Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 45 - Konspirasi (Bahagian I)

Chapter 45 - Konspirasi (Bahagian I)

Apabila bulan mula tenggelam, Gerald Wimbledon melihat bayangan tembok kota kerajaan diraja bergemerlapan di bawah cahaya bulan.

Setelah beberapa bulan berlalu, akhirnya dia kembali. Mengingatkan hal itu, semua penat-lelahnya seakan-akan lenyap. Tetapi dia kekal berwaspada dan menggenggam tali kekang kudanya dengan kuat, lalu menyuruh pembantunya untuk pergi memeriksa keadaan terlebih dahulu.

Jika rancangan mereka masih tidak berubah, Ahli Nujum Ansger sepatutnya sudah menggantikan pengawal kota dengan orang suruhan Gerald. Sebaik sahaja pembantu itu melancarkan anak panah isyarat, Ansger akan menurunkan jambatan angkat di sisi tembok itu.

Gerald membuntangkan matanya, seolah-olah dia takut akan terlepas melihat api anak panah itu nanti.

Dia tidak perlu menunggu lama, tetapi Gerald merasakan ibarat masa sudah terhenti. Ketika matanya sudah mula keletihan, tiba-tiba dia melihat kerlipan api dari jauh yang berkelip dua kali di bawah tembok kota dan tiga kali di atas, seperti yang telah dirancang. Gerald menarik nafas dalam dan memberi isyarat untuk angkatannya mara ke hadapan.

Kalau begini keadaannya, dia sudah amat hampir untuk memiliki takhta negara itu.

Gerald masuk melalui gerbang sisi tembok kota didampingi pembantunya di sisi.

Di belakang Gerald ada lebih 20 orang askar. Mereka menarik tali kekang kuda masing-masing tanpa bersuara dan mengawal kemasukan mereka dengan perlahan-lahan.

Tembok kota kerajaan diraja itu dibina menggunakan bahan-bahan yang dikuari dari Rabung Naga Maut. Batu-batuan berwarna kelabu itu tampak berwarna merah tua apabila disinari api jamung. Sekali imbas ia kelihatan seperti berlumuran darah. Seluruh tembok kota itu selebar kira-kira 6 meter. Untuk membina tembok yang begitu mengagumkan ini, ia memakan korban lebih 1000 hamba abdi dan tukang batu.

Bala tentera seramai 10,000 orang tidak akan mampu menembusi tembok utuh ini, tetapi kini Gerald berjaya memasukinya dengan begitu mudah. Fikir Gerald dalam hatinya, sekuat manapun sesebuah tembok itu, ia masih dapat ditumpaskan jika ada kelemahan dari dalam. Tiba-tiba dia teringatkan Kota Suci Baru. Mungkinkah tembok mereka yang tersergam kukuh itu boleh dimusnahkan dengan kelemahan dari dalam juga?

"Tuanku, patik sudah lama menanti ketibaan Tuanku." Selepas memasuki gerbang kota, Gerald melihat Ahli Nujum Ansger menunggu bersama satu pasukan kecil. Setibanya Gerald di dalam laman istana, Ahli Nujum Ansger turun dari kudanya dengan pantas, menunduk dan memberi tabik kepada putera raja sulung itu.

Gerald cuba melupakan lamunannya tadi. Mungkin dia terlalu teruja sehingga memikirkan perkara yang bukan-bukan. "Bagus, awak sudah berjaya. Awak sudah tukarkan pengawal istana juga?"

"Tuanku, rancangan itu tidak berjalan selancar yang diharapkan. Kesateria Perak yang sudah mengisytiharkan kesetiaan kepada Tuanku telah dipindahkan ke Wilayah Selatan tiga hari lalu. Jadi kami hanya sempat menukar pengawal kamar utama istana sahaja."

Gerald mengerutkan dahi. Ini bermaksud dia tidak boleh membawa kesemua 20 orang ke dalam istana itu lagi. Para pengawalnya tidak akan menghalang kemasukan dia tetapi mereka tentu tidak akan benarkan begitu ramai orang bersenjata memasuki kamar istana.

"Kalau begitu, berikan beta dua pengawal dari pasukan pengawal kamar. Semua yang lain boleh tunggu di pintu masuk dan pastikan tiada orang luar datang dan mengganggu Beta." Dia teragak-agak sebentar sebelum membuat keputusan. Walaupun rancangan mereka sudah berubah, situasinya masih terkawal. Para pengawal ayahandanya biasanya akan bermalam di ruangan luar kamar. Selagi ada orang mengalihkan tumpuan mereka, dia yakin dia masih boleh berjaya.

Sebaik memasuki pusat bandar, dia dapat melihat semua benda yang dia sudah biasa lihat dahulu. Walaupun sekarang waktu malam, dia masih boleh mengecam setiap batang jalan. Sudah tidak syak lagi, kawasan ini memang layak menjadi jajahannya. Semua orang turun dari kuda mereka dan mara ke arah istana dengan pantas. Sebaik sahaja mereka tiba di gerbang utama, mereka berpecah mengikut rancangan baru Gerald lalu membentuk kepungan untuk serangan mengejut di luar istana. Seperti dikatakan Ahli Nujum Ansger, walaupun para pengawal istana tidak sangka putera itu kembali ke istana pada waktu malam, mereka masih membenarkan dia masuk kerana Gerald mengatakan kononnya dia ada sesuatu yang penting untuk dilaporkan.

Lagipun dia putera sulung Kerajaan Graycastle, pewaris pertama takhta kerajaan.

Putera Gerald dan Ahli Nujum Ansger berjalan melalui taman istana dan balai penghadapan hingga sampai betul-betul di hadapan tempat persemayaman Raja Wimbledon III. Ahli nujum itu mengangkat jamung dalam tangannya dan menghayunkannya dari kiri ke kanan. Dengan serta-merta, pengawal raja muncul dari kegelapan dan melutut di hadapan dua lelaki itu. "Tuanku, sila ikut patik."

Gerald menghidu-hidu dan dia seperti tercium bau darah.

Adakah pengawal kamar tidak ditukarkan sepenuhnya? Dia memandang pengawal itu dalam cahaya api obor dan melihat muka yang dia kenali, iaitu seorang kesateria yang berkhidmat bawah seorang Earl yang menyokong rancangannya ini. Hatinya berasa lebih tenang.

"Ada orang masuk ke istana?"

"Tuanku, Baginda Raja Wimbledon ada memanggil seorang dayang malam tadi. Sebaik sahaja dayang itu keluar, dia terdengar perbualan kami," jawab seorang lagi pengawal itu. "Tuanku usah risau. Kami sudah uruskannya."

'Dayang? Sudah lama ayahanda tidak menyentuh perempuan lain, sejak Bonda meninggal,' fikir Gerald. Gerald berasa agak hairan tetapi sekarang bukan masa sesuai untuk memikirkan perkara remeh sebegitu. Dia hanya mengangguk tanpa sebarang kata. Dia mengekori pengawal itu masuk ke istana dan askar lain menyusuli mereka dari belakang.

Gerald sudah begitu arif dengan setiap selok-belok istana ini, hinggakan jika matanya ditutup sekalipun dia masih boleh berjalan dari satu hujung ke hujung lain tanpa tersadung. Sudah 20 tahun dia mendiami istana ini dan dia tahu di mana setiap terowong rahsia atau pintu tersembunyi berada. Tetapi sekarang niatnya untuk memujuk ayahanda mewariskan takhta itu terus kepadanya. Tiada gunanya dia menyelinap masuk ke kamar ayahandanya. Dia mesti menyingkirkan pengawal di luar kamar agar ayahanda boleh memahami keadaan sebenar. Kemudian barulah mereka boleh duduk dan berbincang dengan baik tentang pewarisan takhta dan harta diraja.

Tetapi jika ayahanda tidak bersetuju dengannya…

Gerald Wimbledon menarik nafas dalam, menghulurkan tangan dan memberi isyarat agar semua orang berhenti. Kemudian dia mengeluarkan pedang dari sarung di belakangnya.

Pintu tembaga di hujung koridor itu satu-satunya tempat masuk ke kamar diraja. Pintu itu menuju ke ruangan luar kamar dan turut menjadi benteng pertahanan akhir antara raja dan dunia luar. Kebiasaannya dua hingga tiga pengawal ditugaskan di situ agar mereka boleh meluru masuk untuk mempertahankan Baginda Raja sekiranya ada apa-apa berlaku.

Pada mulanya Gerald menolak sedikit pintu untuk memberikan bukaan kecil. Kemudian dia menggunakan bahunya untuk merempuh pintu itu dan meluru masuk ke dalam kamar sambil menghunus pedang. Tetapi ruangan luar kamar itu senyap sunyi tanpa sesiapa kelihatan. Pada masa yang sama, bau darah tadi semakin kuat menusuk hidung Gerald.

Jantungnya berdegup kencang, seperti merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia bergegas masuk ke kamar tidur Raja Wimbledon.

Sejurus selepas itu, Gerald menyaksikan sesuatu yang sukar untuk dipercayainya...

Raja Wimbledon III sedang duduk di atas katilnya sambil memakai jubah tidur, dan tubuhnya bersandar pada timbunan bantal di belakangnya. Jubahnya terselak dan sebilah pedang tertusuk di dadanya. Darah berlinangan di perutnya yang buncit dan membuatkan cadar katilnya merah dibasahi darah yang banyak.

Berdiri di sebelah ayahandanya ialah adik kedua Gerald, Timothy Wimbledon.

"Bagaimana… Bagaimana ini boleh terjadi?" Gerald kaku dan tidak mampu bergerak.

"Seperti abang juga," Timothy mengeluh, "saya pun tidak mahu buat begini."

Dia menepuk tangan dan dengan serta-merta segerombolan askar berbaju kebal meluru masuk pintu dan mengepung Putera Gerald. "Ini ibarat permainan catur, dan pada mulanya saya memang mahu bermain mengikut peraturan. Abang tahu Garcia langsung tidak mematuhi peraturannya sejak daripada mula? Ya, sama seperti abang. Jika tidak, kenapa Garcia terburu-buru datang ke bandar diraja sebaik sahaja dia dengar ramalan Ahli Nujum Ansger? Kalau abang tidak datang malam ini, saya pun tidak tahu apa patut saya buat."

"Ahli nujum!"

Dia mengetap gigi dan berpusing ke belakang. Ahli Nujum Ansger berundur selangkah dan berkata, "Patik tidak berbohong kepada Tuanku. Bintang Kiamat sedang bergerak menjauhi matahari memberi petanda orang yang sesat sudah tersasar dari jalan benar, tetapi ia juga membawa maksud kemusnahan."

Sekarang baru Gerald faham. Dia sudah terjebak masuk ke dalam perangkap yang telah dirancang dengan teliti sejak awal lagi. Bau darah yang dihidunya tadi bukan darah dayang yang dibunuh, dan Kesateria Perak sebenarnya tidak dipindahkan. Tetapi perkara yang paling mengecewakan adalah Ahli Nujum Ansger yang sudah menjaganya selama lebih sepuluh tahun dan mengajar dia membaca dan menulis sejak dia kecil lagi tetap memilih untuk memihak kepada Putera Kedua, sama seperti ayahandanya.

"Timothy Wimbledon! Kita berdua sama-sama anak kandung ayahanda, tetapi baginda selalu melebihkan kamu malah menghantar kamu ke negeri yang paling makmur! Tetapi kamu akhirnya menjadi orang yang membunuh ayahanda! Kamu memang syaitan dari neraka!"

Kemarahan kelihatan membara di dalam mata Timothy, tetapi ia hilang serta-merta. "Abang rasa saya syaitan? Abang, sekiranya abang gagal memujuk ayahanda menyerahkan takhta kepada abang, adakah abang akan terima saja keputusan itu dengan baik? Usah tipu diri sendiri."