Musim sejuk bukan musim menuai bagi kebanyakan penduduk Rantau Utara, lebih-lebih lagi di pekan sekeliling tanah tinggi Hermes. Bulan Kunjungan Iblis bukan sahaja membawa hujan dan salji tanpa henti, tetapi juga kesejukan melampau, kebuluran, dan kematian. Namun lain pula ceritanya dengan "Si Kaki Palsu" White. Setiap tahun, seorang utusan gereja akan mencarinya untuk menyuruhnya membawa kereta kuda ke Kerajaan Wolfheart. Mereka akan mengambil anak-anak yatim yang menderita di sana dan membawa mereka ke Kota Suci.
Bagi White, ia merupakan perkara yang bagus. Upahnya agak lumayan, dia boleh dapat sehingga 20 keping perak untuk setiap perjalanan. Tambahan lagi, ia dikira amal jariah. Bulan Kunjungan Iblis tahun ini sudah hampir tamat dan perjalanan ini mungkin perjalanan terakhir bagi White untuk tahun ini.
"Tuan, apa kata tuan tunggu dalam kereta kuda sahaja? Salji ini nampaknya tidak akan berhenti dalam masa terdekat. Kami sudah biasa dengan salji dan angin kencang, tetapi tuan tentu akan kesejukan."
"Ini belum apa-apa lagi." Utusan itu meneguk wain daripada kantung airnya dan menyambung, "Kota Suci Baru jauh lebih sejuk daripada ini. Pakaian kulit dan baju perisai pun tidak mampu menangkis kesejukan di tanah tinggi sana. Ia seperti iblis licik yang menusuk setiap inci tubuh kita. Manusia biasa tidak akan mampu bertahan di tempat sesejuk itu tanpa Pil Pencegah Dingin."
"Ya, benar." White mengangguk-angguk. Dia tidak pernah ke Kota Suci Baru, dan tidak ingin ke sana. 'Buat apa saya pergi ke tempat yang hanya penuh dengan ais beku dan makhluk iblis?' Namun sebagai pemandu kereta kuda berpengalaman, dia pandai menukar topik perbualan. Utusan kali ini juga lebih mudah diajak bersembang daripada utusan sebelum ini. "Sarung tangan tuan dibuat khas dengan kulit serigala Kerajaan Graycastle di Rantau Barat, bukan?"
"Apa? Macam mana awak tahu?"
"Sudah 30 tahun saya bekerja membawa kereta kuda, tuan," jawab White dengan sedikit bangga. "Dahulu saya bekerja membawa kereta kuda untuk Baron, diikuti oleh Countess, malah si puteri kecil Kerajaan Wolfheart juga. Kalau kaki saya tidak patah dalam satu kemalangan, mungkin saya akan masih menetap dalam rumah Earl itu. Mereka sangat kaya-raya. Baju kulit dan perkakas perak Kerajaan Graycastle, barang kemas Kerajaan Everwinter, karya seni Tasik Utara... Mereka tidak henti-henti berlagak dengan kekayaan mereka setiap kali menggunakan khidmat saya, sampai naik muak saya dibuatnya."
"Oh begitu," utusan itu mengangguk seraya menyambung, "Jadi asal-usul nama panggilan awak daripada kemalangan itu? Apa yang berlaku?"
"Ia berlaku sewaktu rusuhan puak pelarian. Mereka sanggup buat apa sahaja demi sesuap makanan." White meludah dan menyambung, "Pada masa itu, mereka mengerumuni kereta kuda saya, dan saya menyebat kuda saya agar ia akan berlari pantas bagi melindungi Countess. Akibatnya kuda saya terkejut, saya terlambung ke udara, dan kereta kuda saya terbalik."
"Sebab itu kaki awak patah?" Utusan itu benar-benar ingin tahu. "Bagaimana dengan Countess itu pula?"
"Dia jauh lebih bernasib baik. Di dalam kereta kuda itu ada kusyen empuk dan dinding tebal jadi dia hanya lebam-lebam sahaja." White menyambung dengan marah, "Dia merangkak keluar dari kereta kuda itu dan terus melarikan diri, meninggalkan saya sendirian di tepi jalan. Saya mengengsot balik sambil mengheret kaki saya yang patah dan selepas itu saya habiskan semua duit simpanan saya membeli kaki palsu." Dia mengetuk batang kuprum yang terjulur keluar dari salah satu belah seluarnya dan berkata, "Tetapi Earl itu memecat saya dan menghalau saya keluar dengan alasan saya sudah tidak boleh bawa kereta kuda lagi. Orang bangsawan memang tak guna!"
"Kasihannya." Utusan itu terhenti seketika dan menyambung, "Namun Tuhan tidak mengabaikan awak. Sekarang awak membawa kereta kuda untuk kerja Tuhan. Bersyukurlah kepada Tuhan."
"Benar, tuan. Syukurlah kepada Tuhan." Tetapi sambil mulutnya menuturkan kata-kata itu, White terfikir, 'Tidak, jika Tuhan benar-benar Maha Mengasihani, saya tidak akan mengalami kemalangan itu langsung. Tuhan tidak melindungi saya ketika saya memerlukan Dia.'
Selepas itu, mereka terdengar suara budak kecil menangis dari dalam kereta kuda itu.
"Berhenti sebentar," arah utusan itu.
White menarik tali kekang kuda dan kedua-dua ekor kudanya berhenti perlahan-lahan. Utusan itu melompat turun dari sebelah White dan berjalan ke belakang kereta kuda itu. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi pukulan cemeti dari dalam kereta kuda itu.
"Kasihan budak itu," White mengeluh. "Sabarlah adik, sebenarnya dia sedang menyelamatkan kamu. Kamu tidak akan selamat dalam musim sejuk ini dan mungkin akan mati, dan mayat kamu akan tersadai di tepi jalan sahaja jika kamu tidak dikutip oleh utusan itu."
Utusan itu kembali dan memanjat kuda di sebelah White. "Ayuh kita teruskan perjalanan."
"Pegang kuat-kuat. Ayuh!" White melibas tali kekang dan kereta kuda itu bergerak semula. "Jadi mereka semua dikutip dari Kerajaan Wolfheart?"
"Boleh dikatakan begitu. Gereja bagi setiap pekan dalam kerajaan akan membela beberapa orang anak yatim. Bilangan orang yang kami ambil akan meningkat beberapa kali ganda lebih-lebih lagi semasa musim sejuk dan mereka kekurangan makanan serta pakaian. Mereka tidak boleh sekadar bergantung kepada biarawan, jadi mereka mengamanahkan utusan untuk mengupah pemandu kereta kuda yang dipercayai untuk mengambil anak-anak yatim itu. Awak bekerja dengan sangat bagus, White. Rakan sekerja saya sebelum ini mencadangkan nama awak kepada saya."
"Saya berbesar hati dapat membantu tuan membuat amal jariah ini," kata White sambil tersengih. "Tuan, adakah mereka akan dihantar ke biara? Maafkan saya, tapi anak-anak yatim itu datang dari pelbagai latar belakang. Walaupun mereka masih muda, tentu mereka sudah banyak berbuat dosa. Bukankah mereka akan mencemari Kota Suci nanti?"
"Biar Tuhan sahaja menghakimi mereka, dan jika mereka terbukti berbuat dosa, mereka akan diberi peluang untuk bertaubat."
"Betulkah? Baguslah kalau begitu." White mengangkat mukanya ke langit. "Sudah lewat malam, tuan. Apa kata kita bermalam di pekan seterusnya? Jika cuaca elok esok, kita boleh sampai ke Kota Suci Lama menjelang tengah hari."
Utusan itu menguap dan berkata, "Carikan rumah tumpangan dengan laman untuk meletakkan kereta kuda ini. Awak boleh carikan makanan untuk mereka."
"Baik!" White menjawab.
Itu satu-satunya pekan dalam perjalanan antara Kerajaan Wolfheart ke Kota Suci lama, jadi ini bukan kali pertama White menjejakkan kaki di sini. Dia sudah begitu biasa datang ke sini sehingga sudah arif dengan jalan untuk ke rumah tumpangan yang dia biasa kunjungi. Selepas dia meletakkan kereta kuda itu di laman hadapan, dia masuk dan membeli makanan untuk anak-anak yatim itu menggunakan duit pemberian utusan itu. Seperti biasa, bubur keledek ialah pilihan paling sesuai kerana ia murah tetapi sedap. Selepas dia memastikan bubur itu diagih-agihkan antara mereka, dia berdengkot-dengkot balik ke rumah tumpangan itu, memesan sebiji roti mentega dan mula memakannya di meja. Utusan itu tentu telah pergi ke rumah tumpangan yang lebih selesa.
Kalau 10 tahun lalu semasa kakinya masih elok lagi, dia tentu akan pergi ke kedai minum untuk memesan wain dan mencuba nasibnya bermain dadu – dahulu dia agak bertuah. Tetapi sekarang…'Baik balik ke bilik dan tidur awal sahaja', fikirnya sambil menepuk beg duitnya di dalam baju.
Pada malam itu, dia terdengar bunyi dari laman hadapan. White bangun dari katil dan menyelak langsir. Dia melihat utusan itu yang sedang mabuk membuka pintu kereta kuda dan memasukinya. Tidak lama selepas itu, dia keluar membawa dua orang anak yatim, dan ada dua orang lelaki berdiri di belakang dia dan cara pemakaian mereka menunjukkan mereka orang bangsawan.
White menutup kembali langsir tingkap dan kembali ke katilnya yang selesa.
Ini bukan kali pertama dia menyaksikan kejadian sebegitu. Utusan sebelum ini juga kerap melakukan perkara sama. 'Melangsungkan hidup ialah tuah yang paling sukar didapati', fikir White. 'Jika mahu terus bernyawa, kita perlu bertahan dengan apa sahaja yang dibuat kepada kita. Apabila tiba di Kota Suci kelak, mereka akan mendapat hidup baru. Sekurang-kurangnya di biara nanti, mereka tidak akan risau akan kelaparan dan kesejukan lagi.' White menguap dan kembali melelapkan mata.
Sebaik sahaja matahari terbit, White sudah memulakan perjalanan dengan utusan itu. Perjalanan mereka lancar dan mereka tiba di Kota Suci lama sejam lebih awal daripada masa yang dijangkakan. Sudah ada sebuah kereta kuda gereja menanti mereka, dan nampaknya perjalanan kanak-kanak itu masih panjang lagi. Tetapi White sudah boleh lepas tangan sekarang.
"Ini upah awak." Utusan itu mencampakkan sebuah karung kepada White.
White menyambutnya dan menuang isinya ke dalam tapak tangan. Dia mengira dua kali dan memastikan dia mendapat 20 keping perak. Dia mengangguk dan sambil menunduk, dia berkata, "Jumpa lagi tahun hadapan."
Utusan itu tidak menjawab, sebaliknya hanya melambai untuk menyuruh White pergi.
White tersedar ada beberapa kereta kuda lain yang turut membawa anak yatim. 'Mungkin mereka datang dari kerajaan lain?' fikir White. 'Tapi macam ada sesuatu yang tidak kena. Semua kanak-kanak yang keluar dari kereta kuda itu hanya perempuan. Adakah gereja hanya mahu membela anak-anak yatim perempuan sahaja?'
White menggelengkan kepala, mengabaikan semua persoalan itu, dan memandu kereta kudanya pulang.