Sekiranya Song Shuhang menyertai sekta pada umurnya sekarang, situasinya sama seperti orang tua berusia sembilan puluh tahun yang buta huruf tetapi tiba-tiba mahu masuk belajar di sekolah rendah. Dengan kata lain, semua ini tidak masuk akal! Walaupun mungkin orang tua ini telah mengatasi pelbagai masalah dan cabaran dalam hidupnya serta berjaya mendapat pengalaman hidup yang luar biasa, tapi berapa banyak yang dia dapat pelajari sekiranya dia masih mahu ke sekolah? Apa yang boleh dicapai? Masa depannya juga mungkin tidak panjang dan penuh dengan ketidaktentuan. Siapa tahu mungkin dia akan mati secara tiba-tiba pada keesokan harinya?
Walaupun Song Shuhang berjaya menubuhkan asasnya, masa yang diperlukan untuk mempelajari ilmu pertapaan lebih banyak berbanding pertapa muda yang belajar pertubuhan asas pada usia empat atau lima tahun.
Pada satu situasi, terdapat pengikut yang dapat menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih pantas tanpa menggunakan sumber yang banya dengan prospek untuk menjadi lebih berkuasa yang tiada had.
Di sisi yang lain pula, Song Shuhang yang pasti akan mengalami kesukaran untuk menguasai sesuatu ilmu serta perlu menggunakan sumber yang lebih dengan prospek yang kelihatan suram.
Selagi ahli pertapa lama tidak menjadi gila, mereka juga pasti tidak mahu meluangkan terlalu banyak masa, usaha, tenaga untuk mengajar dan sumber buat Shuhang.
Walaupun ada ahli Dao dalam sembang grup Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan yang mencadangkan supaya Song Shuhang menyertai sekta mereka, mereka tentu tidak akan dapat menjaga dia di dalam sekta itu selama-lamanya!
Mahaguru Abadi Tiga Simbol Tembaga tidak dapat menolaknya. Dia tidak berfikir sedalam Pertapa Bebas Sungai dan dia hanya tahu menjadi seorang pertapa bebas itu sangat sukar. Dia tidak berfikir sekta juga tidak akan dapat membantu Song Shuhang.
"Oleh itu, perbezaan antara sekta dan pertapaan bebas tidak memberi kesan yang besar buat Song Shuhang. Dengan cara ini, lebih baik sekiranya dia membuat keputusan sendiri. Walaupun pilihan yang dibuatnya salah, memandangkan dia telah memilih sendiri, dia tidak akan dapat menyalahkan sesiapa pun," jawab Pertapa Bebas Sungai Utara secara acuh tak acuh.
Tugas pertapa lama pula hanya perlu membantu Song Shuhang apabila dia memerlukannya.
❄️❄️❄️
Asrama Pekan Kolej Jiangnan.
Song Shuhang bersandar di kerusinya dan melihat cawan yang diletakkan penutup di sebelah mejanya. Cawan itu mengandungi sisa Cecair Penguat Badan. Cecair itu perlu dipadankan dengan Teknik Meditasi Asas dari Mahaguru Ubatan dan Teknik Penumbuk untuk menunjukkan kesan ubat yang lebih baik.
Pada masa yang sama, satu bunyi merdu bergema. Bunyi itu datang dari nada dering telefonnya.
Song Shuhang menekan butang jawapan dan suara Tubo memasuki gegendang telinganya, "Shuhang, adakah anda telah membuka kedua-dua kotak besar itu? Sekiranya sudah buka, sila datang ke sini. Sila datang ke rumah Yangde! Anda harus datang ke sini dan sertai kami untuk memasak."
"Baiklah, saya akan pergi ke sana dengan segera. Hantarkan alamatnya kepada saya." Song Shuhang menjawab.
"Saya akan menghantarnya kepada anda melalui mesej teks." Tubo memutuskan talian.
Selepas panggilan telefon diputuskan, Song Shuhang meletakkan telefonnya dan melihat di luar balkoni melalui tingkap.
Mungkin dia juga perlu menyewa sebuah bilik di luar sekolah seperti Yangde.
Dia tidak perlu tinggal di luar sekarang ini, tetapi sekiranya dia mahu menapis pil atau bertapa pada masa akan datang, dia perlukan sebuah tempat yang terpencil dan tidak ada gangguan.
'Sekiranya aku mahu menyewa sebuah bilik di luar, adakah aku perlu membuat bekerja sambilan?' Song Shuhang hanya seorang pelajar biasa, dia tidak mempunyai kemahiran komputer seperti Yangde dan hanya boleh bekerja separuh masa untuk mendapatkan wang.
'Oh ya, bagaimana ahli pertapa lama dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan mendapatkan wang? Mereka tidak memencilkan diri dari masyarakat luar dan masih memerlukan wang untuk urusan seharian, bukan? Sekurang-kurangnya mereka perlu membayar bil elektrik dan internet atau bil-bil lain.'
Saat dia sedang berfikir dengan gigih, Tubo menghantar mesej dengan mengepilkan lokasi.
Kawasan Jalan Auspicious, Blok 221D Bilik 602.
Ini jalan berhampiran Pekan Kolej.
❄️❄️❄️
'Daerah ini boleh tahan bagus dan juga dekat dengan sekolah. Yangde ini telah berjaya menemui tempat yang bagus.' Song Shuhang melihat peta telefon bimbitnya dan mengikutinya ke lokasi yang dihantar oleh Tubo.
Kawasan Jalan Auspicious ialah kawasan kediaman lama. Disebabkan oleh susun atur pembinaan yang tidak kemas pada masa dahulu, bangunan-bangunan itu telah melalui banyak perubahan. Saiz bangunan dan lorong-lorongnya berbeza serta bertembung secara menegak dan mendatar. Ia kelihatan berserabut walaupun dia melihat dari jauh.
'Kalau ini lokasi yang betul, aku boleh ambil jalan pintas dan dapat menjimatkan masa.' Song Shuhang pun masuk ke satu, dengan gerakan tangkas dan pantas melalui ke sesebuah lorong.
Lorong-lorong yang terpencil ini dahulunya ialah lokasi berkumpul bagi kumpulan pelajar yang bermasalah.
Tiba-tiba dia teringat akan kumpulan pelajar yang bergaduh dengannya dua hari lepas. Dia berjaya menewaskan mereka dengan kekuatannya.
Kumpulan pembuli itu ditewaskan dalam masa beberapa saat. Tumbukan yang mereka terima sangat kuat dan menyebabkan kecederaan teruk sehingga ibu mereka tidak dapat mengecam wajah anak mereka yang menjadi pembuli itu. Mereka juga pengsan dan hanya sedar dua hari selepas kejadian itu.
Selepas kejadian itu, jabatan berita sekolah telah menugaskan beberapa orang ahlinya untuk menyiasat tentang bagaimana mereka mendapat kecederaan teruk itu.
Yang anehnya, tiada seorang pun daripada mereka yang dapat mengingati semula kejadian itu walaupun mereka telah berusaha untuk ingat semula. Kejadian hari itu hilang dalam ingatan mereka dan mereka juga tidak tahu mengapa mereka dimasukkan ke hospital. Seingat mereka, mereka masih merokok dan berlegar di lorong kecil itu dan tiba-tiba, semasa mereka terjaga di hospital, kekeliruan jelas terpapar pada wajah mereka.
Hospital itu juga tidak dapat mengesan punca utama dan hanya boleh mendiagnosis mereka sebagai kehilangan ingatan kolektif pada ketika ini.
Kejadian ini menjadi salah satu peristiwa yang tidak dapat dipercayai oleh penduduk Pekan Kolej Jiangnan.
'Nampaknya memang jelas yang ingatan mereka telah dipadam.' Song Shuhang berfikir.
Mungkin kerana hentakan di kepala yang menyebabkan mereka lupa sekiranya hanya seorang atau dua orang yang tidak ingat. Tetapi, terdapat puluhan orang di tempat itu dan setiap daripada mereka tidak mengingati kejadian itu. Peristiwa yang berlaku pada masa itu juga telah terhapus. Tidak mungkin ada kebetulan yang sebegitu di dunia ini.
Disebabkan insiden dengan kumpulan penjahat itu, kumpulan penjahat lain yang sering berkumpul di sekitar kawasan Kolej ini telah berkurangan sejak akhir-akhir ini. Dahulu, biasanya lorong-lorong ini menjadi tempat untuk kumpulan-kumpulan penjahat berkumpul, tetapi bilangannya telah berkurang dengan drastik.
Tahap keselamatan di kawasan sekitar juga menjadi semakin baik.
Ada pepatah yang berbunyi, 'sebut celaka, kemudian jadi celaka!'
Oh sekejap, bukan begitu. Sepatutnya, 'sebut celaka, kemudian kecelakaan akan menimpa.'
Sewaktu Shuhang berfikir tentang kumpulan penjahat, satu kumpulan penjahat muncul dengan pantas bagaikan satu kepulan asap yang menyelubungi kawasan itu.
Terdapat tujuh orang lelaki di situ. Setiap seorang daripada mereka mempunyai rambut panjang berwarna-warni. Telinga, bibir dan hidung mereka bertindik dan kesemuanya mempunyai sebatang rokok yang diletakkan pada bibir mereka. Hanya satu yang kurang. Sebuah tanda di dahi yang tertulis, 'saya sedang melalui fasa pemberontakan remaja.'
Biasanya sasaran mereka bukanlah lelaki seperti Song Shuhang iaitu seorang lelaki yang bertubuh sasa ini. Sekiranya mereka bukan penjahat sekalipun, mereka tidak akan cuba bergaduh dengan lelaki seperti Song Shuhang yang kelihatan seperti dia mempunyai kebolehan untuk bertarung.
Mereka sedang mengelilingi seorang gadis sambil tersenyum nakal. Salah seorang daripada mereka, dengan ketinggian sekitar 172 cm, kini berada dalam posisi 'Kabedon' sambil menolak gadis itu ke dinding.
"Gadis cantik, adakah anda sedang kesepian di sini? Adakah anda mahu bermain dengan kami?"
"Tak perlu bayar apa-apa, anda pasti akan berasa gembira dan takkan berasa sunyi lagi."
"Kamu akan rasa selesa."
"Semua lelaki budiman ini akan menemani awak untuk bermain."
"Ada kedai kecil di kawasan yang tak jauh dari sini. Awak pasti teringin bermain lagi selepas mencubanya sekali."
Semua penjahat itu mencuba bermacam-macam cara untuk mengusik dan mempermainkan gadis itu.
Song Shuhang kemudian melihat ke arah gadis yang dikelilingi oleh penjahat itu.
Dengan ketinggian kira-kira 150 cm, berambut pendek dan wajah cantik walaupun tanpa solekan, dia kelihatan seperti dia hanya seorang pelajar sekolah tinggi kerana tubuhnya yang kecil. Tetapi mungkin usia sebenar gadis itu lebih tua.
Seorang gadis yang cantik berseorangan di lorong kecil, sebab itulah dia menjadi sasaran mudah buat penjahat di situ. Oleh sebab itulah wanita tidak digalakkan untuk berjalan sendirian di lorong-lorong kecil sebegini.
Sekarang, gadis itu mengerutkan keningnya dan dia memandang mereka dengan penuh penghinaan.
Dia masih kelihatan comel walaupun dengan ekspresi seperti itu pada wajah kecilnya.
"Eh, walaupun sedang marah, awak masih nampak cantik. Benarkan lelaki budiman ini memanjakan kamu dengan kasih sayang, boleh?" Penjahat itu menghalang gadis kecil itu dengan meletakkan satu tangan di dinding dan satu lagi tangan yang cuba untuk membelai mukanya.
Song Shuhang mendesah kerana dia tidak sanggup melihatnya lagi.
Dia mengepalkan penumbuknya sambil mengambil langkah besar ke hadapan.
Dengan bantuan Cecair Penguat Badan itu, dia tidak dapat mengawal kelajuan langkahnya dan dengan sedikit kekuatan, dia bergegas ke hadapan dengan langkah laju seperti angin.
Penjahat yang sedang mengusik gadis muda itu hanya merasakan matanya menjadi kabur dan tidak lama selepas itu, Song Shuhang yang berada tujuh hingga lapan meter di belakangnya tiba-tiba muncul di sebelahnya.
Semua yang dia sempat lihat hanyalah telapak tangan besar Song Shuhang yang terbuka menggenggam kepala penjahat yang mempunyai rambut berwarna emas itu.
Penjahat berambut emas mempunyai ketinggian sekitar 172 cm dan Song Shuhang hanya sedikit lebih tinggi daripada dia.
"Hei, tak nampakkah yang gadis ini tidak mahu bermain dengan kalian semua?" Song Shuhang menambah tekanan pada genggamannya dan mengangkat lelaki itu ke udara.
'Apa?' Song Shuhang juga terkejut. Dia tahu kekuatannya telah meningkat dengan pantas selepas mengambil Cecair Penguat Badan itu. Tetapi tak sangka pula lelaki seberat 100 lebih paun menjadi ringan seperti sebatang kayu di tangan.