"Tolong jangan buat begitu." Song Shuhang segera menyuruh dia berhenti. "Tiga hari lepas, Saudari Bulu Lembut telah menghantar dua pensyarah saya ke hospital. Salah seorang daripada mereka masih dirawat di hospital, seorang lagi profesor bahasa Inggeris bertongkat yang Tuan baru saja lihat sebentar tadi. Sekiranya Tuan terus hantar pensyarah lain ke hospital, semua orang pasti akan mula sedar ada sesuatu yang tak kena."
"Ah? Bulu Lembut pun pernah buat macam ini juga? Tsk, jadi tak perlulah saya buat lagi. Kalau saya buat pensyarah lain masuk ke hospital, semua orang akan terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba."
Song Shuhang menambah lagi, "Lagipun, ini bukanlah tempat yang sesuai untuk saya buat Cecair Penguat Badan kerana rakan sebilik saya mungkin akan balik pada bila-bila masa. Sekiranya mereka tahu yang Tuan datang mencari saya di kelas untuk menghasilkan ubat, mereka pasti akan menghantar kita berdua ke Hospital Sakit Jiwa Da Shi Shan."
Dia sudah kenal dengan tingkah laku tiga rakan sebiliknya itu. Mereka pasti akan buat begitu.
Mahaguru Ubatan mendesah. "Inilah sebabnya kenapa manusia sangat menyusahkan. Rakanku Shuhang, apa kata kamu keluar dari dunia manusia dan menyertai salah satu sekta dalam kumpulan kami? Beberapa sekta dalam kumpulan kita memang sangat hebat dan berada dalam kedudukan yang tertinggi dan terhormat di China. Contohnya, Sekta Da Luo, Tokong Kelana Kejauhan, Pulau Roh Kupu-kupu dan Pedang Kuning Misteri semua mempunyai reputasi terkenal dalam kalangan pertapa.
"Saya akan cuba fikirkan dahulu." Song Shuhang menjawab. Mungkin suatu hari nanti, dia akan memilih untuk memasuki sekta. Tapi, sekarang mungkin dia lebih selesa untuk jadi pertapa bebas.
Menurut terminologi pertapa, hubungannya dengan dunia manusia masih belum terputus dan dia tidak dapat memahami dunia pertapaan dengan lebih mendalam. Sebab itulah dia tidak dinasihatkan untuk menyertai mana-mana sekta dan menumpukan perhatian pada pertapaan.
"Adakah kamu tidak lapang langsung pada sebelah petang? Bolehkah kalau saya buat keputusan untuk mewujudkan satu kemalangan sehingga pelajaran kamu dibatalkan untuk hari ini? Dengan kemalangan itu, tiada sesiapa pun akan mengesyaki apa-apa." Mahaguru Ubatan memberikan cadangan kepada Shuhang. Cadangannya itu boleh membuatkan seseorang berasa gerun.
"Tuan Mahaguru Ubatan, tolong jangan lakukan perkara-perkara yang menakutkan sebegitu," jawab Song Shuhang dengan nada serius. "Saya hanya perlu mengambil cuti dan tidak pergi ke kelas. Saya telah pun sediakan borang permohonan cuti."
"Adakah ia akan mempengaruhi pembelajaran kamu jika kamu mengambil cuti? Saya risau jika kamu tidak dapat mengejar rakan sekelas kamu dalam pembelajaran nanti." Mahaguru Ubatan bertanya dalam nada bimbang.
'Yang mana lebih serius? Masalah perkembangan pembelajaran aku atau kemalangan yang memberi kesan kepada seluruh kawasan kolej?'
"Jangan risau. Saya hanya perlu mencari rakan sekelas dan pinjam nota pelajaran daripada mereka sekiranya saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Sekarang ini, prestasi pembelajaran saya masih lagi baik." Song Shuhang membalas dengan yakin.
Mahaguru Ubatan menjawab, "Baguslah kalau begitu. Mari kita cari lokasi yang sesuai untuk menapis pil dan bancuh Cecair Penguat Badan!"
"Bagaimana kalau kita keluar dari kampus dahulu dan mencari rumah untuk disewa?" Song Shuhang bercakap. Pada mulanya dia berniat untuk menyewa sebuah apartment di luar dan secara kebetulan dia boleh melakukannya hari ini.
"Ya, boleh juga. Saya memang perlu menyewa rumah kerana saya mungkin perlu tinggal bersama kamu selama beberapa hari dan tidak bagus rasanya jika saya tidak mempunyai tempat untuk tidur sepanjang saya berada di sini." Mahaguru Ubatan mengangguk. "Jadi boleh kita keluar sekarang?"
Mahaguru Ubatan ialah orang yang pantas bertindak dan tingkah lakunya ini ditunjuk dalam kumpulan sembang grup itu.
"Baik, mari kita pergi." Song Shuhang membalas dan mengambil dompet serta kad kreditnya.
Semasa dia mengambil dompet, dia melihat ke arah pasu yang berisi Tumbuhan Naga Berbisa di sebelah komputernya.
Dia pun bertanya, "Mahaguru Ubatan, sebelum ini Tuan pernah menyebut dalam kumpulan, Tuan sedang mengutip Tumbuhan Naga Berbisa. Adakah Tuan masih memerlukannya sekarang?"
"Saya telah membeli beberapa batang tanaman daripada rakan Dao dalam kumpulan, tetapi kualitinya kurang baik. Saya perlukan tanaman yang lebih berkualiti untuk membuat eksperimen. Tapi saya tetap akan gunakannya buat masa sekarang. Adakah kamu mempunyai Tumbuhan Naga Berbisa bersama kamu sekarang ini?" Mahaguru Ubatan bertanya.
"Ya, ada di sini." Song Shuhang menunjuk ke arah Tumbuhan Naga Berbisa di sebelah komputernya.
Dan sebenarnya… Nasib Song Shuhang sememangnya sangat baik. Lima puluh hingga enam puluh tahun yang lalu, Tumbuhan Naga Berbisa yang Roh Kupu-kupu Yang Mulia gunakan sebagai pendinding datang dari akar tanaman yang berkualiti tinggi. Lagipun, Mahaguru Ubatan masih mempunyai bekalan yang banyak untuk ramuan yang lain.
Mahaguru Ubatan baru menyedari akan kewujudan pasu yang berisi Tumbuhan Naga Berbisa berwarna hitam ungu yang tumbuh di dalamnya. "Menarik. Saya dah masuk ke dalam bilik ini selama beberapa minit dan saya tidak perasan akan kewujudan batang pokok Tumbuhan Naga Berbisa ini!"
Mahaguru Ubatan telah mempelajari tentang dengan tumbuh-tumbuhan perubatan herba selama lebih dari lima ratus tahun. Dia seorang yang sangat arif dalam bidang ini. Tidak kiralah sama ada ia berada di kawasan pergunungan atau di dalam hutan, selagi ada ubat semangat di sana, dia dapat mencarinya walaupun dengan mata yang tertutup. Dalam situasi ini, Tumbuhan Naga Berbisa ini hanya diletakkan di sebelah komputer Song Shuhang tetapi dia tidak menyedari tumbuhan itu berada di sana sejak dia memasuki bilik Shuhang.
Apa yang begitu pelik tentang Tumbuhan Naga Berbisa ini?
Mahaguru Ubatan kemudian mendekati tumbuhan itu dan memerhatikannya dengan teliti sambil menghidu, mencubit dan memetik hujung kecil daun merasanya.
"Ini tumbuhan yang bagus. Batang Tumbuhan Naga Berbisa ini telah berkembang di kawasan dengan roh qi dan hantu qi yang banyak selama lima puluh hingga enam puluh tahun dan telah digunakan sebagai pendinding utama sebelum ini. Kualitinya lebih tinggi daripada tumbuhan bergred tinggi. Memandangkan tumbuhan ini digunakan sebagai pendinding utama, mutasi telah berlaku dan menyebabkan ia mempunyai keupayaan menyembunyikan diri yang baik. Sebab itulah saya tidak perasan akan kewujudannya di sini sebentar tadi," Mahaguru Ubatan tertawa. Kualiti tumbuhan ini telah memenuhi keperluannya dan ia juga telah mengalami mutasi dan sememangnya mempunyai nilai yang tinggi.
Song Shuhang bertanya. "Adakah Tumbuhan Naga Berbisa ini memenuhi keperluan Tuan Mahaguru?"
"Inilah yang saya perlukan... adakah kamu berniat untuk menjual Tumbuhan Naga Berbisa ini kepada saya?" Mahaguru Ubatan melihat Song Shuhang dan tersenyum. "Sebelum itu, saya perlu jelaskan kepada kamu terlebih dahulu. Tumbuhan ini secara dasarnya bahan perubatan yang lebih berharga dan harga tangkai ini pastinya bukan harga biasa. Sebagai contoh, nilai kedua-dua kotak ramuan ubat yang Bulu Lembut berikan pada kamu tidak dapat mencapai nilai Tumbuhan Naga Berbisa ini walaupun pada kadar satu per sepuluh. Oleh itu, adakah kamu pasti kamu mahu menjualnya kepada saya?"
"Saya tidak akan gunakannya walaupun saya menyimpannya. Lagipun, sekiranya Tuan tidak menghantar resipi Cecair Penguat Badan Mudah secara percuma dalam kumpulan itu, saya tidak akan mempunyai peluang untuk mengenali dunia pertapaan ini," kata Song Shuhang.
Mahaguru Ubatan menggelengkan kepalanya. "Walaupun tanpa resipi saya, selagi kamu berada di Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan, kamu akan mempunyai peluang untuk mengetahui tentang kewujudan 'pertapaan'. Tetapi, nilai resipi itu berbeza bergantung pada seseorang itu. Bagi Mahaguru Utama Prinsip Pemikir, Raja Agung Gerimis Rembulan dan lain-lain pula, memandangkan mereka mempunyai jumlah pengikut yang besar dalam sekta mereka, nilai resipi itu menjadi sangat tinggi. Walau bagaimanapun, kamu hanya pertapa bebas yang masih berada pada peringkat awal dan kamu bersendirian. Jadi, untuk kamu pula, nilai resipi ini tidak dapat dibandingkan dengan nilai batang Tumbuhan Naga Berbisa ini.
Mahaguru Ubatan mengangkat Tumbuhan Naga Berbisa itu dengan kedua-dua tangannya dengan perlahan. Apabila kedua tangannya itu bersentuhan, tumbuhan itu hilang.
Song Shuhang bertanya dengan nada ingin tahu. "Lingkaran ruang? Beg penyimpanan?"
"Ini bukannya salah satu barang simpanan ruang berharga. Peralatan tersebut melibatkan peraturan ruang dan ruang simpanan bersaiz 50 meter padu serta mempunyai nilai sebanyak semua aset saya." Mahaguru Ubatan ketawa. "Saya hanya menggunakan jampi kelas gred pertengahan yang dipanggil 'Bidang Ubatan' yang serupa dengannya. Setiap Mahaguru Penapis Pil akan arif dengan kemahiran ini. Kaedah ini hanya boleh digunakan untuk mengangkut ramuan ubat-ubatan dan barang-barang lain tidak boleh dialihkan ke dalam. Selepas ilmu pertapaan kamu telah sampai ke Tahap Empat, kamu juga boleh mempelajari helah mudah itu. Helah ini tak sukar untuk dipelajari."
Song Shuhang menganggukkan kepalanya seolah-olah memahami walaupun sebenarnya dia masih tidak faham dengan betul.
"Oh ya, pada mulanya saya hanya ingin mendapatkan inspirasi daripada kamu untuk membaiki resipi Cecair Penguat Badan Mudah dan pada masa yang sama mengajar teknik pedang asas serta teknik meditasi kepada kamu. Saya tidak sangka kamu akan menyiapkan hadiah untuk saya. Sekarang saya berasa malu untuk mengajar teknik meditasi dan teknik pedang asas yang saya sediakan kepada kamu." Semasa bercakap, Mahaguru Ubatan mengeluarkan telefonnya dan membuka perbualan sembang grup Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.
Dia bukan seorang yang akan mengambil kesempatan daripada pertapa muda. Memandangkan Song Shuhang telah memberikan Tumbuhan Naga Berbisa yang berkualiti tinggi kepada dia, dia memutuskan untuk mendapatkan dua set teknik pertapaan dengan gred yang lebih tinggi... sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada bahan yang dia bawa bersamanya sekarang ini.