Sebagai satu-satunya orang yang mempunyai pengalaman belayar, Lightning telah dilantik sebagai pemandu arah.
Terus-terang, dia juga begitu berminat dengan tongkang pelik berbentuk aneh itu. Walaupun rupanya hodoh, ia ada semua bahagian asas sebuah kapal. Namun dia tidak pasti jika ia boleh belayar. Lagipun selama ini dia hanya bertindak sebagai pemerhati sahaja di atas kapal kerana bapanya sering menolak permintaannya untuk mengemudi atau menaikkan kain layar.
Demi mengikut tradisi, Lightning memecahkan sebotol ale di haluan kapal dan memberi arahan menaikkan layar untuk pelayaran sulung tongkang itu. Sebagai kapten, Carter jelas tidak mahu membiarkan anak gadis itu mengambil alih kedudukannya, jadi kesateria itu akan sentiasa mengulang arahan yang sama seperti disebut Lightning.
Kain layar Pekan Kecil dibuat daripada kulit haiwan. Ia menggunakan kulit anak lembu dan kulit kambing bebiri dengan campuran sedikit keistimewaan Pekan Sempadan, seperti kulit serigala dan kulit beruang. Ia kelihatan seperti permaidani dengan kepingan-kepingan bulu berwarna perang, putih, serta kelabu yang berbeza kekasaran dijahit bersama. Kain layar itu berbentuk empat segi dan dipisahkan oleh empat tiang dengan tali yang dilalukan di tengah-tengahnya sehingga ke gegelang besi di puncak tiang dan kemudian dijatuhkan semula ke atas dek. Keseluruhan kain layar itu boleh dinaikkan dengan hanya menarik tali ini.
Kedua-dua kain layar di hadapan dan belakang Pekan Kecil ialah satu kain layar tunggal yang direntangkan seiring dan berserenjang dengan tali tengah untuk pengendalian mudah. Jika kapal yang lebih kecil dibina sedemikian rupa, satu keping layar sahaja tidak cukup untuk menangkap angin sekaligus membuatkannya sia-sia sahaja. Namun begitu, rekaan ini akan membolehkan kuasa diagihkan secara sama rata ke kedua-dua belah tali tengah dengan kuasa Wendy untuk mengawal angin, dan ia lebih memudahkan jurumudi untuk mengawal arah.
Lightning mengarahkan orang di tebing sungai membuka ikatan kapal apabila kain layar sudah dinaikkan sepenuhnya. Cuaca masih baik pada masa itu dengan salji yang turun sekali-sekala. Kapal itu perlahan-lahan menjauhi tebing dengan dibawa oleh angin dan arus laut.
Anak gadis itu mendarat di sebelah Brian dan melaung, "Kemudi penuh ke arah kanan!"
Carter turut melaung, "Kemudi penuh ke arah kanan!"
"Sekejap, apa maksudnya kemudi penuh ke arah kanan?" Brian menggaru-garu kepalanya dan bertanya, "Berapa kali pusingan untuk sampai ke kanan?"
"Bukan, maksudnya pusingkannya penuh ke arah kiri." Lightning menepuk dahi seraya berkata, "Tidak mengapa, biar saya buat."
Lightning lupa ini kali pertama anak kapal itu mengendalikan kapal layar bertiang dua, jadi mereka tidak faham arahan asasnya. Kain layar sebuah kapal kecil biasa tidak boleh direntangkan sebegitu pantas. Rekaan Pekan Kecil begitu unik sehingga bot simen itu mula belayar dengan lancar walaupun hanya mempunyai kurang daripada sepuluh orang anak kapal.
Lightning memegang roda kemudi itu yang lebih tinggi daripadanya. Dia melompat lalu memusingkannya ke arah kiri. Roda kemudi itu terlalu berat untuk dikendalikan oleh seorang gadis. Ia begitu sukar untuk melawan rintangan air bagi mengubah kedudukan kemudi besi di dasar kapal itu tanpa bantuan mekanikal. Namun begitu ini semua bukan masalah untuk Lightning kerana dia boleh terbang. Dia menyedari ada satu bongkah disediakan untuk mengelakkan roda itu terpusing kembali ke arah berlawanan dan dia terfikir, 'Saya dengar kapal ini direka sendiri oleh Putera Roland. Bagaimana Baginda boleh terfikir semua butiran kecil ini? Kelasi paling berpengalaman pun belum tentu boleh membina dan mereka sebuah kapal.'
"Wendy, tolong berikan angin."
Wendy berdiri di atas bumbung kabin dengan rasa sedikit geli hati. 'Jadi ini sebabnya Baginda bertanya jika saya takut tinggi? Sebab saya perlu melayarkan kapal ini?' Tiba-tiba dia merasakan satu perasaan jauh berbeza daripada sebelum ini, semasa dia hanya perlu mengeringkan daging dan basuhan baju. Wendy mendepangkan tangannya seperti yang dia selalu lakukan sebelum mengeluarkan kuasanya. Dia membiarkan angin keluar secara sekata dari bawah kakinya dan melintasi kepalanya agar dia dapat memastikan kedua-dua belah kain layar menerima angin sama rata.
Sejujurnya Wendy tidak menyangka permintaan yang kelihatan ringkas itu rupanya begitu sukar untuk dilakukan.
Walaupun dia dibangkitkan sebagai ahli sihir 15 tahun lalu, dia tidak pernah cuba untuk memahami dan mengawal kuasanya dengan sepenuhnya. Bagi menyeru angin kencang yang bertiup dari celahan batu bagi menyerang musuh, atau menyeru ribut bagi memusnahkan bala tentera, dia perlu mengeluarkan tenaga yang banyak sekaligus. Semasa dia melakukan kerja-kerja di perkampungan ahli sihir, dia tidak perlu mengeluarkan angin secara berterusan. Apa yang penting hanyalah kerjanya siap. Tiba-tiba Wendy berasa malu dengan dirinya sendiri apabila teringat raut wajah Anna yang serius ketika berlatih.
"Perkara pertama yang awak perlu lakukan ialah melatih kebolehan awak berulang kali sehingga awak dapat menguasai kuasa awak sepenuhnya… seperti Anna."
Rupa-rupanya Putera Roland benar-benar memaksudkan kata-katanya itu.
'Kalau begitu, saya akan mulakannya sekarang…' Wendy menarik nafas dalam dan menumpukan seluruh perhatiannya untuk mengesan angin.
Walaupun anginnya tidak begitu sekata, kain layar itu masih menggelembung dan ia melambai-lambai sehingga tiang layarnya sendiri mula berkeriut. Haluan kapal mula berhayun ke arah kanan.
"Ia sudah bergerak!" Carter berkata, sedikit terkejut.
"Jadi Baginda Putera Roland boleh membuat kapal simen yang terapung di atas air," Tigui berkata sambil tersenyum sambil mengurut dagunya. "Apa lagi yang Baginda boleh buat agaknya?"
Pekan Kecil bergerak semakin jauh dari tebing dan perlahan-lahan belayar ke tengah sungai.
Wendy boleh menghasilkan angin sendiri tetapi dia tidak boleh menghalang angin utara yang sedang bertiup secara semula jadi. Kapal itu tidak belayar secara lurus kerana kuasa berlawanan daripada kedua-dua angin ini, jadi ia bergantung kepada roda kemudi untuk menyelaraskan arah. Brian perlu melakukannya sendiri kerana Lightning tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya. Bagi membolehkan Brian dapat mempelajari cara penyelarasannya dengan pantas, anak gadis itu mengarahkan Brian mengawal roda kemudi agar Brian boleh merasakan sendiri kesan sudut putaran roda kemudi itu ke atas hayunan haluan kapal sebelum membuat penyelarasannya sendiri.
Wendy orang pertama yang kepenatan selepas lebih sejam mereka belayar di atas Sungai Air Merah.
Ia bukan kerana kuasanya sudah habis, tetapi badannya sudah tidak mampu bertahan.
Walaupun tubuhnya dibaluti pakaian tebal, dia masih dapat merasakan kesejukan menggigit kulitnya. Lapisan salji nipis terbentuk di atas topi kapasnya dan kaki serta tangannya sudah begitu sejuk sehingga terasa kebas. Dia menggeletar tanpa henti di atas pelantar itu. Dia mungkin akan tetap meneruskan tugasnya sehingga dia pengsan sekiranya Lightning tidak menyedari keadaannya semasa gadis itu terbang membuat rondaan.
Lightning cepat-cepat mendarat di sebelah Wendy dan mendakap tubuhnya dengan erat sambil melaung kepada Brian untuk segera berlabuh ke tebing.
Brian memusing roda kemudi ke arah kanan dan haluan kapal berhayun ke arah kiri. Lightning terbang ke dek dengan membawa Wendy. Walaupun dia hanya boleh memberi angin kepada satu layar dari atas dek, sekurang-kurangnya dia tidak akan kesejukan seperti di atas pelantar tadi. Pengemudian ke arah tebing memerlukan tangan yang lebih handal dan Lightning tidak boleh membiarkan ia dilakukan oleh seseorang yang baru sahaja belajar mengemudi kapal, walaupun dia sendiri tidak begitu berpengalaman.
Akhirnya Pekan Kecil berlabuh selepas terumbang-ambing seketika. Semua orang menarik nafas lega apabila merasakan badan kapal bertemu dengan tebing sungai. Badan kapal itu bergegar sebentar sebaik berlanggar dengan tanah, tetapi mujurlah tiada kerosakan yang berlaku. Anak kapal cepat-cepat menaikkan layar dan menurunkan papan jalan ke tebing.
Nasib baik mereka sengaja tidak belayar jauh untuk pelayaran ujian ini, tetapi sebaliknya hanya berlatih belayar ulang-alik di kawasan sungai terlebar. Jadi Pekan Kecil tidak belayar terlalu jauh dari pelabuhan asal mereka tadi.
Lightning terus terbang ke istana dengan mendukung Wendy di belakangnya. Carter memandang kapal batu itu lalu mengeluh. Mustahil mereka boleh membawa kapal itu belayar kembali ke jeti tanpa bantuan ahli sihir.