Chereads / Perpustakaan Jalan Syurga / Chapter 9 - Pertaruhan

Chapter 9 - Pertaruhan

Terdapat banyak sekali ura-ura mengenai guru tidak berguna tersebut. Bahkan sebelum datang ke akademi sekalipun, mereka telah banyak mendengar tentangnya sehingga bernanah telinga mereka.

Semua orang mengatakan bahawa guru tersebut langsung tidak berkemahiran dan dia telah mengajar anak muridnya dengan penuh kesalahan!

Mereka juga mengatakan bahawa dia tidak tahu akan teknik pertapaan mahupun seni bela diri walau sedikit pun.

Banyak sekali fitnah yang dilemparkan!

Buat para pelajar, adalah dinasihatkan supaya mereka menjauhkan diri sebanyak mungkin dari guru tersebut. Jangan bertaruh nasib dengannya, jika tidak, bukan sahaja mereka akan menjadi gila, malah mati!

Apabila kedua adik-beradik tersebut datang ke akademi untuk mencari guru, mereka turut mendengar tentang ura-ura itu. Mereka telah melangkah dengan penuh berhati-hati, tetapi langsung tidak menyangka bahawa jaguh yang luar biasa hebatnya ini adalah merupakan sampah legenda yang diperkatakan itu!

"Tok guru, jika kamu sungguh hebat, kenapa…"

Zheng Yang tidak mampu menahan dari bertanya.

Sungguhpun mereka baru sahaja mengenali satu sama lain, dia tahu guru ini mempunyai kemahiran yang tidak tertanding. Setiap langkah dan tutur katanya begitu menakjubkan sekali. Mana mungkin dia seorang sampah?

"Terdapat ramai orang yang berasa iri hati terhadap mereka yang berbakat. Perkara seperti ini tidak bermakna langsung!"

Zhang Xuan mendongak 45 darjah ke atas, dan terpancar kekesalan dan kesedihan di matanya.

Emosi di wajahnya kelihatan tulus sekali, tetapi di dalam hatinya, dia sedang mencaci dengan penuh kemarahan.

Jika bukan kerana wujudnya Perpustakaan Jalan Syurga, dia mungkin akan mendapat markah negatif di dalam peperiksaan. Markah kosong yang diperoleh pemilik tubuhnya sebelum ini sudah boleh dianggap tinggi!

"Saya rela membersihkan nama guru daripada pencemaran ini!"

Melihatkan 'kesedihan' gurunya dan betapa dia 'tidak mengerti tentang sifat dunia ini', hati Zheng Yang tersentuh dan dia terus berikrar sedemikian.

"Tak mengapa, reputasi tok guru tidak penting. Asalkan kamu gigih berlatih, saya sudah berpuas hati. Ambil token identiti itu untuk menuntut katil kamu. Datang ke kelas tepat pada masanya esok, pastikan jangan lambat!"

Oleh kerana lakonan Zhang Xuan, dia ternyata telah berjaya menambat hati anak muridnya. Zheng Yang mengangguk.

"Baik!"

Zheng Yang menarik Mo Xiao yang berdiri di sebelahnya, dan mereka berdua melangkah keluar.

"Empat orang anak murid!"

Melihatkan mereka berdua beredar, keterujaan jelas terpancar pada mata Zhang Xuan.

Wang Ying, gadis muda yang kebingungan. Liu Yang, murid yang dimenanginya melalui pertaruhan. Zhao Ya, puan muda yang sombong dan Zheng Yang, genius seni lembing.

Pada awalnya, dia menyangka dia bakal gagal mendapatkan seorang anak murid pun, seperti hari-hari sebelumnya. Sungguh tidak sangka dia berjaya mendapat empat orang!

"Tanpa token identiti, biarpun terdapat pelajar-pelajar yang ke mari, saya tidak akan dapat menerima murid baru. Lebih baik saya gunakan masa terluang ini untuk mendapatkan beberapa token lagi!"

Setelah dipenuhi emosi kerana berjaya mendapatkan murid-murid tersebut, Zhang Xuan tersedar yang dia tidak lagi mempunyai token untuk digunakan.

Token tersebut diberikan oleh akademi. Oleh kerana reputasinya yang buruk, guru yang bertugas untuk mengagihkan token hanya memberinya empat keping sahaja. Dia menyangka Zhang Xuan pastinya tidak akan dapat menggunakan kesemuanya. Jika dia tidak meminta token baru, biarpun terdapat murid baru yang datang, mereka tidak akan dapat memperakui dia sebagai guru!

Token-token mengandungi maklumat tentang guru. Sebaik sahaja seorang murid menitiskan darah mereka pada token kepunyaan seorang guru, ia menandakan bahawa mereka memperakui guru tersebut sebagai mentor mereka. Jika murid tersebut ingin menarik diri, gurunya pula yang harus menitiskan darah ke atas token supaya maklumat murid itu dapat dipadamkan.

Dia berdiri dan melangkah keluar dari bilik darjah.

Matahari bersinar dengan terik di luar dan bahang panas jelas dirasakan di sebalik pokok-pokok. Ia menyebabkan semua orang berpeluh-peluh.

Pelajar baru dan lama masing-masing berjalan di kaki lima akademi dan perasaan teruja jelas terpancar di raut wajah mereka.

Untuk datang ke persekitaran baru dan memperakui guru yang mereka pilih, pelajar-pelajar baru kelihatan sungguh seronok sekali. Para pelajar lama pula turut penuh dengan senyuman apabila memikirkan terdapat pelajar baru untuk diusik mereka.

Sedang dia berjalan, sebuah bangunan besar muncul di hadapan Zhang Xuan. Dua perkataan gergasi tergantung pada papan di tengah-tengah bangunan tersebut, 'Bangunan Logistik'.

Token yang melambangkan identiti seorang guru adalah diperolehi daripada bangunan ini.

"Eh, siapa pula ini? Bukankah ini 'guru bintang' kita? Kamu tidak mencari pelajar, sebaliknya datang melawat saya pula, apa yang kamu mahukan? Oh biar saya teka, adakah kamu gagal menggunakan sebarang token tersebut, jadi kamu datang untuk memulangkannya?"

Sebaik sahaja masuk, dia mendengar suara yang penuh dengan nada sarkastik ini.

Zhang Xuan mendongakkan kepalanya dan kelihatan seorang lelaki tembam yang mukanya dipenuhi lemak.

Lelaki ini mempunyai berat badan 300 ke 400 kilogram, minima. Dari jauh, dia kelihatan seperti sebuah bola daging gergasi.

"Qian Biao!" Sebuah nama muncul dari memorinya.

Qian Biao adalah salah seorang guru yang bertugas menjaga logistik. Dia adalah seorang lelaki yang suka merungut dan sering mengambil kesempatan ke atas orang lain. Sebagai seorang guru di tahap terendah, gaji Zhang Xuan teramat kecil dan sumber yang layak dituntutnya juga sedikit. Kerana itu, dia langsung tidak dihormati oleh lelaki ini.

Kerana itu juga, sering sahaja Zhang Xuan dihina olehnya. Saat mereka bertemu, pasti bermacam-macam hinaan dan ejekan yang akan dilemparkan.

Lelaki ini jugalah yang memberikan hanya empat token kepada Zhang Xuan, kerana dia pasti ia tidak akan habis digunakan.

Tanpa mempedulikan lelaki itu, Zhang Xuan berkata dengan tenang."Saya sudah habis menggunakan kesemua token identiti saya. Saya hendak menuntut beberapa lagi!"

"Sudah habis menggunakan semuanya?" Qian Biao tergamam sebentar sebelum ketawa terbahak-bahak. "Haha, semua orang, mari lihat ini. Guru yang mendapat tempat tercorot datang untuk berlagak kononnya dia berjaya menghabiskan semua identiti tokennya! Haha, ini adalah jenaka paling lucu di dunia!

"Saya masih ingat yang kamu memberikannya empat token dulu! Dia dapat menghabiskannya? Dia? Lawaklah!"

"Guru di tempat kedua tercorot, Sun Yuan, dikatakan hanya mempunyai satu anak murid buat masa ini. Lelaki yang mencatat sejarah dengan merekodkan markah kosong dalam Peperiksaan Kelayakan Guru pula mampu mendapat lebih dari seorang anak murid? Apa yang dia merepek?"

"Halau dia. Apa-apapun, dia akan dipecat esok…"

...

Setelah mendengar jeritan Qian Biao, beberapa orang guru lain di bahagian logistik datang untuk melihat keadaan. Mereka semua memandang Zhang Xuan dengan perasaan benci.

"Guru yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru, apa yang hendak dibanggakan? Murid-murid akan berlari mendengar nama kamu. Sekarang kamu mengatakan mereka memperakui kamu. Jangan berlawaklah!"

"Oh? Kamu kata saya berlagak? Baik, apa kata kita bertaruh?" Zhang Xuan tidak naik marah. Sebaliknya, dia tersenyum.

"Bertaruh? Baik, memandangkan kamu hendak sangat kalah, saya akan penuhi hasrat kamu. Cuma, memandangkan kamu ini miskin, saya rasa tidak ada apa-apa yang boleh kamu tawarkan!" Qian Biao tidak menyangka bahawa lelaki yang sering dipandang rendah olehnya akan berani untuk mencabar dan bertaruh dengannya. Dia ketawa dengan penuh rasa benci.

"Bukan masalah kamu sama ada saya miskin atau tidak. Memandangkan saya yang mencadangkan pertaruhan ini, sudah tentu saya akan mengeluarkan sesuatu yang sanggup saya taruhkan!" Zhang Xuan melebarkan matanya.

"Oh? Kamu mampu mengeluarkan sesuatu? Melihatkan latar belakang kamu, benda-benda yang boleh kamu keluarkan mungkin adalah besi buruk atau benda-benda buruk lain yang sewaktu dengannya! Kamu fikir saya akan bertaruh dengan kamu? Saya tak sanggup kehilangan reputasi saya!" Kata Qian Biao.

Zhang Xuan adalah guru berpangkat paling rendah di seluruh akademi, dan juga guru di tempat tercorot. Selama ini dia gagal mencari anak murid, malah tidak juga mempunyai bonus. Jika harus diteka siapakah guru paling miskin, sudah tentulah dia orangnya!

Dia hidup dengan penuh berjimat-cermat dalam kehidupannya dan juga dalam pertapaannya.

"Hehe!" Zhang Xuan langsung tidak terkesan dengan hinaan tersebut. Dia ketawa dan berkata, "Apa yang ingin saya pertaruhkan bukanlah harta ataupun objek. Ia adalah...muka! Jika kamu kalah, saya akan menampar kamu sebanyak tiga kali di depan orang lain! Jika saya yang kalah, saya akan benarkan kamu menampar saya tiga kali! Adakah kamu berani bertaruh dengan saya?"

"Menampar muka?"

Dia tidak menyangka Zhang Xuan akan bertaruh tentang ini. Qian Biao merasa ragu-ragu.

Jika dia kalah, dia akan ditampar oleh guru paling teruk di dalam akademi. Betapa malunya dia jika itu berlaku, malu sehingga ingin mati!

"Macam mana, berani ataupun tidak?" Zhang Xuan tersenyum padanya.

"Qian Biao, apa yang kamu takutkan? Bukannya kamu tidak tahu tentang standard dia!"

"Bolehkah guru yang mendapat markah kosong memperoleh walau seorang murid pun? Dia hanya bermimpi!"

"Qian Biao, what are you scared of? It's not like you don't know his standards!"

"Dia hanya menakut-nakutkan kamu. Jika dia ini berjaya mendapat seorang murid, tentunya saya sudah mendapat beratus-ratus orang murid! Sungguhpun murid-murid tahun ini buta, mereka tidak akan buta seteruk ini!"

...

Guru-guru lain di bahagian logistik masing-masing tersenyum sinis.

Tiada seorang pun yang percaya bahawa Zhang Xuan mampu mendapatkan anak murid. Ia umpama seekor babi memanjat pokok, mustahil untuk berlaku!

"Baik, saya setuju!" Memikirkan bahawa kata-kata semua orang adalah logik, dia mengangguk setuju.

Melihatkan dia bersetuju, Zhang Xuan memandang ke arah tiga orang guru lain di bahagian logistik itu.

"Memandangkan kamu yang lain sedang bersorak gembira, adakah kamu semua sanggup bertaruh dengan saya juga? Dengan syarat yang sama seperti dia?"

Tiga orang guru tersebut yang penuh dengan kata-kata penghinaan tidak kisah untuk turut sama bertaruh memandangkan salah seorang daripada mereka telahpun bersetuju.

"Kenapa? Muka kamu sangat gatalkah? Kamu hendak kami tamparkan muka kamu beberapa kali lagi? Baik, saya setuju!" Isytihar seorang guru serta-merta.

"Saya setuju juga!"

"Siapa yang takut dengan kamu? Kamu dapat markah kosong tapi masih hendak berlagak di depan kami, kamu mencari nahas!"

Mereka bertiga mengangguk sambil tersenyum lebar.

Fikir mereka, Zhang Xuan pasti akan kalah dalam pertaruhan ini. Hari ini, dia akan merasakan penampar mereka semua!