Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 77 - Gunung Suci (Bahagian III)

Chapter 77 - Gunung Suci (Bahagian III)

Leaf merasa seolah-olah tubuhnya lumpuh.

Dari belah kirinya, dua susuk tubuh muncul dalam kegelapan malam. Bentuk mereka sangat aneh dan berketul-ketul, berbeza daripada jasad makhluk iblis yang sering mereka lihat. Kemudian Leaf melihat ada dua susuk tubuh lagi sedang menunggang makhluk kacukan yang keluar tadi. Mereka tinggi, dua kali ganda ketinggian manusia dewasa. Mereka tidak memakai baju perisai, tetapi baju mereka diperbuat daripada bahan tidak dikenali. Tidak, ia tidak layak dipanggil baju. Mereka seakan-akan dibaluti dari kepala hingga ke kaki dengan kepingan kulit haiwan yang dicantumkan bersama, berbonggol-bonggol dan berbulu-bulu.

Namun itu bukan perkara paling aneh tentang rupa mereka. Mereka memakai dua topeng muka yang sangat luar biasa – kepala makhluk iblis cacat yang jijik dan mengerikan. Mata mereka seperti batu bercahaya perang kemerahan yang terbenam di dalam tengkorak mereka. Satu jalur kulit mereka seperti disiat dari dahi hingga ke belakang, menuruni cangkerang sepanjang tulang belakang mereka. Lembing bergantungan daripada salah seekor haiwan tunggangan mereka manakala seorang lagi pula memakai sarung tangan besi yang aneh. Hanya ada tiga batang jari sahaja padanya.

Satu perkataan menggegarkan fikiran Leaf. 'Iblis!'

"Ada musuh!"

Pekikan Cara mematikan lamunan mereka dan menarik tumpuan mereka ke arah musuh. Stone menekap tangannya ke tanah dan menukarkan tanah bersalji di hadapan mereka menjadi paya besar. Ini tindakan yang betul. Haiwan tunggangan mereka adalah serigala kacukan iblis bersayap. Mereka bukan sahaja laju tetapi boleh terbang dalam jarak dekat. Namun sayap dua ekor serigala iblis ini sudah dipotong dan hanya tali jerami membaluti tubuh mereka sehingga menampakkan tulang. Tali jerami ini dipegang iblis yang menunggang mereka. Jadi mereka tidak dapat terbang menyeberangi paya itu dan terpaksa mengambil risiko untuk meranduknya. Ini akan memberi masa untuk ahli-ahli sihir itu lari.

Tetapi musuh mereka tidak bertindak seperti yang diramalkan. Mereka tetap memacu tunggangan mereka ke hadapan dan meredah paya itu. Semasa mereka hampir tiba ke tebing, tanpa disangka-sangka dua ekor iblis itu meloncat keluar dari air dan mendarat betul-betul di tempat ahli-ahli sihir yang tidak boleh berlawan telah berkumpul.

"Cepat berpecah!" Leaf berteriak nyaring tetapi iblis dengan sarung tangan besi berjari tiga itu sudah melibas ke kiri dan ke kanan dan membunuh ahli-ahli sihir itu. Kepantasan pergerakannya tidak padan langsung dengan tubuhnya yang nampak besar dan lembab. Ahli-ahli sihir paling hampir dengannya tidak sempat lari jadi leher mereka dikelar-kelar. Kemudian dia mencekak tengkuk dua orang ahli sihir lain dan mengangkat mereka ke udara. Sekarang baru ahli sihir lain lari bertempiaran. Hanya Shino masih tercegat di hadapan mereka. Kebolehannya tidak sesuai untuk berlawan tetapi dia tidak berpaling untuk lari. Sebaliknya dia mencapai busur silang dari belakangnya dan terus membidik ke arah iblis itu. Iblis bertangan besi itu sempat mengelak anak panah Shino, mengangkat sebelah kakinya dan menerajang gadis itu sehingga terpelanting. Rintihan Shino terputus di tengah nafas, dia terbaring di atas tanah dan ketulan darah beku mengalir keluar dari mulutnya.

Iblis dengan lembing tadi berpusing dan pantas menerpa ke arah Stone yang menggigil ketakutan. Sejurus sebelum dia menikam dada Stone, api tiba-tiba muncul di hadapan mukanya. Red Light berguling celah kakinya, bangun, menyambar tangan Stone dan menarik dia untuk melarikan diri. Iblis itu cuba mengejar mereka tetapi dihalang dinding asap hitam.

Leaf menghamburkan seluruh kuasanya ke dalam bumi dan mengeluarkan pelbagai jenis tumbuhan dari tanah. Akar berduri menjalar laju dan membaluti kaki iblis bertangan besi itu. Cara menyeru ular iblis "Racun" untuk mematuk tangan iblis itu. Apabila dia menghayun-hayunkan tangan untuk membuang ular itu, akar berduri tadi merenggut kakinya pula, menarik dia ke belakang lalu menyebabkan dia jatuh tersembam atas tanah.

"Lari, semua! Lari!" Raungan Leaf disertai esakan penuh ketakutan. "Cepat lari! Lari daripada raksasa dahsyat ini! Kitab suci sudah menceritakan tentang mereka! Makhluk iblis keji yang dilahirkan dari perut neraka!"

Bisa ular iblis Cara seakan-akan tidak berkesan langsung. Iblis bertangan besi itu jatuh tetapi dia bangun semula dan tangannya meragut akar-akar tadi untuk mencabutnya dari tanah. Iblis dengan lembing itu pula menyedari rakannya dalam kesusahan, jadi dia menumpukan renungan pada Leaf yang sedang mengawal akar-akar itu. Dia mengangkat sebatang lembing, menariknya ke belakang sehingga otot-otot lengannya tersembul keluar, dan bersedia untuk membaling ke arah Leaf. Kulitnya teregang menjadi sangat nipis sehingga menampakkan salur darah dan tulangnya yang gelap.

"Leaf, hati-hati!" Sekali lagi Stone menukarkan tanah dataran itu menjadi paya tetapi kali ini dia mencampakkan dirinya sendiri ke arah iblis itu. Iblis dengan lembing itu tiba-tiba tenggelam ke dalam tanah dan balingannya berubah arah. Ia meluncur laju dan tercacak betul-betul di hadapan Leaf. Bahagian lembing yang terjulur keluar dari tanah sama tinggi dengan seorang lelaki dewasa. Peluh dingin membasahi tubuh Leaf.

Selepas mencampakkan lembing itu, lengan dengan otot berbonjol-bonjol tadi tiba-tiba mengecut dan mereput sehingga menjadi seperti kayu kering.

Iblis itu tidak boleh mencampakkan lembing lagi! Leaf terus sedar ada peluang untuk melarikan diri. Bukan dia seorang yang menyedari perkara ini. Stone, Red Light, dan Windseeker yang sedang bertarung dengan iblis bertangan besi tadi terus berkejar mendapatkan Cara yang terkapai-kapai. Mereka mahu bawa dia lari bersama. Hanya Leaf yang menyedari iblis bertangan besi itu menarik-narik akar menjalar di kakinya dan sebelah tangannya cuba mencapai tiga orang wanita itu.

Apa dia mahu cuba lakukan? "Nanti!"

"Jangan!" Amaran Leaf datang terlalu lewat. Satu jalur cahaya biru memancar keluar dari tangan iblis bertangan besi itu. Ia ibarat panahan kilat yang memancar dari langit dan menyambar ketiga-tiga wanita itu. Cahaya biru itu seakan-akan melompat dari seorang ahli sihir ke ahli sihir di sebelahnya sambil membakar mereka. Tubuh mereka serta-merta diselubungi asap putih dan jasad mereka jatuh ke tanah, jubah mereka habis dijilat api.

Serangan ini seakan-akan telah menghabiskan keseluruhan tenaga musuh mereka. Dengan nafas termengah-mengah, dia berhenti bergerak. Pada saat ini juga, kuasa sakti Leaf sudah mencapai hadnya. Akar menjalar tadi terus terlerai menjadi rumpai layu.

"Habislah sekarang", fikirnya cemas. Suara Cara sayup-sayup kedengaran, seolah-olah tenaga dia juga sudah semakin jauh meninggalkan dia. Dia tersungkur jatuh ke tanah.

Selepas berehat seketika, iblis bertangan besi itu bangun dan menegakkan tubuhnya. Sekarang tiada apa dapat menghalang dia daripada berdiri di hadapan Cara yang sudah takut hingga menjadi separuh gila. Iblis itu melunjurkan tangan untuk mencekik leher Pembimbing itu. Cara meronta-ronta apabila jari-jari iblis itu membalut tengkuknya, tetapi pergelutannya sia-sia sahaja. Dengan penuh terdesak, dia menyeru keluar ular iblis yang mematuk lengan dan leher iblis itu tetapi iblis bertangan besi itu masih tidak bergerak, malah dia mencekak tengkuk Cara dengan lebih kuat.

Dalam pergelutan itu, seekor ular iblis mematuk satu tiub kulit yang terletak di bawah kepala iblis bertangan besi itu. Darah merah bersembur daripada patukan itu, kulitnya terkoyak menampakkan isi dan tulang. Iblis bertangan besi itu meraung ngeri dan kulit yang dipatuk tadi mereput pantas sambil darah pekat memancut-mancut. Iblis itu melepaskan pegangannya di tengkuk Cara dan cepat-cepat menekup luka itu tetapi selepas semburan darah itu habis, badannya mula menggeletar. Dia tumbang, nyawanya melayang keluar dari jasad.

Iblis dengan lembing yang masih separuh terbenam dalam paya berhampiran mereka bertempik garang. Leaf tidak pernah mendengar bunyi yang dahsyat seperti itu. Bunyi itu gabungan raungan nyaring dan ngauman bernada rendah, menusuk gegendang telinga Leaf.

Tempikan musuh mereka tidak membuat Leaf menggeletar ketakutan, sebaliknya menguatkan semangat dia untuk melawan.

Leaf menggigit bibirnya, bersusah-payah untuk bangun, dan mengangkat busur silang yang jatuh dari pegangan Shino tadi. Dia meletakkan anak panah baru ke tali dan berdiri di hadapan iblis dengan lembing itu. Iblis itu seakan-akan faham apa Leaf mahu lakukan jadi tangannya tergapai-gapai cemas. Namun jika kita tenggelam dalam paya, lebih kuat kita bergelut, lebih cepat kita akan tenggelam. Iblis itu kini terbenam hingga ke paras dagu dan dia cuba menghalang lumpur daripada memasuki paru-parunya tetapi sebahagian daripada urat tenggoroknya yang menjulur sehingga ke cangkerang di belakangnya telah terdedah.

'Demi saudara-saudaraku yang terkorban', fikir Leaf dalam hati, sambil dia menarik tali panah dan menyasarkan kepada urat tenggorok itu.

Anak panah itu meluncur dan tertusuk betul-betul mengenai sasaran. Darah merah bersembur daripada luka tusukan itu. Kepala iblis itu terus tertunduk tidak bernyawa lagi.

Dia berjaya membunuh iblis itu.

Leaf melepaskan pegangan busur silang itu. Dia memandang sekeliling, melihat mayat saudara-saudaranya bergelimpangan merata-rata. Kaki Leaf tunduk menyembah bumi, dan air matanya keluar tanpa henti.