menabik pegawai penguasa mereka. Mereka langsung tidak kedengaran ragu-ragu, sebaliknya sangat pasti. Mereka tahu yang mereka tidak bersalah kerana terdapat perintah utama dalam ketenteraan iaitu penemuan rekrut yang berkelayakan perlu dilaporkan dengan serta-merta... dan itulah yang mereka sedang lakukan sekarang.

Apabila penguasa itu selesai mendengar penjelasan mereka, ekspresi mukanya semakin lembut. Dia memandang skrin itu, dan dengan hanya sekilas pandang sahaja, wajahnya terus berubah. Apa yang dilihatnya pada skrin itu benar-benar membuatkan dia terkejut.

Kedua-dua pegawai itu memandang di antara satu sama lain dengan bangga, tetapi juga merasa lega yang kanak-kanak itu masih lagi menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam keadaan yang genting ini.

Malangnya, skrin itu pula tidak menyebelahi mereka. Pegawai penguasa itu hanya sempat memerhati selama beberapa saat apabila skrin itu menukar saluran ke bilik lain.

"Wu, tukar saluran ke bilik tadi," penguasa itu memerintah.

"Baik, tuan!" Pegawai Wu ialah pegawai yang bertanggungjawab memantau kumpulan Ling Lan. Dia cepat-cepat membuat penyesuaian supaya skrin itu kekal pada bilik kumpulan Ling Lan.

Mereka dapat melihat yang kedua-dua budak perempuan, Han Xuya dan Luo Chao, yang pada awalnya terpaksa mengikut kelajuan Qi Long dan Luo Lang, kini digendong oleh kedua-dua budak lelaki itu. Berdasarkan pemerhatian pegawai penguasa itu, kedua-dua kanak-kanak perempuan itu telah kehabisan tenaga dan tidak lagi mampu berlari.

Sementara itu, di belakang mereka, enam kanak-kanak yang lain, termasuk Ling Lan, telah mula berlari mengikut giliran, memastikan mereka dapat membantu dua kanak-kanak itu yang mempunyai stamina paling lemah. Sudah tentu, mereka juga saling membantu dan menyokong satu sama lain apabila diperlukan supaya tidak ada yang tertinggal.

Situasi ini ialah hasil daripada tindakan Ling Lan dan Han Jijyun. Sekiranya mereka tidak menghulurkan pertolongan kepada dua ahli kumpulan mereka yang paling lemah, mungkin mereka sudah kekurangan ahli kumpulan pada ketika ini.

Tindakan ini telah mencetuskan kesedaran pada ahli kumpulan mereka yang lain, yang belum mereka kenali. Jadi apabila mereka nampak sesiapa yang semakin penat, mereka dengan suka relanya membantu. Situasi inilah yang dapat dilihat melalui skrin ketika ini.

"Berikan saya data sepuluh orang kanak-kanak ini." Walaupun dia berasa kagum, pegawai penguasa itu mengerutkan dahinya. Dia meragui tindakan kanak-kanak itu. Kerjasama di antara ahli kumpulan ini terlalu sempurna, menyebabkan dia mengesyaki yang seseorang mungkin telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk memastikan semua kanak-kanak ini dimasukkan ke dalam satu kumpulan dengan sengaja.

Tidak lama kemudian, data ahli kumpulan Ling Lan dipaparkan.

********

Ling Lan: Anak lelaki Mejar Jeneral Ling Xiao, pengendali mecha IN kelas-dewa , naib komander Divisyen Ketujuh Angkatan Tentera Antara Bintang. Pewaris faedah ketenteraan premium jeneral Ling Xiao. Kecergasan Fizikal: Pangkat [S], Kuasa Spiritual: Peringkat-2, Potensi: Pangkat [S].

Qi Long: Anak lelaki Kolonel Qi Yaoyang, juruterbang handalan mecha MT , ketua juruterbang Divisyen Ketiga Angkatan Tentera Antara Bintang. Kecergasan Fizikal: Pangkat [S], Kuasa Spiritual: Peringkat-2, Potensi: Pangkat [S].

Luo Lang: Anak lelaki Kolonel Luo Qifeng , komander Armada Ketiga di Divisyen Kesembilan Angkatan Tentera Antara Bintang. Kecergasan Fizikal: Pangkat [S], Kuasa Spiritual: Peringkat-2, Potensi: Pangkat [S].

Han Jijyun: Anak lelaki Kolonel Han Rong, timbalan pengarah Badan Perisikan Tentera Persekutuan. Kecergasan Fizikal: Pangkat [A+], Kuasa Spiritual: Peringkat-3, Potensi: Pangkat [S].

Luo Chao: Anak perempuan Kolonel Luo Qifeng, komander Armada Ketiga di Divisyen Kesembilan Angkatan Tentera Antara Bintang. Kecergasan Fizikal: Pangkat [B], Kuasa Spiritual: Peringkat-2, Potensi: Pangkat [A].

Han Xuya: Anak perempuan Mejar Han Yushao, ketua Pangkalan Logistik Persekutuan di Planet Qiyuan. Kecergasan Fizikal: Pangkat [B], Kuasa Spiritual: Peringkat-2, Potensi: Pangkat [A].

Luo Shaoyun : Orang biasa. Anak saudara Kapten Luo Jiguang, komander Kompeni Ketiga pasukan petugas pelindung mecha untuk pengendali mecha dalam Divisyen Ketiga Belas Angkatan Tentera Antara Bintang. Pewaris faedah ketenteraan premium Kapten Luo Jiguang. Kecergasan Fizikal: Pangkat [A], Kuasa Spiritual: Peringkat-1, Potensi: Pangkat [A].

Yuan Youyun: Keturunan keluarga Yuan dari Planet Zhong Xing. Kecergasan Fizikal: Pangkat [A], Kuasa Spiritual: Peringkat-1, Potensi: Pangkat [A].

Li Jinghong : Keturunan keluarga Li dari Planet Doha. Kecergasan Fizikal: Pangkat [B], Kuasa Spiritual: Peringkat-1, Potensi: Pangkat [B+].

He Chaoyang : Orang biasa. Anak angkat Kapten He Shaoji , timbalan ketua Armada Kesembilan di Divisyen Ketujuh Belas Angkatan Tentera Antara Bintang. Pewaris faedah ketenteraan premium Kapten He Shaoji. Kecergasan Fizikal: Pangkat [B], Kuasa Spiritual: Peringkat-1, Potensi: Pangkat [B+].

********

Berdasarkan data ini, pegawai penguasa itu dapat melihat dengan jelas yang semua kanak-kanak itu berasal daripada sistem bintang yang berbeza. Mereka juga mempunyai latar belakang yang pelbagai, walaupun lebih separuh daripada mereka berasal daripada keluarga ketenteraan tradisional. Walau bagaimanapun, yang paling penting, kanak-kanak yang berpontesi paling lemah juga berada pada peringkat [B+]. Walaupun peringkat itu mungkin tidak layak masuk kelas khas, mereka masih layak masuk ke kelas biasa.

Dia sekali lagi membaca barisan pertama. Data Ling Lan, khususnya, menjadikan dia beremosi. Pengendali mecha IN kelas-dewa Mejar Jeneral Ling Xiao. Dia ialah model peranan bagi kebanyakan anggota tentera... Sangat menyedihkan yang dia telah terkorban di dalam terowong kematian sebuah medan meteor, tujuh tahun yang lalu. Dia masih boleh mengingati betapa terkejutnya dia sewaktu menerima berita itu. Seluruh Persekutuan menerima kejutan yang besar, dan semua anggota tentera sangat sedih dengan tragedi ini.

Untuk pengetahuan, perlu diingatkan yang terdapat hanya 12 pengedali mecha IN kelas-dewa di seluruh Persekutuan. Setiap pengendali kelas-dewa dianggap sebagai harta kebangsaan, mewakili kekuatan negara dan menjadi penghalang musuh mereka. Mejar Jeneral Ling Xiao terutamanya, merupakan satu-satunya pengendali yang telah mencapai kelas-dewa dalam tempoh sepuluh tahun ini, dan dia juga merupakan pengendali mecha IN termuda.

Ketika itu, semua orang begitu optimis dan menjangkakan yang Mejar Jeneral Ling Xiao akan menjadi pengendali kelas-dewa terkuat di antara dua belas pengendali tersebut. Kelebihannya ialah usianya yang muda. Malangnya, pokok itu tumbuh terlalu tinggi dan jatuh ditiup angin sebelum sempat dahannya tumbuh.

Selepas itu, penyiasatan Persekutuan mendapati pergolakan magnet di dalam terowong kematian itu kemungkinan besar ialah hasil rancangan jahat negara musuh mereka, yang secara khususnya mensasarkan Mejar Jeneral Ling Xiao. Malangnya, Agensi Perisikan Persekutuan terlalu lambat mendapat tahu tentangnya, dan akibat daripada kegagalan mereka menjadi dua kali ganda. Bukan sahaja mereka kehilangan bakal pengendali mecha kelas-dewa yang paling kuat, tetapi kedua-dua negara juga menjadi musuh, dan perang di antara mereka tidak akan berhenti sehingga salah satu negara dihapuskan.

Kematian pengendali mecha kelas-dewa itu tidak akan dilupakan oleh semua anggota tentera Persekutuan!

  1. Pepatah yang membawa maksud orang yang luar biasa akan dianggap sebagai musuh.