Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 78 - Kumpulan Peneman

Chapter 78 - Kumpulan Peneman

Wendy membuka matanya dan melihat siling yang kelihatan asing. Siling itu diperbuat daripada batu-bata kelabu. Di tepi dinding, Wendy dapat melihat satu lampu candelier yang berbentuk bulat tetapi tidak menyala. Malah terdapat sawang labah-labah yang bergantungan dari alang kayu di situ. Perlahan-lahan penglihatannya semakin jelas sehingga dia boleh melihat setiap inci bilik itu.

'Kenapa bukan dinding batu sejuk atau khemah yang sempit?' Dia bingung seketika sebelum teringat sesuatu. 'Oh, ya. Sudah lebih setengah sebulan saya meninggalkan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Agaknya Pembimbing sudah berjaya membawa persatuan kami ke Gunung Suci atau belum?' Wendy tertanya-tanya dalam hati.

Wendy menarik nafas panjang. Walaupun udara dalam bilik itu tidak sebersih dan sesegar udara di dalam gua, kesuraman dan kehangatannya membuatkan dia berasa sangat selesa. Tubuhnya dibaluti selimut baldu lembut dan lapisan cadar kapas di bawah badannya tenggelam setiap kali dia membaringkan tubuh. Apabila dia melunjurkan kaki, hujung jari kakinya tidak terkeluar daripada selimut.

Dia rasa agak bersalah kerana bermalas-malasan atas katil. Walaupun dia baru sahaja tinggal di situ selama setengah bulan, dia sudah terbiasa dengan ketenangannya. Sesuatu yang dia sudah lama tidak rasakan.

Sejak tinggal di istana ini, tiada siapa akan mengejutkannya walaupun dia bangun lewat, seperti hari ini. Wendy memusingkan kepala dan melihat langit kelabu di luar sedikit cerah. Mungkin sekarang sudah hampir tengah hari. Dahulu, semasa dia hidup berkelana, dia tidak pernah berpeluang tidur selena ini. Dia akan terjaga apabila mendengar sedikit bunyi dan dia perlu menyediakan makanan sebelum subuh. Pada masa itu, ahli sihir hidup dalam ketakutan, bimbang jika mereka ditemui pihak gereja ataupun mereka akan terkorban dalam Azab Syaitan seterusnya.

Semasa dia bersembunyi di Banjaran Puncak Langit, Wendy selalu sibuk dengan pelbagai kerja. Dia perlu mengawet makanan kering dengan herba, mengeringkan basuhan ahli sihir lain, membersihkan kawasan perkampungan, dan macam-macam lagi.

Wendy tidak kisah melakukan semuanya, malah dia rasa gembira apabila melihat senyuman di wajah semua orang. Namun dia begitu menikmati kehidupan senang-lenang seperti sekarang. Dia tidak sangka dia akan terbiasa secepat ini.

'Tak boleh, saya tak boleh malas-malas lagi.' Wendy menepuk-nepuk pipinya, bangun, dan memaksa diri untuk meninggalkan katil empuk itu. Semasa di biara dahulu, ketua rahib memberi amaran Tuhan tidak akan merahmati hamba-Nya yang malas.

'Sekejap lagi saya akan pergi ke laman istana untuk berlatih mengawal angin. Dalam perjalanan nanti, saya akan bersihkan salji daripada jalan'. Wendy tersenyum sendiri apabila dia teringat syarat Yang Amat Mulia Putera Roland tentang latihannya. Arahannya sangat aneh dan luar biasa, contohnya mengawal angin 10 meter dari atas kepala selepas Baginda melihat kebolehannya. Malangnya ahli sihir tidak boleh mengawal sejauh mana kuasa mereka dapat dilontarkan. Namun putera itu tidak murka apabila dia terpaksa berkata dia tidak mampu melakukannya. Malah Baginda mencadangkan sesuatu yang pelik, iaitu berdiri di atas bangku dan meniupkan angin dari atas dan bawah secara serentak. Selepas mencuba, Wendy mendapati ia penyelesaian yang praktikal. Hasil ujian ini begitu menggembirakan Baginda. Selain menyuruh Wendy kerap berlatih, Baginda juga pernah bertanya jika Wendy takut tinggi.

Seperti yang diceritakan Nightingale, Roland Wimbledon memang seseorang yang sukar dijangka. Namun Baginda juga seorang putera raja yang mengambil berat tentang ahli sihir.

Apabila memikirkan perkara itu, Wendy mengeluh perlahan.

'Pembimbingku, awak sudah salah. Memang betul ada putera yang tidak membenci ahli sihir.'

Selepas menyarungkan jubah barunya, dia terasa bahagian dadanya agak sendat – tetapi Wendy sudah biasa dengan hal itu. Dia sedang mencari-cari kotak alat jahit untuk melonggarkan jubahnya semasa dia terdengar satu ketukan di pintunya.

"Masuk."

Muka Nightingale terpacul. Wendy sedikit terkejut tetapi kemudian dia tertawa. "Baginda masih beradu, ya? Sampai awak ada masa untuk jumpa saya."

"Apa maksud awak? Kerja saya bukannya mengekori Baginda sepanjang hari." Nightingale mengangkat dulang di tangannya. "Saya bawa sarapan untuk awak."

Biasanya orang gaji yang menyediakan sarapan dalam bilik Wendy. Wendy sudah jarang bertemu dan bercakap dengan Nightingale, kecuali apabila sang putera itu beradu. Hatinya berbunga kecil. Wendy tahu tentu Nightingale asyik mencuri pandang dalam biliknya untuk melihat jika dia sudah terjaga dan sesudah dia bangun tidur, Nightingale terus masuk ke dalam.

"Cakaplah, ada apa?" Wendy menyambut dulang itu daripada Nightingale dan terus menyuap roti berlapis keju ke dalam mulutnya.

"Hmm…" Nightingale berjalan ke katil Wendy dan melabuhkan punggungnya di situ. "Hari ini… hari ini giliran Nana."

Kunyahan Wendy terhenti. Dia tahu walaupun cetusan kuasa sakti pertama tidak seganas dan selama Azab semasa Hari Kematangan, ahli sihir itu masih belum tentu selamat. Semakin muda seseorang ahli sihir, semakin sedikit kesakitan yang dia mampu harungi. Wendy meletakkan bakul di atas meja sebelah katilnya dan mendapatkan Nightingale. Dia merangkul bahu Nightingale dan mengusap-usap belakang gadis itu untuk menenangkannya. "Bukankah Baginda sudah kata jika seorang ahli sihir melepaskan kuasa setiap hari, azab kesakitan itu akan berkurangan?"

"Itu hanya hipotesis sahaja."

"Tetapi ia masuk akal." Wendy meneruskan kata-katanya. "Anna pernah melaluinya, bukan? Dia selamat walaupun dia mengharungi hari Azab Syaitan yang paling perit, dan awak sendiri sudah tengok dengan mata awak sendiri." Wendy terdiam lalu menyambung, "Mana Nana?"

"Dia ada di hospital." Nightingale tidak dapat menahan diri daripada tersenyum. "Saya dengar ayah dia, Baron Pine sudah beli banyak arnab hutan daripada pemburu dan dia hantar semuanya ke pusat rawatan itu. Nana boleh berlatih merawat arnab-arnab itu sehingga esok."

"Tentu seronok ada bapa macam itu," kata Wendy dengan sedikit perasaan iri. "Saya tidak ingat apa-apa pun daripada zaman kecil saya. Aneh, bukan? Seolah-olah ada satu ruang kosong dalam memori saya. Saya tiada ibu dan ayah, dan semua memori saya bermula sejak saya berada di biara."

"Nampaknya saya bernasib baik sedikit daripada awak."

"Ya, lebih daripada sedikit sebenarnya." Wendy mendekatkan diri kepada Nightingale. "Awak gementar?"

"…" Nightingale tidak menjawab tetapi kemudian dia mengangguk.

Ya, Wendy tahu apa yang membuat dia gementar. Hari ini bukan sahaja hari terpenting untuk Nana, tetapi titik penentuan genting bagi semua ahli sihir. Jika dia selamat mengharungi Azab ini, maknanya semua ahli sihir tidak akan digelar sebagai orang suruhan syaitan lagi, dan Pekan Sempadan boleh menjadi Gunung Suci bagi mereka. Satu hari nanti, semua ahli sihir boleh berkumpul di sini, hidup seperti manusia biasa tanpa perlu berpindah-randah dan lari daripada buruan gereja.

"Tiada gunanya kita risau lagi. Apa kata kita ambil cuti dan temankan Nana?"

"Ambil… cuti?" Nightingale membeliakkan mata kepada Wendy.

"Ya, disebabkan awak beritahu saya tentangnya seawal ini, saya jadi turut gementar," Wendy berkata jujur sambil tersenyum. "Jadi memandangkan kita sudah tiada mood untuk berlatih, mari kita jumpa Nana. Bukankah ada tertulis dalam kontrak kita? Kita ada cuti berbayar."

...

Selepas makan malam, Anna, Lightning, Nightingale, Wendy, Tigui, dan Roland berkumpul di bilik Nana. Apabila melihat mereka semua di situ, Nana mula kelihatan cemas. "Saya… Adakah saya akan mati?"

"Sudah tentu tidak!" Mereka semua menjawab serentak sambil menggelengkan kepala.

"Azab untuk kali pertama selalunya tidak begitu kuat." Wendy memegang tangan kanan Nana dan berkata, "Tumpukan perhatian, awak pasti boleh harunginya."

"Genggam tangan ayah kalau kamu rasa sakit." Tigui memegang tangan kiri anaknya dan menyambung, "Kamu sudah semakin kuat sejak kamu bekerja di pusat rawatan itu. Ayah bangga dengan kamu."

Gadis itu mengangguk. Dia mula merenung satu persatu wajah yang berada di dalam bilik itu, sehingga matanya menatap Anna.

Anna berjalan mendekati Nana dan mengucup dahinya. "Cuba bertahan, ya?"

"… Baiklah."