Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 11 - Puteri Garcia

Chapter 11 - Puteri Garcia

"Udara sudah semakin sejuk," keluh Garcia Wimbledon sambil menyisir rambutnya yang diterbangkan angin dengan jari-jemarinya. Matanya merenung lautan yang luas terbentang hingga ke garis ufuk.

"Ia kerana musim sejuk sudah menjelang tiba," jawab seorang lelaki kacak di belakangnya, "dan walaupun kita tinggal di selatan, kita bukan berada di Negara Paling Selatan. Hanya orang di Negeri Pasir yang tidak pernah merasa kedinginan musim sejuk."

"Arus lautan akan menghentikan pergerakan armada kita semasa musim sejuk. Ini peluang terakhir untuk kita belayar keluar," balas wanita muda itu sedikit marah. "Ryan, sudah berapa lama Armada Layar Hitam meninggalkan pelabuhan?"

"Dua bulan empat hari," jawab lelaki itu dengan pantas. "Jika tiada halangan, mereka akan tiba ke Pelabuhan Air Bening dalam masa tiga hari."

Garcia tertawa. "Saya harap mereka bawa banyak kejutan."

Ryan Koban memandang wanita yang terkenal di hadapannya itu dan hatinya membuak-buak dengan perasaan kagum. Rambutnya yang panjang dan berwarna kelabu asap bersinar-sinar seperti perak apabila terpantul cahaya matahari musim luruh. Matanya sedikit sepet dan berwarna hijau muda. Renungannya boleh membuat sesiapa sahaja terasa lemas dan sesak dada. Kulitnya sedikit kasar dan gelap berbanding wanita lain kerana sudah lama menetap di bandar pelabuhan berhampiran laut, tetapi Ryan tidak kisah dengan itu. Di mata Ryan, perwatakan wanita itu sudah cukup menarik bagi menampung apa-apa kekurangan pada paras rupanya.

Tidak seperti keluarganya di Graycastle, Puteri Garcia Wimbledon seorang puteri yang pintar. Baginda bijaksana dan bermaruah tinggi sebagai seorang ahli keluarga diraja, tetapi baginda tidak hidup bermalas-malasan. Malah baginda boleh dikatakan lebih menyerupai orang kebanyakan kerana baginda suka mengembara dan menerokai kehidupannya.

Sudah tentu, tiada orang kebanyakan yang mempunyai kuasa dan wawasan sehebat Puteri Garcia. Malah ayahanda serta kekanda-kekandanya sendiri jauh lebih cetek pemikiran berbanding baginda. Baginda mempergunakan semua hasil keuntungan perdagangan Pelabuhan Air Bening untuk membina armadanya sehingga tidak ada sekeping gangsa pun yang tinggal dalam perbendaharaan istana. Ini jauh berbeza daripada sikap keluarga diraja lain yang kedekut.

"Tiada gunanya kita simpan emas yang banyak di dalam peti khazanah istana. Jika ia tidak digunakan, ia hanya sekadar kepingan logam biasa sahaja. Tetapi jika kita membelanjakannya, barulah kita akan lihat nilainya yang sebenar. Bila kita berbelanja, kita bukan kehilangan duit, tetapi kita melabur untuk pulangan yang jauh lebih berharga." Kata-kata puteri ini dahulu tersemat kemas dalam minda Ryan. Falsafahnya memang masuk akal dan berlawanan dengan kebiasaan bagi seorang puteri raja.

Jika dibandingkan dengan ahli-ahli keluarga diraja lain yang menghabiskan masa mereka mengumpul kekayaan dan menambah harta benda, Ryan merasakan pendirian sang puteri ini lebih wajar bagi seorang pemerintah.

Sebab itulah dia memilih untuk berkhidmat kepada Putera Garcia tanpa sebarang soal dan mengikutnya hingga ke Pelabuhan Air Bening.

Tetapi selepas ketibaan mereka ke sini, Ryan mendapati puteri itu jauh lebih handal daripada yang dia fikirkan. Baginda bukan sahaja penuh dengan idea-idea cemerlang tetapi juga cekap bertindak. Seawal lima tahun lalu, tentera Garcia berjaya menyusup masuk Pelabuhan Air Bening dan membuat persiapan untuk pembentukan Armada Layar Hitam walaupun pada masa itu, ayahandanya Raja Wimbledon III belum mengumumkan lagi Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta. Dalam erti kata lain, Puteri Garcia sudah lama menandingi kekanda-kekandanya.

"Ayuh kita ke dalam, angin sudah bertambah kencang," kata Garcia. Istana Puteri Garcia terletak di Pelabuhan Salmon di kawasan paling selatan di Pelabuhan Air Bening. Bangunan seakan-akan menara itu kelihatan seperti kubu pemerhati yang mengawasi perairan. Ia mempunyai anjung membulat yang mengelilingi menara itu di di tingkat atas lalu membolehkan penghuninya melihat keseluruhan pelabuhan dan setiap kapal yang keluar dan masuk dalam perairan mereka.

Sudah lima tahun berlalu sejak misi mereka bermula dan perdagangan di Pelabuhan Air Bening bertambah maju dan makmur. Setiap enam bulan, sebuah kapal bertiang tiga akan muncul di jeti mereka hasil kepercayaan bersama yang disemai pemerintah itu. Memandangkan angin Putera Garcia kelihatan baik, Ryan mengambil kesempatan untuk bertanyakan sesuatu yang sudah lama mengganggu fikirannya.

"Tuanku, ada sesuatu yang Patik masih tidak faham." Selepas mereka masuk, Ryan menutup pintu anjung dan bunyi siulan angin kencang di luar tiba-tiba terhenti.

"Teruskan." Puteri itu tersenyum lalu mengangguk.

"Bagaimana Tuanku boleh ramalkan semua ini akan terjadi walaupun sebelum baginda Raja mengumumkan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta itu?" Ryan meneka mungkin Raja Wimbledon sudah senyap-senyap memaklumkan Puteri Garcia terlebih dahulu tetapi dia tidak pasti tentang ini. Semua orang tahu Raja Wimbledon sangat sayangkan putera keduanya dan pertandingan ini dibuat untuk memberi kelebihan kepada anak kesayangannya itu. Sebab itulah putera kedua itu diberi kepercayaan untuk memerintah Valencia, bandar yang sudah sedia maju dan kaya-raya.

Mungkinkah Puteri Garcia sudah dapat meramalkan tindakan ayahandanya lalu membuka langkah pertama seawal lima tahun lalu? Tidak mungkin, baginda baru berusia 20 tahun ketika itu!

"Beta meramalkannya?" Puteri itu memandang Ryan dengan pelik. "Awak ingat Beta ahli sihir? Beta tidak ada kuasa seperti itu."

"Tapi…"

"Beta tidak tahu ayahanda Beta akan mengumumkan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta sebagai cara untuk menyerahkan segalanya pada kekanda beta, putera kedua kesayangan baginda. Adakah awak rasa Titah Diraja itu ada kaitan dengan apa yang Beta sedang usahakan sekarang?"

"Tiada kaitan?" Ryan terfikir sesuatu dan ia membuat mulutnya terlopong seketika.

Melihat mimik wajah Ryan yang terkejut, Garcia tertawa. "Jadi adakah Beta perlu menunggu izin daripada ayahanda Beta dahulu, baru Beta boleh turut bersaing untuk takhta itu? Bukankah syaratnya ialah orang yang menjadi pemerintah yang terbaik layak mentadbir Kerajaan Graycastle? Beta ingatkan awak sudah tahu tujuan sebenar Beta mewujudkan Armada Layar Hitam."

"Jadi Puteri Garcia bukan menubuhkan Armada Layar Hitam itu semata-mata untuk menambah aset negara," gumam Ryan sendirian. Selepas kapal-kapal dalam armada itu menyelesaikan urus niaga perdagangan, mereka akan belayar jauh dari pelabuhan itu, mengibarkan layar hitam dan merompak kapal saudagar dari bandar atau negara lain. Puteri itu juga akan menggalakkan rakyat jelatanya untuk turut keluar belayar bersama dan menyertai amukan Armada Layar Hitam ke atas angkatan kapal perdagangan lain. Baginda sudah berjanji baginda tidak akan mengenakan cukai ke atas sebarang hasil rampasan yang didapati dengan cara ini dan ia akan kekal menjadi hak milik nakhoda kapal itu sepenuhnya.

Tindakan ini membuatkan Puteri Garcia dilimpahi kemewahan yang menakjubkan. Sebab itulah kali ini baginda hanya mengeluarkan titah untuk Armada Layar Hitam belayar ke selatan. Mereka akan merampas harta setiap kapal yang melalui Tanjung Tidak Berpenghujung, serta harta orang-orang Negara Pasir.

Namun begitu, tindakannya ini bukan hanya untuk mengaut untung semata-mata. Garcia tidak menggunakan hasil rompakan itu untuk membina sebuah bandar atau memperluaskan perdagangan dengan membina jalan darat, tetapi sebaliknya baginda membelanjakan balik semua duit itu ke atas kapal-kapalnya lalu meningkatkan lagi saiz armada baginda.

Sejak beberapa tahun lepas, baginda sudah berjaya mendapat kesetiaan ramai orang – kelasi berpengalaman, kesateria gagah, serta orang-orang terkenal. Sekiranya Puteri Garcia kehilangan kuasa ke atas pelabuhan ini, semua orang yang merompak dan menjarah kapal-kapal negara lain tentu akan disabitkan dan dihukum bunuh.

Pemerintah yang terbaik akan diberikan hak mentadbir Kerajaan Graycastle? Tidak, kini Ryan pasti Garcia Wimbledon yang akan menaiki takhta ayahandanya kerana baginda sudah mengumpul sejumlah kapal dan angkatan tentera yang cukup besar dan boleh mara untuk mencabar Valencia melalui Sungai Sanwan.

"Adakah Tuanku tahu Tuanku akan ditugaskan untuk memerintah Pelabuhan Air Bening?"

"Terus-terang, Beta tidak menjangkakannya. Tindakan Beta hanya untuk meningkatkan perdagangan di bandar ini." Puteri Garcia mengangkat bahunya. "Ini juga pembalasan terhadap gereja yang berani memperbodohkan beta."

"Ini ada kaitan dengan gereja?"

Apabila Garcia tidak menjawab soalan itu, Ryan tidak berani mahu mendesaknya lagi. Tetapi apa yang Ryan tahu, sekiranya puteri itu tidak dihantar ke Pelabuhan Air Bening pun, baginda tentu akan merangka jalan untuk mengambil alih kawasan ini juga akhirnya.

"Kita teruskan ke perkara lain," Puteri Garcia berhenti seketika untuk menghirup teh hitamnya. "Jadi nampaknya rancangan Beta telah gagal."

"Oh. Ya," Ryan terus mengalihkan fikirannya dan menambah, "satu-satunya berita yang kami dapat dari Pekan Sempadan ialah rancangan Tuanku sudah gagal. Selain daripada itu, Patik tidak mendapat sebarang maklumat lagi."

"Tentu kekanda-kekanda Beta sudah bunuh para pengintip kita. Beta sudah dapat menjangkakannya. Lagipun semua pengintip itu hanya watak picisan yang dikerahkan untuk memberi lebih masa kepada kita dan mereka tidak faham langsung tentang peranan sebenar mereka. Walau bagaimanapun…" Puteri Garcia mengubah topik perbualan mereka. "Beta sudah tahu rancangan lain akan gagal. Tetapi Beta tidak sangka si Putera Keempat itu boleh terselamat. Sejujurnya, Beta rasa agak kecewa dengan itu."

"Kingfisher melaporkan dalam suratnya yang Roland sudah makan kapsul itu, tetapi…"

"Pokoknya, ia gagal. Beta tidak perlu dengar sebarang penjelasan." Garcia menyampuk kata-kata Ryan. "Bulan Kunjungan Iblis bakal tiba dan Putera Keempat itu akan berhijrah ke Kubu Longsong untuk berlindung di sana. Semasa makhluk-makhluk iblis itu menyerang Pekan Sempadan, Kubu Longsong akan menjadi huru-hara. Tulis surat pada Kingfisher dan suruh dia ambil kesempatan daripada ini. Kita tengok sama ada tuah masih akan menyebelahi kekanda Beta atau tidak."

"Perintah dijunjung, Tuanku."

"Awak boleh pergi." Garcia mengangkat tangan sebagai tanda menyuruhnya pergi, tetapi belum sempat Ryan melangkah, puteri itu berbicara lagi. "Oh, ya. Seingat beta, kapsul itu dibeli daripada Enbis si ahli alkimia itu, bukan?"

Ryan mengangguk.

"Apa katanya hari itu? Pil itu tiada warna dan tiada rasa seperti air? Ia akan membawa kematian serta-merta dan tiada penawar? Ia ciptaannya yang terbaru, bukan?" Garcia menguap seraya berkata, "Gantung dia sampai mati."