Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 10 - Si Tukang Batu

Chapter 10 - Si Tukang Batu

Sepanjang minggu itu, cuaca asyik gelap dan suram dan langit pun sentiasa mendung. Perasaan Karl van Bate menyamai cuaca itu; gelap dan suram.

Sambil dia berjalan di tengah pekan, ada sahaja orang yang menyapa dia. Karl mengendalikan sekolah di pekan itu. Tidak seperti pusat Kerajaan Graycastle di mana hanya anak bangsawan yang boleh bersekolah, di sini Karl turut mengajar anak-anak rakyat biasa. Oleh sebab itu, dia dipandang tinggi di Pekan Sempadan.

"Hai, Encik van Bate. Selamat pagi."

"Cikgu, bagaimana perkembangan anak saya?"

"Karl, bila awak lapang? Jom memancing bersama."

Biasanya Karl akan membalas sapaan mereka sambil tersenyum, tetapi hari ini dia hanya mengangguk bisu.

Dia baru saja melihat Anna digantung sampai mati, jadi di matanya sekarang, dunia yang sebelum ini sempurna sudah ada rekahan yang kekal – sebenarnya rekahan ini sudah wujud sejak dia meninggalkan Graycastle tetapi pada masa itu, dia tidak menghiraukannya. Dia menyibukkan diri dengan kerjanya, malah ada ketika dia cuba 'menampal' rekahan itu dengan tawa riang anak-anak muridnya.

"Sebelum Anna mati," fikirnya dalam hati, "saya ingatkan dunia ini tak boleh bertambah teruk lagi." Tetapi selepas dia digantung mati, rekahan itu bukannya hilang malah semakin melebar lagi.

Ingatannya tentang Anna terhenti kira-kira setengah tahun lalu. Bilik darjah Karl ada tiga puluh orang murid dan Anna tidak banyak beza daripada yang lain. Rupa parasnya biasa dan dia tidak banyak bercakap, tetapi ada sesuatu pada diri Anna yang amat mengagumkan Karl.

Perkara itu ialah semangatnya untuk menuntut ilmu. Tidak kira mata pelajaran apa yang diajar Karl, sama ada penulisan mahupun sejarah, Anna pasti dapat menguasainya walaupun baru sekali diajar. Walaupun ia subjek sejarah atau subjek evolusi agama yang membosankan, Anna akan membaca tentangnya sepanjang hari. Karl juga pernah melihat anak gadis itu membantu menjaga kambing biri-biri ternakan jirannya. Dalam sinaran cahaya matahari, Anna memberus lembut bulu haiwan itu seolah-olah membelai rambut bayi. Senyuman Anna yang manis masih terpahat dalam otak Karl. Tidak kira apa yang berlaku, dia tidak boleh membayangkan Anna sebagai perempuan jahat dan keji.

Kemudian, selepas kebakaran yang berlaku berhampiran rumah Anna yang mengorbankan nyawa ibunya, Anna tidak pernah kembali ke sekolah. Karl tidak lagi melihat muka Anna selepas itu sehinggalah seminggu lalu apabila gadis itu dituduh sebagai ahli sihir lalu dihukum gantung sampai mati di dataran tengah pekan.

"Digoda syaitan? Perempuan hina? Jahat? Ah, itu semua tipu!" Buat kali pertama dalam hidupnya, dia mula meragui kekuasaan dan ajaran yang dibawakan oleh gereja.

Dia tidak tahu jika Anna memang betul ahli sihir atau tidak, tetapi yang pasti, Anna bukan orang jahat! Jika seorang gadis remaja berhati suci yang dahagakan ilmu pengetahuan dan belum kenal erti kehidupan boleh dipanggil jahat, jadi para pegawai pentadbir dari Kerajaan Graycastle tentu berasal dari neraka dan hidup bergelumang dengan syaitan! Hanya kerana mahu menjimatkan beberapa ratus keping emas, mereka sengaja menukar bahan yang digunakan untuk membina sebuah panggung lalu menyebabkan strukturnya lemah, runtuh, dan meragut nyawa lebih tiga puluh orang tukang batu.

Tetapi adakah mereka dihukum mati? Tidak seorang pun! Sebaliknya seorang hakim memutuskan yang ketua tukang batu itu telah gagal menjalankan tugasnya lalu dia dibuang ke luar negeri sementara Persatuan Tukang Batu pula terpaksa dibubarkan. Karl yang tahu cerita sebenar telah lari dari Kerajaan Graycastle. Dia berkelana ke arah barat dan akhirnya tiba di Pekan Sempadan.

Dia berjaya membuka sebuah sekolah yang disertai ramai murid, dapat beramah-mesra dengan jiran-jirannya dan membuat kawan baru, tetapi jenayah terlaknat para pegawai pentadbir Kerajaan Graycastle itu sentiasa terpahat dalam ingatannya. Kini dia merasakan dunia seolah-olah telah menghukum dia sekali lagi. Adakah Tuhan tidak boleh membezakan siapa yang sebenarnya jahat?

Tambah meruntun hati Karl adalah Nana.

Nana dan Anna begitu berbeza sekali ibarat langit dan bumi. Selepas kelas, Nana selalunya akan bermain-main dengan burung atau bergolek atas rumput. Jika ditanya tentang apa yang dia sedang lakukan, dia akan tergelak kecil dahulu sebelum menjawab yang dia sedang menonton perlawanan antara seekor belalang dengan semut.

Senyuman tidak pernah lekang daripada menghiasi wajah Nana. Dia seolah-olah tidak sedar langsung tentang kekejaman dunia dan dalam lingkungan bilik darjahnya, dia boleh terus tersenyum tanpa perlu risaukan apa-apa. Kadang-kadang Karl terfikir mungkin kali terakhir anak kecil ini menangis semasa dia baru dilahirkan dulu.

Dua hari lepas, tiba-tiba Nana menghampiri Karl dengan berlinangan air mata lalu bertanya, "Cikgu, adakah saya akan digantung juga macam Anna?"

Karl serta-merta mengerti yang anak muridnya, Nana Pine, sudah sah menjadi ahli sihir.

"Itu Encik van Bate, bukan? Tolong datang bacakan notis ini kepada kami?"

Karl tersedar dari lamunan semasa seseorang menarik lengan bajunya. Dia mengangkat muka dan mendapati dia sudah berjalan hingga ke dataran pekan. Orang kampung berkerumun di hadapan sebuah papan kenyataan dan apabila mereka mendapat tahu Karl van Bate sudah datang, mereka beralih untuk memberi laluan kepadanya.

"Nasib baik cikgu sudah datang. Tolong bacakan notis itu kepada kami."

"Ya, sepatutnya Meg yang tolong bacakan ini, tapi dia tiba-tiba sakit perut dan perlu ke tandas. Dia masih belum kembali dari tadi."

Karl van Bate yang dahulu tentu akan mengangguk sambil tersenyum lalu membacakan notis di papan kenyataan itu kepada semua orang. Tetapi kini ia terasa mustahil – wajah orang kampung di sekelilingnya memang nampak ikhlas dan tidak dibuat-buat, tetapi ini lebih sukar diterima oleh Karl berbanding jika mereka berpura-pura.

Notis tentang hukuman bunuh Anna pun telah dipakukan di papan kenyataan ini dan semua orang di situ asyik bercakap tentangnya tanpa sebarang rasa bersalah. "Awak semua sama saja dengan pembunuh dia," fikirnya dalam hati, "dan kejahilan serta sifat pengecut awak semua yang meragut nyawa Anna."

Karl cuba memendam kemarahannya, menarik nafas panjang, lalu berjalan ke hadapan papan kenyataan itu.

"Baginda putera telah bertitah untuk mencari tenaga buruh bagi membina bangunan baru di Pekan Sempadan, dan ada pelbagai kekosongan jawatan yang ditawarkan," dia mula membaca kuat.

'Tetapi saya pun bertanggungjawab meragut nyawa dia juga. Apa hak saya untuk marah dengan mereka? Bukankah saya yang mengajar mereka ahli sihir semuanya jahat?' Karl tidak dapat mengelak daripada terus mengecam dirinya sendiri. 'Lihat apa yang saya ajar pada anak-anak mereka. Saya menyampaikan segala ajaran Gereja dan saya ingat saya guru yang bagus!"

"Tukang kisar batu, lelaki, 20 ke 40 tahun, sihat tubuh badan, gaji 25 keping gangsa setiap hari."

"Tukang uli lumpur, wanita atau lelaki, lebih 18 tahun, mesti ada pengalaman bertukang batu, gaji 45 keping gangsa setiap hari."

"Tukang rencam, lelaki, lebih 18 tahun, gaji 12 keping gangsa setiap hari."

"…"

Tidak, dia mesti melakukan sesuatu. Walaupun dia tidak dapat berbuat apa-apa tentang kematian Anna, sekurang-kurangnya dia masih boleh menyelamatkan Nana. Suara hati Karl menjerit, 'Semasa Persatuan Tukang Batu dibubarkan, awak tidak buat apa-apa. Semasa Anna digantung, awak masih tidak buat apa-apa. Sekarang awak masih mahu berpeluk tubuh dan membiarkan anak kecil yang tidak berdosa itu dijerut sampai mati juga?'

Tapi apa yang boleh dia lakukan? Mungkin dia boleh melarikan diri dengan Nana dari Pekan Sempadan? Tapi dia juga ada keluarga yang turut berkelana bersama dia dari Graycastle. Tidak mungkin dia mahu membuatkan mereka berpindah lagi sedangkan kehidupan mereka baru sahaja stabil? Mungkinkah Nana, seorang anak orang kaya, sanggup tinggalkan kehidupannya yang mewah dan selesa?

"Tukang batu, lelaki atau perempuan, tiada had usia, peluang jawatan tetap untuk sesiapa yang menyertai projek pembinaan untuk kerajaan, gaji satu keping emas setiap bulan."

"Syarat tambahan: Pekerja yang berpengalaman luas dan prestasi memberangsangkan akan dipertimbangkan untuk jawatan dalam kerajaan."

Selesai mendengar notis itu, penduduk kampung terus menjadi riuh. "Satu keping emas setiap bulan? Gaji itu lebih tinggi daripada gaji pengawal kubu!"

"Awak boleh buat ke? Mahu main lumpur pun geli, awak ada hati mahu bina kubu?"

"Jangan tenung saja. Jawatan lain pun masih boleh tahan juga. Kalau awak dibayar setiap hari, pendapatan awak akan sama dengan pendapatan pemburu."

"Tambahan lagi, kerja memburu itu sendiri sudah berbahaya. Hutan Kabus tempat yang sangat menakutkan."

Karl van Bate tidak memberi perhatian pada hiruk-pikuk orang ramai di sekelilingnya. Pandangannya tertumpu pada cop mohor dan tandatangan di hujung notis itu. Itu tandatangan Roland Wimbledon, Putera Keempat.

Adakah putera itu tidak tahu Bulan Kunjungan Iblis bakal menjelang tiba? Baginda tidak sepatutnya memulakan apa-apa projek pembinaan sekarang, walau apa sekalipun yang baginda mahu bina. Rupanya si putera itu tak tahu apa-apa tentang proses pembinaan, jadi kalau Karl boleh jadi tukang batu dan cuba mendekati putera itu… Tiba-tiba Karl mendapat satu idea. Mungkin jika dia memohon kerja ini, dia boleh menghadap si putera itu sendiri, pemerintah tertinggi Pekan Sempadan.

Karl menelan air liur dengan gugup. Mungkinkah dia boleh meyakinkan putera itu yang ahli sihir bukan orang jahat? Khabar angin mengatakan cara pemikiran putera itu lain daripada yang lain, jadi tentu dia berbeza daripada rakyat marhaen dan satu lagi, baginda putera pun sangat benci dengan Gereja Inggeris. "Mungkin saya boleh lakukannya!" fikir Karl. "Memang Putera Roland yang mengarahkan Anna digantung tapi semua orang boleh nampak baginda tidak sanggup melakukannya."

Putera itu pun masih dalam awal 20-an, jadi tentu baginda faham anak-anak gadis semuda itu mustahil boleh menjadi jahat.

Tetapi ada juga kemungkinan Karl akan dituduh sebagai Pembantu Ahli Sihir dan akan turut digantung bersama mereka. Undang-undang Gereja Inggeris menyatakan sesiapa yang melindungi ahli sihir atau membela mereka akan dianggap sebagai orang suruhan syaitan juga.

Karl hanya mampu berharap kebencian putera itu kepada Gereja bermaksud baginda pun tidak setuju dengan undang-undangnya.

Karl berdoa dalam hatinya.

Dia tidak peduli Tuhan mana yang mendengar doanya, dia hanya memejamkan mata dan berdoa agar dia diberikan restu untuk perkara ini.

Demi Anna yang sudah terkorban, demi Nana yang boleh hilang nyawa bila-bila masa saja, dan demi hatinya sendiri yang sudah tidak mampu menanggung derita, dia memutuskan untuk mempertaruhkan nasibnya.