Semua langsir ditarik, dan api yang marak di pendiangan memastikan suhu bilik kekal hangat dan selesa.
Tidak seperti Anna, Nana masih sedar semasa Hari Kematangannya. Bagi membantu mengalihkan perhatian Nana sebelum Azabnya bermula, semua orang duduk berhampirannya sambil bercerita dan bermain permainan ringkas untuk memastikan dia kekal berjaga.
Roland membuat silap mata dengan syiling yang mengejutkan semua orang, terutamanya Nana yang merenung tangan Roland tanpa berkelip. Jika bukan kerana Hari Kematangan, dia tentu sudah memaksa Roland untuk mengajar dia.
Persembahan anekagaram dianggap sebagai keajaiban zaman ini. Roland pernah menyaksikannya semasa di istana. Ada ular menari mengikut tiupan seruling, orang bernafas dengan api, orang berjalan di atas bongkah batu yang diletakkan di atas dada orang lain, dan sebagainya. Tetapi semuanya kurang mengujakan apabila dibandingkan dengan silap mata moden rumit yang bergantung kepada kelincahan jari dan penyamaran.
Lightning berkongsi kisah-kisah kembaranya di laut. Dia bercerita tentang pelayarannya bersama ayahnya, Thunder, ke pulau-pulau dan tasik-tasik di utara, merentasi pusaran air serta terumbu karang, dan memburu ikan jerung serta sotong kurita di laut dalam. Semua orang terpaku dengan ceritanya walaupun mereka mengesyaki sebahagian besarnya hanya direka-reka. Roland tidak dapat menahan diri daripada berkhayal. Dia membayangkan kapal layar itu bertukar menjadi kapal perang besi yang membelah samudera menuju ke benua baru.
Sebenarnya dia tidak cukup memahami sejarah dunia ini kerana sejarah paling jelas pun hanya dicatatkan bermula empat ratus lima puluh tahun lalu. Dia tidak tahu sebarang sebab jelas untuk ini daripada semua memori Roland yang asal bersama gurunya di istana. Mungkin Putera Roland yang asal tidak menumpukan perhatian semasa pembelajaran, fikirnya. Tambahan lagi, tidak ada sebarang arkib atau perpustakaan di Pekan Sempadan. Dia memutuskan dia akan bertanya kepada pendeta selepas dia menawan Kubu Longsong kelak.
Setelah Lightning habis bercerita, Roland menguap besar. Dia mengalihkan pandangan kepada Nightingale yang menggelengkan kepalanya, menandakan kuasa sakti Nana masih tidak berubah. Mereka tidak ada sebarang alat untuk memberitahu masa. Roland menuang segelas air suam, lalu kembali duduk dan terus menunggu.
Semakin lama masa berlalu, mereka semua dapat merasakan sesuatu yang aneh. Proses ini mengambil masa yang terlalu lama. Nana tidak henti-henti menguap sepanjang malam dan sudah terlalu penat untuk membuka matanya. Nightingale yang semakin resah memegang dahi anak gadis itu sambil memerhatikan aliran kuasa sakti dalam tubuh Nana.
..
Tiba-tiba, cahaya fajar di ufuk memecahkan kegelapan langit subuh.
"Tengok!" Roland menarik langsir dan semua orang berpaling ke arah jendela. Mereka memerhatikan kaki langit semakin cerah dan menyedari hari baru sudah menjelang.
Nana selamat menjalani Azab Syaitannya.
*******************
Roland menggeliat lalu bangun untuk menuju ke kamarnya. Di sana, dia menemui dua orang tetamu tidak disangka.
Nightingale dan Wendy.
Muka mereka langsung tidak kelihatan mengantuk , sebaliknya penuh keterujaan.
"Awak pasti hari ini... Bukan, malam semalam hari Azab untuk Nana?" Roland bertanya.
"Ya, tetapi perubahannya begitu kecil untuk patik mengesahkan saat tepat Azab itu melanda," kata Nightingale dengan yakin. "Tuanku, kata-kata Tuanku sudah terbukti! Apabila kami kerap menggunakan kebolehan kami, kuasa kami akan meningkat tetapi kesakitan Azab kami akan berkurangan. Jika kami berlatih secara tetap setiap hari, semua ahli sihir akan berpeluang menjalani Hari Kematangan mereka dengan selamat."
"Dalam seluruh Kerajaan Graycastle, hanya negeri Tuanku yang membenarkan ahli sihir menggunakan kuasa mereka dengan bebas. Jadi boleh dikatakan tempat inilah 'Gunung Suci' yang kami cari-cari itu," kata Wendy pula. "Tuanku, patik memohon agar Tuanku memaklumkan ini kepada semua ahli sihir dan membawa mereka ke tempat yang kami dambakan ini. Patik pasti mereka semua berbesar hati untuk berkhidmat bawah Tuanku."
"Itu yang beta inginkan." Roland mengangguk. "Beta akan benarkan rakyat beta yang lain mula bergaul sedikit dengan ahli sihir selepas Bulan Kunjungan Iblis. Itu masa tepat untuk menyebarkan berita ini – dengan percakapan mulut ke mulut. Awak pasti tahu beta tidak boleh terang-terangan mengajak ahli sihir ke sini. Itu akan menggemparkan seluruh kerajaan." Roland berhenti seketika. "Kecuali jika Gereja Inggeris digulingkan atau beta menaiki takhta."
"Kalau begitu, patik akan membantu Tuanku menaiki takhta." Nampaknya Wendy memang menunggu Roland menuturkan kata-kata ini kerana sejurus selepas itu, dia terus melutut untuk menyatakan ikrar taat setianya. Daripada pergerakannya yang nampak canggung, Roland mengagak dia baru belajar cara membuat ikrar itu. Tetapi dia tidak kisah sedikit pun, dia tetap menerima ikrar kesetiaan Wendy sebagaimana dia menerima ikrar Nightingale.
Wendy berdiri dan tersenyum lebar ke arah Nightingale. "Betulkah cara saya tadi?"
Nightingale membalas senyuman Wendy. "Boleh tahanlah."
Roland hanya menggelengkan kepala dan tersengih. "Pergilah tidur. Awak berdua sudah berjaga sepanjang malam."
"Tuanku, patik ingin memohon satu perkara lagi." Wendy terus berlutut kembali.
"Teruskan," kata Roland serius, senyumannya tadi menjadi pudar. Daripada gerak-geri Wendy, Roland merasakan permintaan itu tentu sesuatu yang sukar untuk dia laksanakan.
"Patik ingin kembali ke perkampungan patik."
"Wendy!" Nightingale terkejut dengan permintaan Wendy tetapi mata Wendy sudah dipenuhi api keazaman.
"Patik tidak tahu jika mereka sudah menemui Gunung Suci atau tidak. Mungkin ya tetapi mungkin juga belum. Patik ingin pergi ke Banjaran Puncak Langit sesudah Bulan Kunjungan Iblis berakhir. Jika Cara tidak menemui Gunung Suci, mereka sepatutnya sudah kembali ke perkampungan kami di banjaran pada masa itu."
"Itu sangat berbahaya." Roland mengerutkan dahi. "Pembimbing awak telah menyerang awak tanpa belas kasihan."
"Jika dia benar-benar mahu membunuh patik, patik tentu sudah mati," kata Wendy. "Tetapi dia hanya menyeru Ular Racun, bukan Ular Maut. Mungkin bukan semua akan ikut patik kembali ke sini, malah mungkin tidak ada seorang pun akan ikut patik, tetapi sekurang-kurangnya patik boleh beritahu mereka yang mereka patut membebaskan kuasa mereka setiap hari agar mereka tidak akan menderita semasa Azab Syaitan." Sekarang suara Wendy berubah menjadi lebih lembut. "Tuanku, selagi Tuanku tetap melayan ahli sihir dengan baik, patik serahkan nyawa patik kepada Tuanku. Patik tidak akan mempersia-siakan nyawa patik yang sudah menjadi milik Tuanku. Patik akan menjaga nyawa patik. Berjanjilah dengan patik."
Roland tidak menjawab. Dia patut menolak permintaan Wendy demi keselamatannya sendiri. Tetapi dia tahu betapa bermaknanya permohonan ini bagi Wendy. Dia sanggup mempertaruhkan apa sahaja sekiranya dia dapat menyelamatkan lebih ramai ahli sihir. Jika Roland menolak permintaan Wendy, Wendy akan tetap patuh kepadanya tetapi jika saudara-saudaranya mati kerana larangan Roland, dia tentu akan dibelenggu rasa bersalah selamanya.
"Baiklah, beta berjanji." Akhirnya Roland menganggukkan kepalanya. "Awak boleh pergi dengan Lightning dua bulan selepas Bulan Kunjungan Iblis berakhir. Untuk langkah keselamatan, beta akan berikan awak sepucuk senapang batu dan Batu Pembalasan Tuhan. Janji dengan beta, awak akan memakainya semasa berunding dengan Cara atau ahli sihir lain. Lightning juga mesti bersedia agar mereka tidak boleh mengapa-apakan awak dengan kuasa mereka."
"Tuanku, izinkan patik untuk ikut mereka!" Nightingale memohon kepada Roland.
"Tidak, Veronica. Keselamatan Baginda Putera Roland jauh lebih penting. Harapan semua ahli sihir kini terletak kepada diri Baginda." Wendy menguntumkan senyuman. "Jaga Baginda baik-baik."