Chereads / TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 15 - Maaf, Saya Hilang Kawalan!

Chapter 15 - Maaf, Saya Hilang Kawalan!

Di dalam bilik VIP, Ling Lan melihat di sekelilingnya. Dia tidak pernah membayangkan yang di dunia ini, 10000 tahun kemudian, orang tidak lagi perlu mencari barang di kedai, tetapi hanya perlu duduk dengan selesa di dalam bilik VIP dan memilih kategori barang yang ingin dicari melalui skrin yang sangat lebar di dalam bilik tersebut. Barang yang dipilih akan dibentangkan dalam pengimejan 3D, bersama dengan pengenalan yang terperinci. Sekiranya pelanggan sangat berminat dengan sesuatu barang, mereka boleh klik untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Lan Luofeng meneliti barang-barang tersebut dengan penuh perhatian. Dia hanya memilih barang-barang untuk Ling Lan, dan dengan cepat sekali, satu per satu barang dihantar ke bilik VIP untuk menunggu keputusan akhir Lan Luofeng.

"Katil Bayi Bermuzik: Item ini berbentuk eliptik. Mempunyai dua mod yang boleh ditukar ganti, iaitu mod lutsinar separuh tertutup dan mod lutsinar bertutup sepenuhnya. Semasa bayi sedang tidur di atas katil, secara automatik katil ini boleh memilih muzik yang sesuai berdasarkan gelombang otak bayi bagi memastikan tidur yang lebih lena. Selain itu, katil ini dilengkapi dengan rangkaian Internet tersendiri serta boleh memuat turun muzik terkini dengan sendirinya dan memudahkan ibu bapa."

Rangkaian Internet tersendiri? Memuat turun dan mengemaskini secara automatik? Ling Lan yang hampir tertidur, terjaga serta-merta mendengarkan kata-kata tersebut. Sejak kebelakangan ini, Empat Kecil asyik mengganggunya. Setiap hari dia akan merengek dan meminta Ling Lan mencari peluang untuk dia menggunakan Internet. Mengikut kata-katanya, "Orang yang mempunyai kawalan atas maklumat akan menang ..."

Sudah tentu, Empat Kecil hanya mengatakannya sahaja, Ling Lan dan Empat Kecil bukannya mempunyai musuh. Dia mendesak Ling Lan kerana dia ingin memahami lebih banyak tentang dunia ini supaya dia dapat membantu hosnya dengan lebih baik serta mengelaknya daripada melakukan sebarang kesilapan yang serius tanpa sedar.

Sebagai contoh, agen perangsang gen. Empat Kecil tidak mengetahui kadar penyerapan bayi di dunia ini dan hampir menyebabkan masalah besar pada Ling Lan. Jika tiada sesiapa menyampaikan apa-apa maklumat, Ling Lan mungkin telah dirampas oleh tentera untuk menjadi mesin perang.

Sudah tentu, Ling Lan dengan tahap mental orang dewasa, tidak akan mudah terpengaruh dan akan melarikan diri atau bersembunyi. Walau bagaimanapun, itu akan menamatkan kebebasannya, melainkan tiba harinya di mana dia sudah cukup kuat untuk melepaskan diri.

Setiap kali Empat Kecil dan Ling Lan teringat kejadian tersebut, mereka akan menggigil ketakutan. Sehingga kini mereka sentiasa berwaspada. Salah satu sebab Ling Lan mengambil masa selama dua bulan untuk menguasai posisi pertama ialah kerana dia tidak berani untuk fokus sepenuhnya dalam latihannya. Dia sentiasa bimbang terdapat pengintip di sekitarnya, jadi dia tidak mahu melakukan apa-apa yang luar biasa sehingga boleh menyebabkan mereka menjadi curiga.

Hari ini, berita yang hebat ini telah jatuh ke pangkuannya. Satu cara untuk dia mengakses Internet dalam diam. Lagipun ini katil bayi. Siapa yang akan mengesyaki bayi yang sedang tidur mengakses Internet secara rahsia?

Hehe, kamu mesti gila, sila dapatkan rawatan dengan serta-merta.

Semua orang akan memandang kamu seolah-olah kamu dungu dan tidak siuman.

Ling Lan sangat gembira kerana katil ini sangat sesuai untuknya. Hanya dia sahaja boleh menggunakan katil bayi ini sepenuhnya, dan tidak membiarkan fungsinya sekadar terbiar mengumpul habuk.

Ling Lan menggerakkan badannya dan mula berceloteh sambil menunjuk pada katil bayi tersebut. Dia memberitahu ibunya yang dia inginkan katil tersebut.

Lan Luofeng bersetuju dengan Ling Lan kali ini. Tanpa disangka, Lan Luofeng berkata, "Ling Lan mahukan katil ini? Mungkinkah Ling Lan menyukai muzik? Baiklah, memandangkan Ling Lan menyukainya, ibu akan membelinya."

Okey, nampaknya Lan Luofeng seorang ibu yang amat memanjakan anaknya, apa sahaja yang anaknya inginkan, dia akan mendapatkannya. Nasib baik Ling Lan seorang yang matang dari segi mental, jika tidak, dia pasti akan menjadi terlalu manja dengan kasih sayang Lan Luofeng.

Ling Lan mendapat apa yang dia inginkan dan dia menjadi gembira. Dia pergi mencari Empat Kecil untuk bermegah-megah.

"Empat Kecil, Empat Kecil..." Empat Kecil nampaknya tidak berapa ceria, kerana dia tidak menjawab sama sekali panggilan Ling Lan. Dia sedang melukis bulatan di atas tanah dengan raut muka yang sedih.

Ling Lan terkejut dan segera mengetuk kepalanya. "Oi, budak, kamu buat apa tu?"

Namun, Empat Kecil tetap diam. Selalunya, Empat Kecil akan melompat dan akan mengadu dengan kuat tentang keganasan Ling Lan.

Ling Lan terkedu dan sedikit bingung. Dia terus mencubit dan menarik pipi Empat Kecil sekuat-kuatnya, dengan harapan Empat Kecil akan kembali seperti biasa.

Kali ini, akhirnya ada reaksi. Empat Kecil menepis tangannya, dan bertanya dengan wajah yang murung, "Apa?"

Ling Lan bertanya dengan penuh kerisauan, "Ada apa-apa yang berlaku?"

Little Four menghembuskan nafas dan berkata, "Saya telah dimainkan oleh dunia ini."

Empat Kecil baru sahaja mengeluarkan kata-kata tersebut apabila Ling Lan yang sedang marah menendang punggungnya. "Tak guna. Biar betul kamu ni?"

Tendangan ini membuatkan Empat Kecil menjadi marah. Dia mendekati Ling Lan, memeluk pahanya dan menjerit, "Kamu berjanji tidak akan mendera saya! Kamu masih memukul saya, saya mahu mengadu! Mengadu!"

"Mengadulah sangat! Kenapa kamu mempermainkan saya? Kamu membuat saya bimbang!" Tanpa sebab tertentu, Ling Lan tidak dapat mengawal kemarahannya. Dia tahu yang Empat Kecil mungkin hanya bergurau dengannya. Sebelum ini, hal seperti ini boleh dibiarkan sahaja sambil tertawa, tetapi mengapa dia tidak boleh melakukannya sekarang?

Ling Lan tidak tahu yang ini ialah disebabkan oleh timbunan emosi negatif di dalam hatinya. Walaupun Ling Lan telah memujuk dirinya selama ini yang semuanya baik-baik sahaja selepas kejadian agen perangsang gen, dia sebenarnya tidak dapat benar-benar bertenang. Dia takut yang rahsianya akan didedahkan kepada pihak tentera, kemudian dia akan dijadikan bahan eksperimen dan akhirnya perlu memilih antara hidup dan mati. Emosi negatif ini telah tersimpan dalam hati Ling Lan selama ini. Jika dia tidak meluahkan perasaannya, ini akan mendatangkan kesan negatif pada Ling Lan suatu hari nanti.

Nampaknya Ling Lan bernasib baik. Ling Lan semakin ceria kerana aktiviti membeli-belah ini, berbeza dengan perangai biasanya yang tenang dan ikut cakap orang. Penyeksaan akibat penyakitnya sebelum ini mungkin telah membuatkannya mempunyai toleransi dan daya tahan yang sangat tinggi, tetapi keadaan ini juga boleh menimbulkan masalah. Sikap bertoleransi ini ada bahayanya. Toleransi yang melampau akan membahayakan badan dan minda.

Sudah tentu, perubahan anginnya secara tiba-tiba tidak akan cukup untuk mencetuskan kemarahannya. Ling Lan sangat teruja dengan katil bayi yang dilengkapi Internet tersebut. Dia mencari Empat Kecil untuk berkongsi berita ini tetapi Empat Kecil pula menunjukkan kekecewaannya. Daripada perasaan bahagia, Ling Lan terus menjadi bimbang. Perubahan emosi yang drastik dan secara tiba-tiba ini menyebabkan tahap toleransinya yang sempurna menjadi retak.

Oleh itu, emosi negatif yang tersembunyi terlepas keluar, menyebabkan Ling Lan menyepak Empat Kecil dan seterusnya mengamuk.

Kedua-duanya bergelut dalam ruang minda sehingga mereka berdua menjadi penat dan rebah di atas lantai.

Ling Lan terbaring di situ, sambil termengah-mengah. Dia tidak sangka dia telah bergaduh dengan budak kecil, tetapi hatinya kini terasa sangat ringan, seolah-olah rohnya telah dibersihkan.

Ling Lan tertawa sambil berkata, "Empat Kecil, saya minta maaf. Saya hilang kawalan."