Bila Roland bangun keesokan paginya, bukan Tyre yang menyediakan pakaiannya, tetapi seorang pembantu istana tua.
Roland keluar dari kamar tidurnya dan bertemu Ketua Kesateria Carter yang sedang menunggu di luar.
"Ampun Tuanku, ada berita yang tidak menyenangkan pagi ini," mula Carter, "ketua orang gaji Tuanku telah ditemui mati malam semalam."
"Apa?" Mata Roland terus terbeliak. Walaupun dia sudah menjangkakan ini, dadanya masih terasa sesak. Lagipun Tyre mati sebab dia.
"Dia terjatuh dari anjung biliknya dan tiada sebarang kesan pergelutan. Pengawal tidak melihat sesiapa masuk ke biliknya. Jadi… tentu dia terjatuh secara tak sengaja. Ia hanya kecelakaan."
Sepanjang masa kesateria itu memberi laporan kepada Roland, dia memandang puteranya itu dengan sedikit aneh. Tapi Roland tahu apa yang bermain dalam fikiran Carter. Seluruh Kerajaan Graycastle sudah tahu Putera Roland memang tergila-gilakan Tyre. Pada zaman ini, memang biasa jika seorang putera mengambil orang gaji sebagai gundik. Tidak ada hiburan lain pada masa ini, apatah lagi kelab-kelab malam, jadi apa lagi yang boleh dibuat selain berasmara? Keluarga diraja dan orang bangsawan juga sudah biasa bertukar-tukar isteri, malah ada yang berasmara beramai-ramai. Kalau dibandingkan dengan zaman sekarang, hidup masa itu lebih hina dan tidak bermoral.
Putera Roland masih dikira cukup baik berbanding orang-orang bangsawan lain dan sejak Cheng Yan dihidupkan semula sebagai Roland, dia tidak pernah menyentuh seorang wanita. Kecuali Tyre, orang-orang gaji lain tidak begitu cantik pun. Lagipun baru sahaja dia menerima hakikat dia merentasi masa, dia terpaksa berhadapan pula dengan ancaman Bulan Kunjungan Iblis jadi otaknya sudah cukup serabut dengan projek pembinaan dan perdagangan. Dia masih belum sempat menarik nafas lega dan menikmati hidup mewah seorang putera raja.
"Malang sungguh," kata Roland, cuba berpura-pura kelihatan kesal. "Minta orang gaji yang layan Beta pagi tadi uruskan pengebumian Tyre. Dan kini dia yang akan jadi ketua orang gaji istana."
Carter mengangguk tanda faham, tunduk, lalu berlalu pergi.
Sebaik sahaja Roland masuk ke dalam kamar kerjanya, dia lihat Nightingale sedang duduk di atas meja mahoganinya.
"Awak dapat tahu apa-apa?"
"Tak sempat. Dia bunuh diri di depan mata Patik," kata Nightingale dengan sedikit geram. "Ia berlaku terlalu pantas, dia tak teragak-agak pun."
"Awak tak cuba halang dia?" Roland menghampiri meja itu, menarik kerusi dan melabuhkan punggung.
"Patik sudah ikat dia," kata Nightingale sambil mendekatkan kepalanya ke arah Roland. "Tapi rupanya dia gigit pil racun yang dia sembunyikan dalam pipinya jadi Patik terpaksa buat kononnya dia mati sebab terjatuh."
"Beta ingatkan awak pembunuh upahan yang berpengalaman. Takkan awak masih harapkan ganjaran untuk ini?"
"Tuanku janganlah begitu. Saya tak dapat apa-apa maklumat daripada dia tapi tak bermaksud saya tak ada benda berguna untuk dilaporkan." Nightingale tertawa kecil dan meletakkan sekeping surat yang terlipat di hadapan Roland. "Saya jumpa dalam bilik dia."
Roland membuka kertas itu. Ia sepucuk surat yang dihantar seseorang yang memanggil Tyre sebagai "kakak" dan isi kandungannya hanya perbualan yang biasa antara keluarga. Tetapi Roland tersedar penulis surat itu banyak kali menyebut tentang lautan, seperti betapa cantiknya pemandangan tepi laut, betapa dia suka melihat matahari terbit di lautan, dan sebagainya. Akhirnya penulis itu bertanya bila Tyre akan pulang kerana dia begitu merindui Tyre. Roland cuba mengingat balik semua kawasan jajahan kekanda-kekandanya dan dia bertanya untuk kepastian, "Garcia ada di Pelabuhan Air Bening, bukan?"
"Betul. Kemungkinan besar ini ada kaitan dengan dia kerana negara jajahan dua kekanda Tuanku yang lain tidak ada lautan. Patik syak Puteri Garcia Wimbledon tentu menjadikan adik Tyre sebagai tahanan untuk tebusan dan mempergunakan Tyre sebagai musuh dalam selimut. Kalau melihatkan gaya Tyre membunuh diri, ia bukan kebetulan semata-mata. Maknanya sebelum dia dihantar untuk mengintip Tuanku, dia tentu telah menerima latihan tempur selama dua ke tiga tahun."
Roland mengeluh perlahan kerana dia sudah tahu perlumbaan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta itu takkan berakhir dengan mudah. Walaupun dia tidak ingin mahu merebut takhta Graycastle, dia sudah terheret sekali dalam masalah ini. Demi mendapatkan tahkta itu, kekanda-kekanda Roland sanggup lakukan apa sahaja tanpa takutkan dosa jadi ada kebarangkalian kejadian seperti ini akan berulang.
"Oh, ada orang datang. Patik minta diri dulu, Tuanku."
Nightingale mengucup jarinya dan meniup ciuman nakal ke arah Roland dan terus ghaib sekelip mata.
Walaupun ini bukan kali pertama Roland melihat Nightingale ghaib, dia masih terkejut melihatnya pada waktu siang buta. Dia terpaku sementara tetapi kemudian dia mengangkat tangannya untuk menggapai ruang kosong yang ditempati Nightingale tadi. Tiba-tiba ada tangan lembut yang menghalangnya diikuti dengan suara lunak yang berkata, "Jangan, Tuanku. Nanti Anna kecil hati."
"Oh, rupanya kemahiran dia bukan menghilangkan diri, tapi menjadi halimunan," fikir Roland dalam hati. "Takut juga, ya."
Satu ketukan kedengaran di pintu. "Tuanku, ini Patik, Barov."
Roland menarik balik tangannya dan menyusun air mukanya. "Masuk."
Dengan menggalas timbunan fail dalam tangannya, Pembantu Menteri itu mula melaporkan perkembangan terkini segala hal-ehwal pekan itu sepanjang minggu lepas. Roland juga cuba mengenepikan masalah yang lain dan menumpukan perhatian pada laporan Barov. Selepas sebulan bekerja bersama, dia sudah semakin biasa dengan cara kerja Barov dan sudah tidak bingung lagi seperti waktu awal-awal dahulu.
Secara amnya, rekod kewangan Pekan Sempadan menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Ini disebabkan oleh jualan bijih besi dan batu pertama ke Bandar Raya Willow dengan harga 200 keping emas. Selepas membeli bekalan makanan dan membayar gaji pekerja, ada lagi baki 90 keping emas.
Barov nampaknya sudah semakin ceria. Bila ada duit lebih dalam belanjawan, dia tidak begitu gusar untuk menghadapi musim sejuk ini.
Tetapi Roland tidak mahu dia jadi terlalu leka. "Sekarang Beta mahu membentuk angkatan rakyat jelata untuk melawan haiwan iblis itu. Mulai sekarang, mereka mesti diberi latihan. Pelatihnya ialah ketua kesateria Beta dan Beta akan beri arahan lanjut kepada dia nanti. Awak hanya perlu buat pelan belanjawan kerana mereka mesti mempunyai baju perisai kulit, senjata, dan dua set baju musim sejuk."
"Tapi Tuanku, ini… Kalau ikut kelaziman, bukankah mereka hanya askar sementara yang perlu dikerahkan jika ada peperangan?"
"Jika mereka bertarung di medan perang tanpa latihan, sama saja seperti kita hantar orang merusuh. Takkan kita mahu takutkan gerombolan makhluk iblis dengan bilangan yang ramai saja? Kalau mereka melawan tak tentu hala, itu lebih menyusahkan kita."
"Maksud Tuanku, Tuanku benar-benar mahu kekal di Pekan Sempadan?" Barov bertanya dengan rasa kurang percaya.
"Jika kita benar-benar tidak mampu melindungi pekan ini, Beta akan berundur. Tetapi Beta yakin kita boleh tumpaskan setakat beberapa ekor makhluk raksasa."
"Tapi kalau kita buat mengikut rancangan Tuanku, kita akan perlu guna lebih banyak duit."
Muka Barov yang kedekut menggelikan hati Roland. "Tujuan duit adalah untuk dibelanjakan. Pergi uruskannya."
Masih ada lebih 300 keping emas dalam peti kebal Roland sendiri dan kebanyakannya digunakan untuk kos pembinaan tembok kota itu. Dia juga membayar bengkel tukang besi untuk penghasilan bahan dan komponen enjin wapnya tempoh hari. Mesin yang pertama menelan belanja hampir 20 keping emas dan Roland memerlukan sekurang-kurangnya tiga buah mesin lagi.
Enjin wap telah mencetuskan Revolusi Perindustrian Pertama tetapi ini tidak bermaksud ciptaan itu sama berpengaruh seperti revolusi itu sendiri. Pada masa itu, Amerika Syarikat hanya sangat-sangat memerlukan kuasa baru bagi menggantikan tenaga manusia dan tenaga haiwan bagi memenuhi permintaan perlombongan. Selepas Watt mencipta dan menambah baik rekaan enjin wapnya, pesanan telah tiba dari merata dunia dan sumber kuasa baru ini tersebar pantas ke bidang-bidang industri lain.
Buat masa ini, Pekan Sempadan masih belum sampai ke tahap Revolusi Perindustrian lagi, malah pengindustrian itu sendiri masih belum wujud. Jadi Roland tiada niat untuk menjual enjin wap bagi mengaut untung. Dia hanya mahu melabur mesin itu untuk digunakan di Kawasan Lombong Cerun Utara untuk kegiatan perlombongan dan pam kerikil. Nanti bila penghasilan lombong sudah meningkat, baru dia akan luaskan penggunaan enjin wap itu. Konsep ini sama dengan proses penggalakan kemajuan perindustrian dari puncak ke dasar.