Bagi membolehkan dia terus mendapat rawatan percuma yang disediakan oleh negaranya dalam kehidupannya yang lalu, selama 24 tahun dia terlantar sakit, Ling Lan telah belajar memerhatikan bahasa tubuh dan memberikan reaksi yang sesuai. Dia telah belajar teknik untuk menarik hati doktor dan jururawat di sekelilingnya, berkelakuan comel dan baik. Kuota untuk mendapatkan rawatan percuma ialah terhad, dan ramai lagi pesakit lain yang menunggu giliran. Jadi dia tahu dia terpaksa membuatkan para penyelidik dan pengasuh menyukainya dan menjaganya secara peribadi. Dengan cara ini, tanpa sedar, mereka akan mahu dia terus berasa di situ dan akan menyokongnya apabila perlu.
Walau bagaimanapun, kemahirannya dalam bidang ini tidak berguna di hadapan Nombor Satu. Dia seorang pahlawan veteran yang telah banyak berjuang. Tidak mungkin Ling Lan yang tidak berpengalaman ini boleh membaca bahasa tubuhnya? Semakin lama Ling Lan merenung Nombor Satu, semakin dia berasa tidak berdaya. Sehingga tiba satu tahap, dia merasakan mungkin lebih baik tebus sahaja semua mata kehormatannya sekarang. Lebih baik daripada membiarkan mata itu dibuang.
Apabila dia ingin meminta untuk terus membuat tebusan, sistem tersebut berkata, "Masa sudah tamat. Pertukaran 10 mata kehormatan untuk Lompatan Tinggi Arnab, berjaya!"
Ling Lan terperanjat. Tanpa disedari, sepuluh minit sudah berlalu. Dia tahu tiada apa lagi yang boleh dia lakukan, jadi dengan tegas Ling Lan menolak tepi kebimbangannya. Memandangkan Tuhan sudah membantunya untuk membuat keputusan, tidak ada gunanya menyesal walaupun dia akan kehilangan semua mata kehormatan tersebut. Boleh dikatakan yang Ling Lan seorang gadis yang sangat matang dan mudah menyesuaikan diri. Mungkin penyeksaan selama 24 tahun akibat penyakitnya telah mengajarnya yang tidak guna terlalu memikirkan apa yang tidak boleh dia dapatkan.
Sistem tersebut berkata lagi, "Satu penebusan berjaya. Misi penebusan selesai, 1 mata kehormatan diberikan. Baki mata kehormatan: 140 mata. Akan disimpan untuk penebusan seterusnya."
Ling Lan sangat gembira. Dia telah meneka dengan betul! Seperti yang dijangkakan, mata kehormatan boleh disimpan. Nombor Satu telah memberikan petunjuk sebenarnya. Perkataan 'menggunakan' ialah petunjuk yang mengatakan mata kehormatan ialah berharga. Manakala kata-kata selanjutnya tentang pilihan rawak akan dibuat selepas sepuluh minit secara tidak langsung menyatakan hanya satu pertukaran diperlukan.
Pernyataan yang kedengaran mudah ini sebenarnya penuh makna. Kos kursus yang boleh ditebus bermula daripada 1 mata hingga beberapa puluhan ribu mata, dan walaupun Ling Lan hanya mempunyai 149 mata, banyak kursus yang boleh ditebusnya Ini menimbulkan satu masalah. Jika sistem memilih secara rawak kursus yang hanya berharga 1 mata atau 10 mata, atau mungkin 50 mata, apa yang akan berlaku pada mata kehormatan yang tidak ditebus?
Nombor Satu tidak menjelaskan apa-apa tentang hal itu. Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Ling Lan dengan cepat merasakan sesuatu yang tidak normal, risau jika ini satu lagi helah. Mungkin penebusan secara paksa ini sebenarnya satu cara untuk sistem mengajar pengguna baru menebus mata kehormatan mereka, sepertimana seorang pengajar membuat seseorang terus berlatih sesuatu kemahiran sebaik mereka selesai mengajarkannya.
Sudah tentulah Ling Lan tahu setiap perkara yang berlaku di dalam ruang belajar tidak semudah yang dijangkakan, jadi penebusan secara paksa ini pasti mempunyai makna yang lebih mendalam. Walau bagaimanapun, Ling Lan tidak merasakan dia perlu membazirkan masa dan usaha untuk memikirkannya.
Jadi dia memilih Lompatan Tinggi Arnab, iaitu kursus yang paling sesuai untuknya. Bukan sahaja dia boleh memulakan latihan segera, ini juga kemahiran yang tidak begitu ketara. Ling Lan sangat berpuas hati dengan pilihannya. Adakah ini pilihan terbaik? Ling Lan tidak kisah dengan soalan itu. Dia tidak mengharapkan perkara terbaik akan muncul di depannya secara rawak, seolah-olah dia 'watak utama' dalam sebuah cerita. Menerima keadaan seadanya membuatkan dia puas hati.
Jurulatih Nombor Satu sangat gembira dengan prestasi Ling Lan kali ini juga. Tanpa membuang masa lagi, dia bertukar tempat dengan Jurulatih Nombor Sembilan, yang kemudiannya mengajar Ling Lan tentang Lompatan Tinggi Arnab serta tahap seterusnya dalam latihan fizikalnya, Sembilan Kedudukan Memperhaluskan Badan.
Latihan untuk Sembilan Posisi Memperhaluskan Badan seratus kali lebih sukar daripada latihan untuk Sembilan Posisi Asas. Sepanjang tempoh sebulan, Ling Lan tekun berlatih untuk menguasai posisi pertama tetapi masih belum berjaya. Dia belum mampu melakukannya, biarpun hanya sekadar mendapatkan posisi tangan yang betul.
Ling Lan merasakan yang ini misi yang menyeksakan. Berdasarkan kemajuan semasanya, dia tidak akan mampu menyempurnakannya dalam tempoh lima tahun yang diberikan. Nasib baik Ling Lan bersikap positif. Walaupun ini kelihatan seperti misi yang mustahil, dia tidak berasa cemas atau terburu-buru. Setiap hari, dia bekerja keras untuk berlatih sedikit demi sedikit, dengan harapan apabila tarikh akhir tiba nanti, dia tidak terlalu jauh daripada sasaran. Berdasarkan ganjaran mata kehormatan yang pertama, Ling Lan telah membuat kesimpulan kemungkinan besar sistem hukuman akan berdasarkan prinsip yang sama. Semakin dia hampir menyempurnakan sasaran, semakin ringan hukuman yang akan diterimanya.
********
Tidak lama kemudian, tibalah masa sesi suntikan agen gen. Ling Lan membuat andaian yang sesi ketiga ini sama seperti dua sesi sebelum ini. Dia akan diletakkan di atas katil untuk berehat selepas disuntik.
Tanpa disangka-sangka, sebaik semua anggota tentera itu pulang, ibu Ling Lan, Lan Luofeng telah mengambilnya dan berjalan melalui beberapa laluan tersembunyi sehingga mereka tiba di sebuah bilik kecil. Hampir tiada apa-apa di dalam bilik tersebut, hanya terdapat satu katil kecil yang dirapatkan pada salah satu dinding dan tab kayu paras pinggang di tengah-tengah bilik tersebut. Itu sahaja.
Sebaik sahaja Lan Luofeng masuk ke dalam bilik tersebut, dia bertanya, "Semuanya sudah siap sedia?"
"Ya, Puan!" Seorang wanita berumur berdiri di dalam bilik tersebut. Ling Lan kenal wanita tersebut. Dia isteri Ling Qin, Ling Nanyi.
Lan Luofeng melangkah ke hadapan dan berdiri di hadapan tab kayu tersebut. Ling Lan kini dapat melihat lebih separuh tab itu dipenuhi dengan cecair berwarna hijau yang berbau seperti ubat-ubatan.
Ling Lan sangat terkejut. Sepanjang tempoh ini, dia hanya nampak ubat seperti yang terdapat di negara Barat, seperti suntikan atau pil yang pahit dan tidak sedap. Tetapi, bau ini tiba-tiba membawanya kembali pada kenangan zaman silamnya. Dia terpaksa minum banyak ramuan herba seperti ini, tetapi... Dahi Ling Lan berkerut. Adakah dia perlu minum semua cecair ini?
Ling Lan khuatir. Berdasarkan sikap ibunya dan Ling Nanyi, tab yang mengandungi cecair itu sudah pasti untuknya. Sekali lagi dia memandang tab kayu tersebut, dan membandingkannya dengan tubuhnya sendiri.
Adakah mereka cuba membunuhnya? Sekiranya dia habis minum semua cecair ini, dia pasti akan menjadi bayi pertama di dunia yang mati akibat perut penuh dengan ubatan Cina.
Ibu Ling Lan tidaklah sekejam yang dia fikirkan. "Sesuaikah suhu air ini? Ling Lan tidak akan melecur, bukan?"
Syukurlah, itu air mandian dan bukan untuk diminum. Ling Lan menangis kelegaan di dalam hatinya sambil memeluk erat ibunya. Dia terselamat.
"Bertenang, Puan. Saya sudah periksa air ini dengan berhati-hati, tidak akan ada sebarang masalah," jawab Ling Nanyi dengan jelas. Ling Lan satu-satunya harapan keluarga Ling, dia tidak akan cuai dalam hal kebajikan Ling Lan.
Lan Luofeng tidak teragak-agak lagi. Dia membuka semua pakaian Ling Lan dan meletakkannya ke dalam tab mandi tersebut.
Ling Lan merasakan seolah-olah dia sedang berendam dalam mata air panas, suam dan selesa, tetapi tiba-tiba dia merasakan kepanasan meresap dalam badannya melalui kulitnya. Keadaan badannya ketika itu sukar dijelaskan. Seperti sakit namun tidak sakit, seperti gatal tetapi tidak gatal. Ling Lan, yang tidak pernah takut untuk merasai kesakitan, tidak dapat menahan dirinya daripada mengerang.
Lan Luofeng terkejut dengan reaksi Ling Lan, memandang Ling Nanyi dengan cemas. Dia terrtanya-tanya keadaan Ling Lan.
Ling Nanyi meyakinkannya, "Puan, ini normal. Tuan Muda selamat."
Semakin lama, Ling Lan semakin terbiasa dengan sensasi aneh tersebut.Tetapi, tiba-tiba, dia terasa sangat sakit, hampir mengingatkannya pada kesakitan badan yang menghancurkan kehidupannya sebelum ini...
Namun, kesakitan ini telah menenangkan Ling Lan kerana dia tahu dia mampu menahan kesakitan seperti ini berdasarkan pengalamannya selama 24 tahun.
'Ha? Apa ni?' Ling Lan mendengar Empat Kecil bersuara dalam mindanya.
'Apa?' Walaupun dia boleh bertahan dengan kesakitan ini, namun, berdasarkan pengalamannya, bagus juga ada seseorang bercakap dengannya untuk mengalih perhatiannya. Dia sangat gembira dapat bersembang dengan Empat Kecil walaupun sedang dalam kesakitan.
'Tenaga ini sangat pelik. Ia meningkatkan pengaktifan otot serta daya tahan otot.' Empat Kecil sangat terkejut dan berasa ingin tahu. Bagaimana cecair berubat ini dibuat? Tiada maklumat mengenai campuran ubat ini dalam pangkalan datanya.
'Ini mesti formula rahsia keluarga Ling, dibuat khas untuk menyempurnakan badan.' Sebaliknya, Ling Lan pula tidak terkejut. Tidak kira betapa lemah dan tidak pentingnya keluarga Ling, mereka masih keluarga lama yang telah bertahan selama lebih beberapa ribu tahun. Jadi tidaklah sesuatu yang mennghairankan jika mereka telah menghasilkan formula rahsia ini selama bertahun-tahun dan telah mewariskannya pada keluarga utama mereka, keluarga Ling Xiao.
'Wah, benda-benda di dunia ini hebat juga nampaknya! Tengoklah apa yang saya dapat kesan! Cecair perubatan ini sebenarnya 96 peratus berasaskan tumbuhan... ' Empat Kecil sangat kagum. Siapa sangka ramuan yang hebat dapat dibuat tanpa menggunakan teknologi yang canggih? Ini sememangnya dunia yang ajaib.
Ling Lan menjadi risau. Ramuan apa lagi yang ada dalam ubatan Cina selain herba?
'Baki 4 peratus itu apa pula? Kenapa saya kenal betul bahan ni? Adakah...racun? Ya, sejenis racun ular...dan apa ini? Kala jengking? Li-lipan, dan...racun labah-labah!' Nada suara Empat Kecil semakin meninggi sehingga akhirnya menjadi nyaring. Empat Kecil tidak dapat menahan dirinya. Dalam tempoh satu tahun ini, Empat Kecil telah mempelajari tentang pelbagai makhluk yang boleh ditemui di dunia ini. Walaupun dia tidak mempunyai masalah dengan kebanyakan makhluk tersebut, dia tidak sukakan serangga. Pada pandangannya, serangga semuanya hodoh dan patut dihapuskan terus dari muka bumi.
Ling Lan memilih untuk mengabaikan kekecohan Empat Kecil dalam mindanya. Dia lebih sibuk berasa kagum yang dia sebenarnya sedang melalui ritual penyucian seperti watak-watak utama dalam novel yang pernah dia baca.
Ya, mengembara ke masa hadapan nampaknya agak menarik. Hebat juga kod elat kepunyaan Dewa Masa dan Penerokaan Angkasa.