Chapter 29 - Pusingan Terakhir

Pegawai penguasa itu menahan emosinya dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada prestasi sepuluh orang kanak-kanak di skrin itu. Akhirnya dia tersenyum kepuasan dan berkata, "Tamatkan ujian mereka dan biarkan mereka keluar."

Pegawai yang bertanggungjawab memantau kumpulan Ling Lan teragak-agak, dan bertanya, "Tetapi, bagaimana kita hendak mengira markah mereka?"

Pengawas itu merenungnya dengan marah. "Adakah saya perlu mengajar kamu sesuatu yang begitu mudah? Berapa lama masa yang diperlukan untuk mereka menyelesaikan ujian ini? Dan bagaimana keadaan mereka sekarang?"

Mata pegawai itu bersinar. "Baik, Tuan."

*********

Sementara itu, kumpulan Ling Lan telah bertahan selama beberapa pusingan lagi. Pada masa ini, Qi Long dan Luo Lang juga telah mula berasa letih. Berlari sambil menggendong seseorang sangat berbeza dengan berlari seorang diri. Selepas hanya beberapa pusingan, mereka mula merasakan ketegangan berganda pada badan mereka. Pada mulanya, mereka menyangkakan dapat bertahan selama sepuluh hingga dua puluh pusingan lagi, tetapi sekarang mereka tidak begitu pasti.

Di kalangan sepuluh orang kanak-kanak itu, Ling Lan berada dalam keadaan terbaik. Atau mungkin lebih tepat lagi, dia tidak rasa letih langsung. Ini kerana sejak mereka mula berlari, Ling Lan telah mengedarkan tenaga Qinya.

Sejak dia telah menggunakan tenaga Qi dalam ujian kekuatan, Ling Lan telah memutuskan yang senaman Qi ini masih mempunyai rahsia untuk dia temui. Jadi, dia memutuskan untuk menggunakan tenaga Qi sekali lagi semasa ujian larian. Jelas sekali, dia telah membuat keputusan yang betul. Selepas berlari untuk sekian lama, dia masih penuh bertenaga, dan bacaan statistik keadaan badannya sama seperti ketika dia sedang berehat.

Empat Kecil yang menunjukkan statistik itu pada Ling Lan. Sementara Ling Lan masih terpegun dengan kehebatan Qinya, Empat Kecil telah menyibukkan diri... Boleh juga dikatakan yang dia ingin membantu Ling Lan menyelidik tentang senaman Qi dan menjalankan peranannya sebagai pembantu berkontrak...tetapi sebenarnya, Empat Kecil sedang kebosanan kerana dia tidak boleh melayari Internet di sini.

Namun dengan bantuan Empat Kecil, Ling Lan dapat memahami rahsia senaman Qi dengan cepat. Nampaknya, pengedaran Qi dapat memulihkan tenaga yang telah digunakan, serta menyembuhkan sebarang kecederaan badan. Ini membolehkan badannya kekal dalam keadaan terbaik dalam jangka masa yang lama.

Sudah tentulah Empat Kecil juga menyatakan badannya hanya boleh mengekalkan keadaan di antara penggunaan tenaga dan pemulihan badan kerana sekarang ini Ling Lan tidak menggunakan terlalu banyak tenaga. Jika Ling Lan menggendong seseorang sambil berlari, seperti Qi Long atau Luo Lang, mungkin dia tidak dapat mencapai keseimbangan yang sama kerana tenaga masih akan digunakan. Namun, Empat Kecil memberikan semangat pada Ling Lan dengan mengatakan jumlah tenaga yang dipulihkan oleh senaman Qi akan meningkat semakin lama dia berlatih dan mengedarkan tenaga Qi. Sehingga akhirnya nanti dia mungkin tidak perlu bimbang tentang tahap tenaganya lagi. (Sudah tentulah keadaan ini hanya mungkin tercapai selepas berlatih selama beberapa dekad... tetapi Empat Kecil memutuskan yang Ling Lan tidak perlu tahu tentangnya.)

Ling Lan yang masih bertenaga, melihat peluh mengalir di dahi Qi Long dan Luo Lang dan langkah mereka mula perlahan. Dia dapat mengatakan yang stamina mereka mula berkurangan, dan mereka mungkin tidak akan dapat meneruskan lagi. Ling Lan tidak pasti sama ada dia harus menawarkan untuk mengambil alih dan membantu mereka. Dia mahu membantu tetapi dia juga takut yang dia akan terlalu menonjol berbanding kanak-kanak lain. Sekiranya ada jalan untuk dia membantu tanpa disedari oleh orang lain...

Pada ketika, hasil usaha Empat Kecil, keadaan luaran Ling Lan kelihatan sama dengan Han Jijyun. Kedua-duanya sedang termengah-mengah, dan bahagian belakang badan mereka dibasahi peluh. Maklumlah, Ling Lan telah membantu budak lelaki yang paling lemah dalam kumpulan mereka sepanjang masa ini. Walaupun dia tidak menggendong budak lelaki itu seperti Qi Long, menampung sebahagian berat badan orang lain memang lebih memenatkan daripada berlari sendirian.

Ling Lan dalam dilema. Tetapi sebelum dia sempat membuat keputusan, dunia luar telah membuat pilihan untuk Ling Lan.

Luo Lang bersorak sambil menunjuk ke arah satu sudut, "Saya nampak papan tanda! Satu lagi pusingan!"

Kata-kata Luo Lang seperti telah memberikan mereka adrenalin tambahan. Sesetengah kanak-kanak yang hampir berputus asa, berusaha untuk meneruskan buat kali terakhir.

Ling Lan menoleh ke arah yang ditunjuk oleh Luo Lang. Dia nampak seorang pemeriksa memegang skrin paparan, yang hanya memaparkan nombor satu dalam angka Arab. Ini jelas menunjukkan yang mereka hanya mempunyai satu pusingan lagi.

Dengan ini, Han Jijyun memberikan semangat pada kumpulannya dan berkata, "Hanya satu lagi pusingan. Kita perlu bertahan. Pastikan tiada yang tertinggal!"

"Baik!" semua kesembilan ahli kumpulan itu membalas dengan jeritan, termasuk Ling Lan. Walau apa jua, mereka akan menghabiskan pusingan akhir ini.

Han Xuya tiba-tiba menghela nafas panjang, dan menjerit, "Qi Long, letakkan saya ke bawah."

"Kenapa?" Qi Long bertanya dengan nada terkejut.

"Pusingan terakhir. Saya boleh lari." Tidak mustahil Han Xuya tidak perasan keletihan Qi Long, dan dia tidak mahu keputusan Qi Long terjejas kerananya. Qi Long perlu masuk Kelas Khas-A. Untuk pusingan akhir ini, dia akan berlari sendiri, walaupun dia mungkin akan pengsan sebelum dia dapat menamatkan larian...dia tidak mahu membebankan Qi Long lagi.

Luo Chao juga cuba meyakinkan Luo Lang untuk meletakkannya ke bawah, atas alasan yang sama. Dia tidak mahu markah kembarnya berkurangan kerana dia. Kedua-dua budak perempuan itu mahu Qi Long dan Luo Lang berlari selaju-lajunya untuk pusingan akhir ini supaya mereka dapat bertanding untuk mendapatkan masa yang terbaik.

Namun, Han Jijyun menghalang mereka, "Ini pusingan terakhir kita. Jika salah seorang tidak berjaya menghabiskannya, maka apa yang telah kita lakukan sehingga sekarang akan menjadi sia-sia sahaja. Lagipun, awak semua tahu pemikiran tentera sejati, mereka tidak akan meninggalkan kawan!"

Kata-kata Han Jijyun telah membuka mata mereka. Beberapa kanak-kanak yang bijak dapat menangkap maksudnya. Han Xuya dan Luo Chao, yang pada awalnya masih mahu memprotes, juga mengubah fikiran mereka disebabkan kata-kata Han Jijyun. Han Xuya sebaliknya mendesak, "Qi Long, tarik saya cepat, mari kita berlari lebih laju." Oleh kerana mereka telah memutuskan untuk menghabiskan larian ini bersama-sama, mereka tidak boleh membazirkan satu detik sekalipun.

Maka dalam kumpulan Ling Lan, yang kuat menarik yang lemah dan begitulah cara mereka menyokong satu sama lain sambil segera menuju ke garisan penamat. Pada ketika ini, Ling Lan mengambil alih untuk menarik dua budak lelaki yang paling lemah dan membiarkan Han Jijyun berlari sendiri. Han Jijyun mengucapkan terima kasih pada Ling Lan dengan pandangan matanya. Bantuan Ling Lan sangat dihargai. Dia hampir kehabisan tenaga. Jika dia masih terpaksa menarik orang lain, dia tidak pasti dia boleh menyelesaikan pusingan terakhir ini.

********

Di luar bilik ujian persekitaran maya itu terdapat sebuah kafe terbuka, dan beberapa pemeriksa sedang minum teh dan berbual-bual sesama sendiri. Ujian ini mengambil masa yang lama, sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam. Biasanya, pemeriksa tidak akan duduk sahaja di luar bilik ujian dan menunggu sahaja sepanjang tempoh waktu itu. Kebanyakannya akan memesan secawan teh atau kopi di sini, dan mungkin mencari kawan untuk berbual bersama.

Begitu juga dengan pemeriksa yang bertanggungjawab menjaga bilik 72. Dia sedang bercakap dengan beberapa kawan rapatnya. Namun tiba-tiba peranti komunikasi di pergelangan tangannya mula berbunyi.

Dia menekan butang terima pada peranti itu. Selepas keluar pancaran cahaya berwarna perak, skrin holografik muncul di hadapannya. Pada masa yang sama, imej pegawai yang bertanggungjawab mengawasi bilik 72 terpapar pada skrin.

"Perhatian, peserta dalam bilik 72 akan menyelesaikan ujian mereka. Sila buat persiapan yang diperlukan."

Pemeriksa itu bingung. "Selesaikan ujian? Dalam masa kurang daripada dua jam? Betulkah?" Boleh difahami mengapa dia tidak percaya. Dalam sejarah ujian akademi pengakap, tidak pernah dalam rekod yang ujian ini diselesaikan dalam masa kurang daripada dua jam. Satu-satunya pengecualian ialah kanak-kanak yang terpaksa dikeluarkan dari bilik ujian apabila mereka pengsan kerana keletihan.

Akan tetapi, tidak ada pemberitahuan seperti itu daripada peranti komunikasi yang sedang menjejaki status sepuluh orang kanak-kanak di bawah tanggungjawabnya. Tiada titik-titik yang mewakili sepuluh orang kanak-kanak itu berwarna merah, yang menunjukkan mereka pengsan, atau warna kuning, yang bermakna mereka kehabisan tenaga. Semua titik masih berwarna hijau, menunjukkan yang mereka semua masih sedar dan badan mereka masih mampu meneruskannya.

Pengawas bilik 72 mengamati wajah pemeriksa itu, dan tidak dapat menahan ketawanya. Dia mengingatkan pemeriksa itu sekali lagi, "Kamu perlu cepat, jika tidak, kamu tidak akan sempat tiba tepat pada waktunya. Lagi satu, kanak-kanak dalam kumpulan itu semua hebat. Kamu tidak akan kecewa. "

Tanpa memberi pemeriksa itu peluang untuk bertanyakan soalan, pengawas bilik 72 itu menamatkan panggilan videonya. Dia tersenyum sendiri sambil membayangkan wajah terkejut pemeriksa itu. Nampaknya datang ke sini untuk memantau kanak-kanak ini tidaklah begitu membosankan.

********

Pemeriksa itu merenung kosong pada skrin gelap di hadapannya, tanpa berkata apa-apa. Pengawas jahaman ini, tidak bolehkah dia menerangkan dengan lebih jelas?

Pemeriksa lain di tempat itu juga telah terdengar perbualan mereka, dan semuanya memandangnya dengan terkejut. Sudah tentu, ada juga yang ingin tahu, dan mereka hanya menunggu untuk mengetahui lebih lanjut supaya mereka boleh bergosip.

"Baiklah. Saya pergi tengok dulu keadaan dan saya akan kembali ke sini dan memberitahu kamui. Saya perlu pergi bekerja sekarang." Dengan berat hati, pemeriksa itu berdiri. Dengan tenang dia mengambil topi tenteranya di atas meja dan memakainya sebelum perlahan-lahan melangkah ke bilik 72.

Tak guna, kanak-kanak itu lebih baik jangan mengecewakannya! Pemeriksa itu cuba untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi... ha, dia sebenarnya hanya berpura-pura tenang.