Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 66 - Pertempuran Hermes (Bahagian I)

Chapter 66 - Pertempuran Hermes (Bahagian I)

Hujan sejuk membasahi bumi dan menyebarkan bau darah segar di Kota Suci. Alicia berdiri termengah-mengah sambil bersandar ke pedangnya.

Ini bukan kali pertama dia bertarung mempertahankan Hermes. Tetapi dia tidak pernah menyangka Kota Suci Baru akan ditewaskan.

Tembok kota sudah hancur sepenuhnya.

Alicia tidak pernah melihat sebegitu banyak raksasa mengerikan sepanjang hidupnya. Seekor makhluk kacukan seperti ulat gonggok gergasi menembusi tanah dan merayap-rayap di tepi cenuram ais. Cakarnya yang tirus dan tajam menikam ke dalam tembok kota. Apabila ia merayap hingga ke atas tembok, tubuhnya masih belum keluar habis dari tanah.

Jika ia hanya sekadar besar, ia masih boleh ditangani. Tetapi alangkah terkejutnya semua orang apabila makhluk itu tiba-tiba membuka luas mulutnya dan memuntahkan ribuan lagi makhluk iblis kacukan yang terus mengganas di atas tembok kota.

Angkatan tentera yang begitu teratur tadi terus berlari lintang-pukang setelah dihujani makhluk-makhluk iblis. Barisan hadapan Perajurit Agama yang menempatkan Alicia tadi turut lari bertempiaran. Alicia hanya mampu memandang seorang demi seorang rakan sepasukannya dibaham makhluk iblis tanpa boleh membantu mereka. Darah manusia yang masih panas bercampur dengan darah hitam pekat raksasa iblis dan mengalir seperti sungai di celah-celah batu bata jalan atas tembok itu.

Apabila semboyan tanda mengundur diri dibunyikan, giliran pelontar batu di Kota Suci mengganas. Sebongkah demi sebongkah batu sebesar meja makan dilastik oleh pelontar itu tanpa mempedulikan nyawa askar-askar yang masih bertarung di atas tembok kota.

Alicia teringat semasa salah seketul batu itu menghentam Kapten Dicarto yang berdiri betul-betul di sebelahnya. Apabila Alicia bangun selepas itu, dia mendapati Kapten Dicarto terbaring dengan baju besinya hancur. Seluruh tubuhnya remuk-redam seperti kertas dikeronyok. Ususnya berhamburan keluar dari perut dan darah yang masih berasap bertakung di bawah mayatnya.

Kalau dia tidak sempat mengelak hempasan batu tadi, dia tentu sudah menerima nasib sama seperti Kapten Dicarto.

Alicia tidak ingat dengan jelas bagaimana dia dapat melarikan diri dan bersembunyi bawah tembok kota. Dia hanya ingat jerit-pekik dan sumpah-seranah orang ramai. Semua orang menikam, menusuk, dan mengerat tanpa arah tujuan dengan apa sahaja senjata dalam tangan mereka. Mereka sudah tidak peduli jika mereka sedang membunuh makhluk iblis atau rakan mereka sendiri.

Daripada kira-kira 100 orang ahli Perajurit Agama, kini hanya tinggal 12 orang sahaja termasuk dirinya sendiri.

"Apa arahan seterusnya, kapten?"

"Kapten Alicia!"

Alicia tersedar daripada lamunan. Oh, ya. Menurut peraturan Perajurit Agama, sekiranya kapten terkorban di dalam pertarungan, tugas kapten itu akan dipindahkan terus kepada timbalan kapten pasukan sama dan dia perlu memimpin pasukan itu dalam pertarungan seterusnya.

Alicia mengigit bibir sehingga dia terasa darahnya sendiri. "Kita pergi ke Gerbang Utara Kota Suci. Jika makhluk iblis mahu menyerang Kota Suci Baru, mereka tentu perlu lalu sana dahulu." Tetapi arahan ini bermakna mereka terpaksa meninggalkan tembok kota dan kawasan penempatan dalaman, tetapi dia sudah tiada pilihan lain kerana tiada tempat lebih penting daripada pusat pentadbiran Gereja Inggeris – Katedral Hermes.

Alicia tidak mampu menyuarakan soalan yang benar-benar membimbangkannya. 'Apa yang 12 orang mampu lakukan sekiranya cenuram ais sendiri tidak boleh menghalang ketibaan raksasa-raksasa itu?'

'Mungkin hari ini saya akan terkorban di jalan Tuhan. Semoga Tuhan merahmati saya,' dia berdoa dalam hatinya seraya melaung, "Perajurit Agama tidak akan sesekali menyerah kalah! Ayuh mara!"

"Perajurit Agama tidak akan sesekali menyerah kalah!" sahut rakan sepasukannya.

Kesemua dua belas orang itu bergegas ke Gerbang Utara dalam satu barisan, dan bunyi pertarungan di tembok kota semakin sayup ditenggelami deruan angin dan hujan.

Setibanya mereka di Gerbang Utara, Alicia mendapati ramai askar dari unit Perajurit Agama lain sudah berkumpul di hadapan jambatan tarik. Rupanya semua orang berfikiran sama, jadi Alicia berasa lebih yakin dengan keputusannya.

Namun jambatan tarik itu masih diturunkan walaupun dalam waktu genting seperti ini. Alicia mengerut dahi. Dia menghampiri seorang perwira berwajah tampan yang memakai jubah merah ketua jaksa pendamai dan memberi tabik. "Tuan Yang Terutama Ketua Jaksa Pendamai, saya Kapten Platun Keempat barisan hadapan Perajurit Agama, Alicia Quinn!"

"Saya Tucker Thor, ditugaskan untuk mempertahankan Gerbang Utara." Lelaki itu mengangguk ke arahnya. "Kami sudah adakan satu pusat rawatan belakang Gerbang Utara. Jika ada orang awak tercedera, hantar mereka ke pusat rawatan itu."

"Tuan, saya tidak faham kenapa kita tidak naikkan jambatan tarik itu. Makhluk iblis dari tembok kota akan mencerobohi tempat ini bila-bila masa. Kita mesti pastikan kita tidak kehilangan kota dalam."

"Bertenang, Kapten. Saya tahu awak dan orang-orang awak berani korbankan diri sendiri. Tetapi jangan sampai pengorbanan awak sia-sia sahaja. Bagi Gereja Inggeris, keadaan seperti ini tidak begitu serius." Tucker menyeka peluh dari dahinya. "Sekarang awak tunggu sahaja arahan di tempat berkumpul. Jika Pil Pencegah Dingin awak sudah habis, awak boleh minta lagi daripada Pegawai Bekalan."

Sebaik sahaja mendengar kata-kata Ketua Jaksa Pendamai Tucker Thor, Alicia serta-merta berasa sejuk. Selepas sibuk bertarung, peluh dan air hujan membeku dan membuatkan tubuhnya menggeletar. Angin kencang meniup ke arahnya dan menambahkan kesejukan.

Dia mengeluarkan sebuah beg kulit kambing dari poket baju lapisan dalamnya. membuka tali ikatannya, dan menggoncang-goncangkannya ke arah tapak tangannya yang tertadah. Tetapi hanya cecair likat mengalir keluar. Rupanya semua pil itu sudah pecah semasa dalam pertarungan tadi. Dia mengeluh dan mengangkat muka, tetapi tiba-tiba satu tangan menghulurkan sebiji Pil Pencegah Dingin berwarna perang kemerahan.

"Ambil saya punya dulu." Tucker Thor melontarkan senyuman ke arahnya. "Awak boleh ganti balik nanti."

Alicia tidak menolak pemberian itu. Dia mencapai pil itu, menggigitnya sekali dan terus menelannya. "Mungkin ini kali terakhir kita makan pil ini."

"Ya, tak apalah kalau begitu," Tucker melayan sahaja kata-kata Alicia sambil mengangguk. "Benda ini tidak sedap langsung."

Sebaik sahaja Tucker habis berkata-kata, bau hanyir ikan yang sangat kuat naik dari perut Alicia dan mencengkam otaknya. Medan perang penuh mayat bergelimpangan pun tidak berbau sehanyir ini. Alicia merasakan dia bukan menelan sebiji pil, tetapi sebaldi campuran darah dan daging berulat. Tiba-tiba badannya sudah tidak sejuk lagi. Kehangatan mula membara dan memanaskan setiap urat darahnya. Tubuhnya kembali ke suhu normal walaupun peluh sejuk masih mengalir sepanjang belakangnya. Kepalanya rasa seperti menggelegak. Jari kakinya yang kebas kesejukan tadi sudah boleh digerak-gerakkan.

"Tetapi bukan kali ini." Setelah melihat Alicia menelan pil itu, Ketua Jaksa Pendamai Tucker Thor melambai tangannya. "Perajurit Agama Tentera Tuhan sedang datang dari katedral. Makhluk iblis tidak boleh melepasi Gerbang Utara. Bawa orang-orang awak ke tempat berkumpul. Ingat, periksa jika mereka semua ada pil. Kalau awak beri arahan untuk mereka makan Pil Pencegah Dingin sedangkan mereka tiada pil itu, apa akan terjadi nanti?"

Perajurit Agama Tentera Tuhan, angkatan paling elit di Gereja Inggeris! Alicia sudah lama mendengar tentang angkatan istimewa itu tetapi tidak pernah melihat mereka dengan mata kepala dia sendiri. Tetapi tidak kira betapa berkuasanya Perajurit Agama Tentera Tuhan, mereka masih manusia biasa. Tubuh mereka masih tubuh manusia jadi tidak kira sehebat mana mereka berlatih, mustahil mereka ada peluang untuk menumbangkan makhluk iblis dengan mudah.

Namun setelah Tucker Thor memberi arahan, dia mesti akur dan memimpin pasukannya selama 11 orang menuju ke tempat berkumpul di barat.

Di sini, ada ratusan ahli Perajurit Agama yang mengundurkan diri telah berkumpul. Mereka berdiri tanpa aturan di tengah-tengah sebuah padang dan membiarkan diri mereka basah lenjun dibadai hujan. Hanya segelintir askar sahaja masih berada dalam barisan dan menanti makhluk iblis yang boleh muncul bila-bila masa sahaja.

Kalau beberapa hari lalu, Alicia tentu sudah memarahi mereka semua. Tetapi kini dia sendiri sudah bingung. Untuk membina Kota Suci Baru ini, ramai penganut sudah terbunuh tidak terkira banyaknya. Setiap ketul batu di kota ini telah memakan korban, baik penganut mahupun anggota Perajurit Agama. Biskop sendiri pernah berkata, seseorang yang dapat memerintah Hermes seolah-olah sudah memerintah Kerajaan Tuhan di Bumi.

Namun pada hari ini, Kerajaan Tuhan bakal jatuh ke tangan iblis-iblis dari neraka.

"Makhluk iblis datang!" Satu pekikan kedengaran. "Bersedia menentang musuh!"

Alicia menenangkan diri dan mengangkat pedangnya. Sambil merenung bayang-bayang di kejauhan yang semakin menghampiri mereka, dia menjerit, "Demi Hermes!"

"Demi Kota Suci Baru!"