"….." Huang Yu pandangannya berpusing dan mahu pengsan ketika itu .
[Kamu tidak tahu siapa Zhenna Wang? Betul kamu ini dari Empayar Tianxuan ke? Kamu pasti kamu tak datang dari tempat lain?]
Pada saat ini, dia mula menyesal bawa budak ini ke sini!
Melihatkan kebodohan dia, nampaknya lelaki ini akan memberikan masalah kepadaku.
Zhang Xuan tidak berlakon, dia betul-betul tidak tahu soal ini.
Dirinya yang dahulu ialah guru yang paling teruk di akademi. Selama ini dia sibuk berfikir akan cara supaya dia tidak dibuang kerja. Dia tidak pernah berfikir tentang dunia luar apatah lagi hal politik. Dia tidak tahu apa apa tentang seksyen, bahagian mahupun biro di akademi ini. Oleh itu, bagaimana mungkin dia tahu siapa itu Zhennan Wang.
Jiya!
Baru sahaja dia ingin menceritakan semua pencapaian peperangan Zhennan Wang, pintu depan rumah tersebut terbuka dan lelaki berperwatakan seperti pembantu rumah keluar dan mengalu alukan mereka.
"Pak Cik Cheng, saya sudah bersedia. Saya berharap untuk mendapat tunjuk ajar guru sekali lagi!" Kepada tukang rumah tersebut dia memanggil Pak Cik Cheng. Tuan muda berpakaian putih Bai Xun bercakap dengan penuh hormat. Nada angkuhnya tadi jelas lenyap dari suaranya.
"Rupa-rupanya Tuan Muda Bai dan Puan Muda Huang! Sila ikut saya ke ruang tamu!" Selepas menyedari kehadiran tiga orang yang berdiri di ruang tamu, tukang rumah tersebut menunduk sambil menjemput mereka masuk.
Ketiga-tiga mereka berjalan masuk ke rumah tersebut.
Zhang Xuan meneliti sekelilingnya.
Rumah tersebut mungkin tidak semewah mana, dan hiasan di dalam rumah pun tidak dapat nak dibandingkan dengan bilik di akademi. Namun, ia mempunyai persekitaran yang sangat berbeza. Setiap saat dan setiap pergerakan di laman luar kelihatan seakan sebuah lukisan yang tenang dan cantik.
"Cantik sungguh lukisan dakwat semulajadi ini!"
Zhang Xuan tidak dapat menahan pujiannya.
Mendengar pujiannya, tukang rumah tersebut berpaling ke belakang dan bertanya, 'Oh, tuan minat akan seni lukisan?"
"Oh itu cuma ulasan biasa sahaja!" Dia tidak menjangkakan pujiannya akan menarik perhatian tukang rumah tersebut. Zhang Xuan menggeleng kepalanya.
Sebelumnya, dia merupakan seorang pustakawan, dan kerjanya berkait rapat dengan bidang kesenian. Walaupun dia telah melihat pelbagai lukisan dalam hidupnya, dia tidak pernah mengangkat berus apatah lagi melukis!
"Tuan kami mengunakan hatinya untuk melukis dan laman luar sebagai kertasnya untuk menjadikan seluruh rumah ini menjadi sesebuah lukisan. Kamu tidak salah dalam pujian kamu!" Tukang rumah tersebut mengangguk kepalanya sambil berjalan ke hadapan.
Tidak lama kemudian, mereka tiba di ruang tamu.
Ruang tamu tersebut tidak besar tetapi ia kaya dengan lukisan yang menjadikan ia sesebuah bilik yang anggun. Ia mempunyai kebolehan untuk menenangkan sesiapa sahaja yang berjalan ke dalamnya.
Ia tidak seperti tempat lain di mana Tiang Batu Pengukur Kuasa boleh didapati di mana-mana sahaja membuatkan sesiapa pun berasa seakan akan dihalau keluar jika tidak mempamerkan kuasa secukupnya.
"Saya akan melaporkan diri dahulu kepada tuan kami!"
Selepas menyediakan tempat duduk untuk mereka bertiga, tukang rumah terus beredar.
"Kamu tahu sedikit sebanyak tentang lukisan?" Sejurus sahaja selepas tukang rumah bergegas daripada situ, Huang Yu berpaling dan bertanya kepada Zhang Xuan dengan penuh curiga. Nampaknya dia terdengar perbualan mereka tadi. Bila difikirkan semula, dia tidak tahu apa-apa pun tentang lelaki yang dibawanya ke sini.
"Saya hanya berkongsi pendapat saya yang halaman luar ini memberi gambaran seperti sebuah lukisan!" Zhang Xuan membalas.
"Xiao Yu, jangan dengar lelaki ini. Dia hanya berlakon untuk menarik perhatian kamu!" Bai Xun menjeling Zhang Xuan seakan api yang sedang membara di matanya.
"Apa kamu tahu? Kawan saya ini amat pandai dan berbakat! Kamu ingat semua orang macam kamu ke, sekadar sukar berlagak hebat?" Mendengar sindiran Bai Xun terhadap kawannya, Huang Yu naik marah.
"Berpengetahuan? Dia? Xiao Yu, kamu patut lebih berwaspada. Saya tengok orang ini, rasanya dia hanya seorang kaki perempuan. Walaupun begitu muda, dia berbakat dalam penipuan dan telah menggunakannya untuk memenangi hati ramai perempuan. Dia ini betul-betul tidak tahu malu!" Mendengar Huang Yu memuji Zhang Xuan, darah Bai Xun mula mendidih kerana cemburu dan marah. Namun, dia hanya mampu mengetap giginya.
"Kawan saya ini berkemahiran dalam zither, catur, kesusasteraan dan seni lukis. Tidak ada apa yang dia tidak mahir. Malah, dia bukan sahaja hebat dalam generasi kita, malah orang tua pun tidak mampu menandinginya! Tidak seperti kamu, langsung tidak ada kemahiran apa-apa. Yang kamu tahu hanyalah bergaduh dan membunuh sepanjang masa. Kamu orang yang tidak berguna!
Huang Yu tidak mengalah.
"Mahir dalam zither, catur, kesusasteraan dan lukisan? Dia? Umur dia lebih kurang sahaja dengan saya. Walau dia belajar sejak dalam kandungan lagi pun, berapa banyak sangat yang mungkin dia belajar? Orang-orang seperti kamulah yang boleh ditipunya!" Bai Xun menjeling tajam ke arah Zhang Xuan.
"Hanya sebab dia muda kamu kata dia tidak mahir? Mungkin dia memang berbakat. Jangan memandang rendah pada orang hanya kerana kamu sendiri tidak berbakat!" Huang Yu membalas.
"…." Mendengar pertengkaran mereka, Zhang Xuan yang tidak bersalah pun berasa seakan anak panah di lepaskan ke arahnya.
[Jika kamu mahu bertengkar, bertengkarlah sehingga kamu puas! Kenapa perlu libatkan saya? Saya ada pernah mengecilkan hati kamu ke?
Zither, catur, kesusasteraan dan lukisan kamu kata? Saya tidak pernah terlibat dalam mana mana pun… Jika saya berbakat, bagaimana mungkin saya menjadi guru pertama dalam sejarah yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan kelayakan Guru di Akademi Hongtian?]
Sebelum sempat Bai Xun dapat membalas, beberapa langkah kaki kedengaran berjalan ke arah mereka dan sejurus kemudian, seorang melangkah masuk.
Ternyata ia merupakan seorang tua berambut putih dan berjanggut. Dia mengeluarkan aura unik yang membuatkan orang kagum terhadapnya.
Tukang rumah mengikutinya dari belakang.
Bekas Guru Maharaja Shen Zhui, Lu Chen!
"Kami memberi penghormatan kepada guru!"
Selepas melihatnya, Bai Xun dan Huang Yu tidak berani bertengkar lagi dan segera memberi tunduk hormat.
"Saya mendengar ada seseorang yang perasan halaman rumah ini seakan lukisan dakwat. Jarang saya bertemu dengan orang yang berseni halus seperti ini."
Tanpa menghiraukan kedua-dua orang yang memberi penghormatan kepadanya, semenjak dia berjalan masuk, penglihatannya terpaku pada Zhang Xuan. Jelas tukang rumah tersebut telah memaklumkannya tentang ulasannya tadi.
"Cikgu, dia ini merepek sahaja, kamu tidak perlu mengendahkannya. Saya telah membuat persediaan tadi, oleh itu, cikgu boleh menguji saya bila-bila masa sahaja…" Selepas melihat perhatian gurunya terpaku pada Zhang Xuan, Bai Xun berasa marah lalu mencelah.
"Saya suruh kamu cakap ke?"
Sarjana Lu Chen mengerut dahinya.
"Saya…."
Muka Bai Xun bertukar menjadi merah seakan tomato namun dia tidak berani membalas balik.
Dia mungkin seorang berkedudukan tinggi dan ayahnya amat berpengaruh. Namun, di depan bekas guru maharaja, masih jauh panggang dari api.
Selepas memarahi Bai Xun, Sarjana Lu Chen sekali lagi terpaku pada Zhang Xuan. Memandangkan kamu berpengetahuan dalam seni lukisan, saya ada lukisan yang mahu kamu nilai.
Selepas dia berkata demikian, dia memberi isyarat dengan tangannya.
Tukang rumah bergegas ke hadapan dan membuka sebuah lukisan di atas meja.
Ia sebuah lukisan dakwat yang biasa dilihat tetapi nampak elegean. Sejak saat lukisan tersebut dibuka, terdapat aura menenangkan yang boleh dirasai oleh setiap orang yang menatapnya. Lukisan itu menggambarkan sebuah kampung halaman, dengan kanak kanak berkeliaran di sekeliling dan asap keluar dari cerobong rumah. Jika menumpukan perhatian, seakannya kita boleh mendengar suara cengkerik dan melihat dedaun dilambai angin.
"Ini…." Zhang Xuan menggaru kepalanya.
Dia tidak tahu sedikit pun tentang lukisan. Yang dia tahu hanyalah lukisan ini cantik. Tapi untuk menilai lukisan tersebut? Dia tidak tahu menahu tentang lukisan seni!
"Kamu mesti berfikir dengan baik sebelum kamu menjawab. Ini ujian daripada cikgu, dia…. Dia suka menguji orang. Bila saya pertama kali datang ke sini pun, dia menguji saya juga.. kalau kamu mampu melepasi ujiannya, kamu boleh pinjam seberapa banyak buku yang kamu mahu. Kalau kamu gagal, selamat tinggal.."
Sambil dia meragu-ragu, Huang Yu menasihatinya dari sebelah.
"Ujian?"
Zhang Xuan tersenyum sinis.
Jika dia tahu Sarjana Lu Chen mempunyai minat sebegitu, dia tidak akan bercakap sepatah pun apabila berjalan masuk ke ruang halaman.
Adakah ini dikira sebagai mencari masalah? Namun, daripada kata kata Huang Yu, dia akan diuji juga walau dia tidak berkata apa apa. Sudah menjadi tabiatnya, mana mungkin boleh dibuang begitu sahaja.
Hal menilai lukisan pula, macam mana dia hendak menilainya!
Dia tidak tahu apa-apa tentang seni lukisan, bagaimana mungkin dia mendapat tahu kelemahan lukisan itu sekadar dengan sekilas pandang? Apa jenis ulasan patut dia berikan?
Lebih-lebih lagi, orang ini bekas guru maharaja, seorang pakar lukisan pula. Jikalau dia mengarut, dia mungkin akan dihalau sambil dipukul sebelum sempat menjelaskan dirinya.
"Kenapa? Ada masalah ke?"
Selepas melihat ekspresinya, Sarjana Lu Chen tanya.
"Oh, tidak ada masalah pun!"
Zhang Xuan menggaru kepalanya. Sejurus sahaja dia mahu mula berfikir ulasan yang ingin diberikannya berkaitan lukisan tersebut, dia mendapat satu idea. "Memandangkan Perpustakaan Jalan Syurga mampu menganalisa objek dan barangan….. mungkinkah ia mampu merumuskan kelemahan dan kesalahan lukisan juga?"
Pada saat ini, dia tidak dapat menahan dirinya daripada berjalan ke hadapan dan menyentuh lukisan tersebut.
Weng!
Sebuah bunyi bergema dalam kepalanya dan sebuah buku menjelma dalam mindanya.
Zhang Xuan terlalu gembira. Dia membaca kandungan buku tersebut lalu memandang Sarjana Lu Chen dengan mata berkelip. Sambil tersenyum, dia berkata, "Tuan sarjana betul-betul mahu saya menilai lukisan ini?"
Sarjana Lu Chen tidak membalas, seakan memberikan kebenaran dalam diam.
"Penilaian saya terhadapnya terdiri daripada tujuh patah perkataan!" Zhang Xuan berkata.
"Saya ingin mendengarnya!" Sarjana Lu Chen melihat Zhang Xuan.
Zhang Xuan menggangguk kepalanya dan mengimbas lukisan tersebut sekali lagi lalu menggeleng kepalanya. "Tujuh ayat itu ialah... Langsung tidak masuk akal, ini mainan apa!"
"Tuan Muda, tolong jaga pertuturan kamu!" Asalnya, dia curiga akan penilaian yang bakal Zhang Xuan berikan. Namun sejurus lepas mendengar kata katanya, tukang rumah tersebut hampir pengsan di situ juga. Terkejut dengan penilaiannya, dia bergegas untuk menghentikannya. "Lukisan ini dilukis oleh tuan…."
------