"Tuan Muda Shang!"
Cao Xiong memanggil dengan hormat.
"Guru Cao Xiong, kamu mencari saya?" Shang Bin memandang Cao Xiong dengan muka yang bingung.
Walaupun mereka berdua guru di akademi dan asyik bertembung antara satu sama lain, namun hubungan mereka tidak begitu rapat.
"Memang. Saya ada sesuatu yang ingin dibincangkan!" Cao Xiong beragu-ragu untuk seketika sebelum bercakap.
"Selagi saya mampu tolong, saya cuba berikan yang terbaik!" Sheng Bin menjawab.
Selaku cucu Tetua Shan Chen, terdapat ramai guru yang datang kepadanya untuk meminta pertolongan sehingga dia sudah menjadi biasa dengannya.
"Ya ke? Saya….semalam, saya bersusah payah mendapatkan seorang pelajar di bawah didikan saya, tetapi dia diambil oleh seorang lagi guru dengan menggunakan tipu helah. Bukankah Tetua Shang yang mengetuai Biro Pelajaran? Saya ingin tanya ….jika dia boleh menukar balik pelajar tersebut kepada saya…." Cao Xiong berkata.
Liu Yang merupakan pelajar yang terbaik yang pernah dia rekrut setelah menghabiskan banyak masa dan usaha. Namun, dia telah kehilangannya kepada Zhang Xuan kerana pertaruhan tersebut. Apabila dia balik, dia menjadi semakin marah setiap kali dia memikirkannya. Akhirnya, dia tidak dapat menahannya lagi dan berjumpa dengan Shang Bin hari ini.
Atuk Shang Bin, Tetua Shang Chen merupakan ketua Biro Pelajaran dalam akademi ini. Pertukaran pelajar antara satu guru ke guru yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilaksanakan baginya.
"Tukar balik?" Shang Bin berkerut. "Kalau pelajar itu sanggup berguru di bawah orang lain, pertukaran pelajar akan menjadi susah! Kamu pun tahu pelajar sekarang lebih banyak karenah berbanding dahulu. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara, mereka akan melaporkan kejadian tersebut ke Mahkamah Diraja dan juga Kesatuan Guru, selepas itu kita akan…"
"Dia tidak sanggup! Saya boleh beri jaminan!" Cao Xiong menjawab dengan cepat.
"Walaupun dia tidak sanggup, kalau guru tersebut tidak sanggup untuk melepaskannya, perkara ini menjadi sulit juga. Kamu tahu peraturan sekolah kan….." Shang Bin melambaikan tangannya. Tiba-tiba, dia meninggikan kepalanya dan bertanya, "Tadi, kamu cakap… penipuan? Boleh saya tahu guru yang memujuk pelajar kamu tersebut?"
"Dialah 'guru sampah' akademi kita Zhang Xuan…." Sambil bercakap tentang orang tersebut, Cao Xiong mula mengetap gigi dan kemarahannya boleh dilihat jelas pada wajahnya.
"Zhang Xuan? Dia mencuri pelajar kamu?" Mendengar nama itu sekali lagi, kemarahan Shang Bin juga membuak-buak.
Kalau bukan disebabkan orang ini, semestinya dia telah dapat makan malam bersama bidadarinya! Untuk seseorang yang hanya merupakan Peninju 3-Dan yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru untuk mencabar kuasanya, dia mencari nahas!
Kalau bukan disebabkan bidadarinya semalam yang membuatkan dia tidak boleh menggunakan kekerasan, semestinya dia telah belasahnya sampai nyawa-nyawa ikan!
"Ya! Memandangkan dia guru yang sedemikian, tidak ada orang yang sanggup menjadi anak muridnya! Oleh hal demikian, saya terpaksa menyusahkan Tuan Muda Shang untuk menolong saya membawa masalah ini kepada Tetua Shang untuk mengembalikan anak murid saya…" Cao Xiong mengatur katanya dengan berhati-hati kerana takut Shang Bin akan menolak permintaannya.
"Tak perlu kita membawa masalah ini kepada Tetua Shang, saya akan menyelesaikan masalah kamu sekarang juga!" Shang Bin melambaikan tangannya sekali lagi.
"Kamu akan menguruskan masalah saya?"
"Guru lain mungkin masih memerlukan pertolongan tetua untuk proses pertukaran pelajar, tetapi memandangkan dia itu sampah akademi Zhang Xuan, mengapa perlu kita bersusah payah sangat? Kita boleh sahaja terus pergi kepadanya dan jikalau dia menolak, kita boleh mencacatkannya!"
Shang Bin bercakap dengan yakin.
Dia mungkin ragu-ragu untuk menangani guru-guru yang lain tetapi terhadap seorang yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru, terlalu senang untuknya membuat pendirian dan memberi pengajaran kepadanya! Bukan sahaja dia seorang yang tidak berkemahiran, malah tiada siapa di akademi pun akan sanggup menolongnya.
Yang paling penting sekali dia berniat untuk belasah Zhang Xuan bagi melepaskan geramnya tetapi sehingga sekarang dia tidak ada sebab yang munasabah untuk berbuat demikian.
Kalau dia belasah tanpa sebab, dia mungkin memberikan tanggapan yang buruk kepada Shen Bi Ru sekiranya dia mendapat tahu.
Namun sekarang, dia telah mencuri seorang pelajar dari seorang guru yang lain dan guru tersebut telah datang untuk meminta pertolongannya. Dia boleh menggunakan sebab ini untuk membelasahnya!
"Ini…." Cao Xiong terkejut kerana dia tidak sangka Shang Bin begitu murah hati untuk menolongnya.
"Tidak perlu berterima kasih, kita sama-sama guru. Marilah bersama saya! Kalau kamu takut, saya akan belasahnya untuk kamu!" Shang Bin mula senyum dan sekilas keganasan muncul di dalam matanya.
"Kalau begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Muda Shang!" Mata Cao Xiong berkelip kegembiraan sambil menganggukkan kepalanya dengan cepat. Mereka berdua bergerak menuju ke kelas Zhang Xuan dengan langkah yang besar.
Tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke depan kelas Zhang Xuan apabila mereka terlihat Yao Han yang dibaluti seperti mumia dan Tuan Muda Wang Tao.
"Wang Tao, apa yang kamu buat di sini dan bukannya di tempat atuk saya untuk berlatih?" Shang Bin tanya dengan penuh curiga.
Dia mungkin cucu Tetua Shang, tetapi dia masih sedikit kekurangan jika dibandingkan kekuatannya dengan Wang Tao.
"Cikgu Shang Bin!" Wang Tao tunduk. "Adik saya ditipu untuk menyertai kelas ini. Saya berniat untuk mendapatkannya balik…."
"Shang Bin?"
Yao Han masih berfikir samada dia ingin mengumpul maklumat tentang Shang Bin setelah mendengar orang yang berada di depannya sekarang adalah Shang Bin. Dengan cepat dia meninggikan kepalanya dan melihatnya.
"Kamu bermaksud Puan Muda Wang Ying?" Muka Shang Bin menjadi keruh. Kekejaman mula melimpah dari kelompak matanya apabila dia berkata dengan lantang, " Zhang Xuan itu seorang yang berani! Terlalu berani sehingga menipu Puan Muda Wang, dia mesti sudah bosan untuk hidup lagi! Nampaknya kalau saya tidak memberikan dia pengajaran, pasti susah untuk menenangkan semua orang di sini!"
"Memang…" Wang Tao mengangguk kepalanya.
"Memandangkan Puan Muda Wang Ying telah ditipu untuk berguru dengannya, kenapa kamu tidak meluru masuk sahaja untuk menghentikannya tetapi sebaliknya memilih untuk berdiri di sini pula?" Shang Bin tanya dengan perasaan bingung.
"Itu…" Wang Tao tidak berani mengaku dia baru sahaja dilemparkan keluar daripada kelas tersebut. Sambil menggaru kepalanya, seperti dia cuba memberi alasan kepada soalan Shang Bin, Yao Han yang berada di sebelahnya menyampuk, "Bukankah ada peraturan di akademi yang menyatakan seseorang tidak dibenarkan masuk ke kelas jikalau guru sedang mengajar? Oleh hal demikian, kami hanya mampu menunggu di luar kelas sehingga kelas berakhir!"
"Ini…."
Hanya sekarang Shang Bin perasan orang yang seakan-akan mumia tersebut, Yao Han.
"Inilah pembantu rumah untuk Datuk Bandar Baiyu, Yao Han!" Wang Yao dengan cepat memberi pengenalan untuk Yao Han.
"Jadi inilah Pembantu Rumah Yao. Sudah lama saya dengar mengenaimu!" Shang Bin mengangguk kepalanya dan sambung, "Sememangnya terdapat peraturan yang sedemikian di akademi yang menyatakan seseorang dilarang untuk masuk sesuka hati ke dalam kelas semasa kelas dijalankan. Namun, kelas ini terkecuali. Kamu semua boleh ikut di belakang saya untuk masuk ke dalam kelas ini. Hari ini, saya sendiri akan menguruskan guru yang tidak bermoral ini kerana menipu orang lain!"
"Baiklah!" Selepas mendengar Shang Bin akan berbuat sesuatu, mata Wang Tao berkelip. Mereka mengikut Shang Bin dari belakang. Yao Han berasa ragu-ragu untuk seketika sebelum menyertai mereka dan mengikut Shang Bin dari belakang.
.....
Di dalam Kelas.
"Formula 9-Dan Hongtian. Walaupun teknik pertapaan ini merupakan asas di dalam Akademi Hongtian, namun terdapat banyak masalah tentangnya. Contohnya…"
Kelima-lima anak murid yang berada dalam kelas mendengar dengan penuh perhatian.
Walaupun ini hanya kelas pertama mereka, mereka semua terkejut. Seperti mereka telah memakan buah ginseng dan sekarang menjadi mabuk apabila mendengar perkataannya sahaja.
Semua pelajar di kelas tersebut kecuali Yuan Tao mempunyai latar belakang yang hebat. Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah pergi ke akademi, namun mereka telah pun mempelajarinya satu demi satu. Mereka telah melalui kelas dari pelbagai guru dan antara mereka merupakan Peninju 5-Dan dan 6-Dan. Namun, mereka tidak pernah melalui kelas yang sebegini.
Kelas ini memberikan pencerahan kepada mereka. Mereka mula memahami banyak perkara yang dahulunya mengelirukan. Badan mereka seperti tergoda untuk mengikut teknik yang diterangkan oleh guru mereka dan satu sensasi yang membuatkan mereka berjaya melepasi tahap mereka ketika ini mula menyelubungi badan mereka.
Apa yang diperkatakan oleh guru ini terlalu tepat!
Mendengar pengajaran Zhang Xuan, mereka mula sedar semua guru yang bertaraf tinggi dan dihormati tidak dapat dibandingkan dengan guru mereka Zhang Xuan.
Terutamanya Zhao Ya. Selaku anak perempuan Datuk Bandar, ayahnya selalu menghuraikan dan menjelaskan teknik pertapaan kepadanya. Pada mulanya, dia menyangka ayahnya guru yang terhebat di seluruh Empayar Tianxuan. Lebih-lebih lagi, apabila jelas kekuatan ayahnya berbanding orang lain!
Namun, berbanding dengan Guru Zhang, dia berasa seperti katak di bawah tempurung! Lawak. Langsung tidak dapat dibanding antara mereka berdua!
Penjelasan Guru Zhang terlalu tepat. Tidak kira betapa hebatnya teknik pertapaan dan seni tinju itu, dengan sekilas pandang sahaja dia dapat mengenal pasti masalahnya. Ini akan menyebabkan seseorang itu terkejut dan mula berfikir dengan mendalam, tanpa dapat menenangkan diri mereka untuk jangka masa yang lama.
Kebiasaannya, satu ayat yang diterangkan oleh Guru Zhang akan membuatkan mereka untuk berfikir hampir separuh hari. Selepas menempuh banyak kesusahan untuk memahami apa yang diajarkan, mereka akan tersedar dia telah pun bercakap untuk jangka masa yang lama dan mereka telah hilang banyak ilmu yang disampaikan olehnya.
"Taraf Guru Zhang….terlalu tinggi!"
Pada saat ini, kelima-lima pelajarnya mula memahami betapa dalamnya asas seni tinju dan terlalu tinggi ilmu yang dimiliki orang ini yang jurang umurnya tidak jauh beza dengan mereka.
"Sebelum ini, saya ingat Cikgu Zhang sekadar bernasib baik dapat meningkatkan kekuatan saya dengan mendadak. Namun, barulah saya faham.... Tahap ilmunya yang tinggi, membuatkan perkara ini sesuatu yang senang baginya! Terdapat lebih dari seratus cara untuk meningkatkan kekuatan saya untuk beberapa kali ganda.."
Liu Yang yang sebelum ini angkuh mula menggeletar. "Kalau dibandingkan denganya, Cikgu Cao Xiong… haih, lebih baik saya tidak bandingkan mereka. Mereka jauh berbeza sehingga tidak ada cara yang adil untuk membandingkan mereka. Mereka seperti berada di alam yang berbeza! Saya bernasib baik mereka berdua membuat pertaruhan, kalau tidak mungkin saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan guru yang sehebat ini…."
Kelima-lima pelajarnya mendengar dengan penuh perhatian, takut mereka akan terlepas ilmu yang disampaikan.
Jiyaaa!
Pintu kelas ditolak dan muncul beberapa orang lelaki dengan langkah yang besar.