Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 61 - Kepulangan

Chapter 61 - Kepulangan

Roland sedang bertinggung di atas tanah untuk memasang pengalas enjin wap. Tiba-tiba tiga susuk tubuh muncul dari udara, mendarat dengan terhoyong-hayang dan tersungkur bersama di atas tanah.

Anna terkejut. Sejambak api hijau muncul dan bertukar menjadi tembok api yang menghalang orang-orang itu mendekati mereka.

Roland mendongak dan melihat salah seorang orang itu ialah Nightingale yang baru pulang setelah lama pergi. Wajahnya kelihatan risau dan pipinya merah padam kerana kepenatan. Angin sejuk bertiup di laman itu tetapi dahinya berpeluh-peluh.

"Tuanku! Suruh Nana datang! Cepat!"

Nightingale menjerit dengan suara penuh cemas.

Roland menyedari wanita di belakang Nightingale berwajah pucat dan matanya tertutup, sebelah tangannya kudung dan darah merah membasahi kain yang membalut kecederaan itu.

"Cardin, pergi hospital dan panggil Nana!" Giliran Roland pula menjerit kepada pengawal di pintu bangsal. Dadanya tiba-tiba terasa sesak.

"Baik, Tuanku!"

Selain daripada Nightingale dan wanita di belakangnya, ada seorang lagi gadis yang turut bersama mereka. Dia kelihatan tidak cedera dan memandang sekeliling dengan rasa ingin tahu.

"Awak tak apa-apa?" Roland berkejar mendapatkan Nightingale lalu merungkaikan ikatan kain dari belakang Nightingale dan menyambut wanita kudung itu.

"Patik tak apa-apa, Tuanku," Nightingale berkata sambil terbatuk-batuk. "Maaf, patik tak berjaya bawa saudara patik dari Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir," kata Nightingale lemah. Nampaknya perjalanannya sangat panjang dan sudah menyedut semua tenaganya.

"Jangan cakap apa-apa lagi. Awak rehat dulu," balas Roland sambil mengambil alih tugas Nightingale mendukung wanita yang cedera parah itu sementara Anna pula meletakkan lengan Nightingale di bahunya. Mereka berlima tergesa-gesa balik ke istana. Bilik Nightingale terletak di sebelah bilik Anna. Roland mengarahkan orang gaji menyalakan api dan menyediakan satu kolah air panas di dalam bilik itu. Apabila Nana tiba, Roland menceritakan keadaan mereka secara ringkas sebelum keluar dari bilik dan membiarkan Nana merawat wanita itu.

Selagi mangsa tidak meninggal dunia, Nana masih berpeluang memulihkan kecederaan mangsa itu. Wanita itu sendiri tiada masalah lain selain lengannya yang terpotong. Nightingale membawa lengannya yang terpotong itu dengan harapan Nana boleh menyambungkannya. Namun begitu lengan itu sudah lama tidak menerima bekalan darah. Roland tidak pasti jika Nana masih boleh menyambungkannya semula. Mereka menanggalkan baju wanita itu untuk memulakan rawatan. Roland keluar dari bilik sebagai tanda hormat.

'Bagaimana ini semua boleh terjadi?' Roland mula berfikir. 'Adakah tempat perkhemahan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir diserang makhluk iblis dan hanya tiga orang berjaya menyelamatkan diri? Kalau betul, alangkah malangnya.'

Roland mundar-mandir di hadapan pintu. Kira-kira setengah jam kemudian, pintu dibuka. Muka yang menjengah keluar ke arah Roland ialah gadis yang balik bersama Nightingale tetapi tidak cedera. Dia mengangguk kecil kepada Roland. "Tuanku betul-betul macam Nightingale ceritakan."

"…" Roland bingung sebentar. "Apa dia ceritakan tentang beta?"

"Seorang putera yang mengambil berat tentang ahli sihir." Anak gadis itu melangkah keluar dan menutup pintu perlahan. "Malangnya itu terlalu sukar untuk dipercayai. Kebanyakan orang dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir tidak mempercayai dia. Malah patik pun tidak percaya dia. Tetapi ayah patik kata dunia ini sangat luas dan penuh dengan orang bermacam-macam ragam. Nama patik Lightning, Tuanku. Selamat berkenalan," katanya sambil menundukkan kepala dan meletakkan tangan kanannya di atas bahu kiri – mungkin ini cara dia untuk memberi tabik.

Roland tidak begitu mendengar kata-kata itu. Dia hanya tertumpu kepada ayat "kebanyakan orang tidak mempercayai dia". Dia bertanya, "Adakah ahli Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir diserang makhluk iblis?"

"Diserang? Bukan… Kenapa Tuanku kata begitu?" Tiba-tiba air mukanya menunjukkan dia baru faham. "Ah, baru patik tahu! Rupanya Tuanku bercakap tentang saudara patik dengan tangan kudung itu. Nama dia Wendy. Dia dicederakan Cara, ketua Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir." Kemudian Lighting menceritakan dengan ringkas perkara yang telah terjadi.

Roland terdiam setelah mendengar cerita Lightning. 'Ini sangat… sukar dipercayai,' fikirnya. Nampaknya dia telah memandang rendah kepada tahap kedahsyatan penindasan ahli sihir dalam zaman ini. 'Jadi selepas ditindas selama bertahun-tahun, kebencian ahli sihir terhadap Gereja Inggeris dan golongan bangsawan sudah mencapai kemuncak. Kalau menurut cerita Lightning, selepas ketua Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir mendapat cukup kuasa, keutamaannya adalah untuk membunuh manusia biasa.'

Tetapi mujurlah Nightingale pulang dengan selamat.

Bukan itu sahaja, dia membawa balik dua orang ahli sihir ke Pekan Sempadan. Roland memikirkannya lagi dan dia memutuskan untuk membiarkan Karl meneruskan projek pembinaan taman perumahan untuk ahli sihir itu. 'Mungkin ia tidak diperlukan sekarang tetapi tentu ada lebih ramai ahli sihir akan tiba satu hari nanti,' fikir Roland dalam hati.

"Jadi awak ahli Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir?"

"Tidak, Tuanku," jawab Lightning. "Patik, Wendy, dan Nightingale sudah keluar daripada Persekutuan itu. Mustahil kami boleh kembali lagi ke sana. Cara tentu sudah isytiharkan kami sebagai musuh."

"Adakah dia akan selamat walaupun Nightingale telah menikam dia?" tanya Roland sambil mengerutkan dahi.

"Mungkin. Ada seorang ahli sihir bernama Leaf dengan kebolehan meningkatkan keberkesanan khasiat daun-daun herba," jawab Lightning sambil berfikir lagi. "Kalau dia gunakan herba yang boleh menghentikan pendarahan serta herba untuk menambah darah, tentu dia boleh menyelamatkan Cara. Tetapi dibandingkan dengan ahli sihir Tuanku, caranya lebih kasar dan kesannya lebih menyakitkan."

'Ini memang satu masalah,' kata Roland dalam hati. 'Kalau diserang Gereja Inggeris, saya masih boleh tanganinya tetapi sekarang golongan ahli sihir pun mahu memusuhi saya. Tetapi mujurlah matlamat utama mereka adalah mencari Gunung Suci, jadi tentu mereka tidak akan bazirkan masa untuk memburu Nightingale.'

Sekarang Roland bertanya kepada Lightning, "Tadi awak kata awak tidak percaya Nightingale. Jadi kenapa awak ikut dia lari daripada Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir?"

"Sebab dia cerita ada mesin hitam menyembur asap putih, serbuk kelabu bertukar menjadi batu selepas bercampur dengan air, dan salji yang boleh meletup dengan kuat!" Lightning mengulang kembali cerita Nightingale. "Mungkin patik tidak percaya ada putera raja baik dengan ahli sihir tetapi tidak mungkin Nightingale menipu tentang ciptaan-ciptaan itu. Dia dapat ceritakannya dengan penuh terperinci jadi naluri penjelajah patik mengatakan dia bercakap benar. Oh, ya. Kotak hitam besar yang patik tengok di laman belakang tadi, adakah itu mesin hitam yang boleh menyembur asap putih? Nightingale kata ia dikenali sebagai… enjin wap?"

"Penjelajah?" Roland mengabaikan soalan terakhir Lightning.

"Ya, patik penjelajah," dia menekankan lagi perkataan itu. "Sebab itu patik memilih untuk mengikut Nightingale ke sini kerana seorang penjelajah mesti berani meneroka benda baru."

"…" Roland mengeluh dalam hati. 'Budak-budak muda memang berani tanpa memikirkan risiko. Dia ada masa untuk memikirkan benda-benda ringan begini, tentu dia dilahirkan dalam keluarga kaya. Tengok, sudahlah rambut pendek, berpakaian macam lelaki pula.' Roland bertanya, "Awak pasti nama awak bukan Ezreal?"

"Siapa itu? Nama patik Lightning," ulang anak gadis itu.

Tidak lama selepas itu, Anna dan Nana membuka pintu dan keluar dari bilik.

"Bagaimana?" tanya Roland. "Rawatan berjalan dengan baik?"

Apabila Nana mengangguk, Roland menghembuskan nafas lega. Selalunya bahagian tubuh terputus mesti disambungkan semula dalam masa enam ke lapan jam. Jika lebih lama daripada itu, peluang untuk pembedahan berjaya akan berkurangan. Lightning kata mereka menghabiskan masa hampir sehari suntuk bergegas ke sini. Selama tempoh masa itu, bahagian isi terputus itu sedang reput secara perlahan. Kalau pembedahan biasa, sudah tentu tiada harapan lagi untuk menyambungkan saraf yang telah terputus itu. Kalau begini hasilnya, benarlah kebolehan pemulihan Nana memang sangat menakjubkan.

Roland melihat kepenatan jelas tergambar di wajah Nana. Tentu rawatan itu menggunakan banyak tenaga. Roland berkata kepadanya, "Awak sudah bekerja keras hari ini. Selepas makan nanti, awak pergi masuk tidur dengan Anna."

'Maknanya saya mesti sediakan bilik untuk Tigui Pine juga,' fikir Roland lagi.