"Dapur elektrik, tetapi bukan dengan relau penapisan pil? Adakah dapur elektrik yang digunakan untuk memasak?" Pertapa Bebas Sungai Utara merasakan tekanan darahnya meningkat dengan mendadak.
Song Shuhang menjawab dengan ragu-ragu, "Ya."
"Haha, saya langsung tidak terkejut dengan apa Tuan Song telah lakukan," Bulu Lembut mencelah.
"Bagaimana dengan kawah pil? Apakah jenis kawah pil yang anda gunakan?" Pertapa Bebas itu bertanya soalan yang lain secara bertubi-tubi.
"Uh, sekiranya perlu gunakan kawah pil, saya gantikan dengan periuk panas." Song Shuhang berasa agak malu. Semua barangan yang dia gunakan tidak sepadan dengan gaya Xianxia, jadi dia berasa malu.
"Periuk panas? Apa model kawah pil itu? Tidak... sekejap, biarkan saya tenangkan diri. Tolong beritahu saya yang anda tidak menggunakan periuk panas yang biasa digunakan untuk makan, bukan?" Pertapa Bebas Sungai Utara menaip ayat itu dengan bunyi nada yang lebih tegas.
"Ya, betullah itu alatannya." Song Shuhang mengesahkan pertanyaan Pertapa Bebas itu.
"…" Pertapa Bebas Sungai Utara menghantar simbol elipsis yang banyak ke dalam sembang grup itu.
Dia merasakan usahanya untuk menghasilkan ubatan selama bertahun-tahun hanya sia-sia sahaja. Percubaan pertama lelaki ini untuk menyempurnakan Cecair Penguat Badan telah berjaya walaupun hanya menggunakan dapur elektrik dan periuk panas. Sedangkan dia sendiri masih gagal dalam dua daripada sepuluh kali percubaan.
Selepas beberapa ketika, dia menulis, "Bolehkah saya sumpah-seranah dalam grup ini?"
"Celaka!" Pedang Berang Melulu Tiga mengeluarkan sumpah-seranah terlebih dahulu.
"Celaka!" Tukang Tilik Tembaga Tiga Simbol Abadi segera mengikuti jejak langkah Pedang Berang Melulu Tiga.
"Celaka!" Si Mabuk Rembulan Yang Arif menyambung sumpah-seranah itu. Si Mabuk Rembulan Yang Arif selalu muncul dan sangat aktif dalam perbualan sembang grup itu. Jadi dia pasti seorang ahli pertapa yang lama. Song Shuhang tidak tahu kenapa dia merasakan sesuatu seperti seseorang yang dia telah lama kenali setiap kali Si Mabuk Rembulan Yang Arif muncul dalam perbualan itu. Tetapi dia melupakan perasaan itu selepas beberapa ketika.
"Tak guna, anda semua telah menyumpah dahulu. Sekarang bagaimana saya hendak menulis celaka?" Pertapa Bebas menyambung perbualan dalam keadaan tidak berdaya, "Inilah hasilnya @Mahaguru Perubatan, sudah tiba masanya untuk anda keluar wahai sahabatku!"
"Saya ada di sini," Mahaguru Ubatan muncul. Rupa-rupanya dia telah membaca log perbualan mereka pada waktu itu.
Selepas beberapa ketika dia cuba menulis, dia berjaya menghantar satu ayat yang berbunyi, "Kawanku, bolehkah anda menerangkan proses penapisan pil anda? Terutamanya pada bahan ke empat puluh yang anda beritahu terdapat kesalahan kecil itu."
Mata Bulu Lembut bersinar, "Oooh! Tuan Song, saya juga ingin tahu tentang langkah ini. Saya telah gagal beberapa kali pada langkah ini!"
Dengan kehadiran Bulu Lembut, Song Shuhang menyertai perbualan dalam sembang grup Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah Nombor tanpa rasa janggal.
"Tiada masalah, saya akan terangkan secara ringkas." Song Shuhang menyambung, "Saya meletakkan hirisan ginseng terlebih dahulu kemudian menambah satu skup air minuman."
"Sebentar, anda tambahkan air?" Mahaguru Ubatan bertanya dengan rasa tidak sabar, "Kenapa perlu tambah air?"
"Jika tidak menambah air, hirisan ginseng akan direbus sehingga ia kering, bukan?" Tanya Song Shuhang, tetapi dia mula faham semua orang di dalam kumpulan itu tidak menambah air ketika membuat Cecair Penguat Badan itu.
"Oh, betul. Anda menggunakan dapur elektrik dan periuk panas." Pertapa Bebas Sungai Utara menghela nafas. 'Kenapa selepas mengetahui kebenaran, hati saya terasa lebih sakit dan pedih?'
Mahaguru Ubatan mengangguk senyap, "Alasan yang munasabah. Teruskan. Menambah air semasa dalam langkah pertama sepatutnya tidak memberikan kesan yang keterlaluan selepas itu. "
Saat Song Shuhang memberikan penerangan, semua pertapa yang berada dalam kumpulan itu terasa seperti sedang melihat satu imej muncul dalam fikiran mereka.
Seorang lelaki bijak yang bernama 'Tertekan dengan Timbunan Buku' sedang duduk tegak di sebelah dapur elektrik. Kemudian dia meletakkan periuk panas di atas dapur dan memasukkan ramuan ubatan Cecair Penguat Badan ke dalam periuk itu. Dia menyediakan ramuan ubatan itu dengan gaya terpelajar sambil menunjukkan kemahirannya.
Kenapa mereka masih merasa janggal?
Kenapa proses penapisan pil perlu dibuat dengan menggunakan dapur elektrik dan periuk panas?!
Song Shuhang tidak banyak berfikir. Dia menerangkan langkah-langkah berikut secara ringkas sambil menambah beberapa bahagian yang dia sendiri pelajari terutamanya dalam proses kawalan api dan juga pemasaan. Pada masa yang sama, dia juga menerangkan masalah yang dihadapi ketika menyiapkan Cecair Penguat Badan itu.
Sambil memerhatikan gerak-geri Song Shuhang secara perlahan yang telah berjaya mengubah suai resipi itu, Mahaguru Ubatan merasa bersyukur tetapi pada masa yang sama dia berasa malu.
"Sehinggalah sewaktu saya sampai ke ramuan ubat yang keempat puluh satu, Cecair Penguat Badan di dalam periuk meletus sambil mengeluarkan bau yang sangat busuk. Cecair itu akan tersejat dengan pantas dan dalam sekelip mata, hanya ada satu per lima cecair yang masih ada," Song Shuhang menyambung penerangannya. "Pada langkah ini, saya tidak dapat memahami sebabnya. Saya cuma boleh meneka ini pemangkin ubatnya, bukan?"
"Saya berdepan dengan situasi yang sama, cecair ubat itu akan tersejat." Bulu Lembut menjawab.
"Situasi yang sama berlaku pada mahaguru abadi ini." Tukang Tilik Tembaga Tiga Simbol Abadi mengangguk. Mereka bukan pakar dalam penghasilan cecair, tetapi sebagai seorang pertapa, mereka sememangnya sudah biasa dengan penghasilan ubat-ubatan yang biasa.
"Semua ini berlaku kerana ramuan ubat ini ialah pemangkin. Jadi, apabila ia dimasukkan ke dalam periuk, maka bermulalah proses penulenan. Apabila kita mula membuat penapisan, kawalan haba dan masa tidak mencukupi dan seterusnya menyebabkan penyejatan apabila bahan ke empat puluh satu diletakkan. Jika anda ingin mengelakkan situasi ini, anda perlukan pengalaman yang cukup dan tidak ada jalan pintas untuk mendapat hasilnya," balas Mahaguru Ubatan.
Sama juga sekiranya keadaan seperti itu berlaku, ia hanya boleh diselesaikan melalui pengalaman dan pertimbangan yang bijak.
"Song Shuhang, bagaimana anda mengatasi masalah ini?" Mahaguru Ubatan bertanya dengan nada ingin tahu.
"Saya melihat cecair itu menyejat dengan pantas, jadi saya mulakan dengan menambah satu skup air untuk cuba memperlahankan kelajuan penyejatan." Song Shuhang teringat semula situasi itu saat dia bercakap.
"Anda menambah air lagi? Oh... jadi mungkin itu cara yang terbaik untuk mengurangkannya. Lepas itu? Menambah air hanya dapat mengurangkan penyejatan, ia dapat menyembuhkan gejala tetapi bukan penyakitnya." Mahaguru Ubatan bertanya. Pada masa yang sama, dia memikirkan tentang faedah apabila air ditambah ke dalam ramuan itu, tetapi dia berfikir semula. Sekiranya dia menghadapi keadaan yang sama, menukar air dengan cecair ubat-ubatan khas mungkin dapat mengurangkan masalah penyejatan dengan lebih baik.
"Kemudian, saya hanya memasukkan empat ramuan terakhir ke dalam cecair itu dan menaikkan api untuk memasaknya dengan kuasa maksimum. Akhirnya, penutup periuk terbuka dengan jumlah cecair sebanyak lima sudu yang masih ada daripada cecair awal sebanyak setengah periuk di dalamnya.
"Lima sudu, jika sudu itu bukannya jenis sudu yang digunakan oleh kanak-kanak, lima sudu itu sebenarnya agak banyak." Pertapa Bebas Sungai Utara menghela nafas. Biasanya, proses penapisan Cecair Penguat Badan hanya menghasilkan tiga sudu.
"Apa kekuatan ubat itu berbanding sebelum ini? Oh... Saya terlupa ini kali pertama anda menghasilkan Cecair Penguat Badan," Mahaguru Ubatan berkata dengan nada hampa. " Saya akan mula menggunakan kaedah anda dan saya akan beritahu pendapat saya selepas saya mendapat hasilnya."
Kemudian, Mahaguru Ubatan log keluar dari perbualan itu.
"Haha, Mahaguru Ubatan sering berkelakuan begitu apabila kita bercakap tentang penapisan ubat-ubatan. Kita akan berbual semula selepas dia menyelesaikan tugasnya. Mengikut apa yang telah dikatakan oleh Mahaguru Ubatan, mungkin kaedah anda akan menjadi kaedah pembuatan Cecair Penguat Badan Mudah yang baharu. Mulai sekarang, sesiapa sahaja dalam kumpulan ini yang menggunakan kaedah penapisan anda akan terhutang budi kepada anda. Budi baik yang telah anda curahkan itu tidak dapat dilupakan 😄." Pertapa Bebas Sungai Utara menjawab.
Kehadiran Song Shuhang dalam kumpulan ini bermakna dia ingin mendedahkan dirinya kepada 'pertapaan' yang sebenar. Hakikatnya, pada saat dia mula menghasilkan Cecair Penguat Badan dan kemudian meminumnya, dia telah berada satu langkah ke dalam dunia pertapaan.
"Jadi, Shuhang, selamat datang ke Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah," kata Pertapa Bebas Sungai Utara. " Sepatutnya perkara-perkara ini diterangkan kepada anda oleh Raja Agung Gunung Kuning. Lagipun, dialah yang memasukkan anda ke dalam kumpulan ini dan dia juga yang menyimpan anda. Semua itu dia lakukan kerana dia merasakan takdir akan menyatukan anda berdua. Memandangkan anjing rakasa dia itu sedang mengamuk, jadi saya akan melakukannya bagi pihaknya."
'Anjing raksasa Raja Agung Gunung Kuning sememangnya agak ganas, bukan?' Song Shuhang berfikir.
"Oleh kerana anda telah memutuskan untuk mencuba dunia pertapaan ini, ada beberapa perkara yang perlu saya beritahu. Laluan pertapaan ini tidak santai seperti yang anda fikirkan. Dalam laluan ini terdapat banyak malapetaka yang boleh membawa kepada kehancuran buat anda pada bila-bila masa.
"Saya tahu tentang itu. Saya pernah melihat Tribulasi Kilat di Bandar H dari jauh." Song Shuhang menjawab.
Bulu Lembut kemudian mencelah, "Kediaman Tuan Song terletak berdekatan dengan Bandar H dan Bandar J."
"Jadi anda juga tahu tentang Tribulasi Kilat Enam Belas. Nampaknya anda sudah memerhatikan kami sejak anda telah dimasukkan ke dalam kumpulan ini, betulkan?" Pertapa Bebas Sungai Utara bertanya dengan nada berjenaka.
"Haha." Song Shuhang menjawab dengan malu. Dia tidak boleh memberitahu mereka dia menjangka mereka menderita penyakit Chuuni. Lagipun, dia pernah mempermainkan mereka hanya kerana dia ingin menjadikan mereka sebagai bahan ketawa buatnya, betulkan?
"Oleh kerana anda sudah bersedia secara mental, maka saya akan bercakap tentang perkara yang penting." Pertapa Bebas Sungai Utara meneruskan, "Sejak Shuhang telah memutuskan untuk terus berada di dalam kumpulan ini, jelas sekali anda ingin mempelajari cara pertapaan daripada kami. Jadi, mengikut tradisi kumpulan ini, anda mempunyai dua pilihan sekarang. Menjadi pertapa bebas atau menyertai satu sekta pertapa tua dalam kumpulan ini.
Kumpulan ini mempunyai ahli yang sangat ramai. Jadi, akan ada beberapa kaedah untuk menangani pelbagai kes. Tetapi, inilah kes pertama yang melibatkan ahli baharu yang tidak mempunyai pengetahuan tentang pertapaan.